Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 24 Terperangkap

Apartment

2.40 Petang, 1 April 2013

Guruh sedang berdetum di dada langit menandakan bahawa hujan akan turun tidak lama lagi. Bunyi tembakan yang dipercayai datang daripada senjata Arief tidak lagi berkumandang selepas bergema beberapa kali.

“Kau yakin ke bunyi ni datang dari sini?” tanya Azmir.

Ashraf mengangguk. Dia sedang melutut di atas jalan di celah lorong yang di mana di sebelahnya berdiri sebuah apartment setinggi tujuh tingkat. Pintu belakang yang membawa mereka ke dalam apartment itu terbuka, seolah-olah sedang menanti kedatangan dua orang anggota Komando 69.

“Ini ialah peluru daripada jenis 5.56×45mm NATO. Antara senjata yang menggunakan peluru jenis ini ialah M16A2 milik Arief. Aku yakin dia ada di sekitar sini,” tutur Ashraf.

“Dia ada di dalam apartment gelap ini?” tanya Azmir yang tiba-tiba perasaan gerunnya menyerang.

Ashraf mengangguk.

“Kita kena masuk ke dalam atau kita akan berdepan dengan ratusan zombi yang mungkin dalam perjalanan ke sini. Bunyi tembakan Arief telah menarik perhatian mereka,” gumam Ashraf.

“Sekejap... maksud kau yang... bagaimana dengan Tasha? Fera dan Danny jugak?” tanya Azmir sambil menoleh ke arah belakangnya.

“Sebab itu kita kena cepat, kita tak boleh lengahkan masa kita di sini. Lepas jumpa Arief, aku akan bawa kamu semua jauh dari sini. Kita akan teruskan perjalanan ke rumah agam Ketua Menteri Eurasia, Datuk Hazman Zakry,” kata Ashraf yang kembali berdiri.

***

Ashraf dan Azmir menyusuri koridor apartment yang sangat gelap dengan sangat berhati-hati. Senjata masih-masih teracu bagi melindungi keselamatan diri. Mujurlah lampu suluh Ashraf dan Azmir menerangi jalan di hadapan mereka. Sunyi yang melanda menyebabkan bunyi air menitik dari tingkat atas begitu jelas kedengaran.

“Ikut sini,” bisik Ashraf perlahan sambil memberi isyarat ke arah sebuah pintu yang seterusnya membawa ke sebuah bilik yang sangat besar.

“Ruang tamu,” kedengaran suara Azmir.

Seperti mana di koridor di luar sana, keadaan di dalam bilik itu sama hitamnya, gelap masih menguasai. Lampu suluh Ashraf dan Azmir menyuluh keadaan bilik itu. Bilik itu ternyata kosong. Tiada langsung tanda bahawa tempat itu pernah dihuni oleh manusia. Kelihatan sebuah pintu di sudut bilik itu dan Ashraf menghampiri pintu itu. Tombol pintu itu dipulas oleh Ashraf tetapi berkunci. Ashraf berkira-kira mahu meninggalkan bilik itu tetapi...

“Kau dah gila ke?” bisik Ashraf geram sambil menggengam koler Azmir. Azmir telah bertindak di luar batasan dengan menendang pintu yang berkunci. Pintu itu terbuka.

“Ya, aku memang dah gila. Kau tahu yang ada ratusan zombi sedang tengah ke sini dan kau, berlagak cool,” jawab Azmir membuatkan Ashraf terdiam.

“Kau tahu tak yang tindakan kau tadi akan menarik perhatian zombi?”

“Tak. Nyawa Tasha... Fera dan Danny sangat penting untuk aku sehingga membuatkan aku mengabaikan semua benda itu,” kata Azmir sambil menolak tangan Ashraf yang masih menggengam bajunya.

“Kalau aku tahu kau buat macam tu lagi, aku tak akan teragak-agak untuk tembak kau!”

Azmir tersenyum sinis. Dia tidak mengendahkan ancaman dan ugutan Ashraf. Azmir cuma dia tidak dapat menahan diri melihat Ashraf yang mengangap situasi itu seperti bermain permainan polis entry.

“Tak ada apa-apa pun kat sini,” gumam Azmir apabila memeriksa bilik tersebut.

Kemudian, dua orang lelaki itu kembali ke koridor. Mereka menyusuri koridor tersebut yang di kiri dan kanan mereka terdapat bilik-bilik yang berkunci dengan mangga dan rantai. Akhirnya mereka berjumpa dengan sebatang tangga yang membawa mereka ke tingkat dua.

Kedengaran bunyi tapak kaki orang berlari memanjat tangga hinga ke tingkat dua membuatkan Ashraf dan Azmir spontan menyuluh lampu suluh mereka. Namun, tiada apa yang dapat dikesan oleh mata mereka.

“Kau dengar apa yang aku dengar?” soal Azmir.

“Ya, suara orang berlari,” kata Ashraf.

“Hantu?” Celupar mulut Azmir.

“Kita kejar dia,” jawab Ashraf sambil tersenyum sinis.

***

Ashraf menyusuri koridor di tingkat dua sambil lampu suluhnya memeriksa setiap pintu-pintu yang berkunci di apartment tersebut. Bayang Arief atau petanda bahawa jejaka itu pernah berada di dalam apartment tersebut masih belum kelihatan.

Terdapat sebuah pintu yang terbuka di sebelah Ashraf. Ashraf masuk dengan berhati-hati. Sebuah bilik air yang berlumuran darah mencuri perhatian Ashraf. Di situ, Ashraf menjumpai sisa tinggalan peluru Arief.

“Tak syak lagi, dia ada dalam apartment ini. Betul tak Azmir?”

Namun tiada balasan daripada Azmir. Ashsraf menoleh belakang dan Azmir sudah tiada.

“Tak guna punya budak. Dia buat hal lagi,” gerutu Ashraf bengang.

***

Hujung mata Azmir dapat menangkap kelibat seorang wanita yang berlari ke arah yang bertentangan dengan arah yang dituju oleh mereka berdua. Tanpa disedari oleh Ashraf, Azmir telah mengekori wanita tersebut.

Azmir membelok pada selekoh tajam itu. Kali ini, cuping telinganya dapat menangkap bunyi tapak kaki di belakangnya. Azmir menoleh tetapi tiada apa. Dia kembali berjalan dan bunyi tapak kaki itu meniru tapak kakinya.

“Sial kau...” Azmir menoleh ke belakang dan seorang wanita yang kurus kering, dalam keadaan pakaian yang compang-camping dan koyak rabak menolak Azmir sehingga terjatuh di atas lantai. Mereka berdua bergelut.

“Kau rupanya...” tutur Azmir sambil mengacukan mata Shotgunnya ke dalam mulut zombi perempuan itu. Tembakan dilepaskan dan kepala zombi itu bersepai.

“Bagus,” tutur Azmir sambil menolak tubuh zombi itu ke tepi lalu kembali berdiri. Dia kelihatan membersihkan bajunya yang kotor dengan kesan darah. Tiba-tiba, dia jatuh terlentang buat kali kedua. Wanita kurus kering itu bukan satu-satunya zombi di tingkat dua. Malangnya kali ini, senjata Azmir bergolek jatuh di atas lantai.

“Tolong!” teriak Azmir yang sedang menolak kepala lelaki yang cuba membaham lehernya.

***

“Itu suara Azmir?” gumam Ashraf.

“Tolong aku Ashraf!” suara Azmir menyapa telinganya buat kali kedua.

Ashraf tidak lagi tercegat berdiri di situ. Dia membuka langkah seribu ke arah punca jeritan Azmir itu.

“Roarr!” sesuatu meraung dari belakang Ashraf.

Sebaik sahaja Ashraf menoleh, dirinya pula terlentang.

“Sial!” bentak Ashraf.

***

Kedengaran tapak kaki sedang menghampiri tempat pergelutan Azmir dan zombi tadi. Tapak kaki itu bukan milik Ashraf kerana pada waktu itu, Ashraf menerima nasib yang sama dengan Azmir.

“Siapa sahaja yang datang, cepat tolong aku,” teriak Azmir yang seperti sudah hilang tenaga ketika beradu kekuatan dengan zombi yang sedang menimpanya.

Tembakan dilepaskan bertubi-tubi membaham kepala zombi sekaligus menyelamatkan Azmir. Tasha... Tasha sedang berdiri sambil menghulurkan tangannya untuk membantu Azmir berdiri.

“Awak?” soal Azmir tidak percaya. “Apa yang awak buat kat sini?”

Belum sempat soalan itu dijawab oleh Tasha, Ashraf muncul dari belakang. Dia juga diserang perasaan terkejut melihat kehadiran Tasha di dalam apartment. Selepas berjaya membuang lelah, barulah Ashraf bersuara.

“Tasha, awak buat apa kat sini?” tanya Ashraf.

Serentak itu, kedengaran bunyi orang memanjat tangga yang tidak jauh dari mereka. Seperti biasa, soalan Tasha masih tidak berjawapan. Kelihatan Fera sedang menghampiri mereka sambil mendukung Danny. Wajahnya penuh dengan keresahan.

“Tempat ni dah dikepung oleh ratusan mayat hidup!”

“Mana mereka?” tanya Azmir.

Fera mengajak mereka menghampiri tingkap di hujung koridor aparment di tingkat dua itu. Dia mahu menunjukkan sesuatu.

“Ramainya...” gumam Tasha.

“Tapi, kenapa mereka semua datang ke sini?” tanya Azmir sambil mengerutkan dahinya memerhatikan jalan raya yang dipenuhi oleh ribuan zombi.

“Bunyi tembakan Arief,” jawab Ashraf. “Fera, awak dah kunci pintu masuk ?”

“Dah. Tapi saya tak tahu berapa lama pintu besi itu mampu bertahan,” balas Fera.

“Tasha, ikut aku ke tingkat bawah. Kita kena cari benda yang boleh tahan pintu besi itu, sekurang-kurangnya untuk sehari untuk kita fikirkan cara keluar dari tempat ini.”

Tasha memegang M16 ditangannya. Dia sekadar mengikut arahan Ashraf yang secara tidak langsung menjadi ketua mereka. Selepas Ashraf dan Tasha menghilang dari pandangan mata, Azmir terduduk di hujung koridor itu.

“Kau rasa kita akan selamat?” tanya Azmir tiba-tiba.

Fera sekadar mengangkat bahunya. Dia kini sedang menyusukan Danny dengan sebotol susu.

“Kau tahu yang Kerajaan Malaysia tak akan bawa kita keluar dari pulau ini selagi Shila tak diselamatkan?”

Fera mengangguk.

“Shila tu ialah bekas teman wanita aku. Tiga hari sebelum dia datang ke sini, mungkin sebab aku, aku dah buat benda yang paling bodoh untuk dia. Aku tinggalkan dia,” tutur Azmir sambil menundukkan wajahnya.

“Kenapa awak buat macam tu?” tanya Fera.

“Tapi aku bukan sengaja buat semua tu. Aku terpaksa... aku cuma ada tiga bulan untuk hidup. Aku tak nak dia terus berharap pada lelaki yang mempunyai jangka hayat yang pendek... aku tak boleh bahagiakan dia,” luah Azmir tiba-tiba.

“Azmir...”

“Fera, kalaulah sesuatu terjadi pada kita nanti, aku nak kau tinggalkan aku. Tiada gunanya kamu selamatkan orang macam aku. Aku tak punya banyak masa lagi,” tambah Azmir sambil mengesat air matanya yang menitis tiba-tiba.

“Mungkin ini ialah hiburan terakhir aku sebelum aku mati. Sekurang-kurangnya aku ada benda yang boleh dikenangkan bila aku masuk kubur nanti,” seloroh Azmir lalu bangkit dan meninggalkan Fera dan Danny di situ.

Langkah kaki Azmir diperhatikan dengan sayu oleh Fera.

Ketahuilah kalian bahawa semua yang masih hidup di Eurasia menyimpan kisah hidup masing-masing...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.