Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,882
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5
BAB 5

 

"MASUKLAH...” pelawa Ammar ramah.

Senyuman manis sentiasa menyapa mata Naura bila saja dia menoleh ke arah lelaki itu. Ammar membukakan daun pintu lebih luas sambil bersandar di situ. Dia menanti Naura yang masih teragak-agak untuk melintasinya. Sedang Naura, dengan hati yang tertanya-tanya memerhati keadaan sekeliling. Dia pelik sebenarnya. Kenapa Ammar membawanya ke sini? Rumah itu sunyi benar. Tiada berpenghuni dan mungkin sudah lama dibiarkan kosong.

“Ini rumah siapa?” tanya Naura akhirnya sambil melangkah masuk.

Matanya masih memerhati sekeliling. Cantik juga rumah itu. Pangsapuri dua bilik yang lengkap dan agak luas sebenarnya. Apatah lagi jika hanya mereka berdua yang tinggal di situ. Keadaannya selesa benar.

“Rumah kitalah,” balas Ammar ringkas sambil menutup daun pintu dan menuruti langkah Naura.

“Rumah kita? Saya ingat awak akan bawa saya berjumpa dengan keluarga awak. Terangkan segala-galanya tentang apa yang terjadi dan siapa saya pada awak sekarang ni. Bukan ke kita sepatutnya bertemu dengan mereka dan meminta restu terlebih dahulu?” Ada nada sinis di situ. Naura mula rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ammar seperti mahu ‘menyembunyikan’ dirinya pula.

“Naura, kan Am dah kata... bagi Am masa. Kita akan jumpa keluarga Am, tapi bukan hari ini, okey. Am perlukan masa.” Tenang Ammar menjawab. Dia juga sedar yang Naura seperti meragui dirinya saat itu.

“Masa nak dinikahkan dengan saya tempoh hari, tak pula awak perlukan masa, ya? Terus aje setuju. Laju aje mengangguk bila ditanya.” Masih juga ada nada tidak puas hati di situ.

Ammar menghela nafas dalam mendengar kata-kata berbaur sindiran daripada Naura itu.

“Naura, tolonglah faham. Bukan Am tak nak beritahu mereka. Am perlukan sedikit masa.”

“Masa untuk apa?”

“Masa untuk menyusun semula keadaan yang tunggang-langgang ni. Biar tak terkejut keluarga Am nanti.”

“Hah?” Naura langsung tidak faham.

“Macam ni... Papa Am ada sakit jantung. Mama pula ada darah tinggi. Lagipun, kita nikah tergesa-gesa. Am tak nak mereka terperanjat nanti bila dengar berita kita dah nikah senyap-senyap. Jadi, tolonglah faham keadaan Am, Naura. Bagi Am masa untuk cari cara terbaik macam mana nak terangkan pada mereka, ya.”

Naura terus terdiam. Dia menunduk akhirnya. Penerangan Ammar memang jelas benar. Dia ada sebab yang kukuh kenapa tidak membawa Naura bertemu keluarganya saat ini. Dan yang paling penting sebab itu bukanlah kerana dia tidak mahu berbuat begitu. Cuma, Naura kena bersabar sedikit dan menunggu masa yang sesuai juga. Dia mengeluh. Sangkanya, bila sudah dibawa ke situ, hidupnya akan terus berubah. Nampaknya tidak.

Ammar pula, terus bangun dan membawa beg-beg pakaian mereka ke bilik. Terus tidak keluar-keluar. Mungkin membersihkan diri agaknya. Naura biarkan saja. Hendak bergerak banyak sangat pun, kakinya masih terasa sakit. Sementelah, dia tiada jiwa untuk berbuat apa-apa. Jiwanya terasa kosong saat itu. Dia sekadar meninjau sekitar rumah itu. Keadaan baru yang bakal menjadi rutin hidupnya kini. Di sinilah dia akan meneruskan hidup bersama Ammar. Bersama lelaki yang langsung tidak pernah dia kenali sebelum ini. Mampukah dia? Jiwanya berbolak-balik.

Kalaulah ibu tahu apa yang bakal dilaluinya di sini, akan bersedihkah ibu? Serta-merta hatinya jadi sayu. Mengenang ibu di kampung, jiwanya semakin sarat. Hatinya memberat dan setitis demi setitis air matanya gugur. Bukan kehidupan begini yang dia mahu. Dia mahukan sebuah perkahwinan yang bahagia. Bukan berahsia pada sesiapa tentangnya. Dia tidak mahu menjadi seperti ‘perempuan simpanan.’ Ammar akan datang bila perlu dan dia ditinggalkan bila tidak diperlukan. Oh! TUHAN... Bukan begitu!

“Naura...” Panggilan Ammar itu melenyapkan lamunannya. Pantas saja dia menyeka sisa air mata dengan hujung jarinya. Kemudian, baru dia menoleh ke arah Ammar dan cuba tersenyum pula. Senyumannya hambar dan nyata seperti dibuat-buat.

“Ya,” jawabnya sepatah.

“Bilik dah Am kemaskan. Naura boleh pilih nak tidur bilik mana. Bilik utama boleh, bilik tamu pun boleh,” terang Ammar sambil berjalan menghampirinya. Ammar duduk di sebelahnya sambil mengiring menghadapnya pula.

“Kenapa saya kena pilih nak tidur bilik mana? Habis tu, awak tidur di mana pula?” soalnya pula, dalam suara yang tersekat-sekat. Perit di kerongkong kerana menahan sendu tadi menjadikan setiap patah perkataan yang keluar jadi tidak lancar.

Ammar mengerutkan dahi mendengar kata-katanya. Bukan pertanyaan Naura yang menarik perhatiannya. Tapi, suaranya yang tersekat-sekat itu mengundang persoalan di hati. Direnung wajah itu dari sisi agak lama. Sesekali dia lihat bahu Naura terenjut-enjut bagai menahan tangis. Ada sendu yang bersisa. Lantas disentuh pipi gebu Naura. Lembab. Pantas pula Naura menepis tangannya. Benarlah Naura menangis rupa-rupanya.

“Kenapa ni? Apa yang buat Naura sedih lagi, hmm?” tanyanya lembut.

“Soalan saya tadi awak belum jawab,” balas Naura pula. Suaranya lebih lancar kini.

“Soalan apa? Oh! Pasal bilik tu, ya?” Ammar duduk di sebelahnya sambil menarik nafas dalam. “Am tak tinggal kat sini. Am akan balik rumah papa.” Tenang saja dia mengucapkannya. Langsung tiada riak apa-apa.

Sedang Naura, bagai mahu pecah dadanya mendengar keterangan itu. Tunak dia memandang wajah Ammar yang bersahaja. Benarlah seperti yang dia sangka, Ammar hanya datang bila perlu. Ammar menjadikan dia seperti perempuan simpanan saja. Malah, dia sedikit pun tidak penting buat lelaki itu. Belum pun satu hari dia di situ, sudah pelbagai kejutan yang dia terima. Inikah bentuk kebahagiaan yang akan dia lalui seperti yang semua orang katakan? Ya, ALLAH... Terasa sayu dan pilu hatinya saat itu. Dipandang wajah Ammar bersama sendu.

“Awak kata, ni rumah kita. Tapi, kenapa awak tak tinggal di sini? Apa sebenarnya yang awak cakapkan, ni? Dahlah nak kenalkan saya pada keluarga awak pun payah. Lepas tu, nak tinggalkan saya sorang-sorang kat sini. Apa rancangan awak?” tanyanya dalam getar suara yang sukar dimengertikan.

Rasa mahu menangis, tapi ditahan juga rasa hati. Biar geloranya hanya hebat di dalam. Biarlah dadanya rasa bagai mahu pecah pun. Dia harus kuat. Dia tidak boleh tunjukkan dirinya yang lemah di depan Ammar.

Ammar meraih jemarinya. Dielus lembut buat beberapa ketika. Kalau ikutkan hati, mahu saja direntap tangannya itu. Biar Ammar tahu yang dia tidak suka diperlakukan sesuka hati begitu. Biar Ammar tahu, dia akan terus memprotes jika jiwanya dipermainkan. Yang lebih membuat dia tertekan, pesanan ibunya yang mahukan dia bersikap adil buat Ammar. Tapi, adilkah Ammar padanya? Itu persoalannya sekarang ini.

“Kenapa awak diam?” tanyanya lagi bila Ammar masih menyepi.

“Naura akan faham satu hari nanti.”

“Saya nak awak buat saya faham sekarang! Bukan satu hari nanti!” bentaknya dengan seribu rasa tidak puas hati.

“Naura...”

“Sekarang, awak! Sekarang!” katanya tetap. Suaranya sedikit lantang.

“Sabarlah sikit, Naura. Nanti-nantilah, ya?”

“Sekarang!” Semakin tegas nada suaranya.

Ammar menghela nafas dalam. Jemari Naura masih di dalam genggamannya. Ada ketikanya dia rasa sikap Naura macam budak-budak. Ah! Memang pun. Dia baru berusia 20 tahun.

“Okey, macam ni... Am tak boleh tinggal kat sini buat masa terdekat ni. Lagipun, Am belum beritahu keluarga Am tentang kita. Nanti mama dan papa mesti pelik kalau Am tiba-tiba nak keluar dari rumah mereka, kan? Jadi, buat sementara waktu ni, Naura kena tinggal sendiri di sini. Sementara aje, okey. Rumah ni memang rumah Am. Naura tak perlu risau apa-apa.”

“Tak perlu risau apa-apa awak kata? Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni? Awak buat saya macam perempuan simpanan!”

Mencerun mata Ammar merenungnya. Tajam. “Am tak akan nikahi ‘perempuan simpanan’. Tak perlu ada pertalian yang menghalalkan kalau Am nakkan ‘perempuan simpanan’, Naura. So, I could come and go as I please.” Nada suaranya masih lembut, tapi sinis bunyinya. Wajahnya tidak beriak apa-apa, tetapi sedikit keruh. Mungkin terasa hati dengan tuduhan Naura.

“Dah tu, awak bawa saya ke sini dan lepas tu awak tinggalkan saya sorang-sorang. Apa maknanya semua ni?”

“Siapa kata Am tinggalkan Naura sorang-sorang?”

“Habis tu, yang awak kata awak tak boleh tinggal kat sini buat sementara waktu tu, apa?”

“Ya. Sementara waktu aje keadaan kita macam ni. Tapi, tak bermakna Am tinggalkan Naura sorang-sorang. Am tak akan tinggalkan Naura tanpa sebab, okey. Satu yang Am nak Naura tahu, setiap hari lepas Am balik kerja, Am akan terus ke sini. Temankan Naura. Tapi, Am tak boleh tidur kat sini. Am kena balik rumah papa juga. Nanti mama dan papa suspect yang bukan-bukan pula.”

“Habis tu, Sabtu dan Ahad? Awak tak datang ke sinilah, ya? Sama ajelah maksudnya tu.”

Ammar tersenyum seketika. Di jiwanya sudah berkembang bunga harapan bila mendengar pertanyaan bersahaja daripada Naura itu. Secara tidak langsung, dia merumuskan yang Naura sebenarnya perlukan dirinya. Cuma, gadis itu bijak menyembunyikan ‘rasa’ hati dengan kata-kata yang bersahaja. Untuk mengatakan cinta sudah berputik, masih terlalu awal. Tapi, tidak salah jika dikatakan benih-benih sayang itu sedang bercambah untuk menjadi sepohon kasih dan menerbitkan bunga-bunga cinta yang berkembangan indah nantinya. Insya-ALLAH...

“Am akan cuba cari alasan untuk datang ke sini setiap hari, okey. Am janji.”

Naura terdiam lagi. Berat sungguh apa yang bakal Ammar lalui selepas ini rupa-rupanya. Sibuk benar kehidupannya nanti. Dia harus bijak membahagikan masa untuk berada di rumah keluarganya dan di rumah mereka. Ammar kena berkejar ‘ke sana’ dan ‘ke mari’. Ya ALLAH... Kesiannya dia. Tentu jadual hidupnya bertambah padat.

Mampukah dia? Kalau pun dia mampu lakukan itu semua, tapi untuk jangka masa berapa lama? Ah! Bukankah Ammar katakan tadi yang keadaan ini hanya untuk sementara sahaja? Sementara yang belum tentu bila akan berakhir. Sementara yang entah berapa lama jangka masanya. Sementara yang dia harapkan akan menjanjikan sekurang-kurangnya sedikit kebahagiaan buat mereka.

“Saya ni dah banyak menyusahkan awak, kan?”

“Kenapa cakap macam tu? Naura kan dah jadi isteri Am. Tanggungjawab Am. Siapa susahkan siapa, dah tak timbul.”

“Tapi, kalau awak rasa saya ni membebankan, tak perlulah susah payah datang ke mari. Awak kena fikirkan soal kerja, keluarga dan sekarang ni hal saya pula. Mesti awak penat nanti. Saya faham dan akan cuba memahami apa yang akan terjadi selepas ni. Saya sedar kehadiran saya dalam hidup awak bukanlah sesuatu yang awak inginkan. Lagipun, saya dah biasa hidup sendiri.”

“Am tak akan tinggalkan Naura. Tak akan, okey!”

Naura tersenyum nipis. Padanya, apa jua yang Ammar katakan saat ini, dia tidak ambil pusing. Jauh sekali untuk percaya. Biarlah apa saja yang Ammar ingin katakan untuk tujuan membeli jiwanya. Dia tidak kisah sebenarnya. Apa yang dia tahu, buat masa ini, jiwanya memang belum terbuka untuk menerima Ammar dalam erti kata yang sebenar. Mungkin Ammar juga begitu. Hanya menzahirkan rasa kesian terhadap dirinya.

Apa yang dia persoalkan sebentar tadi hanyalah sekadar untuk melihat sejauh mana Ammar bersedia untuk bertindak balas dengan ‘perangainya’ yang kuat mendesak. Dia sengaja buat begitu. Sengaja ingin buat Ammar ‘panas’. Tapi, lain pula yang berlaku. Ammar kelihatan tenang sahaja. Dia pula yang rasa ‘panas’ dengan sikap tenang dan jawapan bersahaja lelaki itu.

Mungkin perbezaan umur di antara mereka yang menjadi faktor utama. Ammar kelihatan matang seiring usianya yang melepasi tiga puluhan. Sedang dia, masih seperti keanak-anakan memandangkan usianya yang baru mencecah dua puluhan. Sebab itu, dia mudah naik angin dan sering mendesak.

“Naura, Am nak keluar sekejap. Nak beli makanan dan barang keperluan sikit. Naura nak ikut?” Pertanyaan Ammar itu membuatkan dia pantas menoleh. Segaris senyum dihadiahkan buat Ammar walaupun nyata masih hambar.

“Taklah kot! Kaki saya ni masih sakit. Kalau saya ikut, nanti pergerakan awak jadi lambat. Saya duduk kat rumah ajelah.”

“Hmm... okeylah kalau macam tu. Naura berehatlah ya. Am pergi sekejap aje. Kalau Naura nak mandi, beg-beg Naura Am dah masukkan kat dalam bilik tu.”

“Hmm...” Ringkas jawapannya sambil mengangguk.

“Naura ada nak kirim beli barang tak? Nak makan apa-apa, ke?”

Naura hanya menggeleng.

“Okey, Am pergi dulu,” katanya seraya mengucup dahi Naura. “Jaga diri dan kunci pintu ya?” pesannya lagi sebelum melangkah.

Naura terkedu. Kucupan mesra daripada Ammar itu seakan bisa menghentikan degupan jantungnya buat seketika. Lama dia kaku di situ. Tidak menyangka sejauh itu tindakan Ammar. Kali kedua ia berlaku dan dirinya masih tetap begitu. Terasa sayu, tapi hanya setakat di situ. Seketika, baru dia bangun. Melangkah perlahan menuju ke pintu untuk menguncinya seperti pesan Ammar tadi. Dia kembali duduk di sofa. Disentuh dahinya yang masih hangat terasa dengan kucupan Ammar sebentar tadi.

Benarkah ada kasih di hati lelaki itu buat dirinya? Mana mungkin! Mereka tidak saling mengenali pun sebelum ini. Mereka dipertemukan dengan cara yang tidak dijangka. Dia mengeluh perlahan sambil menggelengkan kepala beberapa kali. Melontar jauh setiap persoalan yang menerjah minda. Kemudian, dia bangun untuk membersihkan diri. Sebelum Ammar pulang, dia harus siap. Membersihkan diri, bersolat dan kemudian menanti Ammar pulang. Langkahnya teratur biarpun perlahan.

Walaupun esok ada mentari

Apakah secerah hari ini

Harap begitulah dan moga mudahlah perjalanan hidupku

Berat benar langkah rela dalam pasrah

Yang aku harap-harapkan tak kesampaian

(Tergamak Kau ~ Ukay)

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin