Bab 13 : Cinta Bertunjangkan Syaitan

Azaharil Anuar menunaikan janji membawa Ellis Elliza bertemu dengan seorang ustazah yang mengamalkan ilmu perubatan Islam. Azaharil Anuar sememangnya sangat pelik melihat kelakuan Ellis Elliza seakan ada sesuatu yang tidak kena. Ellis Elliza sekarang bukan Ellis Elliza yang dikenalinya 14 tahun dahulu. Sebelum semuanya terlewat, baik dia bertindak terlebih dahulu. Dia tidak mahu kehilangan isteri yang amat dicintainya itu.

Ellis Elliza masih bingung. Dia tidak dapat mengingati langsung kejadian selepas dia mencium haruman bunga yang luar biasa pemberian Runi Naqiu. Dia seakan berkhayal sebelum dia tidak sedar diri. Entah apalah yang ada pada haruman bunga itu sehingga melumpuhkan ingatannya pada kejadian selepas itu. Sesekali Azaharil Anuar mendengar Ellis Elliza menghela nafas panjang.

“Kenapa mama?” tanya Azaharil Anuar yang begitu prihatin pada Ellis Elliza.

“Mama masih tak puas hati selagi mama tak tahu apa yang jadi pada mama semalam. Kenapa mama boleh tak sedar diri. Bagaimana mama boleh ada di rumah kita. Semua persoalan yang tidak terjawab memeningkan kepala mama.” Ellis Elliza berterus-terang. Dia sudah tidak mampu lagi untuk menanggung apa yang dia rasa.

“Syhhhh... lupakan apa yang terjadi. Mama akan pulih seperti sedia kala nanti. Mama perlukan banyak rehat. Abang sayang mama.” Tulus benar pengucapan Azaharil Anuar di cuping telinga Ellis Elliza sehingga mengundang sebak di dada wanita itu.

“Terima kasih abang. Terima kasih kerana sentiasa di sisi mama. Mama sayang abang tapi mama tak tahu bagaimana mama boleh terjebak dengan cinta dia. Maafkan mama abang.” Ellis Elliza mengambil tangan Azaharil Anuar lalu mengucupnya. Lama.

“Syhhhh... itu bukan cinta namanya. Itu nafsu. Cinta bertunjangkan syaitan. Cinta sebegitu takkan kekal lama. Percaya pada Qada dan Qadarnya. Insya-ALLAH semuanya akan kembali pulih seperti sedia kala. Ya mama?” Azaharil Anuar mengucup ubun-ubun Ellis Elliza sebelum membelai kepala isterinya itu.

Seketika kemudian, Ellis Elliza sudah pun berada di hadapan Ustazah Ariani. Ustazah Ariani tersenyum melihat Ellis Elliza. Dia seakan dapat merasakan getar yang melanda diri wanita itu.

“Awak apa khabar?” Ustazah Ariani memulakan bicara.

“Baik. Ustazah, ada yang tak kenakah pada saya ni?” Ellis Elliza ingin sangat tahu apa yang tidak kena dengan dirinya sehingga Azaharil Anuar terpanggil untuk membawanya ke sini.

“Beginilah. Bila saya melihat awak, saya dapat rasakan memang ada yang tak kena. Saya dapat lihat ada satu bayang hitam yang sentiasa mengekori awak. Boleh berterus-terang dengan saya, sebelum ni awak ada tenung mata seseorangkah?” Ustazah Ariani masih lagi mengukir senyuman manisnya. Dia tidak mahu pesakitnya berasa tertekan ketika sesi berubat dijalankan.

“Ya. Kerap dan selalu.” Ellis Elliza berterus-terang.

“Maksud saya bukan suami awak.” Ustazah Ariani membetulkan ayatnya.

“Ya. Dia yang saya kenal beberapa bulan yang lalu. Dia memang suka bila saya tenung matanya. Kenapa ustazah?” tanya Ellis Elliza polos.

“Di matanya itulah terletak kuasa yang maha dahsyat. Di matanya dapat mengawal setiap wanita yang bertemu dan memandangnya walaupun sekali. Kuasa yang dia amalkan terlalu kuat kerana ada pendamping yang sentiasa menyokongnya. Sesiapa yang memandang tepat ke matanya, tidak mungkin dapat lari dari cengkamannya. Saya rasa, awak sudah terkena sihir yang diamalkannya untuk menundukkan wanita buat kepentingan dirinya sendiri.” Panjang lebar Ustazah Ariani memberitahu Ellis Elliza.

Setitik air mata Ellis Elliza gugur tanpa diminta. Dia tidak menyangka keikhlasannya menghulur tali persahabatan rupanya telah dibalas sedemikian rupa. Kenapa dia diperlakukan begitu? Ellis Elliza tidak mampu mendapat jawapannya dengan sendiri.

“Tapi kenapa saya disihirnya? Apa salah saya? Saya ikhlas bersahabat dengan dia.” Ellis Elliza memberitahu dalam nada yang tersekat-sekat.

“Bukan awak saja tapi terlalu ramai yang dilemparkan sihir cinta demi memenuhi kepentingan dirinya sendiri. Dia ada motif yang tersendiri untuk buat awak berada di dalam genggamannya. Mahu tak awak kalau saya membuangkan apa saja yang singgah pada awak?” Ustazah Ariani meminta izin.

“Ya. Buanglah. Saya tak mahu menyimpannya. Saya tak mahu lagi dipergunakan. Saya mahukan kehidupan yang lalu. Tenang tanpa gangguan. Saya sayangkan suami dan anak-anak saya.” Ellis Elliza tidak ralat jika Ustazah Ariani mahu membuangkan apa sahaja yang singgah di tubuhnya. Dia tidak mampu lagi menanggung rasa dengan terkenang Runi Naqiu. Cukuplah selama ini dia menuruti kata-kata Runi Naqiu dan menghambakan diri buat lelaki itu. Dia tidak mahu menduakan Azaharil Anuar yang terlalu mencintai dirinya. Dia ingin membetulkan segala-galanya. Alangkah berdosanya dirinya mencintai lelaki lain sedangkan dia sudah pun bersuami. Ini semua gara-gara lelaki itu yang telah memporak-perandakan perasaannya.

Ustazah Ariani menyuruh Ellis Elliza membelakanginya dan mula mengubati wanita itu. Perit sungguh Ellis Elliza rasa apabila jari-jemari Ustazah Ariani mengenai tempat-tempat menjadi singgahan kuasa hitam itu sedangkan kuku jari-jemari Ustazah Ariani tidaklah panjang mana. Sesudah selesai sesi perubatan Islam, Ellis Elliza berasa badannya ringan seakan boleh melayang.

Seketika kemudian, Ustazah Ariani memandikan Elliza Elliza sebelum memberi air penawar dan ayat-ayat yang harus diamalkan ketika berada di rumah agar diri tidak ampuh dengan bisikan syaitan laknatullah.

Azaharil Anuar memberi sedikit sagu hati buat Ustazah Ariani walaupun ustazah itu tidak memintanya. Ellis Elliza berasa lapang minda apabila ingatannya yang terlalu mendalam terhadap Runi Naqiu dapat dilupuskan sedikit demi sedikit. Syukur Alhamdulillah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku kena selamatkan Fiqa. Nampak Runi rapat benar dengan wanita itu. Dia tidak boleh jatuh ke dalam perangkap Runi. Ellis Elliza bertekad lalu menegur Rabiatul Syafiqah di laman sosial facebook secara tertutup.

“Assalamualaikum Fiqa. Sibuk ke?” tanya Ellis Elliza sambil menanti jawapan balas daripada wanita itu.

“Waalaikumussalam. Fiqa nak ke Pulau Pinang ni. Saja jalan-jalan ke sana. Dah lama tak bawa mak jalan-jalan makan angin.” Rabiatul Syafiqah membalasnya. Bolehlah dia berbalas mesej kerana Kak Fatin Vavavoom yang sedang memandu kereta. Mereka akan memandu secara bergilir nanti.

“Saya mengganggulah ni?” Pancing Ellis Elliza.

“Taklah. Bagus juga kalau ada orang berbual-bual. Tengah bosan dalam kereta.” Laju sahaja Rabiatul Syafiqah menaip ayat balas.

“Runi tak mesej Fiqa ke?” Ellis Elliza ingin tahu.

Tersenyum Rabiatul Syafiqah melihat mesej itu. Seakan ada baur cemburu. Dia ni cemburu agaknya. Maklumlah, aku semakin rapat dengan kawan rapatnya. Tapi apa salahnya kalau aku rapat, diakan dah bersuami? Atau dia tak boleh lepaskan Runi? Kasihan Runi. Teruk juga si Ellis ni.

“Ada. Baru saja tadi mesej Fiqa. Dia sentiasa ambik berat pasal diri Fiqa. Dia suruh Fiqa beritahu dia setiap waktu sebelum sampai ke Pulau Pinang.” Rabiatul Syafiqah tidak mengesyaki apa-apa lalu menjawab sahaja soalan yang diajukan kepadanya.

Wah, si Runi ni memasang ayat pula pada Fiqa. Sudah pastilah Fiqa akan rasa dirinya terlalu istimewa sehingga Runi begitu ambil berat. Tak boleh jadi ni. Aku kena berterus-terang dengan Fiqa. Ellis Elliza semakin bertekad.

“Fiqa, Runi tu dengan semua perempuan dia ambil berat tau. Hati-hati sedikit dengan dia. Saya bukan nak masuk campur urusan Fiqa dengan dia, cuma saya tak mahu Fiqa terjebak dalam perangkap asmaranya dan saya tak tahu kenapa saya ambil berat sangat pada Fiqa.” Ellis Elliza sudah memasang kata.

Eh, pelik betul bunyinya. Sahlah dia memang cemburu. Rabiatul Syafiqah tersenyum sumbing.

“Ada apa-apa yang perlu Fiqa tahu ke? Kenapa awak ambil berat tentang diri Fiqa pula. Setahu Fiqa kita baru beberapa kali bual. Lagipun, Fiqa memang suka berbual dengan Runi. Dia tu kelakar tau.” Rabiatul Syafiqah masih mahu melayani Ellis Elliza.

“Fiqa, dengan semua orang dia mulakan dengan jenaka. Itu cara dia sebelum dia dapat menambat dan memundukkan hati wanita. Fiqa, awak tak kenal siapa dia tapi saya kenal siapa dia. Saya tak mahu awak masuk perangkap dia. Fiqa tolong percayakan saya.” Ellis Elliza masih berusaha untuk menyelamatkan Rabiatul Syafiqah.

“Awak tak nak ke beritahu saya apa yang awak tahu tentang Runi? Tolonglah jangan buat saya berteka-teki.” Rabiatul Syafiqah mula rasa tidak sedap hati.

“Saya akan beritahu awak suatu hari nanti. Insya-ALLAH. Sedikit waktu lagi awak akan tahu siapa Runi yang sebenarnya. Cuma sekarang, saya nak awak berhati-hati dengan Runi. Jangan sampai jatuh cinta.” Pesan Ellis Elliza lagi.

“Insya ALLAH. Okeylah, Fiqa nak makan kejap di R&R ni. Nanti Fiqa mesej awak lagi ya. Terima kasih.” Rabiatul Syafiqah sudah tidak tahan lapar ketika berhenti di R&R Tapah sebelum sampai ke Pulau Pinang. Sudah terbayang di matanya akan tempat-tempat perlancongan Pulau Pinang yang begitu menggoda hatinya.

“Baiklah. Fiqa, hati-hati di jalan ya. Nanti sampai Fiqa beritahu saya. Saya tak tahu kenapa saya sayang Fiqa. Assalamualaikum.” Ellis Elliza faham bahasa apabila Rabiatul Syafiqah sudah tidak mahu berbual dengannya lagi.

“Waalaikumussalam. Terima kasih kerana sudi ambil berat pada saya.” Rabiatul Syafiqah menamatkan perbualan mereka di alam maya. Entah kenapa hatinya celaru dan dapat merasakan sesuatu yang tidak enak. Kenapa setiap kali dia ingin memulakan sesuatu hubungan pasti ada halangannya. Kali ini entah apa pula halangannya. Rabiatul Syafiqah menarik nafas panjang sebelum masuk ke tandas dan kemudian mencari gerai makan untuk mengisi perutnya yang terlalu lapar itu.

------------------------------------------------------------------------------------------------

“Aku terlalu rindukan dia. Boleh jadi sasau kalau tak dengar suara dia. Aku kena lakukan sesuatu.” Fadhila Imani seakan meroyan apabila tidak mendengar suara Runi Naqiu lalu dia mencapai telefon pintarnya dan terus mendail nombor Runi Naqiu.

Fadhila Imani menanti seketika sebelum panggilan bersambung kepada empunya dirinya. Agak lama juga dia menanti di hujung talian dalam debaran rasa yang tidak pernah putus.

“Helo.”

“Helo abang.” Fadhila Imani terus membalas suara itu setelah lama tidak mendengarnya sehingga rindu menusuk-nusuk ke dalam jantungnya. Seakan boleh gila jadinya.

“Hmm ... Dhila nak apa lagi?” Runi Naqiu terasa malas benar hendak melayani Fadhila Imani di kala itu. Rabiatul Syafiqah sudahlah pergi melancong, manakala Ellis Elliza sudah tidak kerap membalas mesej-mesejnya. Dia bertekad akan terus memperhangat hati Ellis Elliza dengan menggunakan Rabiatul Syafiqah agar wanita itu terus melekat pada dirinya.

“Abang, janganlah abaikan Dhila macam ni? Sampai bila abang nak block Dhila? Dhila dah berubah bang. Dhila janji akan lebih jaga adap perlakuan Dhila. Tolonglah abang jangan block Dhila di facebook tu lagi. Dhila rindu dengan abang, abang tak rindu Dhila ke?” Fadhila Imani merayu-rayu Runi Naqiu agar tidak mengabaikannya lagi.

Runi Naqiu tersengih mendengar rayuan Fadhila Imani. Sememangnya dia suka jika ada wanita yang merayu-rayu sebegitu kepada dirinya apabila permainan block di facebookbermula. Itu bermakna mereka tidak mampu untuk melepaskan dirinya dan ia juga merupakan kemenangan bagi dirinya.

“Abang, janganlah diam macam ni. Abang terimalah Dhila semula. Dhila sayang abang. Tolonglah.” Fadhila Imani semakin bersungguh-sungguh dalam mengatur rayuannya.

“Baiklah. Abang akan unblock Dhila di facebook abang dan kita boleh berbual seperti biasa. Tapi ingat, jangan sesekali menyakiti hati Ellis lagi.” Runi Naqiu akhirnya memberi kemenangan pada Fadhila Imani. Bukan tidak tahan dek kerana rayuan wanita itu tetapi dia mempunyai agenda lagi yang tersembunyi.

“Terima kasih abang. Dhila cintakan abang dengan sepenuh hati Dhila. Nanti bila Dhila bercerai, kita kahwin ya abang. Dhila tak sabar-sabar nak bersama abang.” Fadhila Imani tidak segan silu menuturkan kata rindu mahupun cinta pada Runi Naqiu.

Tersenyum lagi Runi Naqiu memegang piala kemenangan. Hatinya bergolak riang. Kalau Ellis Elliza sudah tidak mahukan dia, Fadhila Imani pun sudah cukup buat masa ini hingga dia betul-betul bertemu perempuan yang lebih hebat lagi. Fadhila Imani tidak lebih dari 'simpanan' sahaja kerana hanya Fadhila Imani yang sentiasa akur dan menurut semua kehendaknya.

“Abang pun sayang. Mwah ... jumpa lagi sayang. Abang nak unblockDhila kejap dan masukkan semula Dhila ke dalam grup abang. Tunggu tau.” Begitulah ayat berbisa yang keluar dari dua ulas bibir Runi Naqiu.

“Terima kasih abang.” Hati Fadhila Imani berbunga-bunga setelah lama memendam rindu buat Runi Naqiu. Dia sudah hilang malu kerana cintanya pada Runi Naqiu terlalu mendalam. Dia sudah tidak peduli lagi dengan rumahtangganya asalkan dapat bersama-sama Runi Naqiu.

-----------------------------------------------------------------------------------------

Nur Syarida mencari kelibat Nazira di rumah datuk wanita itu. Dia melihat Nazira sedang menangisi permergian datuk kesayangannya. Nur Syarida mengambil senaskah surah Yaasin lalu menghadiahkan kepada yang meninggal agar rohnya tenteram di alam sana.

Sesudah persiapan jenazah ingin dikebumikan, Nur Syarida membuntuti langkah Nazira sehingga ke tanah perkuburan. Kemudian, dia tetap mengekori Nazira pulang ke rumah semula.

“Naz.” Panggil Nur Syarida penuh kelembutan.

“Sejak bila kau ada sini?” Tanya Nazira yang masih berbaki air mata.

“Dah lama aku di sini. Naz, aku tahu masa sekarang tak sesuai untuk berbincang tapi percayalah pada aku jangan sesekali kau turun ke Kulai tu untuk berjumpa dengan Runi. Bahaya Naz.” Kali ini Nur Syarida sudah tidak mahu menyembunyi lagi identiti Runi Naqiu lalu dia bersuara agar Nazira dapat mendengarnya dengan jelas. Dia masih berusaha kuat untuk menyalamatkan Nazira.

Terkejut Nazira mendengar sebaris nama yang disebut oleh Nur Syarida. Dia hairan bagaimana Nur Syarida tahu dengan siapa yang hendak ditemuinya. Tiba-tiba hati Nazira menggelegak marah. Di fikirannya sudah pasti Nur Syarida membaca mesej-mesejnya di telefon pintar.

“Kau skodeng aku ya? Kau baca mesej-mesej aku dengan Runi? Hah? Kenapa kau suka sangat campur tangan dalam hidup aku? Suka hati akulah nak jumpa dia ataupun tidak. Boleh tak kau jangan halang aku dari bercinta? Aku sayang dia. Aku sayang Runi. Faham tak?” Nazira mengamuk sakan. Dia sudah tidak tahan lagi dengan sikap Nur Syarida yang mahu masuk campur dalam urusan hidupnya dari segenap sudut.

“Naz, aku bukan halang kau untuk bercinta. Malah aku suka kalau kau dapat seseorang yang boleh menjaga kau. Tapi Runi .... dia adalah parasit yang menumpang kau saja Naz. Dia bukan lelaki yang sesuai untuk kau. Dah ramai perempuan yang diayatnya. Aku nak selamatkan kau, Naz. Percayalah pada aku kali ni.” Nur Syarida sedikit merayu. Ada getar di hujung kata-katanya.

“Sudahlah. Aku tak mahu dengar apa-apa lagi dari kau. Kau memang perosak hubungan orang.” Nazira ingin berlalu pergi tetapi dihalang oleh Nur Syarida.

“Bukan aku perosak hubungan orang tapi Runi. Naz, selama ni aku berchatting dengan Runi di whatsapp. Aku jatuh cinta dengan dia kerana dia pandai ambil hati aku. Suka bergurau. Aku selesa dengan dia. Oleh sebab itulah aku membuat keputusan untuk bertemu dengan dia di Kulai. Sesuatu telah berlaku Naz. Aku tak mahu kau turut alami apa yang aku alami.” Nur Syarida membuka rahsianya selama ini.

Nazira semakin terkejut dengan kenyataan itu. Namun, entah kenapa dia tidak mahu percayakan Nur Syarida malah memilih untuk lebih percayakan Runi Naqiu.

“Aku tak percayakan kau. Kau saja buat cerita untuk halang kebahagiaan aku.” Nazira melafazkan kata sebelum berlalu pergi. Namun, cepat sahaja Nur Syarida mencapai pergelangan tangan Nazira.

“Naz, aku tahu kau bencikan aku sebab aku selalu cari pasal dengan kau. Aku tahu kenapa kau tak percayakan aku. Tapi aku janji Naz, aku akan bongkarkan siapa Runi Naqiu sebenarnya. Waktu itu akan tiba. Tapi sebelum ia tiba, aku harap kau takkan berjumpa dengan dia. Aku tak mahu maruah kau tercalar nanti.” Nur Syarida masih tidak berputus asa untuk menarik perhatian Nazira.

“Dah habis?” tanya Nazira tegas.

“Ya.” Balas Nur Syarida dengan ringkas.

“Kau boleh keluar dari rumah aku sekarang. Aku tak ada masa nak layan kau.” Nazira terus berlalu.

Nur Syarida menarik nafasnya dengan panjang sekali. “Aku janji Naz, aku akan bongkarkan kerja jahat Runi Naqiu. Di saat itu, kau akan mempercayai aku. Aku tak mahu kau terjebak di dalam perangkap asmara dustanya. Aku sayangkan kau, Naz.” Nur Syarida berazam sebelum beredar dari rumah Nazira.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.