Home Novel Cinta Cutenya Dia!
Cutenya Dia!
Azleya Shadzalin
1/3/2014 23:38:45
155,876
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13

BAB 13

"ZUL, aku ada benda penting nak beritahu kau ni,” ucap Ammar setelah dia melabuhkan punggung di hadapan Azizul.

Azizul yang sedang menikmati nasi goreng Cina, hanya menoleh sekilas sebelum meneruskan suapannya. Nampak berselera benar dia menikmati hidangan makan malamnya. Yalah, benda sudah ada depan mata. Bak kata orang, rezeki jangan ditolak. Tambahan pula, perut memang tengah lapar.

“Apa dia? Pasal kerja ke? Alah, kau ni... Lecehlah! Kalau pasal kerja, kita cerita kat ofis ajelah. Aku nak mencekik pun tak senanglah kau ni,” bebel Azizul terus.

Dia terus menyuap nasi goreng dengan berseleranya. Ammar perhatikan saja. Macam orang tidak jumpa nasi seminggu.

“Bukan pasal kerjalah. Takkanlah aku nak cerita pasal kerja time macam sekarang ni. Tak sesuailah. Pasal diri aku ni...” Ammar berjeda. “Ada yang patut kau tahu.”

Terus suapan Azizul terhenti. Dipandang Ammar buat seketika. Kemudian pandangannya menjadi tunak pula.

“Pasal diri kau? Kenapa pula? Kau sakit, ke? So, nak turunkan wasiat kat akulah ni, ya? Berapa banyak kau nak tinggalkan harta kau pada aku? Buah hati kau tu, kau tak nak wasiatkan sekali ke kat aku?” usik Azizul dalam tawa.

“Eh! Eh! Dia buat lawak pula pasal mati ni. Suka sangat aku mati cepat! Apa punya kawanlah kau ni.”

“Habis tu, apa yang penting sangat pasal kau ni? Tak menyempat-nyempat nak jumpa aku. Aku baru aje nak berehat. Penat kat pejabat tadi pun belum hilang lagi. Belum sempat balik rumah ni tau,” kata Azizul sambil meneruskan suapannya.

Buat beberapa ketika, Ammar hilang lenyap dari mindanya. Perut yang lapar mesti diisi terlebih dahulu. Barulah boleh memberi pendapat atau sekurang-kurangnya hendak berfikir secara rasional nanti.

Ammar juga seakan melayan angan yang panjang. Renungannya jauh sambil sesekali dia menyedut air epal yang baru luak sedikit. Nasi goreng cendawan yang dipesannya pula belum berusik. Bau harum kuah tomyam juga tidak dapat membangkitkan seleranya. Padahal, itu memang salah satu lauk kegemarannya. Entahlah, rasa macam kurang berselera selagi dia belum berterus terang dengan sahabat baiknya itu.

Dari tadi hanya dikuis-kuis butiran nasi tanpa ada niat untuk menyuap ke mulut. Agaknya, kalau ada yang perasan akan perbuatananya itu, pasti mereka mengatakan dia sedang mengira berapa jumlah butiran nasi di dalam pinggan itu.

“Aku dah kahwin,” ucap Ammar datar. Akhirnya, terlepas juga apa yang memberat di mindanya selama beberapa ketika ini. Lancar dan terang ayat itu terluncur daripada mulutnya. Lega yang amat rasanya saat itu. Terasa bebas dari belenggu yang merantai dirinya. Tapi, ini baru dengan Azizul. Belum lagi dengan orang tuanya.

Perhitungan dia dengan mereka masih belum selesai. Dan selagi keadaan itu belum berakhir, dia tetap rasa terbelenggu sendirian. Rasa bersalah pada Naura juga kerana sampai saat ini dia belum mampu mengotakan janjinya untuk berterus terang dengan keluarganya tentang pernikahan mereka.

Tersembur air yang baru disedut oleh Azizul. Tersedak-sedak dia dibuatnya.

“Wei! Apa kau ni, Zul? Sampai menyembur air kau. Nasib baik tak kena aku. Pengotorlah kau ni! Tak senonoh betul,” tempelak Ammar sambil bangun mengelak. Dia duduk di kerusi yang satu lagi.

“Sorry, Am. Sorry. Aku terperanjat tadi dengar apa yang kau cakap. Eh! Aku salah dengar ke apa, ek?”

“Kau dengar apa?”

“Aku dengar kau cakap, kau dah kahwin. Betul, ke?”

Ammar hanya menjawab dengan sebuah senyuman. Tapi, sudah cukup jelas pada Azizul. Kalau sudah tersenyum simpul begitu, betullah agaknya. Azizul mengangkat kening sambil mengelap jejehan air di tepi bibirnya. Macam tidak percaya tapi, macam kena percaya. Hisy! Ini bukan kes main-main. Soal nikah kahwin. Takkanlah Ammar mahu bergurau pula tentang perkara macam itu? Tidak akan! Ammar seorang yang suka berterus terang.

“Kau biar betul, Am! Bila masa pula kau kahwin? Kad jemputan tak ada, buat kenduri pun tak, tiba-tiba aje dah kahwin. Lain macam aje kes kau ni, Am. Jangan cakap kat aku yang kau kena tangkap basah pula.” Azizul bermain dengan berbagai-bagai persoalan.

Secara tiba-tiba semua itu terlintas di benaknya dan terkeluar pula menjadi kata-kata. Memang sukar untuk dia percaya sebenarnya. Tapi, dari satu sudut lain, dia rasa dia kena percaya. Aduh! Azizul sudah pening kepala dibuatnya.

“Yes.Yang last tu dah nak betul dah. Tapi, kami terperangkap sebenarnya.” Tenang Ammar berkata-kata. Begitulah dia. Tenang dalam apa jua keadaan.

So, kau dan Farah kena tangkap basah? Kat hotel mana pula, ni? Kau ni pun, kalau nak buat ‘dajal’, cover line sikitlah. Tengok dulu line clear ke tak?” Azizul membebel. Tiba-tiba, dia rasa hendak marah pula bila tahu yang Ammar benar-benar ditangkap basah. Buat malu kaum saja. Hilang pedoman hidup ke, apa?

“Kurang asam betullah kau ni, Zul. Kau ingat, aku ni jahat sangat ke sampai nak usung anak dara orang keluar masuk hotel. Aku masih waras lagilah. Tak ada maknanya aku nak buat kerja gila macam tu,” protes Ammar geram. Azizul ni pun satu. Belum dengar lagi kisah yang betul, sudah buat andaian sendiri. Salah pulak tu andaiannya.

“Habis tu?”

“Satu lagi, aku bukan kahwin dengan Farah.” Soalan Azizul terbiar sepi. Sebaliknya Ammar terus memberikan penjelasan lain. Ternganga Azizul dibuatnya.

“Hah? Apa maksud kau, ni? Aku tak fahamlah. Kalau kau tak kahwin dengan Farah, dengan siapa pula? Puteri bunian? Puteri dari kayangan? Hisy! Macam-macamlah kau ni. Buat aku pening aje. Dulu, masa sekolah kau berkawan dengan orang lain. Lepas tu, habis belajar kau bertunang dengan Farah. Ni tup-tup, kau kata dah kahwin tapi dengan orang lain pula. Berapa ramai perempuan yang kau flirt, ni? Cuba kau cerita kat aku. Tak fahamlah aku.”

Azizul pula yang tak senang duduk. Pinggan nasi goreng Cina yang masih berbaki sedikit, ditolak ke tepi. Dia lebih ‘berselera’ untuk mendengar cerita Ammar daripada menghabiskan nasinya saat itu.

Lantas, Ammar menceritakan apa yang berlaku pada malam kejadian itu. Dia bercerita dari A sampai Z, tidak tertinggal satu pun. Dari kisah percutian dia dengan Farah yang tidak menjadi, juga kisah dia ditahan oleh Naura malam itu sehingga kisah percutiannya dengan Naura semalam.

Azizul tekun mendengar. Sesekali, terlihat ada rentangan di dahinya. Sesekali, dia mencelah bila apa yang Ammar perkatakan kurang jelas atau kurang difahami olehnya.

“Habis tu, mama dengan papa kau tak datang masa tu?”

“Mereka masih belum tahu.”

“Hah?! Jadi, kau kahwin ni parents kau tak tahu lagi? Kau biar betul! Am... Am...” keluh Azizul perlahan sambil menggelengkan kepala beberapa kali. Mati terus kata-kata Azizul. Tidak tahu apa yang harus dia katakan lagi.

“Macam yang aku cakap tadi, aku tak sempat nak fikir panjang. Aku nak selamatkan Naura. Aku mesti bawa dia jauh daripada abang dia tu. Itu yang penting.”

“Aku jadi tertanya-tanya pula, apa sangat istimewanya Naura tu sampai kau jadi macam ni? Nekad betul tindakan kau ni, Am. Kalau orang lain, tentu dah bermati-matian cuba lepaskan diri. Kalau kata kerja gila pun, ya juga.”

Pandangannya tepat ke wajah Ammar. Sungguh! Di hatinya berdetik kenapa Ammar sanggup lakukan semua ini. Apa yang ada pada Naura sampai ‘mengikat’ Ammar sebegini?

“Kau akan tahu bila kau jumpa dia nanti...” Itu saja yang Ammar katakan. Tapi, segaris senyuman sudah terhias di bibirnya. Azizul mengangkat kening.

So, bila kau nak kenalkan aku dengan isteri kau tu?”

“Akan tiba masanya nanti. Kau tunggu aje.” Tiada jawapan yang pasti, tapi itulah janjinya. Dia akan pertemukan Naura dengan Azizul.

Azizul termenung seketika. Panjang menungannya.

“Kalau kau nak aku tolong, bila-bila masa aje, Am. Aku boleh tolong beritahu parents kau tentang ni. Tak jadi masalah pada aku.” Azizul memecah kebuntuan. Satu usul dia suarakan sebagai mencari jalan penyelesaian.

No, Zul. Biar aku sendiri yang beritahu mereka. Tak elok rasanya kalau aku wakilkan kau untuk tanggung beban aku. Ini masalah aku, jadi biar aku yang selesaikannya. Tapi, kalau kau ada cadangan atau cara lain, apa salahnya kita bincangkan. Mungkin cara kau tu boleh aku ikut.” Begitu berlapis Ammar menolak.

Dia tahu akan kesediaan Azizul untuk membantunya. Tapi, dalam soal sebesar ini, dia tidak mahu melibatkan Azizul sampai ke tahap itu. Biar dia sendiri yang bersemuka dengan orang tuanya. Itulah jalan terbaik. Dia tidak akan menjadi pengecut dan berselindung di belakang kawan baiknya. Cuma, saat ini dia perlukan sedikit sokongan dan pendapat Azizul. Mungkin itu nanti dapat dijadikan penguat semangat untuk merintis jalan seterusnya. Itu doanya siang dan malam.

“Hmm... Nantilah aku cuba fikirkan. Farah macam mana pula?”

Ammar terdiam seketika. Dia menunduk sebelum pandangannya jatuh ke wajah Azizul. Ada garis resah merintangi wajah Ammar. Itu yang Azizul dapat lihat dengan jelas. Kekeruhan di wajah itu sudah cukup menzahirkan apa yang sedang ditanggung oleh Ammar. Sebagai sahabat, dia simpati.

“Aku dah putus dengan dia malam tu juga, sebelum aku jumpa Naura. Tapi, itu antara aku dengan dia ajelah. Aku yang putuskan. Dulu, aku nafikan apa yang aku pernah dengar tentang dia. Aku anggap semua cerita tu tak betul. Rekaan. Aku anggap orang lain sengaja nak buat cerita tak baik tentang dia. Tapi, sekarang ni aku sendiri yang nampak. Aku tak boleh terima dia. Family aku tak tahu lagi dan family dia pun belum tahu rasanya,” luah Ammar tenang.

Jemari Azizul bermain di dagu. Berat sebenarnya apa yang sedang ditanggung oleh Ammar. Kalau dia di tempat Ammar pun, mungkin dia akan bertindak sama seperti yang Ammar lakukan. Ammar ada sebab yang kuat untuk memutuskan pertunangan mereka. Tapi, mungkin caranya saja yang tidak kena.

Adat orang melayu, sepatutnya mestilah kena berbincang dengan keluarga dan mengambil kata sepakat. Sepatutnya orang tua Ammar kena berjumpa dengan orang tua Farah untuk proses seterusnya. Tapi, kadang-kadang tuntutan hati yang tercalar dek perbuatan yang menggores perasaan pasti membelakangi segala jenis adat. Inilah yang sedang berlaku dalam hidup Ammar.

“Macam nilah, Am. Aku tak boleh nak komen lebih-lebih. Tapi, aku akan tetap ada di belakang kau jika kau perlukan aku. Anytime, man. Hal Farah ni, nanti kita cuba cari jalan macam mana nak selesaikan, okey. Dah, makanlah dulu. Aku tahu kau belum makan lagi. Jangan serabutkan sangat kepala tu. Mesti ada jalan penyelesaian untuk semua ni.”

Aku inginkan dirimu

Datang dan temui aku

Kan ku katakan padamu

Aku sangat mencintai dirimu

(Di saat Aku Mencintaimu ~ Dadali)


Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin