Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 3 Komando 69

Putrajaya

4.00 pagi,1 April 2013

Telefon bimbit Perdana Menteri Shahrin berdering lagi.

“Assalamualaikum?” tutur Perdana Menteri Shahrin sambil mengangkat panggilan tadi.

“Shahrin. Aku Luis Darren. Pengerusi Syarikat Asstrold Pharmacy,” riak wajah Perdana Menteri bertukar gusar apabila nama Asstrold Pharmacy hinggap di telinganya. Wajah Ketua Polis Negara, Tan Sri Redza dan juga Menteri Pertahanan Negara di tatap oleh Perdana Menteri silih berganti.

“Apa yang kau mahu?” soal Perdana Menteri Shahrin.

“Kau gagal. Helikopter ejen yang kau hantar terhempas ditembak oleh bazooka anak buah aku di Hutan Simpanan Eurasia. Malangnya kita orang tak temui jasad dia. Berdoa-doalah agar dia selamat!” kata Luis lagi. Talian terus dimatikan.

“Hello? Hello Luis. Aku ada sesuatu yang.. cis. Bedebah kau Luis!” teriak Perdana Menteri Shahrin hilang kawalan. Telefon bimbit itu dicampaknya ke lantai lalu bersepai. Wajah Datuk Hidayat dijamah matanya dengan perasaan marah yang meluap-luap.

“Kenapa?”

“Helikopter yang dinaiki oleh ejen yang kau hantarkan itu, terhempas kena tembak dengan anak buah Asstrold Pharmacy!” Datuk Hidayat meraup wajahnya yang dipenuhi peluh, tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Bagaimana dengan keadaan Mejar Harish?” soal Datuk Hidayat ingin tahu.

“Mereka tak jumpa mayat dia. Kemungkinan untuk dia hidup sangat besar, insyallah,” balas Perdana Menteri Shahrin. Tan Sri Redza yang lengkap beruniform polis itu tidak berani mencelah. Dia hanya mendengar perbualan Datuk Hidayat dan Perdana Menteri Shahrin, sambil menunggu arahan daripada orang atasannya itu.

“Redza!” panggil Perdana Menteri Shahrin.

“Ya!” sahut Redza.

“Aku nak kau kerahkan semua anggota Komando 69 untuk ke Pulau Eurasia. Aku nak mereka menghalang sebarang aktiviti keluar masuk ke tiga pintu masuk Eurasia, Lapangan Terbang Antarabangsa Eurasia (EAIA), pelabuhan Eurasia dan juga Lebuhraya bawah air Eurasia yang menghala ke Terengganu!” panjang lebar arahan Perdana Menteri Shahrin. Tan Sri Redza hanya sekadar mengangguk, tidak mahu membantah. Dia sudah faham akan situasi yang sedang menghantui Pulau Eurasia tersebut.

Lapangan Terbang Lama Sungai Besi

5.30 pagi 1 April 2013

Lapangan Terbang Sungai Besi sedang dipenuhi oleh puluhan manusia yang pakaiannya saling tak tumpah seperti anggota SWAT. Tiga buah pesawat Cessna sedang menunggu untuk berlepas.

Amirul Ashraf Osman merupakan salah seorang daripada ahli skuad Komando 69. Di sebelahnya, sahabat baiknya Azmir sedang mendengar muzik melalui fon telinganya. Ashraf menggelengkan kepalanya melihat gelagat Azmir, yang tidak pernah serius dalam melaksanakan misi. Fon telinga Azmir ditarik oleh Ashraf membuatkan Azmir terkejut.

“Dengar taklimat Sarjan Azmi!” tegur Ashraf. Wajah Azmir kembali monyok.

“Setiap kali benda yang sama aja yang dia bebelkan,” gerutu Azmir.

“...musuh kita kali ini bukannya manusia tetapi Zombi. Memang kedengaran tidak masuk akal dan macam cerita filem. Tetapi, benda ini dah berlaku. Tugas kita sekarang adalah untuk menutup pintu keluar daripada Pulau Eurasia. Jangan benarkan sesiapa untuk menjejakan kaki keluar dari bandar!” tutur Sarjan Azmi. Azmir kelihatan tidak puas hati.

“Kenapa pula? Sepatutnya kita kena bawa semua rakyat Eurasia keluar dari bandar tu. Baru tiada yang mati dibaham oleh zombi!” bengkeng Azmir tiba-tiba. Ashraf merenung tidak percaya sahabatnya itu.

Sarjan Azmi kelihatan sangat tenang ketika berhadapan dengan soalan Azmir itu.

“Untuk mengelak virus itu daripada keluar dari Pulau Eurasia. Jangkitan boleh berlaku di luar Eurasia nanti!” terang Sarjan Azmi. “Apa-apa pun, aku akan jelaskan di dalam pesawat nanti.”

“Maksud tuan... kami juga boleh dijangkiti oleh virus itu?” soal pula anggota Skuad Komando 69 yang lain.

“Tidak... kalau kamu berhati-hati. Virus ini hanya boleh berjangkit melalui gigitan manusia yang terkena virus. Elakan diri daripada digigit oleh zombi. Ingat, kamu adalah pejuang negara. Nasib Malaysia tergalas di bahu kamu semua!” tambah Sarjan Azmi lagi. Kali ini tiada lagi kedengaran soalan atau bantahan. Azmir terpaksa akur.

Skuad Komando 69 yang berjumlah enam puluh orang itu dibahagikan kepada tiga kumpulan. Ashraf dan Azmir telah dimasukan ke dalam kumpulan yang harus mempertahankan Lapangan Terbang Antarabangsa Eurasia (EAIA). Yang lainnya akan mempertahankan Lebuhraya Bawah Air Eurasia dan Pelabuhan Kapal Eurasia.

Pesawat Cessna

5.45 pagi, 1 April 2013

Ashraf sedang membelek-belek senjatanya. Colt M16A1 ialah senjata asasi yang sering digunakan oleh Komando 69. Senjata itu salah satu daripada kategori raifal. M16A1 merupakan senjata buatan Amerika dan menggunakan peluru calibre 5.56 x 45 mm NATO. Peluru senjata itu mampu bergerak 945 per saat. Di dalam setiap poket ahli Komando 69 yang lain, tersimpan beberapa keping magazin yang setiap satu mengandungi 30 butir peluru yang bakal dimanfaatkan di Eurasia kelak. M16 ialah nama popular untuk senjata itu.

Selain itu, sebahagian daripada ahli Komando 69 juga memegang pistol M1911 sebagai senjata alternatif ketika berdepan dengan zombi yang sedang mengganas di salah sebuah kota metropolitian milik Malaysia.

“Ashraf… macam mana agaknya rupa zombi tu ya?” soal Azmir mencelah kesunyian yang sedang berjangkit antara mereka. Ashraf yang sejak tadi asyik menundukkan wajahnya mendongak memandang Azmir.

“Entah…” jawab Ashraf pendek. Azmir naik binggung dengan sikap dingin Ashraf yang tiba-tiba itu.

“Kenapa ni Ashraf?” soal Azmir.

“Tak ada apa-apa…” balas Ashraf seperti sedang menyembunyikan sesuatu. Fikirannya kembali mengulit kenangan lama, ketika menjadi perantauan di Racoon City dulu.

Arklay Mountains, USA

May 1998, Racoon City

“Ibu!” teriak seorang budak kecil. Peluru-peluru sesat sedang terbang di atas kepalanya. Ashraf tidak sanggup untuk melihat ibunya sedang terbaring tidak bermaya selepas menjadi mangsa zombi di Racoon City.

Leon cuba melarang budak kecil, si anak kacukan itu daripada mendekati jasad ibunya. Peluru sesat sedang terbang di atasnya, antara polis-polis di Racoon City Police Department. Namun, budak kecil itu terlalu mentah untuk mengenal erti kematian dalam kamus hidupnya.

“Ibu jangan tidur!” teriak budak kecil itu. Ibunya yang sudah tidak bernyawa di lantai di dakapnya. Darah yang membuak-buak keluar dari leher ibunya begitu menikam perasaannya walaupun dia tidak mengerti mengapa.

Leon menyedari bahaya yang sedang melingkari budak kecil itu. Pantas dia berlari mencapai tubuh anak kecil itu. Budak kecil itu hanya mampu menjerit-jerit memanggil nama ibunya yang sudah tidak bernyawa.

Pesawat Cessna

6.00 pagi, 1 April 2013

“Ibu! Jangan tinggalkan Ashraf! Ashraf sayangkan ibu!” teriak Ashraf tiba-tiba. Terpekik-pekik dalam pesawat yang membawa mereka.

“Ashraf?” seru Azmir apabila Ashraf sedang meracau-racau persis orang gila di dalam pesawat itu. Mata Ashraf terbuntang luas. Peluh membasahi wajahnya. Jejaka kacukan itu beristigfar panjang. Mimpi itu lagi... peristiwa lama bermain kembali di layar mindanya.

“Aku mimpi ngeri!” tutur Ashraf yang sekaligus menerbitkan senyuman di wajah comel Azmir itu.

“Kau boleh lagi tidur pada masa yang macam ni. Hahahaha...” tutur Azmir yang disambut oleh tawa daripada rakan-rakan mereka yang merupakan anggota Komando 69. Ashraf sekadar tersengih kemudian kembali tenggelam dalam imaginasinya.

Peristiwa belasan tahun yang lalu kembali menghantui. Tragedi yang tidak mungkin luput dari benak fikiran Ashraf. Azmir merenung wajah rakannya itu. Ada rahsia yang cuba diselindungi. Bukan ketakutan tetapi hanya keresahan yang membasahi jiwa.

Lapangan Terbang Antarabangsa Eurasia

6.15 pagi, 1 April 2013

Pesawat Cessna yang membawa mereka mendarat selepas sejam perjalanan dari Lapangan Terbang Lama Sungai Besi. Pintu pesawat itu terbuka dan... mereka dihidangkan dengan rusuhan penduduk bandar yang cuba merempuh pintu masuk ke lapangan terbang. Malah, beberapa orang polis sedang melepaskan beberapa das tembakan ke arah penduduk bandar yang sedang merusuh.

Mujurlah pesawat yang mendarat menjauhkan penduduk bandar yang jumlahnya ribuan orang menjarakkan diri dari pintu gerbang EAIA. Anggota Komando 69 turun sambil menghampiri barisan anggota polis Eurasia yang sedang menembak penduduk Eurasia.

“Apa yang kau buat?” tengking Ashraf sambil menyentuh bahu seorang gadis yang lengkap berpakaian uniform polis yang cuba melepaskan beberapa das tembakan ke arah penduduk yang sedang merusuh. Anggota Komando 69 yang lain cuba menghentikan anggota polis yang lain.

“Tembak merekalah!” balas gadis itu dingin. Ashraf jadi berang. Tangan gadis itu dicapai oleh Ashraf. Pantas tapak tangan Ashraf menyentuh mata pistol bagi mengelak peluru sesat yang bakal membaham penduduk yang tidak berdosa.

“Apa yang awak buat ni?” soal gadis itu lagi.

“Hentikan perbuatan bodoh awak!” Ashraf memberi amaran. Gadis itu menggelengkan kepalanya.

“Awak yang akan bodoh kalau tak tembak mereka!” tingkah gadis itu sambil cuba menolak Ashraf.

Ashraf tidak percaya apabila perkataan itu keluar dari mulut gadis secantik itu. Tiba-tiba ada satu kekuatan kuat menolak Ashraf dari belakang membuatkan jejaka itu terjatuh sambil tertolak gadis polis itu. Dalam sekelip mata, Ashraf hanya sejengkal sahaja daripada betul-betul menghempap gadis itu. Mujurlah tangan sasa Ashraf menjadi tongkat.

“Er.. maaf!” tutur Ashraf pantas lantas bangkit.

“Awak! Hati-hati!” teriak gadis itu tiba-tiba lalu melepaskan beberapa das tembakan dari balik belakang Ashraf. Ashraf terkesima lantas menoleh. Rusuhan itu kelihatan seperti...

“Mereka zombi?’

Gadis itu mengangguk. Ashraf meraup wajahnya yang dibasahi peluh itu. Dia pantas bangkit lalu mengeluarkan senjatanya, sudah bersedia untuk bertarung.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.