Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 5 Kampung Misteri

Hutan Simpan Eurasia

7.00 pagi, 21 Disember

Harish sedang memejamkan matanya, menahan kesakitan apabila Aulia sedang mencuci luka di wajahnya. Aulia yang merupakan seorang pelajar yang mengambil jurusan yang berkaitan dengan perubatan kelihatan begitu cermat sekali merawat Harish. Baru sahaja sebentar tadi dia usai membalut tangan Harish.

“Auch,” sekali sekala Harish mengerang kesakitan.

“Tahanlah sikit sakit tu,” tutur Aulia sambil mengukirkan tersenyum. Kesakitan yang dirasai oleh Harish terasa hilang buat seketika apabila senyuman gadis itu sedang menghiasi pandangan matanya.

“Siap,” kata Aulia yang baru sahaja usai menyapu herba-herba yang ditemuinya pada luka di wajah Harish. Harish tidak menjawab sebaliknya dia masih kaku merenung wajah Aulia. Comel...

“Awak?” panggil Aulia sambil melambaikan tangannya. Harish pantas menggelengkan kepalanya. Dia kembali tersenyum. Harish cuba bangkit tetapi Aulia terlebih dahulu memegang lengan sasa jejaka itu.

“Saya papah awak,” kata Aulia sambil mengukirkan senyuman di wajahnya.

“Jangan senyum,” gumam Harish tiba-tiba.

“Kenapa?” soal Aulia.

“Jangan tanya,” balas Harish lagi.

“Okey,” jawab Aulia pendek sambil mengangkat bahunya. “Tapi, kita nak ke mana?” tanya Aulia. Belum sempat Harish mahu menjawab persoalan Aulia itu, tiba-tiba alat komunikasinya kembali berfungsi. Fon telinga yang disumbat di telinganya memancarkan suara seseorang.

“Hello, ini Emma bercakap. Apakah Mejar Adam Harish berada di sana?” soal satu suara. Harish mengarahkan Aulia supaya senyap. Peluang inilah yang ditunggu-tunggunya. Aulia pula sekadar membatu di sebelah Harish.

“Ini saya, Mejar Harish, roger,” jawab Harish.

“Bagus. Akhirnya dapat juga menghubungi awak. Saya ialah orang yang akan membantu awak dalam misi menyelamatkan Shila. Syukur kepada ALLAH yang anda selamat. Apa-apa pun, ada sebuah perkampungan yang tidak jauh dari tempat anda berada. Kami mahu awak dapatkan maklumat di situ,” kata Emma lagi. Harish mengangguk seorang diri.

“Macam mana kau tahu lokasi aku?” tanya Harish. Perkataan saya dan awak tidak lagi digunakan dalam perbualannya. Emma yang sedang berada di pejabat perdana menteri, Datuk Shahrin Ruslan.

“Kami dah pasangkan alat pengesan di baju awak. Jadi, lokasi awak sudah tertera di atas peta di skrin komputer saya. Kampung itu terletak di utara dari lokasi awak berdiri. Apa-apa pun, teruskan misi awak. Selamat berjaya,” tutur Emma lalu mematikan komunikasi antara dia dan Harish. Pantas Harish mengeluarkan senjata, pistol Beretta M9. Hanya itu sahaja yang tinggal padanya selepas kemalangan helikopter pada tempoh hari.

“Kamu ikut saya. Kita akan ke sebuah perkampungan yang berhampiran dengan kita. Saya baru sahaja mendapat makluman daripada HQ, kemungkinan besar kita akan mendapat maklumat dari perkampungan itu.”

***

Langkah kaki Harish terhenti apabila sebuah tembok batu sedang menghalang jalan mereka. Terdapat sebuah pintu gerbang yang terdapat ukiran aneh sedang menanti mereka di tengah-tengah tembok batu yang melintang jauh. Kedengaran raungan dari dalam perkampungan yang dilindungi oleh tembok batu itu.

“Shyy...” arah Harish yang sudah bersiap sedia mengacukan pistolnya, sambil menghampiri pintu gerbang itu perlahan-lahan. Pintu tersebut ditolaknya perlahan, tidak berkunci. Harish mengintai dari celah pintu itu.

“Astagfirullah...” Harish sempat beristighfar. Dia melihat mayat pemandu helikopternya sedang dibakar hidup-hidup di tengah-tengah lapangan. Lapangan itu penuh dengan lautan manusia. Aneh, cara penggerakan mereka sangat lemah longlai.

Aulia yang melihat perkara itu mahu sahaja menjerit, tetapi mulutnya sempat ditekup oleh Harish. Harish yakin pastinya mereka semua ada kaitan dengan kehilangan Shila. Kelihatan beberapa orang penduduk kampung tersebut sedang mencampakkan daun kering ke atas api yang sedang marak memanggang tubuh pemandu helikopter milik Harish.

“Kita akan masuk ke dalam sana,” kata Harish serius yang mengundang renungan tajam Aulia seolah-olah Aulia sedang bertanya melalui matanya, “Awak dah gila ke?” Belum sempat Aulia mahu membantah, Harish sudah menarik tangannya, supaya mengekor Harish memasuki kawasan perkampungan itu.

“Assalamualaikum...” tutur Harish tiba-tiba. Pandangan penduduk kampung itu merenung tajam ke arah Harish dan Aulia yang sekadar tersengih bodoh. Harish kelihatan mengeluarkan sekeping foto, lalu menghampiri salah seorang dari penduduk perkampungan itu.

“Pak cik ada nampak tak gadis dalam gambar ini?” soal Harish, yang kelihatan sangat tenang berhadapan dengan situasi itu padahal Aulia sudah mula ketakutan apabila mereka sedang dihampiri dari serata sudut oleh ratusan penduduk kampung tersebut. Erat lengan Harish dipeluk oleh Aulia.

Harish tersengih melihat mereka sedang dikelilingi oleh lautan manusia di dataran itu. Ada di antara mereka sedang memegang sebuah kapak, berjalan dengan sangat lemah dan longlai ke arah Harish.

“Siapa di antara kamu yang ada nampak gadis ini?” tanya Harish sambil menjulang foto Shila.

“Mereka ni nampak macam bukan manusia aje...” bisik Aulia di telinga Harish namun tidak diendahkan oleh Harish. Merasakan keselamatan mereka berdua tidak lagi selamat, Harish mengeluarkan lencananya yang mengatakan dirinya merupakan pihak berkuasa.

“Saya Mejar Harish dari unit siasatan PDRM dan saya perlukan bantuan kamu semua. Ada sesiapa nampak anak perdana menteri Malaysia? Dia hilang...” belum sempat Harish menghabiskan kata-katanya, dirinya ditolak dari belakang. Salah seorang daripada penduduk kampung itu sudah bertindak luar batasan.

“Zombi?’ gumam Harish tidak percaya. Kelihatan Aulia sedang memapah jejaka itu untuk kembali berdiri. Harish pantas mengeluarkan sepucuk pistol, lalu melepaskan beberapa tembakan mengenai penduduk kampung itu.

“Harish? Kenapa?” tanya Aulia namun soalan Aulia tidak berjawab. Pantas pergelengan tangan Aulia dicapai oleh Harish lalu menarik gadis itu supaya mengekoirnya. Harish sempat melepaskan dua das tembakan di kira dan kanannya, bagi membuka laluan untuk dirinya melarikan diri.

Mereka berdua menghampiri sebuah rumah batu dua tingkat yang tidak jauh dari tempat tadi lalu memasukinya.

“Tolong aku tolak almari ni. Kita kena berlindung di dalam!” kata Harish memberi arahan. Sebuah almari yang lokasinya terletak di sebelah pintu masuk ke rumah batu itu telah ditolak oleh Harish dan Aulia untuk dijadikan sebagai penahan agar pintu tidak rosak. Kemudian, beberapa almari lagi diubah untuk melindungi bahagian tingkap rumah tersebut.

“Kenapa awak tembak mereka? Dan kenapa mereka nak serang kita? Siapa mereka?” soal Aulia bertalu-talu seolah-olah tidak mahu memberi ruang untuk Harish bernafas. Harish tidak mengendahkan pertanyaan Aulia itu sebaliknya sedang mengisi peluru Berreta M9 miliknya itu.

“Kita naik atas,” arah Harish serius.

“Awak tak jawab soalan saya lagi!” marah Aulia.

“Bukan sekarang. Kita ada benda yang lagi...”

“Saya nak tahu apa yang terjadi pada Shila sekarang juga! Saya tak faham apa yang terjadi pada rakan saya dan saya dah tak boleh duduk diam lagi,” pintas Aulia marah. Harish terdiam. Wajah Aulia diamatinya penuh kusyuk.

“Kau nak tahu?” tanya Harish.

“Yup,” balas Shila.

“Mereka semua itu zombi. Bandar Eurasia sudah diserang zombi. Maksud aku, hampir semua penduduk bandar itu sudah dijangkiti oleh virus T yang disebarkan oleh sebuah syarikat yang bernama Asstrold Pharmacy. Shila diculik kerana syarikat itu tidak mahu Perdana Menteri Shahrin berbuat sesuatu bagi memindahkan semua penduduk Eurasia bagi memudahkan kerja mereka,” terang Harish yang kembali meyarungkan pistol tersebut di seluar jeansnya.

Aulia mengeluh berat.

“Macam cerita filem pula. Resident Evil...” ulas Aulia.

“Jangan risau. Mejar Harish tidak pernah gagal dalam hidupnya,” kata Harish lagi. Namun perbualan mereka mati secara tiba-tiba apabila kedengaran bunyi sesuatu pecah dari atas. Harish kembali mengeluarkan pistolnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Lelaki itu memanjat tangga untuk ke tingkat dua. Kejutan sekali lagi menjelma apabila salah seorang zombi telah mendirikan sebuah tangga untuk naik ke atas. Malang, tangga tersebut mengenai tingkap lalu pecah.

Harish berlari ke arah tingkap lalu melepaskan beberapa das tembakan dari atas lalu mengenai kepala zombi yang sedang memanjat untuk ke atas.

“Ambil kayu tu Aulia!” arah Harish. Masalah tidak berhenti setakat itu, kedengaran bunyi dentuman dari tingkat bawah. Kelihatan seperti zombi sudah berjaya memecah masuk ke dalam rumah itu. Ya ALLAH... kau selamatkanlah kami.

Next: Bab 6 Bayi

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.