Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,861
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

BAB 6

KETUKAN di pintu menyedarkan Naura. Sudah jauh dia dibawa ke alam lamunan. Cepat-cepat dia melipat kain telekung yang sedari tadi hanya tersangkut di lengannya. Entahlah, sejak sampai ke sini tengah hari tadi, dia banyak termenung dan melayan perasaan. Pantang ditinggalkan sendirian, itulah yang dilakukan. Pantas dia menyisir rambut dan kemudian melangkah ke muka pintu. Pergerakannya tidak pantas disebabkan kaki yang masih sakit. Ammar pasti sudah lama menanti.

Nah! Senyuman itu pasti menjadi santapan matanya setiap kali mereka bertentangan mata. Naura maniskan muka. Dia tetap ingat pesanan ibunya. Tidak sesekali dia lupa. Memanglah dia masih tidak dapat menerima Ammar. Tapi, apa salahnya jika dia cuba untuk tidak terlalu berprasangka pada Ammar. Apa pun niat Ammar sebelum ini, itu sudah jatuh di tempat kedua. Apa yang penting sekarang, dia harus mencuba. Cuba untuk terima keadaan dan kenyataan hidupnya yang baru bersama lelaki itu.

“Baru siap mandi?” tanya Ammar ketika mereka sudah berada di meja makan. Bungkusan-bungkusan yang dibawa tadi, semuanya sudah diletakkan di atas kabinet dapur.

“Tak juga. Saya kat dalam bilik tadi. Tu yang tak perasan awak dah balik.”

Ammar mengangguk, tanda faham.

“Hmm... Kita makan dulu, ya? Lepas ni, kita kemas barang-barang tu.”

“Kemas barang? Tak apa, saya boleh buat sendiri nanti. Awak nak balik rumah keluarga awak pukul berapa ni?”

“Am tidur sini, malam ni.”

Naura terkesima. Pantas dipandang wajah Ammar yang bersahaja. Jawapan yang memeranjatkannya. Bukankah Ammar katakan yang dia akan pulang ke rumah keluarganya dan tidak tidur di situ? Kenapa lain pula jawapan Ammar?

“Awak tak balik rumah keluarga awaklah malam ni?” Naura bertanya tidak puas hati. Ingin mencari kepastian juga.

“Cuti Am ada lagi tiga hari. So, Am nak habiskan masa tiga hari tu kat sini. Nanti, bila Am dah mula kerja, tak banyak masa yang Am boleh luangkan untuk Naura. Mungkin lima atau enam jam sehari aje. Itu pun kalau Am tak kerja lebih masa. Kalau Am kena buat overtime,lagi pendek masa yang kita ada untuk diluangkan bersama. Anyway, kan Am dah cakap, Am takkan tinggalkan Naura tanpa sebab.” Senyum mesra menyapa Naura di akhir kata-katanya.

Naura memandang kosong pada Ammar. Bukan itu yang menjadi persoalannya saat ini. Dia tidak kisah sama ada Ammar punya masa yang panjang atau tidak untuk diluangkan bersamanya. Dia tidak kisah jika Ammar hanya datang sesekali saja. Benar, dia tidak kisah itu semua.

Malah, mungkin dia lebih selesa jika Ammar tidak selalu ada bersamanya. Memang itu yang dia mahukan. Tapi, belum apa-apa, Ammar sudah merancang sesuatu tanpa pengetahuannya. Kenapa Ammar tidak memberitahu dirinya yang dia masih lagi bercuti? Itu yang membuat dia tidak berpuas hati sebenarnya. Sangkanya, Ammar akan terus pulang ke rumah keluarganya malam itu juga. Aduh! Payahlah macam ini.

“Kan saya dah kata, awak tak perlu paksa diri kalau awak tak nak buat semua ni.”

“Naura tak suka ke Am ada dengan Naura? Temankan Naura. Luangkan masa berdua macam ni?”

“Bukan macam tu... Tapi, saya tak nak susahkan awak.”

“Tak ada susahnya, Naura. Dan tak ada sesiapa yang paksa Am buat macam ni. Am sendiri yang nak,” katanya tenang seraya menyorongkan sepinggan nasi paprik dan semangkuk tomyam campur ke arah Naura.

Dia sudah duduk berhadapan dengan Naura. Senyumnya mekar lagi. Aduh! Manisnya... Sudah macam penggoda kelas satu. Saja mahu buat tahap pencairan Naura lebih awal dari sepatutnya.

“Makanlah. Tentu Naura lapar, kan? Dari sampai tadi kita belum makan apa-apa,” sambungnya diiringi segaris senyum.

Naura kehabisan kata. Tidak tahu lagi bagaimana harus bertindak balas terhadap Ammar. Dia berasa janggal. Berdua-duaan dengan Ammar di rumah itu, menjadikan dia sedikit cuak. Tidak terjangkau di fikiran apa yang ada di benak lelaki itu. Baru tadi dia berangan untuk mendapatkan tidur yang lena bila Ammar pulang nanti. Maklumlah, sejak beberapa hari kebelakangan ini, hidupnya jadi tunggang-langgang. Semuanya serba tak kena.

MEREKA duduk kepenatan setelah siap mengemas dapur. Hampir satu jam setengah masa mereka habis di situ. Yalah, sudah agak lama Ammar tidak ke rumah itu. Hampir dua bulan ditinggalkan kosong. Habuk pun boleh tahan tebalnya. Selalunya, dia akan ke rumah itu pada hujung minggu untuk membersihkannya. Tapi, disebabkan kekangan masa, dia sudah jarang ke situ. Rumah yang dibelinya hampir setahun lepas. Tanpa pengetahuan mama dan papanya pula.

Dia menghampiri Naura yang sedang leka menonton TV. Bukan ada cerita menarik pun, tapi pandangan Naura tetap memusat di kaca TV. Asyik sekali. Entah apa seronoknya menonton drama siri penyiasatan CSI itu, Ammar kurang pasti. Tapi, bila melihatkan Naura seakan terpaku dari tadi, dia cuba juga untuk turut serta.

“Nah,” ujarnya sepatah sambil meletakkan satu bungkusan di atas riba Naura. Sebenarnya dia sengaja memancing tumpuan Naura untuk berbual dengannya. Kalau dia tidak memulakan, pasti Naura terus hanyut dengan dunianya sendiri. Lebih suka melayan kaca TV atau bermenung jauh daripada berbual dengannya. Itu yang dia lihat melalui pemerhatiannya beberapa hari ini.

Naura mengalihkan pandangan ke ribanya. Kemudian, ke arah Ammar pula sebelum mengambil bungkusan tadi.

“Apa ni?”

“Telefon bimbit. Nanti, senanglah Am nak hubungi Naura kalau ada benda ni.”

“Buat apa nak membazir. Saya bukan tahu nak guna benda ni. Tak pandai.”

“Am boleh ajar. Bukan susah sangat pun. Lagipun, kan lebih senang nanti kalau Naura nak cari Am,” katanya seraya merapatkan lagi kedudukannya dengan Naura.

Naura hanya tersenyum. ‘Alasan yang kukuh sangatlah tu.’ Hatinya menggumam.

Namun dibukanya juga bungkusan itu. Demi menjaga hati Ammar yang sudah bersusah payah untuknya. Dia tetap hargai. Sebuah telefon bimbit jenama Samsung, model terbaru. Nipis dan cantik. Berskrin lebar dan berwarna hitam. Di dalam benaknya sudah terlintas selepas ini mudahlah baginya menghubungi ibu di kampung dan juga Nadira nanti.

“Hmm... cantik. Terima kasih, ya. Macam mana nak guna ni?” Dia bertanya juga untuk tidak mengecilkan hati Ammar.

Padahal kalau dia membaca operation mannual juga mudah sangat untuk difahami. Dia boleh belajar dari situ cara-cara untuk menggunakan telefon bimbit itu.

Ammar mengambil telefon bimbit daripada tangannya dan menerangkan bagaimana cara menggunakan dan beberapa fungsinya. Macam mudah saja Naura melihat Ammar meluncurkan jari telunjuknya untuk buat luncuran di atas skrin sesentuh itu. Dia tekun mendengar.

Bila Ammar tersenyum, dia juga tersenyum. Berpuas hati dengan penerangan Ammar, dia mengangguk pula. Tanda memahami apa yang Ammar cuba terangkan padanya. Dia membelek lagi telefon bimbit itu. Sekadar mencuba satu, dua fungsi yang Ammar sebutkan tadi. Payah juga. Sekali dia luncurkan jari, lain pula yang keluarnya. Dia tergelak kecil. Ammar juga.

“Am dah masukkan nombor Am dan nombor rumah kat kampung dalam tu. Nanti, Naura tambahlah nombor kawan-kawan Naura. Senang nak telefon ibu nanti.”

Mendengar perkataan ibu, hati Naura jadi sayu. Bagaimana hari ibu tanpa dirinya? Mungkinkah ibu rindukan dia seperti mana dia rindukan ibu? ‘Ibu, Naura rindu...’ Hatinya merintih pilu.

“Awak... Saya rindukan ibu,” luahnya tiba-tiba. Tidak terbendung rasa sayu di jiwa. Belum pun sampai satu hari mereka berpisah, rasanya sudah bagaikan setahun. Perit terasa di dasar hati.

“Am tahu... Tapi, ni dah malam benar. Esok ajelah Naura telefon ibu, okey. Tadi masa kita sampai, Am dah bagitahu ibu yang kita dah selamat sampai. Ibu tahu keadaan Naura kat sini. Esok, Naura telefon ibu, ya?”

Mengalir air mata Naura mendengar pujukan Ammar. Inikah lelaki yang bakal menjanjikan kebahagiaan buatnya? Inikah lelaki yang akan mengetuk hatinya dan menawarkan kasih sayang buat dirinya? Inikah lelaki yang akan melindungi dirinya hingga ke hujung nyawa? Persoalan itu tiba-tiba melintasi mindanya. Setiap kebaikan yang Ammar hulurkan memang nampak keikhlasannya. Tapi, mengapa hatinya sukar untuk menerima lelaki itu?

“Naura...” Panggil Ammar bila dia masih juga begitu. Melayan rasa pilu di samping cuba meneka-neka jawapan pada persoalan yang melewati mindanya sebentar tadi.

“Saya tak apa-apa. Cuma teringatkan ibu aje,” balasnya perlahan sambil cuba tersenyum.

“Dahlah... pergi tidur. Berehat. Dah jauh malam ni. Naura pun bukan sihat benar,” usulnya pula.

Naura hanya mengangguk.

“Saya tidur di bilik tamu boleh?”

“Hmm... Okey,” jawab Ammar sambil mengangguk.

“Terima kasih.”

Ammar mengangguk lagi. Senyum sentiasa menghiasi wajahnya.

“Selamat malam, Naura.”

“Selamat malam...” Lantas, Naura bangun untuk menuju ke kamar.

“Err... Naura...”

Panggilan Ammar itu mematikan langkahnya. Dia berpaling, menghadap Ammar yang masih duduk santai di sofa. “Ya,” jawabnya sepatah. Namun dia tetap tidak berganjak di tempat dia berdiri.

“Jangan kunci pintu tu, ya.”

Naura mengerutkan dahinya. Tidak mengerti apa yang Ammar mahu sebenarnya.

“Kenapa pula?”

Just jangan kunci, okey. Naura tak percayakan Am, ke?”

Naura tersenyum sedikit. Percaya atau tidak, itu bukan masalahnya. Apa yang bakal berlaku, itu yang merunsingkannya. Dia belum bersedia untuk apa jua keadaan pun buat masa ini. Mindanya tengah berserabut benar. Jauh sekali untuk memikirkan tentang komitmen yang besar.

“Hmm... ni rumah awak. Awak yang berkuasa di sini. Jadi, saya kena ikut ajelah apa yang awak cakap, kan?”

“Bukan macam tu, Naura. Ni rumah kita. Am tak nak ada jurang antara kita. Am tahu Naura belum bersedia. Biar tak jadi apa-apa, tapi jangan bataskan pergaulan kita. Jangan haramkan sesuatu yang memang halal antara kita, Naura.”

Dalam maksud kata-katanya. Kata-kata daripada seorang lelaki matang yang memang sudah selayaknya berkeluarga. Naura termenung seketika. Kemudian, barulah dia mengangguk. Anggukannya membawa kepada dua makna. Pertama, dia mengiakan kata-kata Ammar itu. Memang ada betulnya. Mereka seharusnya memberi peluang pada diri masing-masing. Seperti yang Nadira cadangkan. Kedua, dia tidak mungkin bisa menafikan hak Ammar terhadapnya. Jika Ammar menuntut haknya, dia mesti akur. Itu tanggungjawabnya. Namun, kata-kata Ammar tadi membuatkan dia sedikit lega. Ammar tidak akan memaksa seandainya dia belum bersedia. Naura menarik nafas lega.

“Saya masuk tidur dulu.” Hanya itu yang mampu dia katakan. Ammar hanya tersenyum. Lantas, dia meneruskan langkah yang terhenti sebentar tadi.

Matanya memang sudah mengantuk benar. Dari tadi lagi. Tapi, ditahannya juga dengan melayan cerita di TV kerana dia tidak tahu bagaimana cara untuk memberitahu Ammar bahawa dia sudah mengantuk. Takut nanti disalahertikan oleh Ammar pula. Mana tahu, jika Ammar menganggap yang dia mengajak Ammar untuk tidur bersama kalau dia mengadu yang dia sudah mengantuk. Ah! Sudah. Kan haru-biru jadinya. Maklumlah, apa yang berlegar di minda orang lain, sukar untuk kita meneka. Tapi, nampaknya dia sudah tersalah sangka. Apa yang Ammar fikirkan tidak selari dengan apa yang dia sangkakan.

Keheningan malam membangunkan

Kepayahan jiwa meluahkan

Andai kau jujur memahami

Tiada ku menjauhi... (Biarlah Rahsia ~ Siti Nurhaliza)

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin