Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,877
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

BAB 4

 

 

AMMAR mendekati Naura yang masih duduk termenung di birai katil. Diperhatikan wajah Naura yang sedikit muram. Naura masih begitu. Sepi dan kaku. Lantas, dia melabuhkan punggung di sebelah Naura. Barulah Naura menoleh ke arahnya. Tanpa segaris senyum, jauh sekali untuk bersuara. Masih belum ada tanda-tanda yang Naura akan memulakan kata-kata. Ammar menghela nafas panjang. Adakalanya, Naura seperti senang didekati dan mudah mesra. Ada ketikanya pula, dia seakan-akan kaku dan beku untuk satu jangka masa yang tertentu. Sukar diramal perubahan itu.

Ammar tidak menyalahkan Naura jika dia masih bersikap dingin. Tapi, Naura tidaklah terlalu pasif. Dia masih boleh diajak berbual kalau Ammar yang memulakan dulu. Namun, untuk menunggu Naura memulakan, agak sukar. Mungkin, apa yang berlaku kebelakangan ini banyak mempengaruhi pemikirannya. Mungkin juga dia rasa tertekan dengan keadaan itu. Tapi, itu semua tidak menjadi hal buat Ammar. Masa akan merubah segalanya. Itu dia pasti. Dia sendiri telah berjanji untuk merubah keadaan itu. Akan dia lakukan perlahan-lahan.

“Naura dah siap? Kalau dah, kita bertolak sekarang. Awal sikit kita sampai KL nanti.” Ammar memulakan.

Naura menoleh ke arahnya sambil menganggukkan kepala. Ammar tersenyum sedikit.

“Jomlah,” ujarnya lagi.

Dia sudah bangun. Menanti Naura bangun juga. Perlahan-lahan Naura bangun sambil memaut tiang katil. Kemudian dia terduduk semula. Wajahnya berkerut sedikit. Tangan kanannya pantas memicit sekitar buku lali yang terasa ngilu.

“Kenapa? Kaki tu sakit lagi, ke?” Ammar bertanya bila melihat wajah Naura yang sudah berkerut itu.

Pantas saja dia melutut di depan Naura dan cuba memeriksa pergelangan kaki Naura yang sudah tidak berbalut lagi itu. Naura pantas menolak. Ditarik kakinya jauh sedikit daripada Ammar. Ammar mendongak.

“Naura, bagi Am tengok kaki tu. Kalau masih bengkak, kita pergi klinik lagi, ya?”

“Eh! Tak payahlah. Bukan sakit sangat. Cuma, masa nak jalan aje rasa sakit sikit. Dua, tiga hari lagi eloklah ni. Mak Kiah dah tengok, tak ada apa-apa dah. Bengkak sikit aje.”

“Bagi Am tengok.” Suaranya masih lembut, tetapi sedikit menekan. Lebih berbentuk arahan.

Naura teragak-agak. Namun bila melihat Ammar masih tidak bangun-bangun dan merenungnya tajam, dia hulurkan juga kakinya dalam keadaan serba salah. Ammar meletakkan kaki Naura di atas pahanya sambil memeriksa pergelangan kaki yang terseliuh tempoh hari. Semakin tidak keruan Naura dibuatnya. Gedebak-gedebuk hatinya saat itu. Kemudian, Ammar memicit lembut pada tempat yang membengkak. Ammar lakukan dengan cukup berhati-hati.

“Ahhh!” jerit Naura perlahan bila pergelangan kakinya terasa sakit kesan picitan lembut Ammar tadi. Terus rasa darah menyerbu naik ke muka. Ngilu.

Pantas ditarik tangan Ammar daripada terus memicit sekitar pergelangan kakinya. Kejap pegangannya. Bagai menyalurkan rasa sakit itu pada Ammar juga. Sungguh, sakitnya menjalar ke serata saraf. Rasa berdenyut-denyut dan mula berbisa.

“Sakit sangat, ke?”

Naura mengangguk pantas sambil berkerut wajah, menahan sakit.

Pergelangan kakinya diteliti lagi. “Kesan lebam hari tu dah hilang. Cuma, bengkaknya aje belum susut ni. Naura makan tak ubat yang doktor bagi tu?”

Naura mengangguk lagi.

“Boleh jalan ke tak, ni?”

“Bolehlah kalau pelan-pelan kot. Saya cuba. Awak jalan dululah. Saya jalan lambat ni.”

Naura tunak memandang Ammar bila lelaki itu masih juga melutut di depannya sambil tersenyum panjang. Angau ke, apa? Hisy! Ammar ni tak faham bahasa, ke? Jalanlah dulu!

“Macam mana Am nak jalan dulu. Naura pegang tangan Am macam tak nak lepas ni.”

Pantas sorotan mata Naura mengarah ke tangannya yang masih mencengkam kuat lengan Ammar. Memang benar apa yang Ammar katakan. Kejap pegangannya. Serta-merta Naura melepaskan tangan Ammar. Berona merah wajahnya saat itu. Cepat-cepat dia menundukkan wajah, tidak mahu bertentang mata dengan Ammar. Dia malu sebenarnya. Macam mana dia boleh terpegang tangan lelaki itu lama-lama. Seingatnya tadi, dia cuma mahu menghalang Ammar daripada terus memicit pergelangan kakinya saja. Tak sangka boleh berlarutan pula. Mesti Ammar fikir yang bukan-bukan. Aduhai! Malunya.

“Maaf. Saya tak sengaja.” Rendah dan tulus kata-kata itu lahir daripada hatinya.

Ammar sekadar tersenyum manis. “Kenapa nak mintak maaf pula. Tak ada salahnya.”

“Nanti awak fikir yang bukan-bukan pula. Mana tahu kalau awak fikir saya sengaja buat macam tu. Nak ambil kesempatan ke atas awak.”

Ammar tergelak besar. “Am tak fikir macam tu. Am tak kisah sebenarnya. Tadi tu, Am saja usik Naura.”

Naura memandang kosong pada Ammar. Kata-kata Ammar itu tidak memberi kesan apa-apa pada dirinya. Sekosong pandangannya saat itu. Entahlah. Hatinya masih keras untuk dilembutkan. Jiwanya masih menolak segala kebaikan yang Ammar hulurkan. Masih ada segumpal sangsi melekat di sudut hatinya. Tak mahu jatuh-jatuh. Payah betul.

“Mari, Am tolong.”

Naura memandang lelaki itu semula “Tolong? Tolong apa?” Dia bertanya macam orang dungu. Beg-beg yang hendak dibawa, Ammar sudah masukkan ke dalam bootkereta. Jadi, apa lagi yang Ammar mahu tolong?

“Am tolong pimpin Naura berjalanlah. Kan kaki tu masih sakit. Biar Am pimpin,” terangnya sambil memaut lengan Naura, membantu gadis itu untuk bangun.

Naura biarkan saja. Tiada daya untuk menghalang lagi. Kalau dia berkeras pun, Ammar pasti lakukan juga. Lagipun, dia memang malas hendak bercakap banyak. Dia lebih senang berdiam saja. Lebih elok begitu dari ada ketegangan yang wujud kalau mereka berbalas cakap nanti. Tambahan lagi, dia masih tidak mengenali siapa Ammar. Entah bagaimana sikapnya, juga terlalu kabur untuk Naura meneka. Buat masa ini, kesangsian itu sentiasa ada di hatinya. Sangsi dan dia perlu berhati-hati.

“IBU, Naura minta maaf kalau selama ni Naura dah banyak susahkan ibu. Naura dah malukan ibu. Halalkan makan minum Naura selama ni ya, bu...” ucap Naura ketika bersalaman dengan ibunya.

Sebak rasa di dada bila terpaksa berpisah dengan ibu yang selama ini menjadi tulang belakangnya dalam segala hal. Ibu tempat dia mencurah rasa dan berkongsi kasih.

“Naura jangan cakap macam tu, sayang. Naura tak pernah susahkan ibu. Naura anak ibu yang paling baik. Ibu dah halalkan semuanya, nak...” lembut Mak Munah berkata-kata. Rasa sayu telah jauh disorok ke penjuru hati.

Ammar tenang memerhati. Hatinya juga disapa sayu melihat keduanya. Dia mengerti apa yang Naura rasa. Dalam keterpaksaan begitu, pasti jiwanya dirundung pilu. Seketika, pandangan mereka bertaut. Redup sinar mata Naura, menjadikan dia leka buat beberapa waktu.

Naura mengalihkan pandangan pada ibunya semula.

“Kalau boleh, Naura tak nak tinggalkan ibu. Naura nak ibu ada dengan Naura.” Suaranya sudah tertahan-tahan.

Memang payah untuk dia hadapi keadaan itu. Dia sememangnya tidak pernah berpisah dengan ibu. Apatah lagi tinggal berjauhan.

“Naura... Dengar apa yang ibu nak cakap ni. Naura dah jadi isteri orang. Naura dah ada tanggungjawab pada suami. Ke mana saja dia nak bawa Naura, Naura kena ikut selagi tidak menjurus pada perkara yang tidak baik. Naura kena hormati dia sebagai ketua keluarga. Ingat tu. Pasal ibu, janganlah Naura risaukan. Tahulah ibu jaga diri. Lagipun, bukan Naura tak boleh balik jenguk ibu. Cuma, buat sementara ni biarlah Naura jauh daripada ibu dulu ya, sayang. Bila keadaan dah reda, Naura baliklah sini tengok ibu.” Lembut Mak Munah memujuk. Begitulah selalunya. Dia tidak pernah jemu memujuk Naura.

Kalau ikutkan hati, dia juga tidak mahu berpisah dengan Naura. Tapi, Naura sudah menjadi hak suaminya. Itu kehidupannya kini. Mereka bukan berpisah terus. Di hari-hari mendatang, mereka masih boleh bertemu. Buat masa sekarang, jarak dan waktu pasti menjadi jurang pemisah. Biarlah Naura pergi kalau itu nanti bisa merubah kehidupannya.

“Ibu jangan bimbang. Selagi fikiran Am waras, Am tak akan sia-siakan Naura. Dia dan ibu dah jadi tanggungjawab Am sekarang ni. Am pun tak akan sia-siakan ibu. Itu janji Am.” Ammar mencelah setelah agak lama berdiam diri.

Serentak Naura dan Mak Munah menoleh ke arah Ammar. Naura hanya tersenyum sedikit. Janji Ammar baginya hanya janji biasa-biasa. Lainlah kalau Ammar itu memang merupakan kekasih hatinya. Mungkin janji Ammar itu akan membuat dia bahagia. Tapi, hakikatnya tidak.

Bagi Mak Munah pula, janji Ammar itu cukup melegakan dirinya. Sebagai orang tua, pasti dia mengharapkan yang terbaik buat Naura. Apatah lagi dalam soal mendapat suami. Tentu dia mengharapkan seorang lelaki yang bukan saja dapat menerima Naura seadanya, tapi juga bertanggungjawab melindungi dan dapat membahagiakan Naura juga. Senyum yang terukir dari bibir tua itu nyata senyuman gembira.

“Alhamdulillah... Lega hati ibu mendengar janji Ammar. Ibu harap Ammar dapat membimbing Naura. Tegur dia, kalau ada kesilapan yang dia lakukan. Marahlah dia, kalau dia ingkar pada Ammar. Tapi, satu aje yang ibu minta... Jangan sakiti dia.”

Ammar mengangguk faham. “Insya-ALLAH, bu. Am akan ingat segala pesan ibu. Am pun nak minta maaf jika selama beberapa hari Am berada di sini, ada kelakuan Am yang menggores hati ibu,” katanya sambil menghulurkan tangan pada Mak Munah.

Mak Munah menyambut huluran salam Ammar bersama segaris senyum. Sungguh, dia dapat merasakan yang Ammar memang jodoh yang sudah ditakdirkan buat Naura. Tiada cacat celanya dia di mata insan tua sepertinya. Ammar adalah utusan ALLAH untuk menjaga Naura.

“Am tak ada salah apa-apa dengan ibu. Kalau ada pun, ibu dah maafkan. Ibu yang patut minta maaf dengan Am sebab ibu dah banyak menyusahkan Am.” Tulus kata-kata itu lahir daripada hati Mak Munah.

Naura hanya diam memerhati.

“Ibu jangan cakap macam tu. Kan Am dah kata, apa yang berlaku Am anggap sebagai takdir.”

“Ibu tahu. Tapi, macam mana Am nak hadapi keluarga Am nanti? Balik-balik aje, terus bawa isteri. Boleh ke mereka terima Naura? Itu yang buat ibu risau.”

Kebimbangan itu tercetus jua walau sedari awal cuba disembunyikan. Mana mungkin seorang ibu sepertinya mengenepikan rasa sangsi itu dari nalurinya. Tidak sekarang, esok lusa pasti persoalan itu menyusul jua.

“Tentang itu, Am akan selesaikannya, bu. Ibu jangan risau. Cuma, Am harap ibu dan Naura bersabar sikit. Am perlukan masa untuk beritahu keluarga Am tentang semua ni. Am kena cari masa yang sesuai untuk terangkan apa yang terjadi. Insya-ALLAH, berkat doa ibu, akan mudahlah jalan yang kami bakal tempuhi nanti.”

“Ya. Ibu faham. Ibu doakan semuanya berjalan lancar.”

“Terima kasih, bu. Doa ibu akan mengiringi Am dan Naura. Insya-ALLAH... Kami gerak dulu ya, bu.”

Mak Munah hanya mengangguk. Sudah tidak terkata bila melihat wajah sugul Naura. Mata Naura yang berkaca amat meruntun jiwanya. Kesedihan Naura membuat dia sayu. Jika tadi dia kuat, kini bila detik perpisahan itu benar-benar hampir, dia jadi sebaliknya. Pantas diraih tubuh Naura ke dalam dakapannya. Terhambur titis air mata tanpa henti. Namun, dia rela Naura pergi. Bahagia akan menantinya di hujung sana. Insya-ALLAH. Semakin sebak bila melihat Naura menoleh sayu ke arahnya ketika kereta sedang bergerak, keluar dari ruang halaman menuju ke jalan utama. Jauh. Dan semakin menjauh.

Kerna terpaksa aku melangkah pergi

Kerna terpaksa kuturut kata hati

Gementar tubuhku dengan keputusan ini

Biar pun pedih kuteruskan jua... (Kerna Terpaksa ~ Francisca Peter)

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin