Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 13 Cikgu Daniel

SMK Dato’ Onn

8.30 pagi, 1 April 2013

Jiwon sedang menggengam erat koler baju Syamir. Syamir terangkat di udara. Kekuatan yang dimiliki oleh Jiwon agak mengangumkan juga untuk seorang gadis. Izara yang sedang berdiri di sebelah Jiwon tergamam melihat reaksi spontan Jiwon itu.

“Kau ambil shotgun tu, tolong pertahankan Azim dari jauh. Aku percayakan kau,” tutur Jiwon yang masih belum melepaskan koler baju Syamir.

Kedengaran bunyi shotgun dilepaskan oleh Izara. Gadis itu agak bijak bermain senjata walaupun itu merupakan kali pertama dirinya menggunakan shotgun. Dia tidak perlu bertanyakan kepada Jiwon bagaimana mahu menggunakan shotgun itu kerana ayah Izara merupakan ketua polis Eurasia, jadi perkara yang berkaitan dengan senjata api ini merupakan kebiasaan gadis pemalu itu.

“Bagus Izara!” puji Azim yang sedang membersihkan laluan ke arah bas yang tidak jauh dari mereka. Izara tidak sahaj aberdiri di situ tetapi bertindak lebih berani. Dia menghampiri Azim. Dia memilih untuk mempertahankan Azim pada jarak yang lebih dekat.

“Hebat!” teriak Azim yang kelihatan sangat teruja bermain dengan pedang samurainya itu.

Sementara itu, Jiwon sedang merenung tajam mata Syamir.

“Lepaskan aku...” gumam Syamir yang langsung tidak meronta-ronta untuk melepaskan diri. Sebaliknya dia membiarkan dirinya diperlukan sedemikian rupa oleh Jiwon. Ternyata semangatnya untuk hidup sudah luntur.

“Terimalah kenyataan yang kakak kau dah tak ada!” pekik Jiwon sambil menumbuk pipi Syamir.

Kuat kekuatan tangan gadis itu, bibir Syamir sedang berdarah.

“Aku bodoh... kalaulah aku ajak dia ikut aku...”

“Kau rasa Leen nak tengok kau dalam keadaan yang macam ni ke?” tempik Jiwon tiba-tiba.

Syamir tergamam. Wajah Jiwon ditatapnya dalam-dalam.

“Leen nak tengok aku gembira” soal Syamir.

Jiwon mengangguk sambil tersenyum.

“Kau rasa Leen suka tak tengok keadaan dia macam ni?” teriak Jiwon, koler baju Syamir masih tidak dilepaskannya.

Azim dan Izara yang sedang berdiri membelakangi antara satu sama lain mengangguk serentak. Kemudian, Azim melibaskan pedang dan Izara melepaskan tembakan.

“Dengar tu Helmi. Kami perlukan kau di sini...” tambah Jiwon lagi, kali ini dia melepaskan koler Syamir. Kaki Syamir menjejak tanah.

Jiwon pantas mengambil pistol yang pernah diberikannya pada Syamir ketika pertemuan pertama mereka. Pistol Desert Eagle berserta kotak peluru yang masih belum digunakan.

“Ambil kau!” gumam Jiwon ketika dirinya hampir menjadi mangsa bahaman zombi ketika dia asyik menyedarkan Syamir.

“Maafkan Syamir...” Syamir mengulangi perkataan itu. Tiba-tiba sahaja dia tersenyum, lantas mengesat air mata yang mengalir. Kayu hoki yang terdampar di atas tanah di capainya.

“Aku akan mempertahankan kamu semua,” kata Syamir yang sambil menyentuh bahu Jiwon.

Kemudian, Syamir merenggangkan tangannya sebelum menghadiahkan sebuah hayunan. Tiga kepala zombi pecah merembeskan darah akibat menjadi mangsa hayunan kayu hoki. Kayu hoki itu terpatah dua, terpelanting lalu menghentam kepala zombi yang sedang membanjiri dataran sekolah itu.

Bunyi hon bas telah menarik perhatian Jiwon dan Syamir.

Azim dan Izara sudah tiba ke bas. Mereka berdua berjaya mengahrungi banjiran zombi yang sedang menghalang jalan. Syamir dan Jiwon kembali berkongsi pandangan. Masing-masing menguntum senyuman.

“Kayu hoki aku dah patah... sekarang masanya untuk aku beraksi menggunakan tangan aku,” gumam Syamir tenang.

“Boleh ke?” tanya Jiwon yang sedang mengisi peluru ke dalam pistolnya.

“Ini jaguh silat SMK Dato’ Onn,” kata Syamir.

“Kita berlumba untuk sampai ke sana?”

“Tak ada masalah. Aku tak pernah kalah.”

Selepas itu, Syamir sempat menjeling ke arah mayat kakaknya. Rasa hiba kembali menyerang hatinya. Namun, sekarang bukannya masa untuk bersedih. Suasana pada waktu itu bukan untuk orang yang lemah dan Syamir harus gagahkan dirinya.

***

Cikgu Daniel mendepakan tangannya, cuba menghalang sekumpulan pelajar yang tidak henti-henti mengekorinya dari belakang daripada meneruskan perjalanan. Mereka sedang bersembunyi di tingkat bawah banggunan utama SMK Dato’ Onn.

“Nampak tak bas sana?” tanya Cikgu Daniel kepada anak-anak muridnya yang akan mengikutinya.

6 orang pelajar SMK Dato’ Onn yang lengkap beruniform sekolah, terdiri daripada 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan mengangguk. Mereka kusyuk mendengar penjelasan lelaki yang berkaca mata itu.

“Kalau kita nak selamat, kita kena ikut budak empat orang tu. Kamu sendiri dah lihat bagaimana mereka bertempur dengan zombi-zombi tadi, macam tak ada masalah... kalau kita kekal dengan mereka, cikgu yakin yang kita pasti akan selamat,” kata Cikgu Daniel. Gayanya saling tak tumpah seperti seorang ahli politik yang sedang mengumpul pengikutnya.

Alexa yang hanya berbaring di atas sofa yang berdekatan dengan ruang penyambut tetamu di SMK Dato’ Onn itu mengangkat topi koboi yang menutupi wajahnya. Selaras Shotgun Semi-Auto versi Benelli M4 Super 90 yang panjangnya hampir 1 meter itu dicapai oleh Alexa.

“Masa untuk beraksi,” kata Alexa sambil memakai topi koboi yang digunakan sebagai penutup wajahnya. Dia kemudiannya mengisi beberapa butir peluru 12 caliber ke dalam Shotgun Semi-Auto itu.

“Bagi cikgu senapang tu. Ini bukannya permainan video...”

“Milik saya sebab saya yang jumpa,” kata Alexa sambil menolak Cikgu Daniel ke tepi yang jelas sedang menutup jalannya.

“Jangan nak kurang ajar...” gumam Cikgu Daniel geram.

Namun Alexa sudah meninggalkannya jauh, membuatkan Cikgu Daniel terpempan dengan sikap gadis itu. Lautan zombi yang membanjiri dataran sekolah tidak dipedulikan oleh Alexa.

“Budak perempuan tu...” gumam Cikgu Daniel geram. Dia menoleh kepada enam orang anak muridnya. Dia memberi isyarat supaya mengekorinya yang menjadikan Alexa sebagai perisai hidup secara tidak langsung.

“Kau nak pergi mana?” teriak Cikgu Daniel.

Alexa tidak menjawab sebaliknya mengacukan mata senapangnya ke arah bas yang sedang cuba dihidupkan oleh Izara dan Azim. Cikgu Daniel. Dia mengenali dua orang anak muridnya yang sedang berada di dalam bas.

Sementara itu, di dalam bas, Izara dan Syamir sedang bertengkar antara satu sama lain. Jiwon pula sedang duduk di kerusi pemandu manakala Azim sedang berbaring di bahagian paling belakang, menunggu bas itu untuk meneruskan perjalanan.

“Awak nak pergi mana?” teriak Izara sambil menarik lengan Syamir. Azim yang berkira-kira turun memalingkan tubuhnya menghadap Izara.

“Saya nak selamatkan Cikgu Daniel!” balas Syamir.

“Jangan buat kerja gila. Biarkan dia mereput kat luar sana!” Suara Izara kedengaran marah.

Syamir tergamam mendengarkan arahan Izara. Dia tidak pernah melihat Izara menjadi semarah dan sebengis itu. Syamir kemudian kembali menoleh ke arah batang tubuh Cikgu Daniel yang sedang berdiri sambil memberi isyarat kepada anak muridnya supaya berlari dengan pantas, tidak ubah seperti polis trafik yang mengawal kesesakan jalan raya.

Seorang anak murid Cikgu Daniel, lelaki yang berkaca mata itu tersembam lalu menyembah kaki Cikgu Daniel. Lelaki itu cuba bangkit namun kakinya terseliuh.

“Cikgu, kaki saya...” tutur pelajar lelaki itu. “Tolong saya...”

“Maafkan cikgu,” tutur Cikgu Daniel sambil tersenyum jahat.

Cikgu Daniel yang berkira-kira mahu melangkah pergi terus mati langkahnya apabila pelajar lelaki itu berpaut pada kaki Cikgu Daniel, cuba merayu simpati Cikgu Daniel supaya menyelamatkannya. Air mata mengalir deras daripada wajah pelajar lelaki itu.

“Pergi mati kau!” teriak Cikgu Daniel bengang lalu menghadiahkan tendangan yang kemudiannya hinggap pada wajah pelajar lelaki itu. Apa lagi, meraunglah pelajar lelaki itu manakala Cikgu Daniel memulakan larian derasnya. Sempat juga Cikgu Daniel menoleh belakang, melihat bagaimana pelajar lelaki itu tadi dikerumi oleh belasan zombi. Kedengaran suara pelajar lelaki itu meraung meminta tolong, tidak mahu menjadi makanan malam kepada mayat hidup.

Pintu bas sedang ditutup dan... Cikgu Daniel sempat melompat masuk dan serentak itu pintu bas tersebut menutup rapat ruang di belakanngnya. Lelaki itu terbaring keletihan manakala Izara sekadar melemparkan jelingan yang cukup meluat ke arah Cikgu Daniel.

“Awak akan menyesal membenarkan dia masuk,” bisik Izara di telinga Syamir.

Kelihatan seperti anak murid Cikgu Daniel yang lain sempat menempatkan diri ke dalam bas sekolah itu sekali gus membuahkan senyum di wajah Cikgu Daniel. Alexa sekadar melambaikan tangannya ketika menyedari mata Cikgu Daniel sedang melekat pada wajahnya.

“Terima kasih kerana menyelamatkan saya,” tutur Cikgu Daniel ketika melintasi Jiwon yang sedang duduk malas di atas kerusi pemandu.

“Sama-sama,” jawab Jiwon perlahan. Dia menekan pedal. Bas itu meluncur keluar dari SMK Dato’ Onn. Syamir sekadar duduk di tepi tangga bas sekolah itu, memikirkan kembali kata-kata Izara.

Awak akan menyesal membenarkan dia masuk...

Benarkah aku akan menyesal?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.