Hutan Simpan Eurasia
7.45 pagi, 1 April 2013
“Dari atas!” teriak Aulia
sambil menolak Harish ke tepi apabila salah satu daripada zombi menerkam dari
tingkat dua. Harish jatuh terlentang, begitu juga senjatanya, pistol Berreta
M9.
Zombi tadi dengan kepala yang
berlumuran darah, cuba mendekati Harish yang tidak bersenjata. Aulia pantas
melompat ke lantai lalu mengambil pistol Harish lalu melepaskan beberapa das tembakan
tepat mengenai kepala zombi yang cuba menjadikan Harish makan malamnya.
Harish yang sudah mula memejamkan
matanya, seolah-olah menyerahkan nyawanya kepada ALLAH terus sahaja merangkul
tubuh Aulia, sangat-sangat berterima kasih apabila gadis itu menjadi penyelamat
hidupnya. Aulia tergamam sebentar namun dia sempat ditarik ke dalam dunia
realiti.
“Nah, ambil pistol ini. Ada banyak zombi
lagi untuk awak selesaikan,” bisik Aulia ketika kepala Harish masih berada di
atas bahunya. Aulia pula masih tidak lekang melihat sekelililingnya. Mereka
sedang dikelilingi oleh ratusan zombi. Harish mengangguk setuju lalu mencapai
pergelangan tangan Aulia.
“Saya akan lindungi awak dengan
sepenuh hati saya. Terima kasih Aulia,” ucap Harish sambil erat menggenggamkan
pistol Berreta M9 yang diberikan oleh Aulia. “Mari berdepan dengan Mejar Adam
Harish, wahai manusia-manusia sesat sekalian...”
Harish sudah mengacukan picu
senjatanya dengan sebelah tangan sambil tanganya yang sebelah lagi memegang
erat pergelangan tangan Aulia. Aulia sekadar merenung kosong wajah Harish. Mata
jejaka itu sudah terpejam dan beberapa saat kemudian... beberapa das tembakan
dilepaskannya dan tidak ada satu pun tersasar. Empat orang zombi rebah ke tanah
dengan dua peluru sahaja.
“Jalan keluar,” bisik Harish. Dia
mengeratkan genggaman tangannya lalu menarik tangan Aulia mengikutinya ke arah
jalan keluar yang terbuka buat beberapa saat selepas Harish berjaya
menumbangkan empat zombi.
“Nak ke mana?” tanya Aulia.
“Lari,” balas Harish pendek lalu
memecahkan tingkap dengan kakinya di tingkat dua selepas berusaha menaiki
tangga tanpa dibaham oleh satu zombi pun. “Awak lompat ke bawah dulu!”
Aulia jadi diam selepas diarahkan oleh
Harish. Dia melihat tinggi rumah batu dua tingkat itu. Harish sedang melindungi
dirinya, sambil bertarung dengan zombi-zombi yang ada dengan sisa-sisa peluru
yang tinggal.
“Awak?” tanya Aulia.
“Saya akan terjun lepas awak terjun,”
balas Harish.
“Tapi saya takut!” balas Aulia.
“Terjun atau mati.” Harish memberikan
kata putus.
Aulia tiada pilihan. Keadaan
sekeliling telah memaksanya membuat keputusan itu. Aulia memanjat di bingkai tingkap
yang pecah itu dan sambil memejamkan erat matanya, gadis itu melompat ke bawah.
Dia jatuh tergolek tetapi kakinya sakit... seseorang turut terjun dari atas
sana.
“Awak tak apa-apa?” soal Harish.
“Kaki saya...” bisik Aulia lemah.
Kakinya terseliuh. Harish menggelengkan kepalanya lalu terus mencapai kaki
Aulia yang dibalut oleh seluar jeans. Harish menyisingkan seluar Aulia ke atas
paras lutut.
“Terseliuh aje,” kata Harish lalu
kembali berdiri, tetapi sakit di kakinya yang masih cedera kembali menyerang.
Meraung jejaka itu. Dia kembali terduduk. Matanya erat dipejam ketika menahan
kesakitan.
“Kenapa awak?” tanya Aulia pula.
“Sakit tadi datang balik,” jawab
Harish sambil matanya terpejam erat. Zombi-zombi tadi sedang mengelilingi
mereka membuatkan resah Aulia makin bertambah. Pada saat penyelamatnya sedang
kesakitan, mampukah dia untuk terus menghidup udara di atas bumi tuhan itu?
Aulia menghampiri Harish lalu
mengambil pistol jejaka itu yang tersarung di dalam poket seluar askar jejaka
berbadan tegap itu. Dia mahu berjuang juga. Dia tidak mahu kehadirannya sebagai
beban kepada Harish.
“Aulia...” seru Harish lemah apabila
melihat gadis itu berusaha untuk berdiri dalam kesakitan kakinya yang
terseliuh. Gadis itu memegang erat pistol Berreta M9. Kelihatan tekad di
wajahnya. Perasaan kagum lahir dari relung hati Harish. Gadis ini bukan
calang-calang perempuan... dia kuat.
Namun, belum sempat Aulia melepaskan
tembakan, bunyi loceng dari sebuah menara batu yang tersergam beberapa
kilometer daripada tempat mereka berdendang menarik perhatian zombi-zombi yang
sedang mengelilingi mereka berdua.
Penggerakan zombi-zombi tadi kaku
sambil menghalakan pandangan ke arah menara batu, punca bunyi loceng yang masih
berbunyi nyaring. Mata tajam Harish dapat menangkap kelibat seorang gadis yang
berpakaian merah, sedang berdiri di puncak menara itu.
Apa yang menghairankan, zombi-zombi
tadi meninggalkan mereka berdua yang sedang cedera itu. Masing-masing
berduyun-duyun bergerak menyelusurui hutan tebal yang mengepung kawasan kampung
itu. Lapangan di kampung aneh itu kembali membisu. Aulia terduduk melepaskan
lelah.
“Alhamdulilah...” ucap Aulia sambil mengurut
dadanya.
“Terima kasih,” balas Harish.
“Saya
akan melindungi awak sepenuh hati saya,” kata Aulia mengulangi kembali ayat
yang dituturkan oleh Harish. Harish merenung wajah gadis itu tajam sebelum
ketawanya meletus.
“Awak kelakar. Saya suka,” kata Harish
pendek.
Harish sedang merenung dengan penuh
cermat ke arah sebuah menara batu, punca bunyi loceng yang telah menyelamatkan
seseorang.
“Kenapa awak?” tanya Aulia.
“Seseorang telah menyelamatkan kita,
dari atas sana,” tutur Harish serius. “Seorang perempuan yang berbaju merah.”
“Kenapa dengan dia?” soal Aulia.
“Dia pasti tahu sesuatu tentang
kehilangan Shila. Kita kena cari dia,” kata Harish yang kembali bersemangat. Rasa
sakit di kakinya sudah semakin hilang dan dia sudah mampu berdiri. Aulia turut
berdiri tetapi berpaut pada lengan sasa Harish. “Destinati kita ialah menara
itu.”
***
“Kau gila ke?” marah Yusoff dengan
tindakan Farah. Shotgun sudah bersiap sedia di tangan lelaki kacukan
melayu-cina itu. Yusoff Ong dan Farah Ahmad sedang berdua di puncak menara.
“Kita memang gila kalau kita tak cabut
cepat,” kata Farah tenang.
“Kenapa kau heret aku buat semua kerja
bodoh ni?” tanya Yusoff bengang. Koler baju Yusoff tiba-tiba digenggam erat
oleh Farah.
“Kau lupa ke tugas kita ialah apa?
Negara telah mengupah kita untuk mencuri sampel virus T daripada Asstrold
Pharmacy. Budak Harish tu juga kita kena bantu sebab dia bekerja di bawah
payung yang sama dengan kita. Apa-apa pun tugas kau bakal bermula, sementara
aku masuk ke fasiliti mereka, kau bawa Harish jumpa Enrique, budak Shila tu ada
pada ketua kampung kita ni,” kata Farah Ahmad lagi. Yusoff mengeluh
berat.