Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,868
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 19

BAB 19

 

NAURAmeletakkan dulang yang berisi air minuman dan sepiring kuih di tengah meja. Perlahan-lahan dia menyorong secawan teh O hampir dengan Nadira. Kuih juga dikeluarkan dari dulang dan disorong ke arah yang sama. Senyum diukir ketika pandangan mereka berpapasan. Dia seronok sebenarnya bila Nadira sering bertandang ke rumahnya pada waktu siang. Adalah kawan untuk dia berborak.

“Aku nak balik kampung hujung minggu ni. Kau nak pesan apa-apa tak, Dira?” tanya Naura riang.

Sejak Ammar mengesahkan bila mereka akan balik ke kampung, hatinya suka sangat. Rasanya, saat ini pun mindanya sudah berada di kampung. Jasad saja yang duduk terpacak di depan Nadira.

“Aku baru balik kampung minggu lepas, Naura. Tapi, kau sampaikanlah salam aku pada mak dan ayah aku, ya. Kat ibu sekali. Aku tak sempat jumpa ibu hari tu.”

Naura hanya mengangguk sambil tersenyum senang. Bahagianya dapat jumpa ibu. Tidak sabar rasanya hendak tunggu masa itu.

“Yang kau ni, tersengih memanjang macam kerang terlebih kena rebus ni, kenapa? Tahulah nak balik kampung jumpa ibu. Tapi, gaya kau ni mengalahkan apek menang loteri. Apa hal kau ni?”

Happylah... Nak jumpa ibu. Rindu sangat kat dia.”

“Eleh, happy sakan macamlah nak jumpa buah hati. Kau ni peliklah, Naura.”

“Pelik apanya? Aku bukan alien ke apa.”

“Yalah, pelik,” ulang Nadira lagi. “Orang lain kalau excited gila tak ingat dunia macam kau ni, mesti time nak jumpa buah hati ke, kekasih ke. Kau ni nak jumpa ibu ke, nak jumpa siapa? Jangan kata yang kau ada boyfriend kat kampung tu. Macam mana aku boleh tak tahu? Rugi. Rugi. Cerita panas ni,” sambung Nadira panjang lebar. Siap sempat ‘corner baring,’ tersalah susur jalan lagi.

“Apalah yang kau merepek ni, Dira? Aku mana ada boyfriend. Kau pun tahu tu, kan? Suami aku tu nak letak mana?”

“Oh! Dah declare secara rasmi jadi suami ke?” Nadira tergelak tanpa dapat dikawal. “Hari tu, masa nak nikah siap kata, macam mana aku nak hidup dengan lelaki yang aku tak kenal. Bukan ini yang aku nak, Dira. Aku nak kahwin dengan lelaki yang aku cinta,” usik Nadira, mengajuk kata-kata Naura sedikit masa dulu. Naura sekadar menjeling tajam. Pecah lagi tawa Nadira.

“Kau juga yang cakap, dah ditakdirkan jodoh aku dengan dia, kan? Kenalah aku terima.”

“Eleh, nak salahkan takdir pula. Kau tu sebenarnya, memang dah syok kat Abang Am tu, kan?”

“Merepek ajelah kerja kau ni. Apa punya anak imam, entah? Otak tak boleh pakai. Merepek aje kerjanya,” bebel Naura. Dalam membebel itu sempat lagi jarinya mengetil paha Nadira. Mengaduh Nadira kesan cubitan itu.

“Yang imam tu, bapa aku. Walaupun aku anak imam, aku tetap manusia biasa macam kau juga, bukan keturunan alien. Normallah tu, kan?”

“Yalah, tu! Cakap merapu-rapu.”

“Mana ada aku merapu-rapu. Makan ikan kerapu adalah,” sangkal Nadira sambil berlawak. Matanya dikerdip-kerdipkan beberapa kali. Laju.

“Tengok tu, merepek aje kerjanya. Aku cucuk dengan garfu nanti mata kau tu.”

“Kau nak aku jadi macam Kassim Selamat, ke? Tak kesian dengan aku langsung, kan?”

“Kan? Aku tak kesian kat kau. Macamlah kau tu kesian sangat kat aku ni. Mengutuk aku aje tahunya. Macam manalah aku boleh dapat kawan macam kau ni pun, aku tak taulah. Lama-lama, boleh sakit jantung, sakit pedal, sakit limpa, sakit hempedu segala, aku ni tau.”

Nadira sudah singai semacam. Biasalah tu! Kalau sudah dengar ceramah percuma macam itu, hendak buat apa lagi? Tadah telinga sajalah.

“Tapi, betulkan apa yang aku cakap tu? Kau dah syok kat Abang Am yang handsome gila tu, kan? Ngaku ajelah, Naura.”

“Syok kat laki sendiri, tak salah, kan?”

“Eh! Siapa kata salah? Wajib tu.”

“Dah, dia buat dah. Keluar segala hukum bagai. Tahulah, kau tu anak imam.”

Mereka ketawa serentak.

“Kau perasan tak, Naura? Muka Abang Am tu ada iras-iras macam encik angkasawan negara tu, kan?” tanya Nadira sambil matanya mendongak ke atas, memandang siling. Bibirnya sudah mengukir senyum. Macam orang sedang berangan saja lagaknya.

Naura mengerutkan dahi. “Maksud kau, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar, tu?”

Nadira pantas mengangguk. Naura pula menggelengkan kepala beberapa kal. “No, no, no. Jauh sekali. Tapi kalau macam Patrick Dempsey masa muda, aku setuju,” sambung Naura dengan muka ‘poyo’nya.

Nadira mencebik sambil menolak lengan Naura.

“Uwek! Nak muntah aku dengar. Selera tinggi melangit kau ni, ya?”

Naura sudah gelak tidak ingat dunia sambil menaikkan keningnya ala-ala Ziana Zain. Suka benar dapat mengenakan Nadira, teman baiknya itu. Begitulah kalau mereka berjumpa. Mesti tidak kering gusi dibuatnya. Gusi, memanglah tidak kering. Air liur banyak. Tapi, tang tekak tu yang tidak boleh hendak cakap. Kering kontang sangat-sangat. Ada saja bahan yang mahu dijadikan cerita. Seronok saja.

“Kau ni kadang-kadang ‘sengal’, kan, Dira?”

“Kau cakap aku, kau tu pun apa kurangnya. Lebih ‘sengal’ daripada aku.”

“Aku pula? Aku kira siuman sikit daripada kau apa!”

“Siuman sangatlah tu kalau dah syok kat laki sendiri pun tak nak mengaku,” sindir Nadira selamba.

Naura menjegilkan matanya. Mulutnya diherotkan sedikit tanda protes.

“Wah! Ni dah lebih...”

Pantas jemari Naura mencubit lengan dan badan Nadira. Terjerit-jerit Nadira dibuatnya. Sampai senget-senget badannya cuba mengelak serangan Naura yang bertubi-tubi itu. Makin galak Naura mencubitnya. Geram memanglah geram. Kawan baik sendiri asyik mahu mengenakan dia. Tapi, bukanlah dia marah betul-betul. Sekadar cubit-cubit manja. Tidak berbekas pun rasanya. Ada pun cuma kesan merah sedikit agaknya. Kalau berbekas pun nasib Nadiralah.

“Aduh! Dahlah Naura. Sakitlah kau cubit. Karang mak ayah aku ingat ‘love bite’ pula penuh kat badan aku ni. Habis aku nanti kena bambu. Kau tak kesian, ke?”

“Biar padan dengan muka kau. Asyik nak kenakan aku aje kerjanya.”

“Mana ada aku kenakan kau. Kan betul semua yang aku cakap tu. Kalau kau nak cubit, cubitlah laki kau tu. Selamat sikit. Kalau orang kata kau buat ‘love bite’ kat dia pun, masih ampun lagi. Kau berdua dah kahwin. Aku ni single lagi. Karang jadi isu pula.” Dalam mulutnya petah berkata-kata menangkis kata-kata Naura, tangannya juga ligat menangkis serangan cubitan Naura. Kakinya juga sampai terangkat-angkat dek mahu dijadikan perisai.

“Eeii... Mulut kau ni memang celopar betullah. Mulut longkang, mulut parit tersumbat, mulut loji kumbahan semua,” ujar Naura tidak puas hati sambil mencubit mulut Nadira pula.

Mengaduh gadis itu kerana kali ini memang Naura cubit betul-betul. Geram tahap ‘gaban’ punya pasal. Nadira memang sengaja mahu mengusiknya. Biar dia rasa.

“Hairan bin ajaib aku dibuatnya. Macam mana Abang Am tu boleh tahan dengan kau ni? Aku yang sesekali jumpa kau ni pun teruk kena dera. Abang Am apa lagi, kan? Mesti penuh ‘love bite’ kat badan dia, kan?”

Makin galak Nadira mengusiknya.

“Kau ni memang nak kena lagi, Dira.” Naura seakan memberi ugutan sambil jemarinya yang diketip seperti sepit ketam menghala ke arah lengan Nadira. Pantas Nadira beralih kedudukan. Misi menyelamatkan diri.

“Okey! Okey! Sorry. Aku gurau ajelah,” kata Nadira sambil mencantumkan kedua telapak tangannya di depan Naura. Tanda minta maaf.

“Gurau tak kena tempat.”

“Laa... Habis tu, nak gurau kat tempat mana lagi? Sini tak boleh ke? Kawasan larangan ya? Tak ada papan tanda kata macam tu pun.”

Naura sudah menjegilkan biji matanya. Aduhai! Sudah tidak kuasa hendak berkata-kata. Penat rahangnya turun naik melayan mulut bertih jagung Si Nadira itu. Nasib baik tidak lari tune lagi. Dah naik lenguh rasanya. Kalau tidak, satu hal lagi hendak kena pergi overhaul. Nadira ni, tidak reti penat agaknya. Mulut macam mak nenek kehabisan songel. Dia yang mendengar pun angkat tangan, mengalah. Bateri pun sudah lemah. Hampir flat ni.

Kalau tidak ingat kawan, mahu rasanya dia tinggalkan Nadira seorang diri di ruang tamu itu. Biar dia bercakap dengan dinding. Yang dia pula, lebih baik melayan mata yang rasa seperti mahu tertutup tu. Kalau tidak kena gaya, mahu kena sendal dengan batang mancis, baru boleh buka. Terasa letih tiba-tiba. Sudah terbayang sang katil melambai-lambai padanya. Huargh! Dia menguap sambil menutup mulutnya dengan belakang tangan. Tapi, yang tertutup separuh mulutnya saja. Yang separuh lagi masih melopong macam mulut gua. Buruk perangai bini orang ni.

“Eh! Dira, kau ingat lagi tak dengan Abang Zul?”

Tiba-tiba, bayangan Azizul melintasi ruangan matanya. Terus teringat pada lelaki itu. Matanya yang mengantuk sebentar tadi terus celik, secelik-celiknya. Wah! Gitu pula. Tidak perlu sendal dengan batang mancis lagi. Sudah terbuka seluas alam siber pun.

“Abang Zul? Abang Zul mana pula ni, Naura? Boyfriend kau kat kampung tu, ke?” tanya Nadira terpinga-pinga. Wajahnya sudah menunjukkan aksi blur.

“Kau ni memang nak kena hempuk dengan tapak kasut saiz lima aku agaknya, kan? Aku seriuslah ni. Main-main pula!”

“Ya ALLAH, Naura... Aku pun serius gila ni. Tak main-main. Abang Zul mana, ni?”

Nadira buat muka tidak bersalah. Memang ‘poyo’ betul kawan baiknya itu.

“Alah, salah seorang trainer masa kita pergi team building dulu tulah. Yang kat Tangkak tu. Kau ingat tak, ada seorang trainer tinggi lampai, kulit cerah, good looking yang leading group aku dulu tu.” Panjang lebar Naura menerangkan.

Dia buat begitu sebab hendak bagi Nadira ingat. Habis dibongkarnya kisah lebih dua tahun lalu. Nadira menggaru dagu yang tidak gatal. Muka memang selenga habis. Macam ‘minah kuala’ pun ada. Blurlah tu! Mukanya terngadah, matanya merenung siling, cuba memutar ingatan balik ke masa dua tahun lalu. Ketika dia bekerja sementara di tempat yang sama dengan Naura sementara menunggu panggilan sambung belajar dari universiti. ‘Abang Zul?’Dia menggaru dahi pula. Sengal tidak ingatlah tu!

“Kau ni kadang-kadang tu, lembab juga, kan? Susah betul nak bagi kau ingat.”

“Kejaplah... aku tengah fikirlah ni. Kau ni kacau daun betullah. Sabar sikit boleh tak? Aku nak balik ke zaman lampau ni.”

“Hisy! Macam Doraemon aje gaya kau ni. Siap nak balik ke zaman lampau lagi. Kelakarlah.”

Naura sudah tertawa.

“Kejap! Kau maksudkan Abang Zul yang tu ke?”

“Yang tu, yang mana?”

“Ni aku yang lembab, ke kau, Naura?”

Naura buat muka tidak bersalah sambil menyimpul senyum.

“Yalah. Abang Zul yang mana lagi. Abang Zul yang tulah, yang selalu cari peluang nak join kita dulu tu. Sampaikan masa makan pun dia cari kita. Ingat?”

“Ingat! Ingat! Tapi, macam mana pula boleh timbul pasal dia, ni? Kau jangan cakap yang kau masih berhubung dengan dia, Naura. Aku bagi tahu laki kau nanti. Kau jangan cari pasal.”

“Eleh, macamlah aku takut. Bagi tahulah kalau kau berani sangat.”

“Amboi! Mencabar pula dia, ya? Apa kes ni, tiba-tiba buka cerita pasal dia?”

“Kau mesti tak percaya kalau aku cerita. Dia kawan baik Ammar.”

“Hah!” sambut Nadira sambil melopong mulutnya. Matanya terkebil-kebil memandang Naura.

“Laa... Apa hal kau melopong macam tu, Dira? Karang, lalat masuk tak payah bagi salam kang.”

Pantas Nadira menutup mulutnya.

“Kau cakap apa, Naura?”

“Apa hal dengan kau, ni? Sejak bila pula jadi pekak?”

“Hisy! Bertindak mengikut arahan. Aku tanya, kau jawab. Ada faham?”

“Gitu pula?”

“Yalah. Kau tu selalu buat benda luar kawalan. Bertindak tak ikut arahan.”

“Eleh, banyaklah kau! Aku kata, Abang Zul tu kawan baik Ammar,” ulang Naura lebih kuat.

Biar telinga Nadira yang tersumbat tu, mendengar dengan jelas. Biar semua tahi telinganya jatuh berketul-ketul. Hisy! Gelilah pula.

“Sungguh ke?” tanya Nadira dengan nada tak percaya.

“Sungguh bagai dikata, wahai tuan puteri,” jawab Naura ala-ala dayang zaman purba kala.

“Keciknya dunia...”

“Dunia kau yang kecik. Dunia aku, luas aje.”

“Eh! Bukan ke aku selalu masuk dalam dunia kau? Kira luas jugalah kot!”

Sah! Memang Nadira ni minat kartun Doraemon agaknya. Siap boleh sesuka hati masuk dunia orang lain pula. Mereka ketawa lagi. Memang tidak pernah kering gusi dibuatnya. Cuma, tekak memang kering sangat. Bercakap tidak henti-henti. KLIA Express tu pun tahu berhenti, tahu penat hendak rehat. Mereka berdua ni, buat tidak reti pula.

Cinta apakah tandanya

Jika engkau hanya mempermudahkan kata saja

Hati tak akan berbunga

Jika sang asmara tidak meresap ke dalam jiwa
(Gelora Jiwa ~ Yuna)


Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin