Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,862
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 8

BAB 8

 

AMMAR gelisah. Serba-serbi rasa tak kena. Pegang itu salah. Pegang ini pun salah. Buat itu salah. Buat ini tak kena juga. Azizul yang dari tadi memerhati, jadi hairan. Apa yang tidak kena dengan teman sekerja, merangkap teman baiknya itu? Tidak pernah dia melihat Ammar bersikap begitu. Selalunya, lelaki itu tenang dan fokus terhadap apa yang dilakukannya.

Sekejap, Ammar duduk di kerusinya. Sekejap lagi dia bangun, berjalan mundar-mandir dan ada ketikanya dia berdiri di tepi tingkap pejabatnya. Memerhati ke luar tanpa tahu apa sebenarnya yang dia cari. Hampir tiga jam dia berada di situ bersama Azizul, bukan selesai perbincangan yang sedang mereka jalankan. Ammar hilang fokus dan tumpuan. Sesekali, Azizul terdengar Ammar mendesah perlahan seperti ada sesuatu yang memberat di benaknya. Kalau benarlah Ammar ada masalah, apa salahnya dia berkongsi. Selalunya tidak payah ditanya pun Ammar akan menceritakan apa yang mengganggu fikirannya.

“Kau ni kenapa, Am? Dari tadi aku tengok macam ada yang tak kena, aje? Kau ada masalah, ke? Macam kucing hilang anak pun ada.”

‘Ni bukan kucing hilang anak, Zul. Ni namanya Ammar yang hilang bini beberapa jam.’ Hatinya menjawab.

Ammar menoleh ke arah Azizul sekilas. Selepas itu, pandangannya dilempar ke arah luar tingkap semula. Azizul terus memerhati. Memang peliklah sikap Ammar pada pandangan matanya. Resah gelisah sahaja lagaknya.

“Am... Apa hal, ni? Cuba cerita dengan aku. Kau pandang luar tu pun, bukan dapat apa.”

“Tak ada apa-apalah, Zul. Aku tak sedap badan ajelah. Rasa pening kepala ni.” Itu yang terkeluar daripada mulut Ammar. Pandangan masih terarah ke luar sana.

Azizul hanya mengangguk beberapa kali. Mungkin percaya dengan alasan itu. Selebihnya, dia tidak mempersoalkan langsung tentang alasan itu walaupun pada perkiraannya Ammar seakan menyembunyikan sesuatu. Biarlah. Itu hak Ammar. Kalau Ammar tidak mahu berkongsi, tidak perlulah dia memaksa. Nanti, tidak pasal-pasal bertegang urat pula.

“Kalau dah tahu tak sihat, yang kau datang kerja tu, buat apa? Ambillah MC ke, cuti ke. Kau ni, tak sayang badan, ke? Sakit-sakit pun kau lenjan jugak datang kerja,” nasihat Azizul.

“Aku kan baru naik dari bercuti panjang. Kalau aku sambung cuti lagi, kesian kau buat kerja sorang-sorang. Ni, discussionkita pasal projek baru tu pun tak selesai lagi. Pening aku,” balas Ammar mendatar, tapi matanya masih terarah ke luar. Sedikit pun tidak ditoleh pada Azizul.

“Alahai, Am! Macamlah aku tak boleh buat kerja kalau kau tak ada.”

“Aku kesian kat kau... Asyik aku aje yang cuti. Lagipun, kerja kita tengah banyak ni, kan? Kau jangan risaulah. Aku masih boleh bertahan.”

“Yalah, Am. Kau larat lagi, ya? Nanti kalau kau sampai pengsan, jangan suruh aku angkat kau pula. Tak larat aku. Kau tu bukan ‘comel lote’ macam Amy Mastura.”

Pantas Ammar menoleh ke arahnya. “Amboi, kau ni! Mentang-mentanglah aku ni lelaki, kau tak nak tolong! Tak patut betullah kau ni! Amy Mastura tu ke kawan kau, atau aku ni?”

“Memanglah kau kawan aku. Tapi, kalau aku tolong kau bukan dapat apa. Lainlah kalau Amy Mastura...” Azizul berjeda. Keningnya dinaikkan sedikit. Double-jerk! “Kan?” soalnya pula.

“Tolong aku dapat pahala, apa.”

“Tolong Amy Mastura pun besar pahalanya,” jawab Azizul lagi. Selamba.

Ammar tersenyum juga mendengar jawapan Azizul itu.

“Ada-ada ajelah, kau ni. Yalah, kau menang. Dahlah, aku nak keluar buat panggilan kejap.”

Azizul sekadar memerhati langkah Ammar dengan senyum yang panjang. Dia menggeleng kepala. Tidak faham dengan sikap teman baiknya itu. Baru naik bercuti, tapi macam orang tidak gembira saja. Kata pergi bercuti dengan buah hati, tapi naik kerja monyok saja mukanya. Kalau orang lain, mestilah senyum sampai ke telinga.

“HAI...” sapa Ammar setelah mereka berbalas salam.

“Hai...” balas Naura juga, sepatah.

Terkedu dia ketika menerima panggilan daripada Ammar itu. Tidak sangka yang Ammar akan menelefonnya seawal pagi begitu. Tersentak dia ketika mendengar deringan telefon tadi. Maklumlah, dia sedang bermalasan duduk di sofa sehingga mahu terlelap sebenarnya.

“Naura tengah buat apa, tu?” Ammar bertanya lagi. Tenang suaranya.

“Tak ada buat apa. Duduk-duduk aje.”

“Dah sarapan?”

“Dah,” jawabnya sepatah.

“Sarapan apa pagi ni?”

“Hmm... saya makan roti dengan planta aje.”

“Oh!” Itu saja yang Ammar katakan.

“Awak tak kerja, ke?” Naura pula bertanya.

“Am kat tempat kerjalah ni.”

“Dah tu, telefon saya ni, tak ada kerja ke?”

“Kerja tu banyak...”

“Dah tu, ni curi tulanglah ya?”

“Tulang siapa yang Am nak curi?” tanyanya sambil ketawa kecil. “Am risaukan Naura. Tu yang Am call.”

“Risau?” Berkerut kening Naura mendengar itu. “Nak risaukan apa? Saya ada aje kat rumah ni. Bukan ke mana-mana pun.”

“Entahlah, Naura... Am sendiri tak tahu kenapa Am jadi macam ni. Rasa macam nak balik jumpa Naura sekarang ni juga.”

“Eh! Janganlah awak. Kan awak tengah kerja tu. Siapkan kerja awak tu dulu. Petang nanti, kan awak balik sini jumpa saya.”

“Nak tunggu petang, lama sangat,” rengek Ammar tanpa sedar.

Naura tergelak kecil. Alasan Ammar macam alasan budak-budak darjah dua yang nak balik jumpa ibunya. Tapi, cepat-cepat ditutup mulutnya agar gelaknya tidak ketara.

“Awak makan malam di sini ke malam nanti?” Naura bertanya lagi.

“Naura nak masakkan ke?”

“Awak nak makan apa?”

Ammar sudah tersenyum. Tiba-tiba saja moodnya bertukar menjadi ceria. Mendengar suara Naura yang lunak dan manja bagai menjana semangatnya untuk kembali. Rasa bertenaga tiba-tiba. Macam pakai bateri Eveready. Dan lagi, dan lagi. Indahnya dunia ini dia rasa.

“Awak nak makan apa?” ulang Naura bila talian senyap seketika.

“Am nak makan asam pedas. Naura boleh masakkan?”

“Hmm... Saya masak asam pedas ikan merah, ya? Boleh? Apa lagi yang awak nak?”

‘Am nak Naura.’ Laju hatinya menjawab.

“Terpulanglah pada Naura nak masak apa lagi. Tapi, asam pedas tu mesti ada, ya. Am dah lama tak makan. Teringin pula.”

“Okey. Nanti saya tengok apa yang ada. Pukul berapa awak balik nanti?”

“Hmm... Dalam pukul 6.00 petang nanti Am sampai, okey.”

AMMAR masuk semula ke pejabatnya sambil tersenyum simpul. Makin melebar senyumnya bila perasan yang Azizul asyik memerhatikannya. Sempat lagi dia bersiul riang bak burung berkicauan, terbang bebas di angkasa. Pelik Azizul melihatnya. Tadi, bukan main lagi monyok mukanya. Kata pening kepala. Lepas buat panggilan telefon, terus tersenyum panjang. Hairannya! Senang pula Ammar dapat penawar sakit kepalanya itu.

“Dah baik pening kepala kau tu, Am?” tanya Azizul, lebih kepada memerli sebenarnya.

Ammar tergelak. Lagilah pelik Azizul rasakan. Kena sampuk apa teman baiknya itu?

“Dah dapat penawar rindu, baiklah kot,” balas Ammar dalam kiasan.

“Amboi! Senangnya dapat penawar? Dengan satu panggilan aje, dah boleh jadi penawar, ke?” giat Azizul terus. Makin lebar senyuman Ammar. Ditoleh Azizul sekilas.

“Mestilah... Dapat dengar suara dia, terus sakit aku hilang. Power, kan?”

“Kau ni sakit kepala ke, sakit angau? Pelik aku.”

Ammar ketawa pula.

“Dua-dua kot! Yang sakit kepala tu, tak seberapa. Tapi, bab yang angau tu yang lebih rasanya,” ujar Ammar selamba.

Tangannya mula ligat menyambung tugasan yang tergendala sebentar tadi. Jadi bersemangat dia untuk meneruskan hari itu dan tidak sabar pula untuk menunggu petang tiba. Kepulangannya dinanti. Itu yang penting.

“Kalau macam tu, kahwin ajelah. Buat apa nak tunggu lama-lama. Boleh selalu jumpa. Karang, aku berjangkit pula dengan penyakit kau ni. Payahlah nanti.”

‘Aku memang dah kahwin pun, Zul,’ balasnya dalam hati.

Azizul biarkan saja Ammar dengan dunianya. Biarlah jika dia mahu tersengih sepanjang masa. Selagi tidak mengganggu sesiapa, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Biarlah... Janji, Ammar bahagia.

Di manakah menghilang, diriku sendiri

Hanyut dalam bayangan sebuah misteri

Harum tiada wajah menggeliling aku

Dengan suasana yang terharu

(Taman Rashidah Utama ~ Wing)


Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin