Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,883
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 15

BAB 15

 

PETANG yang mendebarkan. Itulah yang paling sesuai untuk membayangkan keadaan Naura yang sebenarnya. Selepas Ammar memberitahu yang dia akan memperkenalkan seorang teman rapatnya, hati Naura tidak keruan. Berdegup kencang saja. Melebihi kuasa kuda. Pantas dan deras. Sesekali, rasa sesak nafas pun ada. Keadaannya juga jadi serba tidak kena. Takut, gerun, seram, teruja, semua ada. Tapi, rasa yang paling banyak dan menduduki takhta teratas, tentulah perasaan takut. Takut, kalau nanti teman baik suaminya beranggapan lain pula. Aduh! Sukarnya menghadapi keadaan sebegini.

Ini baru mahu diperkenalkan dengan teman baik Ammar. Belum lagi dengan keluarganya. Mak datuk! Rasa mahu terkucil pun ada. Lagi gerun dia membayangkan keadaan bila tiba saat dia akan diperkenalkan kepada keluarga Ammar. Macam mana, ya? Kelam. Bayang-bayang pun tidak nampak. Tidak dapat klu langsung. Makin kecut perutnya. Saat-saat begini, dia rasa biarlah keluarga Ammar tidak tahu langsung, lebih senang rasanya. Tapi, dalam keadaan yang lain, dia mahu keluarga Ammar tahu. Lebih dari itu, tentulah dia berharap yang keluarga Ammar akan menerima kehadirannya sebagai salah seorang ahli keluarga mereka. Payahnya! Perlukah dia berhenti berharap? Tidak? Ya? Entahlah, yang mana satu jawapannya.

Ketukan di pintu berserta ucapan salam, mematikan tingkah lakunya. Dia menarik nafas dalam. Menyeru tenang agar segera datang. Pantas, dia berlalu ke depan. Tidak mahu Ammar dan tetamu mereka menunggu lama. Dengan lafaz Bismillah, dia membukakan pintu. Wajah Ammar yang tersenyum senang, menyapa matanya. Damai.

Dia membalas mesra. Hilang lenyap debaran di hati yang bak setinggi gunung tadinya. Daun pintu dibukakan lebih luas, memberi ruang untuk Ammar masuk mendahului tetamu mereka. Dan demi terpandangkan wajah tetamu merangkap teman baik suaminya itu, wajah Naura berubah. Sungguh! Berubah sangat-sangat. Ada kerutan merintangi dahinya. Tapi, senyuman terus menghiasi wajahnya.

“Abang Zul! Abang Zul, kan?” tanya Naura saat mereka sudah berada di dalam rumah.

Dia pasti. Matanya tidak mungkin bakal menipu. Lelaki ini, dia kenal sangat. Biarpun hanya mengenalinya untuk beberapa hari, tapi dia tidak mungkin lupa.

Ammar memandangnya tidak berkelip mata. Begitu juga Azizul. Selang beberapa saat, Ammar dan Azizul berbalas pandang pula. Kemudian, pandangan mereka jatuh pada Naura semula. Agak lama. Tentunya Ammar pelik bila Naura seakan mengenali Azizul.

Azizul pula, pastinya sedang memutar ingatan tentang gadis manis di hadapannya ini. Sudahlah manis, comel pula tu! Anak siapalah ni, ya? Berkerut-kerut dahinya. Seketika, jari telunjuknya dituding pada Naura. Agak lama. Macam ingat, tapi macam tidak berapa nak ingat. Namun, senyuman di wajah comel itu mengundang secebis putaran memori yang perlahan-lahan memunculkan diri. Senyuman itu, dia tidak pernah lupa. Ikhlas dan manis sekali. Ada kalanya menyentak hati. Sungguh!

“Hmm...” Dia berjeda. “Macam ingat-ingat lupa...” Masih cuba memikirkan relevannya gadis itu dikaitkan dengan gadis yang sama dia pernah temui beberapa tahun lalu.

“Ceri. Kem Nasuha Herba, Tangkak. Abang ingat, tak?”

Naura memberi petunjuk dengan menyebut beberapa perkara. Mungkin itu nanti akan membuat Azizul mudah mengingatinya.

Jelas. Dialah orangnya. Tidak silap lagi. Azizul menepuk dahi. Memang sah lagi sahih! Naura the Ceri. The cute girl from down south.

“Laa... Naura ke, ni?” tanya Azizul ingin kepastian.

Naura mengangguk pantas sambil tersenyum. “Lain dah sekarang. Bertambah cantik. Makin cute. Hampir tak kenal abang. Naura, sihat?” sambung Azizul lagi.

“Alhamdulillah... Macam yang abang nampak nilah.”

“Ehem... Ehem...” Bunyi berdehem itu mematikan perbualan mereka.

Pantas kedua-duanya menoleh ke arah Ammar. Ammar sudah bercekak pinggang. Serentak, Naura dan Azizul ketawa bila melihat wajah Ammar yang kelat. Kes tidak puas hatilah tu! Macam manalah mereka boleh lupa yang Ammar juga berada di situ? Imbauan kenangan lalu membuatkan mereka tidak pedulikan sesiapa lagi. Hatta, seorang suami dan seorang teman rapat menjadi jauh daripada pandangan mereka saat ini. Parah!

“Alamak, Am! Sorry... Terovertake bini kau pula. Lupa dunia aku bila dapat jumpa Naura semula.”

“Tau tak apa,” balasnya sambil menghampiri Naura. Dia berdiri betul-betul di samping Naura. Bahu Naura diraihnya mesra. “Ni, apa kes, ni? Tangkaklah, kemlah. Apa, ni? Aku tak fahamlah. Kau orang pernah dating kat Tangkak ke?” sambungnya lagi bagi menuntut penjelasan.

Pertanyaannya berbaur cemburu dan curiga. Hatinya berdetap-detup tidak kena tune masa itu. Lagu keroncong sudah jadi lagu techno. Bimbang kalau telahannya yang Naura dan Azizul pernah menjalin hubungan sebelum ini adalah benar. Tergugat dia.

Naura dan Azizul berbalas senyum. Ada maksud yang tersirat di situ.

“Ha’ah. Lebih kurang macam tulah ceritanya. First date, jumpa kat sana.”

Dahi Ammar berkerut. Mukanya kelat semula. Hampir mahu tergelak Naura melihat keadaan Ammar begitu. Buruk!

“Naura?” Tumpuan Ammar tumpah padanya. Rasanya, Ammar masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Azizul tadi.

“Hmm...” jawab Naura pendek.

Wajah Ammar dipandang lama. Sayu. Namun, dia tidak meneruskan kata-kata. Sengaja.

“Is it true?”Soalannya ringkas.

Kedengaran meletus tawa Azizul. Mula-mula perlahan. Kemudian menjadi gelak pula. Naura hanya menyembunyikan senyum. Kesian hendak ketawa lebih-lebih. Wajah Ammar masam mencuka kala itu. Bak rasa buah pelam tidak cukup masak.

“Kita makan dulu, eh. Naura dah siap hidangkan tu, nanti sejuk pula, tak sedap. Ke, awak dah hilang selera? Abang Zul nak makan, tak?” Naura bijak mengubah topik.

Sengaja dia berbuat begitu. Melengah-lengahkan waktu. Bahasa mata Azizul tadi amat dia fahami. Dia mahu ‘mengenakan’ Ammar.

“Dahlah, Am. Tak payah buat muka macam tu. Tak handsome langsung. Baik-baik Naura sekarang jadi bini kau, lepas ni dia lari kat aku pula.”

Pantas Azizul menuruti langkah Naura yang sudah mendahului ke meja makan. Nak tak nak, terpaksa juga Ammar menurut. Ammar duduk berhadapan Azizul. Naura pula duduk di sebelah Ammar. Minit-minit pertama, keadaan sunyi sahaja. Azizul begitu berselera menikmati makan malam itu. Ketam masak lemak cili padi, sayur campur, ayam goreng kunyit, sambal belacan dan sedikit ulam-ulaman. Kena sangat dengan seleranya. Bertambah-tambah dia makan. Hanya Ammar yang terkulat-kulat memandang semua hidangan. Memang sedap, tapi seleranya patah. Macam sudah hendak patah hati juga ni. Jiwanya berperang hebat.

“Ni, apa yang aku tak tahu pasal kau orang berdua, ni? Confuse aku dibuatnya.” Terkeluar juga pertanyaan itu daripada mulutnya.

Dari mula makan, tidak seorang pun buka mulut. Sopan betul, kan? Macamlah hidangan di atas meja itu mengalahkan kelazatan makanan di hotel lima bintang. Tapi, kalau sudah Naura yang memasak, memang sedap sangatlah rasanya. Disebabkan semua orang tidak berbunyi langsung, kenalah dia yang mulakan. Lagipun, desakan ingin tahunya begitu kuat.

“Tak ada apa-apalah. Kisah lama,” balas Azizul selamba sambil menyuap nasi ke mulutnya.

“Hah! Tu, yang aku nak tahu tu. Cuba kau buka cerita sikit.”

“Suka hati akulah nak cerita ke, tak? Mana boleh kau nak paksa-paksa. Kan, Naura?”

Naura terpinga-pinga bila diajukan soalan tiba-tiba. Sebenarnya dia memang tidak mahu campur sangat. Azizul yang mahu mengenakan Ammar. Bukan dia. Tapi, bila kedua-dua lelaki itu memandangnya tajam, dia bersuara juga.

“Biarlah Abang Zul yang cerita.” Itu saja katanya.

“Zul, kau jangan buat aku macam ni. Siapa Naura dengan kau? Aku nak tahu sangat. This is my wife that we are talking about. Kau jangan bagi aku pening kepala lagi.”

“Wei, relakslah bro. Apa hal pula kau nak pening kepala bagai. Aku dengan Naura, tak ada apa-apalah. Kalau ada apa-apa, dari mula tadi lagi aku dah peluk cium dia. Happy katakan, dapat jumpa semula. Kau ni pun... Cepat sangat melatah. Aku saja nak uji kau tadi. Betul ke tak, kau sayangkan Naura ni?”

“Kau ni saja, kan? Peluk ciumlah dia kalau kau berani. Kalau rasa nak jatuhkan ‘saham’ kau tu, buatlah. Bersepai gigi kau hari ni karang. Nasib baik tak kena penumbuk sulung aku. Bini aku, mestilah aku sayang.”

“Okey... Okey... Kau lulus. Tak syak lagi yang kau memang sayangkan Naura. Lega aku.”

Lulus! Apa? Ingat ini sesi piawaian tidak bertauliah, ke? Suka hati nak menilai orang seperti itu!

“Sudahlah kau! Jadi, macam mana kau kenal Naura?”

“Ada jodoh, jadi Tuhan pertemukanlah.” Selamba Azizul menuturkannya. Memang selamba ‘poyo’ betullah mamat seorang ni.

“Zul, seriuslah...”

Ammar sudah membasuh tangannya. Nasi di dalam pinggan hanya luak sedikit. Hati tidak keruanlah katakan. Jiwa kacau-bilau. Makan pun tidak lalu. Putus selera jadinya.

“Kau ni pun, sabarlah sikit. Aku nak makan pun tak senang. Sedap tau bini kau masak,” ujarnya sambil menyuap nasi ke mulut. Kemudian, dia menyambung bicara. “Dua tahun lepas, tempat kerja dia ada buat teambuilding course kat situ. Aku, salah seorang trainer yang bimbing dia orang. Kau lupa, ke? Kan aku pernah kerja dengan Training & Consultancy Services Company dulu. Masa tulah aku jumpa dia.”

Ammar mengangguk-angguk. Ditoleh ke arah Naura yang sedang tersenyum. Gadis itu hanya mengangguk, mengiakan apa yang Azizul katakan. Barulah terlihat ada senyuman yang merekah daripada bibirnya. Senyum terlebih gula. Legalah tu! Kalau tidak, kelat macam buah kedondong kurang masak.

“Habis tu, yang ‘ceri’ tu, apa?”

Azizul memandang Naura.

“Yang tu, kau tanya Naura sendiri. Dia lebih tahu.”

Azizul terus menyuap nasi. Ammar pula sudah berpaling menghadap Naura, menunggu jawapan daripada isterinya pula.

“Okey, sayang... Apa ‘ceri’, tu?

“Ceri tu, nama yang saya guna masa kat sana. Kata trainer kat situ, dalam hutan tak digalakkan guna nama sebenar. Nak-nak kalau ada aktiviti malam. Takut nanti, dari datang dua puluh orang jadi dua puluh satu orang. Jadi, kami kena pilih nama lain dan masa tu temanya nama buah-buahan. Saya pilihlah nama ‘ceri’ sebagai ganti nama masa kat sana.”

“Datang dua puluh orang jadi dua puluh satu orang? Macam mana, tu?” Berkerut dahi Ammar memikir. Tak faham maksud sebenarnya.

“Kau ni kadang-kadang lembab juga ya, Am. Hutan tu kan tempat benda-benda ghaib berkeliaran. Mana tahu kalau kita sebut nama kita sendiri, dia boleh menyerupai. Tiba-tiba masuk dalam kelompok kita. Tiba-tiba bertambah seorang yang tak dikenali luar dan dalam. Tu yang digalakkan guna nama lain. Kau faham ke sekarang?”

“Oh! Faham. Pandai Naura, ya. Nama ceri tu pun sedap juga. Sesuai dengan orangnya. Manis.” Senyumnya sudah meleret.

Naura sekadar menjeling tajam pada Ammar. Sempat lagi nak mengusik. Abaikan saja. Tidak elok untuk kesihatan. Nanti, ada pula yang terperasan lebih-lebih. Payah! Kalau hati saja yang berbunga-bunga, tidak apalah juga. Dibuatnya sampai tersengih seorang diri, tidakkah haru nanti? Tidak pasal-pasal dia tertangkap kerana terlebih berangan.

Kalau cinta jangan kacau

Kalau sayang tak perlu marah

Kalau ikhlas tak minta berbalas

Serahkan cintamu pada yang punya cinta

(Kalau Cinta ~ Alif Aziz & Joanna)


Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin