Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 19 Berdua Lebih Baik

Detik ketika dia membuka mata dari lena, ketika baru sedar dari mimpi indah yang mengulit tidur ku, dia dihidangkan dengan mimpi ngeri yang membuatkan keberaniannya goyah. Ujian yang sangat berat yang telah menggoyahkan perasaannya.

Siapa yang mampu bertahan apabila diberitakan bahawa ibu dan bapa mereka hilang tiba-tiba di saat seluruh bandar dilanda makhluk pemakan daging segar? Syamir mampu melalui ujian itu. Kemudian, dia bersama kakaknya yang tercinta, Leen dan juga seorang bintang Korea terkenal, Jiwon menongkah bahaya untuk kekal hidup di tengah-tengah lautan zombi di ceruk kota Metropilitian yang sudah menjadi neraka dunia.

Tuhan belum berhenti menduga kesabaran Syamir. Kakaknya pula, Leen dipanggil. Hanya beberapa jam selepas kehilangan kedua-dua orang tua Syamir. Ketika itu, Syamir sudah hilang semangat. Putus asa menjalar dalam dirinya... tetapi terima kasih kepada Jiwon, semangat untuk terus hidup kembali hidup di dalam diri Syamir.

Syamir Fitri... 

Lebuhraya Eurasia

1.00 Petang, 1 April 2013

“Syamir Fitri!” panggil Izara ketika mereka sedang berehat selepas mengharungi perjalanan jauh merentasi Lebuhraya Pulau Eurasia untuk tiba ke bandar yang paling berdekatan, bandar yang menempatkan Balai Polis Utama Eurasia.

“Maaf,” kata Syamir yang kemudiannya menghabiskan sisa air kosong yang diminum dengan membasahkan rambutnya.

“Awak mengelamun lagi, ya?” tanya Izara melabuhkan punggungnya di sebelah Syamir yang sedang duduk di atas rumput di tepi Lebuhraya.

Syamir tersenyum.

“Saya teringat kat kakak serta mak dan ayah,” gumam Syamir sambil kembali menundukkan kepalanya.

Wajah Syamir direnung penuh sayu oleh Izara. Tapak tangan Syamir dicapai oleh Izara. Syamir mendongak lalu menatap wajah ayu Izara. Gadis itu mengukirkan senyumannya, cantik.

“Awak masih ada saya. Kawan baik awak,” tutur Izara.

“Izara...”

Air mata Syamir menitis tanpa sedar.

“Apa ni budak lelaki menangis,” usik Izara sambil mengesat air mata Syamir yang mengalir.

“Saya...” tutur Syamir, yang hilang kata-kata.

Izara tiba-tiba bangkit lalu menepuk bahu Syamir.

“Kita kena cepat. Mereka mungkin tunggu kita,” kata Izara lalu melangkah ke arah motorsikal yang ‘dipinjam’ oleh Syamir itu daripada pemiliknya yang telah bertukar menjadi zombi.

Syamir tersenyum. Dia mengesat baki air mata yang mengalir.

Betul kata Izara Aishah. Aku harus kuat dan jangan menangis. Sekurang-kurangnya aku ada kawan-kawan aku. Izara... Azim... aku ada mereka berdua. Sumber kekuatan aku!

Bas Sekolah

1.15 Pagi, 1 April 2013

Azim kelihatan sangat berpeluh. Kepalanya mula terasa pening. Cikgu Daniel yang duduk di tempat duduk di sebelahnya, hanya dipisahkan laluan jalan kaki di dalam bas itu merenung penuh curiga tingkah Azim. Mata Cikgu Daniel kekal fokus pada lengan Azim yang dibalut oleh kain putih yang sudah bertukar merah.

“Kau ni kenapa?” tanya Cikgu Daniel.

Azim cuba tersenyum. Tangannya spontan menyentuh balutan yang bercampur dengan darah itu. Terasa sakit pula lengannya pada waktu itu.

Ya ALLAH, kenapa sakit sangat ni?

Cikgu Daniel kembali berdiri. Dia menghampiri Azim yang sedang berpeluh menahan sakit itu. Lalu Cikgu Daniel menyentuh lengan Azim itu. Apa lagi, meraunglah Azim kesakitan.

“Kau ni kenapa?” tanya Cikgu Daniel. Lengan Azim semakin erat diepgang oleh Cikgu Daniel.

“Sakitlah bodoh!” teriak Azim. Urat-urat hijau tersembul di leher Azim manakala mata Azim makin bertambah merah.

Cikgu Daniel lantas membuka balutan di lengan Azim. Selamba sahaja lelaki yang berkaca mata itu melakukan perkara itu. Terserlah luka gigitan yang kini sudah berulat. Kelihatan tulang Azim yang terdedah apabila sebahagian isi Azim sudah tiada di bahagian lengan itu.

“Zombi gigit kau?” tanya Cikgu Daniel.

“Jangan kacau akulah bodoh!” tengking Azim sambil merampas kainnya kembali dari tangan Cikgu Daniel.

Cikgu Daniel mengangkat bahunya lalu kembali berdiri. Dia meninggalkan Azim yang sedang membuang ulat yang berada di lukanya. Kemudian, Azim mengoyak lengan bajunya yang sebelah lagi lalu membalut luka yang terdedah itu.

“Kamu berhenti,” arah Cikgu Daniel.

Jiwon menoleh ke arah Cikgu Daniel. Kemudian, dia kembali memberi fokus ke arah pemanduan. Cikgu Daniel pada pandangan matanya hanyalah tunggul kayu. Tiba-tiba, ada sesuatu menyentuh kepala Jiwon.

“Nak tembak aku?” tutur Jiwon.

“Jangan cabar aku, perempuan. Kau sedar tak yang kita sedang membawa seorang manusia yang sedang dijangkiti Virus T di dalam bas ini?” tanya Cikgu Daniel. “Tak lama lagi, budak Azim itu akan berubah menjadi zombi. Aku nak kau berhentikan bas ini dan kita halau dia dari bas ini.”

“Sekurang-kurangnya biar kita sampai ke destinati kita dulu,” kata Jiwon pendek. Gadis itu kelihatan tenang.

Picu pistol itu ditarik oleh Cikgu Daniel.

“Aku dah bagi amaran tadi. Selamat...”

Jiwon menekan pedal brek bas sekolah yang dibawanya itu. Cikgu Daniel hilang keseimbangan lalu tembakannya tersasar mengenai cermin di sebelah Jiwon. Apa lagi, kesempatan itu diambil oleh Jiwon untuk menendang tangan Cikgu Daniel yang memegang senjata api.

Beberapa orang anak buah Cikgu Daniel bangkit cuba membantu Cikgu Daniel, namun Alexa terlebih dahulu telah bertindak. Shotgun di tangannya telah diacukan pada sekumpulan anak muda itu.

“Kurang ajar kau!” teriak Cikgu Daniel yang bangkit cuba menyerang namun Jiwon tangkas mematahkan serangan Cikgu Daniel.

“Siapa nak ikut aku berambus dari bas ini bersama Azim?” perlawa Jiwon sambil meletakkan kakinya di atas dada Cikgu Daniel yang terbaring sambil tercungap-cungap. Jelas yang Cikgu Daniel bukannya tandingan Jiwon. Tangan Jiwon pula sedar erat memegang selaras Shotgun jenis Browning.

Alexa mengangkat tangan di udara.

“Siapa lagi?” teriak Jiwon. Namun, hanya tangan Alexa sahaja yang berada di udara.

Kemudian, Jiwon menghampiri Azim yang sedang tercungap-cungap kesakitan. Lalu, Jiwon melingkarkan tangannya di lengan Azim untuk membantu jejaka itu kembali berdiri.

“Mari kita pergi,” ajak Jiwon kepada Alexa.

Alexa mengangguk. Dia mengawal Jiwon yang sedang memapah Azim berjalan daripada disentuh oleh anak-anak buah Cikgu Daniel yang masing-masing sedang berdiri seolah-olah sedang bersedia untuk membaham mereka bertiga.

Pusat Bandar Eurasia

2.15 Petang, 1 April 2013

Motorsikal yang dipandu oleh Syamir kelihatan berhenti di tepi jalan raya yang sunyi. Izara yang menumpang di belakang turun sambil mendekati sebuah kereta polis yang terbiar.

“Hati-hati Izara,” tutur Syamir yang memilih untuk kekal di atas motorsikal.

Langkah kaki Izara berhenti sebaik sahaja melihat Syamir langsung tidak berganjak dari motorsikal.

“Awak kena ikut saya sekali,” arah Izara sambil bercekak pinggang.

Syamir ketawa kecil melihat tingkah Izara itu.

“Saya tak ada lesen, saya tak pakai helmet, dan ini ialah motor curi. Polis yang ada dalam tu tak tangkap saya ke?” seloroh Syamir. Wajah Izara makin masam apabila dihidangkan dengan perangai loya buruk Syamir.

“Tiada siapa yang peduli tentang semua itu sekarang. Tamadun dah hancur...” kata Izara lalu menarik tangan Syamir.

“Kalau ya pun, tunggulah saya turunkan tongkat ni dulu,” kata Syamir.

Izara mengangguk lalu berdiri sambil berpeluk tubuh di sebelah Syamir. Baju kurung sekolah yang selalunya putih itu kelihatan tompokan darah merah. Syamir pula masih setia dengan kemeja biru dan seluar jean. Kelihatan kaki Syamir seperti sudah pulih.

“Dah, mari pergi,” kata Syamir lalu mengeluarkan pistolnya sebagai langkah berjaga-jaga. Dia mengetuai Izara yang berada di belakangnya. Dari jauh, seperti kereta polis yang ditemui mereka itu baru sahaja kemalangan. Kelihatan pemandunya, seorang lelaki yang lengkap beruniform sedang tersandar di kerusi sambil mulut yang ternganga. Kepala lelaki itu kelihatan berdarah.

“Rasanya dia dah mati,” gumam Izara dari belakang.

Syamir kembali menyimpan pistolnya, tetapi...

“Jangan. Barangkali polis tu boleh jadi zombi,” tutur Izara sambil memegang lengan Syamir. Pistol Magnum itu tidak jadi di simpan.

Kemudian, mereka berdua memeriksa mayat polis itu. Izara telah menjumpai sepucul pistol M1911 bersama cota polis yang kemudiannya di ambil oleh Syamir. Izara berkeras tidak mahu memberikan pistol itu kepada Syamir.

“Awak pandai guna pistol ke?” tanya Syamir.

“Tengoklah ayahnya siapa. Ketua Inspektor Razmi!” kata Izara, mendabik dada.

Syamir teregelak kecil.

“Awak ni memang suka gelakkan saya ya?” marah Izara.

Syamir menggelengkan kepalanya.

“Awak tu comel sangat,” kata Syamir lagi membuatkan wajah Izara merah padam.

Stesen Minyak Petronas

2.30 Petang, 1 April 2013

“Awak ada kad kredit?” soal Syamir.

Izara sekadar menggelengkan kepalanya.

“Awak tunggu sini, saya nak masuk ke dalam sana. Saya pernah kerja kat stesen minyak jadi saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Kalau ada apa-apa yang berlaku, menjerit. Saya akan datang,” kata Syamir sambil memegang erat cota polis yang diambil oleh mereka.

Ketika Syamir mahu melangkah pergi, pergelengan tangannya dicapai oleh Izara.

“Jangan tinggalkan saya lama-lama. Saya cuma ada awak seorang aje,” tutur Izara. Langkah kaki Syamir mati sebaik sahaja mendengarkan pengakuan Izara. Syamir berpaling sambil tersenyum sinis.

“Dalam hati awak,” tutur Syamir sambil memegang dadanya. “Hanya ada satu nama, iaitu Azim.”

“Kenapa awak cakap macam tu?” tanya Izara.

“Saya kenal awak, dah lama...” tutur Syamir sambil melangkah pergi. Izara Aishah hanya menatap Syamir sayu dari belakang.

***

Syamir sempat meminum air Hundred Plus yang diambilnya daripada peti sejuk yang tersedia. Selepas mengaktifkan pam minyak, Syamir sempat juga menghancurkan mesin wang lalu mengambil beberapa wang yang boleh digunakan untuk proses survival zombi apokalips itu.

“Dia cantik...” gumam Syamir ketika sedang duduk di atas meja juruwang. Matanya sedang ditala ke arah Izara yang sedang berdiri berseorangan. Mata gadis itu resah memandang kiri dan kanan.

“Tapi sayang... kau milik Azim,” kata Syamir lalu melontarkan botol minuman itu ke lantai. Dia baru sahaja mahu berkira-kira melangkah keluar dan...

Jeritan Izara bergema. Seorang lelaki yang berbadan tegap sedang memeluk gadis itu dari belakang. Pisau terhunus di leher Izara.

“Kurang ajar kau...” gumam Syamir sambil berlari ke arah Izara.

“Awak! Tolong saya!” teriak Izara ketakutan.

“Kau, lepaskan dia!” kata Syamir yang kini sedang berdiri di hadapan Izara dan lelaki itu.

“Cantik awek kau ni,” gumam lelaki itu sambil menjilat leher Izara.

Don’t you ever touch my girl!” tempik Syamir yang mahu menyerang lelaki itu. Izara benar-benar terpempan dengan ungkapan my girl yang keluar dari mulut Syamir.

“Jangan dekat atau...” tutur lelaki itu tadi membuatkan keinginan Syamir terbantut.

“Bagi kunci motor kau... dengan cota polis tu. Atau, awek kau ni akan mati!”

Izara menggelengkan kepalanya.

Syamir mengeluh berat. Dia meletakkan cota itu di atas lantai lalu menendang ke arah lelaki yang berbadan tegap itu. Lelaki berbadan tegap itu menunduk mahu mengambil cota itu dan... Syamir pantas mengeluarkan pistol magnumnya. Tembakan dilepaskan lalu tepat mengenai perut lelaki itu. Izara mengambil kesempatan itu dengan berlari ke arah Syamir. Pantas tubuh Syamir dirangkul oleh Izara.

“Terima kasih awak...”

“Lain kali, jangan jadi bangsat!” tutur Syamir sambil mengambil cotanya. Lelaki tadi mengerang kesakitan di atas lantai.

“Kita kena pergi. Kita dah buat cukup bunyi bising untuk menarik perhatian zombi,” kata Syamir yang kembali ke atas motor. Izara duduk di belakangnya. Sempat juga Izara melemparkan jelingan ke arah lelaki yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya itu.

“Tolong jangan pergi... selamatkan aku,” tutur lelaki itu yang sudah menangis teresak-esak.

Namun, Syamir memecut laju selepas mengisi minyak. Meninggalkan si lelaki itu keseorangan, menunggu diri dijadikan makanan tengah hari. Kelihatan banjiran zombi sedang menghampiri stesyen minyak itu.

“Selamat tinggal,” gumam Syamir yang sempat menoleh ke belakang.

“Tolong aku....” Raungan lelaki itu bergema apabila daging-daging tubuhnya dicarik-carik oleh ratusan zombi yang sedang mengelilinginya. Darah memercik merata di stesen minyak Petronas itu.

Izara memeluk erat Syamir, tidak sanggup mendengar jeritan lelaki tadi yang tetap sayup-sayup kedengaran walaupun mereka telah jauh meninggalkan stesyen minyak itu.

Lebuhraya Eurasia

2.45 petang, 1 April 2013

Jutaan kereta sedang berbaris tanpa pemandu. Setiap kereta kelihatan usang di tengah-tengah Lebuhraya yang kiri dan kanan terdapat bukit bakau yang penuh menghijau. Suasana sepi yang menyelubungi kelihatan sangat menghimpit paru-paru.

Di tepi lebuhraya yang memanjang sehingga di hujung horizon, kelihatan tiga manusia yang sedang berjalan longlai, lemah kerana penat selepas terpaksa berjalan kaki. Jiwon kelihatan yang paling menerima kesan.

“Tinggalkan aku kat sini,” tutur Azim sambil cuba menolak tangan Jiwon yang sedang melingkari lengannya. Jiwon menggelengkan kepalanya.

“Tak... tak... aku dah berjanji dengan Syamir dan Izara, aku akan bawa kau jumpa mereka hidup-hidup!” kata Jiwon sambil mengetatkan pelukannya.

“Aku dah dijangkiti virus T. Betul kata Daniel...” gumam Azim lagi.

“Mana kau tahu? Mungkin kau sedang sakit... demam barangkali,” Jiwon cuba membantah.

“Jangan jadi buta! Dan membodohkan diri kau! Lihat tangan aku yang berbalut ini!” teriak Azim tiba-tiba. Langkah kaki mereka bertiga berhenti di situ.

“Aku dah digigit oleh zombi!” sambung Azim. Serentak itu, Jiwon spontan melepaskan lengan Azim manakala Azim sedang terlutut di tepi jalan raya. Dia sedang menangis teresak-esak.

“Masa di sekolah, aku digigit oleh mereka. Ini...” kata Azim sambil membuka balutan di lengannya.

“Azim..” tutur Jiwon serentak melihat lengan Azim. Terdapat bahagian lengannya yang sudah hilang. Kelihatan tulang Azim manakala terdapat ulat yang sedang menghurung bahagian isinya yang terdedah.

“Korang jijik bukan?” tutur Azim sambil tersenyum sinis. “Sebahagian daripada tubuh aku bukan lagi manusia. Aku sedang bertukar... saling tak tumpah macam penduduk Pulau Eurasia!”

“Azim...” Jiwon hilang kata-kata.

“Dahlah.. tinggalkan aku keseorangan di sini,” kata Azim lagi.

Bam! Sebuah tumbukan hinggap di pipi Azim. Alexa sedang memegang koler jejaka itu. Terangkat Azim di udara. Jiwon menunjukkan reaksi terkejut melihat kekuatan yang dimiliki oleh Alexa.

“Aku kenal kau Azim... aku sangat kenal kau. Tapi, sekarang aku dah tak kenal kau,” kata Alexa lalu menghadiahkan lagi sebuah tumbukan. Kali ini Azim terperosok di atas jalan tar.

“Kenapa tumbuk aku?” tanya Azim sambil mengesat darah yang mengalir.

“Aku nak kau sedar. Azim yang aku kenal bukannya seorang yang senang menyerah. Selagi kau bernama manusia, kau harus tetap berjuang. Aku akan bawa kau ke hospital bila kita tiba di pusat bandar nanti. Mungkin di sana...”

Ceramah yang dilontarkan oleh Alexa sudah tidak dipedulikan oleh Azim. Pistol M1911 yang tersarung kemas di dalam poket seluar jeans Alexa tiba-tiba dirampas oleh Azim.

“Tinggalkan aku atau aku bunuh korang!” teriak Azim tiba-tiba sambil mengacukan pistolnya ke arah Alexa yang sedang berdiri di hadapannya.

“Azim!” panggil Jiwon.

“Atau... aku akan tembak diri aku sendiri!” Ugut Azim lagi.

“Ingat ALLAH Azim...” gumam Alexa.

“Aku... aku...” Azim tiba-tiba menggeletar apabila mendengar nama itu.

“Tapi...” tutur Azim. Tangannya kembali longlai.

Alexa menoleh ke arah Jiwon. Kedua-dua gadis itu mengangguk. Kesempatan itu dirangkul oleh Jiwon dengan menendang tangan Azim. Pistol itu tercampak di atas jalan raya dan Alexa sempat berbuat sesuatu pada leher Azim, sehingga Azim pengsan. Azim rebah.

“Aku akan gendong dia,” kata Alexa sambil membawa Azim di belakangnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.