Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,860
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11

BAB 11

 

SUDAH lima belas minit kereta Ammar berada di atas jalan, namun belum ada bicara yang terucap. Ammar, tenang saja memandu. Sesekali, ada senyum terlakar di wajahnya. Naura jadi tertanya-tanya. Ke mana dia hendak dibawa? Semalam ketika dia bertanya, Ammar lebih banyak tersenyum. Jawapan yang diberikan oleh lelaki itu cuma ‘adalah.’ Selebihnya, dia hanya menyuruh Naura mengemas beg pakaian serta kelengkapannya untuk bekalan dua hingga tiga hari.

Tadi, ketika Ammar tiba selepas subuh pun dia masih bertanya lagi. Namun, jawapan Ammar hanyalah sebuah senyuman yang berpanjangan. Sengaja mahu buat Naura tertanya-tanya begitu. Seronok agaknya melihat wajah terkulat-kulat Naura ketika pertanyaannya tidak mendapat jawapan.

“Awak...” panggil Naura perlahan. Tidak tertahan rasanya berteka-teki sendiri. Sekurang-kurangnya, beritahulah dia ke mana destinasi mereka. Tidaklah dia berasa ‘cuak’ sangat.

Ammar menoleh sekilas bersama senyuman yang sentiasa manis.

“Ada apa, Naura?”

“Kita nak ke mana sebenarnya, ni? Tak payahlah nak berahsia sangat dengan saya. Awak tak kesian ke kat saya, ni? Dari semalam asyik terfikir-fikir. Sampai tak lena tidur saya tau,” tuturnya perlahan tetapi jelas. Namun, dia masih menunduk. Malu agaknya jika Ammar dapat melihat wajahnya yang memang comel itu.

“Ingatkan tak lena sebab mimpikan Am...”

“Mimpikan awak, buat apa? Karang saya jadi angau pula. Angau pun tak jadi macam saya, tau. Tak naklah. Kita nak pergi mana, ni? Tak payahlah nak berahsia dengan saya,” desak Naura lagi.

Ammar tersenyum meleret. Naura memang bukan seorang gadis yang mudah berputus asa. Selagi dia belum menemukan jawapan, selagi itulah, dia tidak teragak-agak untuk menyoal perkara yang sama. Sebenarnya, dia mahu ketawa mendengar kata-kata Naura itu. Manja bunyinya. Macam orang merengek pun ada, tapi tidaklah sampai tergedik-gedik. Manja yang bersahaja. Mungkin Naura tidak sedar itu.

“Mana ada Am berahsia. Nanti Naura tahu juga bila kita sampai sana, okey.” Ammar sengaja menjawab begitu. Kadangkala, rasa seronok bersoal jawab dengan Naura. Dalam lembut dia bertanya, ada desakan tanpa sedar sebenarnya. Itu yang buat Ammar seronok. Lagi seronok, dapat mendengar suara manja itu seakan memujuk rayu dirinya.

“Habis tu, kenapa tak nak cakap dari semalam? Saya ni letih tau asyik bertanya soalan yang sama. Awak masih juga tak nak beritahu,” omel Naura lagi.

“Kalau dah tahu penat tanya soalan yang sama, tanyalah soalan lain. Mesti ada jawapan. Kan senang macam tu.”

“Alah, cakaplah awak...” pujuk Naura terus. Tidak dihiraukan kata-kata Ammar tadi. Baginya, apa yang dia mahu tahu lebih penting daripada mengajukan soalan lain saat itu.

Ammar tersenyum lagi. Senang hatinya melihat reaksi Naura pagi itu. Tidaklah pasif sangat. Sebaliknya, Naura pula yang terlebih banyak mulut daripadanya. Selalunya, dia yang banyak bertanya dan memulakan perbualan terlebih dulu. Hmm... petanda bagus namanya itu. Eloklah begitu. Mungkin, keadaan sebegini bisa menambahkan lagi kemesraan mereka. Siapa tahu?

“Cakaplah awak, mana kita nak pergi ni?” desak Naura terus bila melihat Ammar hanya tersenyum meleret.

Suaranya yang manja, kadangkala seakan menggoda. Naura mungkin tidak menyedari hakikat itu kerana Ammar saja yang merasainya. Dan Ammar mula rasa selesa. Mula rasa aura seorang Naura sedang menakluki dirinya. Mula rasa diri terpenjara. Terpenjara di dalam sangkar cinta milik Naura. Ammar mula merasai erti bahagia. Sangat bahagia!

“Kita nak pergi Genting Highlands, ke?” tanya Naura pantas. Padahal sudah jelas tertera di papan tanda tadi, ‘SUSUR MASUK KE GENTING HIGHLANDS’Besar pula tu.

“Yes,” jawab Ammar ringkas. Ketika itu, papan tanda tadi sudah jauh mereka tinggalkan. Sudah hampir suku perjalanan mereka sebenarnya.

Ammar menoleh ke arah Naura yang senyap tidak semena-mena. Muka Naura pula berubah tiba-tiba. Seperti ada kerisauan di wajah itu. Ammar mengerutkan dahinya. Tadi, bukan main berceriau mulutnya. Macam bertih jagung. Asyik bertanya, tidak reti diam. Ini, macam ayam berak kapur pula. Terkulat-kulat saja. Bila ditoleh sekali lagi, wajah ayu itu sudah kelihatan pucat sedikit. Namun, Ammar biarkan saja Naura begitu. Yalah, tadi hendak tahu sangat. Bila sudah tahu, begitu pula reaksinya.

“Kenapa ni, Naura? Naura pening kepala? Nak muntah, ke?” Pantas Ammar bertanya bila Naura masih juga begitu.

Manalah tahu, keadaan muka bumi yang tidak lurus itu membuatkan Naura mahu termuntah. Dalam begitu, dia tetap menumpukan perhatian pada pemanduannya. Mana mungkin dia biarkan dirinya leka atau alpa sedikit pun. Itu akan membahayakan keselamatan mereka berdua nanti.

Naura menggeleng laju.

“Dah tu, kenapa ni?” Sedikit cemas Ammar bertanya.

“Takut,” jawabnya sepatah.

“Laa... Nak takut apa?” Mahu tergelak pun ada bila mendengar jawapan Naura itu.

“Jalan ni bengkang-bengkok. Kecut perut saya dibuatnya. Saya dah banyak dengar dan baca berita pasal kemalangan kat kawasan sekitar sini. Kawasan ni bahaya. Saya takut, awak.” Itu penerangan Naura. Getar suaranya memang melambangkan keadaannya yang sedang cuak. Ayatnya juga tidak lancar. Tersekat-sekat.

Naura trauma rupa-rupanya. Trauma kerana sudah banyak mendengar khabar tentang bahaya kawasan itu. Mungkin juga Naura trauma pada keadaan yang mendatangkan ‘bahaya’. Sebab itu, dia kelihatan seperti cuak semacam. Kesian pula Ammar melihat Naura begitu. Hampir berpeluh-peluh dia dibuatnya.

“Naura, buka mata. Pandang Am,” pinta Ammar pula.

Kalau tadi dia ingin ketawa mendengar alasan Naura, tapi tidak kini. Dia tahu Naura benar-benar dipengaruhi oleh berita-berita yang dia dengar. Ketakutannya itu berasas. Memang terbukti jalan ke Genting Highlands itu agak berbahaya. Sudah banyak kes bas-bas persiaran yang terbabas jatuh ke gaung itu. Ammar sendiri mengakuinya. Mungkin juga Naura takut pada ketinggian. Itu yang membuat dirinya jadi begitu.

“Naura...” seru Ammar perlahan.

Barulah perlahan-lahan Naura membuka matanya. Pandangannya tunak pada wajah Ammar. Wajahnya masih membayangkan kecuakannya. Ada peluh halus mula merenik di dahinya.

“Naura kan dengan Am ni. Takkan Am nak biarkan apa-apa berlaku pada Naura,” pujuknya lembut. Sekejap, matanya memandang Naura yang tidak beralih memandangnya. Sekejap pula, dia menumpukan perhatian pada pemanduan. “Am janji, Am akan pastikan kita selamat sampai dan selamat balik. Jangan risau apa-apa, okey. Am dah biasa dengan tempat ni. Naura percayakan Am, kan?” sambungnya lagi. Masih dengan kata-kata memujuk.

Ammar mencapai jari-jemari Naura dan dibawa mendarat ke pahanya. Diusap lembut seketika sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya pada pemanduan. Bila ditoleh ke arah Naura semula, gadis itu sudah terlelap dalam keadaan tidak selesa. Keadaannya sedikit mengiring ke arah Ammar. Kesian dia. Sekurang-kurangnya, Naura tidak terasa sangat akan perjalanan yang berbengkang-bengkok itu.

Ammar mengusap pipi Naura perlahan. Naura bergerak sedikit. Terkedu sebentar Ammar dibuatnya. Bimbang perbuatan spontannya tadi bisa membangunkan Naura. Dua, tiga kali dia menoleh ke arah Naura. Tapi, lenanya langsung tidak terganggu. Nasib baik. Lantas dengan senyum yang meleret, dia teruskan pemanduan. Puncak Genting Highlands sudah menggamit kedatangan mereka. Sudah hampir benar untuk ditakluki. Sudah nampak bangunan-bangunan hotel yang tinggi menjulang. Seakan-akan melambai dan mengalu-alukan kehadiran mereka.

“Naura,bangun. Kita dah sampai ni,” kejut Ammar perlahan. Berhati-hati dia menyentuh pipi Naura. Sejuk.

“Naura...” serunya lagi. Diusap pipi Naura perlahan dan lembut sekali. Kalau ikutkan hati, mahu saja dicium pipi gebu itu. Tapi, ditahannya rasa hati yang meluap-luap. Dia kena bersabar. Dibuatnya Naura marah, tidak ke haru-biru jadinya. Nanti orang berprasangka dia mahu melakukan sesuatu yang tidak elok pula pada gadis itu.

Naura bergerak sedikit. Perlahan-lahan dia membuka mata. Wajah Ammar yang menunduk, memenuhi ruang matanya. Ammar tersenyum. Dia membalas. Ditoleh sekeliling. Keadaan sungguh asing. Angin sejuk yang bertiup membuatkan dia mahu menggigil. Apatah lagi pintu kereta luas terbuka ketika itu. Naura memeluk tubuh dan mengerekot sedikit. Tahulah dia yang mereka sudah tiba di destinasi yang menjadi rahsia sangat itu.

“Naura sejuk, ya?” Cepat saja soalan itu meluncur bila melihat keadaan Naura tadi.

Naura mengangguk.

“Tulah awak. Dah tahu nak pergi tempat macam ni, tak nak beritahu saya awal-awal. Satu baju sejuk pun saya tak bawa. Baju tebal pun rasanya tak ada. Macam mana ni?” bebel Naura, tapi perlahan saja suaranya. Dipandang muka Ammar yang sedang bertinggung di sebelahnya.

“Alah, nak susah apa. Am kan ada,” sambut Ammar bersahaja. Namun senyum nakal sudah terhias di wajahnya.

Naura mengerutkan dahinya.“Awak ada?” Dia kurang faham maksud Ammar sebenarnya. Memanglah Ammar ada. Mereka kan sedang bercuti bersama. Tapi, apa kaitannya dengan baju sejuk yang diperkatakan itu?

“Yalah, Am kan ada untuk jadi ‘baju sejuk’ Naura. Kalau Naura sejuk nanti, Am peluklah. Bukan susah mana pun, kan? Am pun boleh buat Naura ‘panas’ apa. Lagi panas dari pakai baju sejuk tu.” Makin meleret senyuman nakal Ammar ketika itu.

Naura hanya menjeling dari ekor matanya saja. Malas mahu bertentang mata. Sebenarnya, dia malu bila Ammar berkata begitu. Tidak ada tapis-tapis langsung. Teruk betul!

“Hah? Tu memang nak buat saya panas. Buat saya panas hati namanya. Tak pun naik terus temperature panas baran saya ni. Hisy! Mengada-ngada tau awak ni,” rungut Naura tidak puas hati.

Dalam baik, dia juga yang terkena. Ammar pula, sudah meletus tawanya. Melihat reaksi Naura yang sudah cemberut mukanya, semakinlah galak dia ketawa. Agak lama Ammar ‘meraikan’ keriangannya. Makinlah Naura tarik muka.

“Okey. Am minta maaf. Tak sengaja nak ketawa macam tadi. Tak boleh nak tahan. Naura ni, suka buat lawak juga, eh?” ujarnya ketika tawa hanya tinggal sisa.

“Saya tak buat lawaklah. Awak ni...” Naura berjeda. “Suka mainkan saya.” Sebenarnya tidak tahu nak kata apa lagi. Nanti, pasti dia juga yang kena.

“Okey... Okey... Jom, check in. Kita rehat kat bilik. Lepas tu, baru kita fikir apa nak buat. Shopping ke, main games ke,” ajak Ammar sambil menarik tangan Naura lembut supaya keluar dari kereta.

Naura hanya menurut. Kalau banyak bersoal jawab, dia juga yang lelah nanti. Lelah menangani sikap Ammar yang memang sengaja cari peluang mahu mengusiknya. Mereka jalan beriringan. Naura memeluk tubuh. Kedinginan bayu yang similir bertiup, meratah tubuhnya. Baru sekejap turun dari kereta, giginya sudah mahu berlaga. Sejuk benar rasanya. Selamba saja Ammar menarik dia ke sisi.

“Naura sejuk, kan? Am peluk, ya?” usiknya nakal.

Tangannya sudah pun meraih bahu Naura untuk terus rapat ke sisinya. Naura terkedu. Serta-merta wajahnya jadi panas tiba-tiba. Makin sejuk keadaan di luar, makin berpeluh pula dia rasa.

“Awak... orang semua tengok kita.” Naura berikan alasan. Sedikit gugup ketika itu. Mahu menolak, rasa tidak patut pula. Ammar suaminya. Bukan salah pun kalau dia buat begitu. Jadi, dia sengaja berkata begitu untuk menutupi kegugupannya.

“Mana ada. Dia orang tak kisah pun dengan kita. Biarlah.” Makin kemas Ammar memaut bahunya.

Sudahnya, dia biarkan saja. Mengikut rentak Ammar selagi tidak keterlaluan. Memang betullah orang lain tidak kisahkan mereka. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Tapi, dia tetap segan berkeadaan begitu di tengah orang ramai. Entahlah...

Keindahan pelangi adalah keindahan wajahmu, sayang

Yang sering bermain di mata, hatiku ini

Keharuman bunga kasihku adalah untukmu sayang

Bagaikan pantai dan lautan takkan terpisah

(Untukmu Sayang ~ Febians)


Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin