“Assalamualaikum.
Fiqa masih di Penang ke?” Entah kenapa Ellis Elliza seakan tidak mahu
melepaskan Rabiatul Syafiqah dari mengetahui perkembangannya.
Rabiatul
Syafiqah mengeluh seketika apabila melihat mesej masuk di laman whatsappnya. Tidak jemukah wanita ini
asyik bermesej dengannya. Dia terasa seakan dikongkong oleh Ellis Elliza.
Agaknya memang benar apa yang Runi Naqiu katakan bahawa wanita ini terlalu
cemburukan dirinya sehingga mahu mengawalnya dari terus bersenang-lenang dengan
lelaki itu. Kenapa Ellis Elliza sanggup bersikap begitu sedangkan dia sudah
berumahtangga dan mempunyai anak? Tidak bolehkah Ellis Elliza membiarkan sahaja
dia untuk bersama dengan Runi Naqiu? Tapi, jika dia benar cemburu bagaimana
pula dengan amaran yang sering dititipkan oleh wanita itu buat dirinya.
Sebenarnya,
Ellis ni ingin melindungi aku ke atau menghalang aku? Sesungguhnya Rabiatul
Syafiqah berada di persimpangan dilema antara Runi Naqiu dan Ellis Elliza.
Akalnya tidak dapat berfikir dengan waras yang mana satu benar dan yang mana
satu bohong. Dalam tidak suka, Rabiatul Syafiqah membalas juga mesej daripada
Ellis Elliza.
“Waalaikumussalam.
Fiqa dalam perjalanan pulang ni. Kenapa Ellis?” tanya Rabiatul Syafiqah sengaja
menampakkan dirinya ramah tamah walhal dirinya bagaikan berselirat dengan
benang yang sukar untuk dirungkaikan.
“Fiqa,
maafkan Ellis ya. Ellis tahu cara Ellis ni merimaskan Fiqa. Tapi Ellis tak tahu
kenapa Ellis ambil berat sangat tentang diri Fiqa. Kalau orang lain lantaklah,
Ellis tak peduli. Ellis dapat rasakan sesuatu yang buruk akan berlaku pada Fiqa
selagi Fiqa masih berhubung dengan Runi. I
have bad feeling.” Ellis Elliza akhirnya bersuara juga apa yang terbuku di
dalam hatinya. Cengkaman rasa tidak enak itu semakin hari semakin berselirat
sehingga melemaskan dirinya.
Ye
ke ambil berat tentang diri aku atau kau cemburu? Ellis cemburu pada Fiqa ke
kerana semakin rapat dengan Runi? Mahu sahaja Rabiatul Syafiqah bertanyakan hal
itu pada Ellis Elliza namun bibirnya terkunci rapat. Dia tidak mampu untuk
bersuara.
Namun,
di satu sudut hatinya, Rabiatul Syafiqah amat terharu dengan keprihatinan yang
ditunjukkan oleh Ellis Elliza terhadap dirinya. Mungkin dirinya insan yang
terpilih untuk dilindungi. Mungkin. Jika firasatnya itu benar.
“Ellis,
jujur dengan Fiqa siapa sebenarnya Runi tu? Apa sebenarnya yang terjadi
sehingga Ellis sungguh-sungguh beri amaran pada Fiqa? Fiqa keliru, Ellis.
Tolong jangan biarkan Fiqa tertanya-tanya macam ni?” Rabiatul Syafiqah
memberanikan diri menaip sesuatu buat Ellis Elliza.
“Suatu
hari nanti Fiqa akan tahu siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya. Saat Fiqa
mengetahui identitinya, Fiqa pasti akan menyesal mengenali makhluk TUHAN yang
bernama RUNI NAQIU. Percayalah pada Ellis. Percayalah pada naluri Fiqa sendiri.
Jangan bertindak mengikut hati Fiqa tapi bertindaklah mengikut akal kerana akal
sealunya benar dari hati. Jangan biarkan dia manipulasi minda Fiqa.” Panjang
lebar Ellis Elliza menaip mesej buat Rabiatul Syafiqah.
Tersandar
Rabiatul Syafiqah di dinding kerusi keretanya sambil melemparkan pandangan ke
luar tingkap. Sesungguhnya kini dia terperangkap antara dua sahabat. Yang mana
satu harus dipercayainya? Hati Rabiatul Syafiqah mula digaru ragu-ragu dan
dinding hatinya mula terbina tembok yang sukar untuk diruntuhkan. Itulah tembok
kekeliruan dalam mencari kebenaran.
“Insya
ALLAH. Ellis jangan risau. Fiqa akan sentiasa hati-hati. Tapi kalau boleh Fiqa
minta Ellis berterus-terang dengan Fiqa siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya.
Fiqa benar-benar nak tahu untuk kebaikkan Fiqa sendiri.” Rabiatul Syafiqah
masih mahu membalas mesej daripada Ellis Elliza walaupun batinnya menjerit
sakit yang teramat sangat.
“Ellis
terlalu ambil berat tentang diri Fiqa. Ellis tak mahu Fiqa menjadi mangsa Runi
seterusnya. Tolong timbangkan apa yang Runi katakan dengan akal. Jangan percaya
melulu.” Ellis Elliza masih cuba meraih kepercayaan Rabiatul Syafiqah agar
mempercayai dirinya. Dia yakin suatu hari nanti kebenaran tentang lelaki yang
bernama Runi Naqiu ini akan terbongkar jua. Cukuplah dia menjadi mangsa janji
manis lelaki ini, dia tidak mahu wanita lain masuk perangkap lelaki parasit
ini. Dialah Parasit Cinta, perlahan-lahan memamah mangsanya. Mangsa tidak akan
menyedari kehadiran parasit perosak ini. Sungguh pandai dia duduk di hati
sambil memamah minda mangsa.
“Insya
ALLAH. Nanti kita mesej lagi ya. Dah nak masuk highway, line sekejap ada sekejap tak ada. Assalamualaikum.”
Rabiatul Syafiqah tidak mahu membebankan lagi mindanya dengan berfikir siapakah
Runi Naqiu yang sebenarnya.
Ellis
Elliza menjawab salam Rabiatul Syafiqah sebelum menamatkan perbualan mereka.
“Kenapa
ni Atul? Resah semacam aje? Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanya Fatin Vavavoom.
“Rumit
kak. Masalah hidup ni rumitkan? Kadang-kadang, kita rasa kita dah bertemu
seseorag yang memikat hati tapi sebenarnya ia hanya ilusi dari keindahan yang
kita ciptakan sendiri.” Rabiatul Syafiqah masih melemparkan biji matanya ke
luar tingkap menikmati pokok-pokok yang ada di sepanjang highway itu.
“Kalau
tak rumit, bukan kehidupan namanya. Kau harus pertimbangkan dengan kewajaran.
Mana satu telus dan yang mana satu palsu. Barulah jawapannya akan muncul.
Jangan percaya pada apa yang didengar kerana ia mungkin palsu. Gali dan terus
gali agar kekeliruan tidak lagi membelit akal.” Nasihat Fatin Vavavoom bagaikan
ahli falsafah lagaknya.
Tersenyum
Rabiatul Syafiqah mendengarnya. Ada benarnya juga apa yang Fatin Vavavoom
katakan itu. “Mak diam saja. Selalunya dia yang paling kecoh.” Rabiatul
Syafiqah berpaling ke belakang dan melihat Mak Nana Vougue baik terlentok di
bantal kerusi kereta. Patutlah tidak mendengar suara yang seakan pembesar suara
itu. Rabiatul Syafiqah melarik senyuman segaris melihat wajah Mak Nana Vougue
yang sedang lena diulit intan itu. Syahdu pula hati secara tiba-tiba.
Sabar
ya mak. Jodoh anakmu ini masih belum sampai seruannya. Bukannya aku memilih
tetapi ALLAH telah perliharakan hati anak mak yang limited edition ni untuk lelaki yang benar-benar halal nanti. Insya
ALLAH. Tiba-tiba Rabiatul Syafiqah terasa hangat di tubir matanya. Cepat-cepat
dia berpaling ke luar tingkap tidak mahu Fatin Vavavoom melihatnya.
--------------------------------------------------------------------------------------------
“Kenapa
aku mesej Fiqa tak berbalas ni? Tak ada line
kot. Entah-entah dia ada di highway.
Bersangka baik Runi.” Runi Naqiu sedikit merungut apabila Rabiatul Syafiqah
tidak dapat dihubunginya.
“Hmm
... apa susah, Fiqa tak ada, El kan ada.” Runi Naqiu tersengih jahat lalu
pantas sahaja jari-jemarinya menelefon Ellis Elliza. Dia tahu, waktu-waktu
begini sudah pasti Azaharil Anuar sudah keluar ke tempat kerja. Jika nasibnya
baik, Ellis Elliza masih bercuti lagi di rumah. Inilah masanya untuk dia
menyulam kata-kata indah agar Ellis Elliza terpesona mendengarnya.
Ellis
Elliza mengeluh tatkala melihat sebaris nama muncul di skrin telefon pintarnya.
“Dia nak apa lagi? Tak cukupkah dia mengganggu hidup aku?” Walaupun tidak mahu
tetapi Ellis Elliza tidak mampu menahan dirinya dari menjawab panggilan
daripada lelaki itu.
“Assalamualaikum.”
Terdengar suara halus Ellis Elliza di talian membuatkan Runi Naqiu meleret
senyuman. Sesungguhnya dia tidak sangka Ellis Elliza masih mahu menjawab
panggilan darinya. Ini bermakna Ellis Elliza masih tidak dapat melupakan
dirinya.
“Waalaikumussalam.
Miss me?” tanya Runi Naqiu.
“Apa
abang merepek ni?” Ellis Elliza agak geram dengan Runi Naqiu yang masih mahu
menabur ayat-ayat kasih ke dalam sukmanya.
“Come on El. Jangan bilang yang El
tak rindukan abang. Abang pasti yang El terlalu rindukan abang. El kan masih
tak tahu lagi apa yang berlaku antara kita.” Runi Naqiu menggula-gulakan Ellis
Elliza.
Berderai
air mata Ellis Elliza di kala itu. Kenapa makhluk TUHAN ni menggunakan alasan
itu untuk mencengkam dirinya? Kenapa lelaki itu tidak mahu melepaskan dirinya
dan biarkan dia hidup bahagia. Ya ALLAH, berat sungguh ujian yang KAU hadapkan
untukku.
Ellis
Elliza mengesat air matanya dan mengumpul kekuatan untuk berbicara dengan Runi
Naqiu si parasit cinta. “Abang, jangan gunakan itu untuk dekati El lagi.
Cukuplah bang. Cukuplah abang pergunakan El selama ni. Tolong berhenti bang.
Jangan seksa El lagi. El tak mampu lagi nak hadapinya. Kalau abang rasa, El
perlu tahu apa yang berlaku antara kita, abang beritahulah. Jangan biarkan El
hidup dalam teka-teki. Tolong bang.” Ellis Elliza sedikit merayu menggembirakan
hati Runi Naqiu.
“Kalau
El mahu jawapannya, El harus jumpa abang sekarang. Abang tunggu El di Restoran
Killeney.” Runi Naqiu mencabar Ellis Elliza.
“Suami
El akan marah jika El berjumpa dengan abang. El dah janji dengan suami El yang
El takkan ingkar pada dia lagi. Jangan paksa El bang.” Ellis Elliza masih
berdegil.
“Beri
saja alasan buat suami El yang dungu tu. Selama ni El boleh tipu dia dengan
pelbagai alasan untuk bertemu dengan abang, takkan untuk hari ni El tak boleh
lakukan benda yang sama demi mengetahui kebenarannya? Come on El. Jangan katakan El tak biasa pula.” Runi Naqiu
terus-menerus mencabar Ellis Elliza.
Semakin
lebat air mata Ellis Elliza menuruni lekuk-lekuk dataran pipinya. Dia tidak
mahu teresak menandakan kelemahannya. Kalau dia gagal menahan tangisnya,
bermakna Runi Naqiu akan menang. Dia tidak mahu Runi Naqiu menang hari itu.
Ya,
memang aku menipu suami aku. Kau yang mengajar aku! Kau! Kau memang pentingkan
diri sendiri Runi, aku benci kau! Air mata Ellis Elliza semakin lebat, sehebat
rasa mencengkam jiwanya. Ellis Elliza seolah terpenjara, sukar untuk lari dari
jeriji ciptaan Runi.
“Abang
cabar El datang jumpa abang dan abang akan beritahu segala-galanya pada El
tanpa sekelumit rahsia pun. Lepas ni, kalau suami El ceraikan El, datang pada
abang walaupun sehelai sepinggang. Kereta El pun tak payah bawa. Tinggalkan
semua pada suami El dan abang janji akan jaga El lebih dari jiwa abang. El juga
tak perlu risau. El boleh jumpa anak-anak El setiap hari. Abang sudah rancang
semuanya." Runi Naqiu masih tidak mahu mengalah dalam membelai jiwa Ellis
Elliza walaupun wanita itu tidak bersuara kini.
Aku
tidak akan pergi kepada kau walaupun selepas ini suami aku tinggalkan aku. Aku
tak mahu hidup dengan parasit seperti engkau yang hanya tahu makan hasil titik
peluh wanita. Tegas hati Ellis Elliza.
Lebih
baik aku hidup sendiri daripada bersuamikan jantan macam kau! Huh! Sehelai
sepinggang konon! Pandailah kau mengumpan aku dengan kata-kata. Tak kan aku nak
tinggalkan kereta aku sedangkan kereta tu bawah nama aku. Sebenarnya kau memang
mahukan kesenangan tanpa perlu berusaha mendapatkannya. Usaha kau hanya
mendapatkan wanita untuk kesenangan sendiri.
“Baik.
El datang sekarang. Abang janji akan beritahu segala-galanya?” Tekan Ellis
Elliza.
Yes. Aku berjaya akhirnya memujuk wanita bodoh
ini. “Ya sayang. Abang akan beritahu segala-galanya tanpa satu pun yang
tertinggal. Abang janji sayang.” Runi Naqiu bersorak kegembiraan melihat pada
kemenangannya.
Ellis
Elliza segera mematikan talian dan terus bersiap ala-kadar. Dia harus bertemu
dengan Runi Naqiu dan harus kembali semula ke rumah sebelum anak-anaknya pulang
dari sekolah. Yang paling penting, dia tidak mahu Azaharil Anuar mencium
keingkarannya dalam melanggar tegahan untuk bertemu dengan Runi Naqiu.
Baru
sahaja Ellis Elliza menjejak tangga yang terakhir di rumahnya, tiba-tiba muncul
sekujur tubuh menghalang niatnya yang terancang di hati sebentar tadi.
Azaharil
Anuar sedikit pelik ke manakah Ellis Elliza ingin pergi. Namun, jiwa seorang
suami tidak akan menipu dan dia dapat rasakan isterinya itu mahu bertemu dengan
Runi Naqiu demi satu kebenaran. Sudah pasti Runi Naqiu telah menggula-gulakan
Ellis Elliza untuk bertemu dengannya.
“Mama
nak ke mana ni?” Tanya Azaharil Anuar memandang tepat ke wajah Ellis Elliza.
Ellis
Elliza terkesima seketika. Kakinya bagaikan terpasung untuk terus mengatur
langkah seterusnya. Air liurnya menuruni rengkung dengan payah sekali.
“Mama
.... mama ...” Payah benar Ellis Elliza ingin memberitahu kebenaran itu.
“Bagus
juga mama dah siap-siap ni. Jom kemaskan beg mama.” Azaharil Anuar memegang
tangan Ellis Elliza lalu dibawa naik ke atas semula.
Terpinga-pinga
Ellis Elliza dengan perlakuan Azaharil Anuar. “Kemas beg? Abang nak bawa mama
pergi mana? Anak-anakkan belum balik sekolah lagi?” tanya Ellis Elliza dengan
minda berselirat penuh kekeliruan.
“Abang
nak hantar mama ke Australia. Dah lama mama tak balik jumpa keluarga mama kat
sana. Anak-anak biar abang yang jaga. Cuti sekolah nanti abang akan bawa
anak-anak ke sana untuk jumpa mama. Kita boleh sambut hari lahir Alyssa Ezzura
di sana. Dia tentu gembira dapat jumpa nenek dan atuknya.” Panjang lebar Azaharil
Anuar memberitahu rancangannya buat Ellis Elliza.
Ellis
Elliza semakin terperanjat dengan perkhabaran yang diberitahu oleh Azaharil
Anuar. Kejutan apakah ini? Dia masih belum bersedia untuk meninggalkan semua
ini. “Bagaimana dengan kerja mama, abang? Mama belum ambil cuti lagi. Nanti apa
kata bos mama pula?” Ellis Elliza cuba untuk tidak meninggalkan bumi Malaysia
buat masa sekarang.
“Tentang
cuti mama abang dah uruskan. Abang dah minta dengan bos mama untuk diberi cuti
sebulan. Mama dah lama tak berehat panjang. Mama perlu rehat untuk tenangkan
minda mama. Ini tiket ke KLIA dan sebelah malamnya mama akan bertolak ke Gold
Cost Australia.” Azaharil Anuar menolong Ellis Elliza memasukkan pakaian ke
dalam bagasi yang agak besar.
Ellis
Elliza terkedu dengan apa yang dilakukan oleh Azaharil Anuar dengan begitu
pantas. Dia tidak sempat untuk merancang apa-apa dan dia harus akur dengan
keputusan yang dibuat oleh Azaharil Anuar ke atas dirinya.
“Kenapa
muka tegang saja ni? Mama tak suka ke jumpa dengan keluarga mama kat sana?”
Azaharil Anuar cuba memberi senyuman manisnya lagi menawannya buat Ellis
Elliza.
“Suka
tapi terlalu cepat.” Ellis Elliza bersuara perlahan.
“Lagi
cepat lagi bagus. Ini untuk terapi diri mama juga. Nanti dah sampai Australia,
jangan lupa telefon abang. I love you
sayang. Apa yang abang buat ni sebab abang cintakan mama. Abang nak mama pulih
seperti sedia kala.” Azaharil Anuar mengucup ubun-ubun Ellis Elliza sebelum
membawa masuk bagasi ke dalam kereta untuk menghantar Ellis Elliza ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru.
Ellis
Elliza akur. Hasratnya untuk bertemu Runi Naqiu terpaksa dikuburkan begitu
sahaja. Nampaknya ALLAH swt tidak mengizinkan dirinya untuk bertemu dengan
lelaki itu. Mungkin ada hikmahnya.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Agak
lama juga Runi Naqiu menunggu Ellis Elliza di Killeney Kopitiam Nusajaya.
Akhirnya Runi Naqiu yang berasa bosan terus menelefon Ellis Elliza tetapi
panggilannya tidak berjawab. Runi Naqiu berasa tidak sedap hati.
“Mana
pula dia pergi? Mustahil dia tak datang. El yang aku kenal takkan menghampakan
permintaan aku.” Runi Naqiu agak bengang dengan Ellis Elliza di kala itu.
Sebentar
kemudian, Runi Naqiu mendapat mesej di talian whatssappnya dan ia dari Ellis Elliza.
“Maaf
abang, El tak dapat datang jumpa abang kerana El akan berangkat ke Australia
malam ini. Sekarang El berada di Lapangan Terbang Antarangbangsa Senai untuk
berangkat ke KLIA. Nampaknya jodoh untuk kita bertemu memang telah dimatikan.
ALLAH tidak mengizinkan untuk kita bertemu. Jaga diri abang baik-baik.
Assalamualaikum.” Ellis Elliza menitip mesej buat Runi Naqiu sebelum dia
menutup terus talian telefon pintarnya kerana dirinya sudah dipanggil untuk
masuk ke dalam pesawat.
Runi
Naqiu dilanda kegeraman yang teramat sangat. Kemarahannya sudah di puncak. Mahu
saja dia menendang semua benda yang berdekatan dengannya. Runi Naqiu cuba
bertenang. Sebatang demi sebatang rokok silih berganti dicelah bibir hitamnya.
Berkepul asap di udara. Dicapai lagi rokok terakhir dan dengan rakus
dihisapnya. Dia tidak boleh terima hakikat itu. Niat jahatnya tidak akan
tertunai pada hari itu, namun dia harus mencari seseorang untuk menggantikan
tempat Ellis Elliza. Tiba-tiba Runi Naqiu teringatkan Fadhila Imani perempuan
yang tergila-gilakan dirinya dan sanggup melakukan apa sahaja demi dirinya,
senyuman terus terhias di bibir Runi Naqiu lalu dia menitip mesej buat wanita
itu agar datang bertemu dengannya.
Sebentar
sahaja, muncullah Fadhila Imani di hadapannya dengan wajah yang ceria. Kenyang
Runi Naqiu pada hari itu. Runi Naqiu tidak melepaskan peluang untuk bermesra
dengan Fadhila Imani.
Fadhila
Imani pula membiarkan dirinya dibelai oleh Runi Naqiu kerana dia teramat
mencintai lelaki itu. Fadhila Imani terasa dirinya dihargai oleh Runi Naqiu.
Sungguh dia tidak pernah merasa segembira ini. Hanya berdua dengan Runi Naqiu,
itulah impiannya selama mengenali lelaki itu.
“Kak
Ellis mana?” tanya Fadhila Imani yang masih menyendeng pada tubuh Runi Naqiu.
“Dia
ke Australia. Laki dia hantar dia ke sana. Nak jauhkan dari abang kot."
Runi Naqiu membelai tangan Fadhila Imani dan dibiarkan sahaja belaian manja ke
atas dirinya tanpa menyedari perbuatannya itu telah membuatkan syaitan bersorak
girang kerana telah berjaya menggoda anak Adam untuk mengikut ke haluan yang
ditetapnya.
“Wow
.. bertuahnya dia.” Fadhila Imani girang bersorak di dalam hati.
Sekurang-kurangnya dia berjaya merapati dirinya dengan Runi Naqiu dengan
ketiadaan Ellis Elliza yang dianggap pengacau itu. Dia bebas kini bermesra
dengan Runi Naqiu tanpa pesaingnya itu.
“Jom
Dhila, kita jalan-jalan.” Ajak Runi Naqiu untuk memenuhi kekosongan hatinya
yang ditinggalkan oleh Ellis Elliza.
“Jom.”
Mereka
keluar dari kopitiam itu sambil beriringan berpegangan tangan. Sekali pandang,
nampak seperti pasangan romantik. Dua kali pandang, itulah maksiat sedang
berlaku hasil godaan syaitan durjana. Berjaya dia menggunakan psikologinya
untuk menyesatkan anak adam sebagaimana janjinya dengan ALLAH swt.
---------------------------------------------------------------------------------------------
“Naz,
aku buat kuih seri muka untuk tahlil yang terakhir.” Nur Syarida
menghulurkan dua berkas kuih seri muka yang dibuatnya.
Nazira
menghela nafas agak kasar. Semakin lama dia melihat wajah Nur Syarida, semakin
benci dibuatnya. Sebagaimana kasar nafas yang dihela, begitulah juga kasarnya
dia mengambil bekas kuih dari tangan Nur Syarida.
“Lagi-lagi
muka kau. Lagi-lagi muka kau. Tak ada muka orang lain selain muka kau.” Nazira
memberi jelingan maut buat Nur Syarida.
“Muka
aku comel sebab itulah asyik muka aku aje yang kau nampak Naz. Lagipun, hanya
aku saja yang rapat dengan kau dalam cerita ni. Aku kan penyelamatkan kau.” Nur
Syarida cuba berlawak dengan Nazira. Sungguhlah tidak kena tempat.
“Kau
jangan buat lawak bahalul boleh tak? Hati aku tak tercuit langsunglah.
Lepas baca tahlil ni kau terus balik. Tak lalulah aku asyik tengok muka
kau aje.” Nazira berlalu ke dapur dan diekori oleh Nur Syarida tanpa jemu.
“Amboi!
Halau aku nampak? Kalau aku tak mahu balik?” Nur Syarida tidak mahu mengalah
dengan kedegilan Nazira.
“Aku
heret kau balik. Eh, aku tak ada moodlah nak bertekak dengan kau.” Nazira
memotong kuih seri muka yang dibawa oleh Nur Syarida dan diletakkan di atas piring
yang dihulurkan oleh Nur Syarida.
“Runi
ada mesej kau hari ni?” tanya Nur Syarida setelah mendapat peluang.
“Kau
peduli apa dia ada mesej atau tak? Tak ada kena mengena dengan kau, kan?”
Nazira tidak suka jika hal Runi Naqiu dibangkitkan.
“Ada
kena mengena dengan diri aku sebab tu aku tanya. Aku tak mahu kau menjadi
mangsa dia, Naz. Aku tak mahu kau masuk perangkap yang dipasangnya dengan penuh
biacara manis. Aku tak mahu kau tergoda dengan parasit macam dia. Kau layak
dapat yang lebih baik dari dia. Dengar cakap aku, tinggalkan dia.” Kali ini
nada Nur Syarida agak serius tidak sebagaimana tadi.
“Tidak.
Aku takkan tinggalkan dia sewenang-wenangnya. Aku sayang dia Syar. Jarang aku
nak sayang lelaki macam tu. Kenapa harus kau jadi penghalangnya?” Nazira mulai
bengang.
“Aku
jadi penghalangnya sebab aku tahu dia tak layak untuk kau. Kalau dia layak, aku
takkan menghalang. Kau akan menyesal Naz setelah dia tanggal dari topeng
kebaikan yang berpura-pura. Kau takkan dapat bayangkan yang kau sedang bermain
api dengan parasit cinta seperti Runi Naqiu.” Nur Syarida cuba memahamkan
Nazira tentang kebenaran diri Runi Naqiu namun Nazira seolah-olah sudah tuli
dengan cinta yang ditaburkan oleh lelaki pendusta itu.
“Dia
selalu nasihat aku dengan benda yang baik-baik. Tak mungkin hatinya sejahat
sebagaimana kau katakan. Aku tak percaya.” Nazira cuba mempertahankan Runi
Naqiu.
“Mulutnya
manis bagaikan malaikat tapi hatinya bertuankan jin. Lelaki macam tu yang kau
kata baik? Sedarlah Naz, dia hanya memerangkap kau. Aku yang kenal dia terlebih
dahulu. Selain kau, aku, tak tahu berapa ramai lagi perempuan yang menjadi
mangsanya. Kalau kau kahwin dengannya, kau akan sara dia dan dia akan goyang
kaki. Kau mahu sara lelaki? Aku tak mahu Naz sebab tanggungjawab seorang suami
untuk sara isteri bukan isteri yang sara suami.” Nur Syarida masih tidak mahu
mengalah di medan perjuangan. Nazira harus disedarkan sebelum terlambat. Nazira
harus dilindungi daripada manusia bertopengkan syaitan itu. Harus.
“Cukup.
Memang benarlah kata Runi. Kau cemburu melihat keakraban aku dengannya sebab
itu kau menabur fitnah agar aku menjauhi dirinya. Bila dia buang kau, kau mula
mereka cerita. Hebat sungguh kau ni Syar. Boleh jadi pelakon terbaiklah. Jangan
ganggu aku lagi.” Nazira terus berlalu dari situ.
Nur
Syarida menarik nafas yang agak panjang. “Aduhai Runi, kau pasang perangkap
dahulu sebelum aku menyelamatkannya. Tapi aku takkan berputus asa untuk terus
menyelamatkan kawan aku dari jatuh ke tangan kau. Kau kejam. Dan kau adalah
SETAN BERTOPENG.” Nur Syarida tersangat geram dengan strategi yang dipasang
oleh Runi Naqiu. Cukup licik lelaki parasit itu.