Jalan Emerald
3.30 Petang, 1 April
2012
Syamir sedang duduk di dalam sebuah
kedai yang terletak di tepi Jalan Emerald. Izara pula setia mencuci luka di
kakinya menggunakan barang-barang dari peti pertolongan cemas yang diambil dari
farmasi yang berdekatan.
Izara merenung wajah Syamir yang
kelihatan sangat muram. Dalam masa sehari, Syamir telah kehilangan semua ahli
keluarganya. Malah, Syamir terpaksa membunuh kedua-dua ibu bapanya yang telah
bertukar menjadi zombi menyelamatkan Izara.
“Jangan menjerit ya?” gumam Izara
yang merupakan ahli PBSM di sekolah dahulu. Dia tahu serba sedikit untuk
mencuci luka seseorang. Namun, Syamir langsung tidak bersuara. Jejaka itu telah
larut dalam kesedihannya.
“Mmmm...”
Selepas kembali membalut luka di
kaki Syamir. Izara mengambil tempat duduk di sebelah Syamir. Tapak tangan Syamir
dicapai oleh Izara. Namun, Syamir tidak memberikan sebarang respon.
“Awak...” tutur Izara memanggil Syamir.
“Ya?” jawab Syamir pendek sambil
menoleh ke arah Izara. Mata Syamir merah kerana dia baru saja menangisi
pemergian ibu dan bapanya.
“Awak kena kuat ya? Awak masih ada
saya dalam hidup awak,” tutur Izara.
Syamir sekadar tersenyum.
“Kalau sesuatu terjadi pada saya,
awak kena ingat janji awak ya?” tutur Izara.
Syamir menjadi tertarik dengan
ungkapan yang keluar dari mulur Izara tadi.
“Janji apa?” tanya Syamir.
Izara tersenyum.
Sembilan
tahun lalu...
Syamir yang kelihatan comel waktu
berumur 10 tahun baru sahaja pulang ke rumah selepas habis bermain bola sepak.
Kelihatan ibunya sedang mundar-mandir di perkarangan ruang tamu membuatkan Syamir
bertambah bingung.
“Kenapa mak?” tanya Syamir.
“Izara,
kawan kau hilang. Dia ada tinggalkan nota sebelum lari dari rumah. Lepas mak
solat asar, kau tolong mak cari dia,” jelas ibu Syamir. Syamir sekadar mengeluh
berat. Dia menghempaskan tubuhnya di atas sofa yang empuk.
“Malaslah mak!” kata Syamir dingin.
“Naruto dah nak start. Syamir nak
tengok episod Naruto lawan Sasuke tu,” kata Syamir. Ibunya berang dengan sikap
acuh tidak acuh Syamir. Telinga Syamir ditarik oleh ibunya membuatkan Syamir
menjerit kesakitan.
Selepas dimarahi, Syamir berlari
keluar dari rumahnya untuk mencari Izara. Namun, budak lelaki itu hanya sekadar
mundar-mandir di tepi jalan raya kawasan perumahannya. Dia bengang bila waktu
lapangnya diganggu.
“Syamir!” panggil satu suara
membuatkan Syamir berhenti.
“Izara!” panggil Syamir namun kali ini tiada balasan.
Kawasan perumahan rumah teres itu kosong, tiada langsung kelibat orang di sekelilingnya.
Mata Syamir melekat pada satu tong sampah yang dikalihkan kedudukannya,
terbalik. Syamir memberanikan dirinya mengangkat tong sampah kosong itu dan
Izara sedang duduk bercangkung di dalamnya. Budak perempuan itu tersengih
apabila Syamir menjumpainya.
“Apa yang kau buat kat sini?” tanya Syamir.
“Menyorok,” jawab Izara pendek.
“Dahlah tu Izara. Jom ikut aku
balik?” ajak Syamir.
“Tak nak!” kata Izara sambil
menjelirkan lidahnya sebelum berlari dari Syamir. “Kata kat mak yang Izara tak
nak balik!”
Budak perempuan ni!
Syamir mengusutkan rambutnya sebelum
berlari mengejar Izara dari belakang. Lama mereka berlari sehinggalah Izara
kepenatan lalu berhenti di tepi jalan. Syamir juga kelihatan tercungap-cungap
ketika berhenti.
“Kenapa kau nak lari dari rumah?”
tanya Syamir.
“Ayah tak nak bawa Izara pergi
Genting. Dia dah janji masa cuti ni dan Izara dapat nombor satu masa ujian,
kita boleh pergi Genting Highland. Tapi... dia tipu Izara bila dia ada kerja
hari ni,” kata Izara sedih.
“Hahahahhaah...” pecah ketawa Syamir.
“Pasal tu pun kau nak merajuk? Sudah-sudahlah tu!”
“Kenapa Syamir cakap macam tu? Genting
Highland tu best tau. Izara nak pergi
sana. Kalau Syamir nak balik, Syamir pergilah,” kata Izara yang kemudian
berjalan meninggalkan Syamir. Mereka sedang menuju ke arah padang bola.
Langkah kaki Izara dan Syamir
terhenti apabila mereka terlihat terdapat sebuah kereta terbiar di atas padang
bola yang agak jauh dari rumah mereka. Dua orang kanak-kanak kecil itu teruja
melihat kereta itu. Mereka berlari dengan pantas ke arah kereta itu.
“Kereta ni boleh bukaklah,” kata Syamir
yang memberanikan diri membuka kereta. Budak nakal itu terus masuk ke dalam
kereta. Keadaan di dalam kereta itu masih baru. Izara masuk lalu melihat
bahagian belakang kereta itu.
“Assalammualaikum puan,” tutur Syamir
tiba-tiba di tempat duduk pemandu. Budak lelaki itu kelihatan sedang memakai
topi yang kelihatan seperti khas untuk pemandu kenderaan. “Mana yang awak nak
pergi? Saya boleh bawa awak.”
“Saya nak pergi ke Genting Highland.
Saya nak main semua benda kat sana,”
kata Izara.
Syamir dan Izara kelihatan kusyuk
bermain. Ketawa dan gurauan menemani mereka berdua.
“Kenapa hujan pulak ni? Cepatnya
hujan turun,” gumam Syamir sambil menekapkan wajahnya di cermin kereta itu. Ika
pula sedang duduk di sebelahnya sambil berpeluk tubuh, air matanya bergenang.
“Saya takut... saya nak balik. Sebab
saya, kita tak dapat balik hari ni,” tutur Izara yang sudah mula teresak-esak
menangis. Tiba-tiba sahaja gadis itu membuka pintu kereta mahu melarikan diri,
belum jauh dia berlari, guruh sekali lagi menyembar membuatkan Izara berpatah
balik.
Syamir sempat menarik budak
perempuan itu masuk ke dalam kereta. Wajah Izara basah serta rambutnya sedang
menutupi wajahnya. Kedengaran suara rengekan Izara yang masih belum berhenti
menangis. Syamir merenung sayu wajah budak perempuan itu.
“Izara... awak okey?” Itu detik
pertama Syamir membahaskan Izara dengan panggilan awak. Rambut Izara yang
panjang menutup wajahnya. Tangisan Izara makin kuat berdendang membuatkan Syamir
berasa serba salah.
Apa yang aku nak buat
ni?
Syamir ternampak seuntai reben yang
panjang tidak terusik di sebelahnya. Syamir mengambilnya lalu tersenyum. Dia
kemudian memandang wajah Izara lalu menyelak rambut yang sedang menutupi wajah
budak perempuan itu lalu diikat sanggul di belakang.
“Kan comel awak macam ni?” puji Syamir.
“Terima kasih Syamir. Awak baik,”
gumam Izara perlahan. Syamir tiba-tiba mengesat air mata budak perempuan itu
yang masih berbekas membuatkan Izara semakin tergamam.
Malam itu, Syamir dan Izara menunggu
hujan berhenti sehingga tertidur dalam kereta sehingga hari mencecah pagi. Pada
pagi itu Syamir dan Izara teruk dimarahi oleh kedua-dua ibu-bapa mereka.
“Mak, Izara nak cakap dengan Syamir
boleh tak? Sekejap aje?” pinta Izara.
“Okey-okey. Lima minit aje,” kata ibu
Izara sambil bercekak pingang.
“Apa dia Izara?” tanya Syamir.
“Terima kasih untuk reben ni,” ucap
Izara yang merah wajahnya. “Saya nak guna reben yang awak bagi ini mulai hari
ini.”
“Okey,” jawab Syamir pendek.
Tiba-tiba Izara menghampiri Syamir lalu membisikkan sesuatu di telinga budak
lelaki itu.
“Awak nak jadi suami saya tak?”
bisik Izara tiba-tiba. Wajah Syamir merah padam jadinya. Ibu-bapa mereka
sekadar mengelengkan kepala melihat karenah budak yang berumur sepuluh tahun
itu.
“Y...a,” balas Syamir pendek.
“Tapi, kalau sesuatu terjadi pada
saya lagi, awak kena janji untuk melindungi saya?” tambah Izara lagi sambil
menghulurkan jari kelingkingnya untuk disambut oleh Syamir.
“Janji,” jawab Syamir sambil
menyambut jari kelingking Izara itu.
Jalan Emerald
3. 30 Petang, 1 April
2012
Tangan Izara sedang mengusap riben
merah yang sedang tersarung pada rambutnya yang dikat sanggul itu. Dia
tersenyum memandang wajah Syamir.
“Awak ingat tak lagi riben merah
ini?” tanya Izara.
Syamir mengangguk.
“Jadi, awak mesti ingat janji awak
dulu ya?”
“Er... yang saya mesti kahwin dengan
awak tu?” tanya Syamir.
Izara pula yang mengangguk. Membuah
ketawa Syamir.
“Itu janji masa budak-budak dulu.
Dahlah... jangan mengarut. Benda itu tak akan berlaku pun,” kata Syamir.
“Kenapa?” tanya Izara sambil
memasamkan wajahnya.
“Sebab awak akan kahwin dengan orang
lain. Macam Azim...”
“Dia dah mula dah. Boleh tak awak
jangan sebut nama dia?” rungut Izara.
“Okey-okey. Dah tak sebut dah,” ujar
Syamir.
Izara membisu untuk beberapa minit
sebelum kembali bersuara.
“Awak ingat lagi janji awak yang
satu lagi?”
“Apa dia?” tanya Syamir.
“Yang awak akan melindungi saya tak
kira apa bahaya yang datang kepada saya. Dan hari ini, awak dah tunaikan janji
awak. Terima kasih tau,” tutur Izara sambil tersenyum. Syamir tiba-tiba
tergamam. Senyuman itu...
“Kita kena bertolak sekarang.
Mungkin kawan-kawan kita tengah tunggu di Balai Polis Eurasia,” kata Izara lalu
menarik tangan Syamir, menyuruh jejaka itu berdiri.
Motorcross yang dinaiki oleh mereka
berdua untuk sampai ke pusat bandar Eurasia itu sedang dihampiri oleh Izara. Syamir
sekadar tersenyum melihat telatah Izara. Sekurang-kurangnya Izara telah
menceriakan harinya.
Aku tak pernah lupa janji aku pada kau Izara...
Laluan Kereta Api Bawah
Tanah
3.30 Petang, 1 April
2013
“Kau tahu banyak benda kan Jiwon?”
tanya Azim ketika melihat dengan penuh kagum bagaimana Jiwon mengawal kereta
api yang meluncur laju di atas landasannya. Tasha pula berdiri di sebelah
Jiwon.
“Aku tak akan jadi aktress nombor
satu Korea kalau aku tak tahu banyak benda,” seloroh Jiwon. Membuah ketawa Azim
dan Alexa.
“Kuat perasan jugak kau ni ya?” usik
Azim.
“Well,
sekali sekala,” jawab Jiwon lagi.
Tiba-tiba bahu Jiwon disentuh oleh
Alexa. Pantas Jiwon memandang belakang.
“Ada kereta api terbalik kat depan
tu,” tutur Alexa. Ketakutan jelas kelihatan pada raut wajahnya. Jiwon spontan
bangkit. Kalau dibrek kereta api yang sedang bergerak laju itu pun kereta api
itu tidak akan berhenti.
“Lari pergi belakang!” teriak Jiwon.
Azim cuba melangkah tetapi sakitnya
pula menyerang pada waktu itu. Dia jatuh terduduk sambil memegang lengannya.
“Arghh...” teriak Azim. Urat
kelihatan jelas pada dahinya.
Jiwon menggelengkan kepalanya. Dia
mengepit tangannya di lengan Azim. Kemudian, dia memapah Azim untuk meninggalkan
bahagian pemanduan kereta api tersebut. Mereka bertiga berlari ke bahagian
paling belakang kereta api itu.
Bum! Kereta api itu bertembung dengan
kereta api yang menghalang landasan kereta api itu. Kereta api itu terperosok
ke arah dinding lalu meruntuhkan sebahagian daripada jalan kereta api bawah
tanah. Azim, Jiwon dan Alexa yang berada di dalamnya terjatuh ketika kereta api
bergolek. Kelihatan kaki Alexa tetikam oleh kaca yang pecah.
“Kau okey?” tanya Jiwon sambil
mengesot menghampiri Alexa.
“Kaki aku berdarah...” tutur Alexa
sambil melipat seluar jean.
“Kaca tertikam...” tutur Jiwon.
“Tapi, nasib baik tak dalam.”
“Cabutkan untuk aku,” pinta Alexa.
“Kau kena tahan ya?”
Alexa mengangguk.
“Arghhh!” teriak Alexa sambil
memejamkan matanya. Azim sekadar merenung simpati. Darah tidak berhenti meleleh
daripada luka di kaki Alexa.
“Aku perlu kain. Darah tak
henti-henti mengalir ni,” gumam Jiwon.
“Sekejap,” tutur Azim sambil
mengoyakkan sebahagian daripada baju kemejanya.
“Guna ni untuk sementara waktu,”
kata Azim.
“Terima kasih,” ucap Alexa dan Jiwon
serentak.
“Jiwon, kita nak ke mana sekarang?”
tanya Alexa ketika Jiwon sedang kusyuk mencuci luka Alexa itu.
“Kau nampak tak pintu kat dinding subway?” tanya Jiwon.
Azim cuba berdiri lalu melihat
melalui tingkap yang pecah. Azim mengangguk.
“Situ pembentungan,” kata Azim.
“Pandai. Kita akan ikut sana. Lebih
selamat kalau kita lalu bawah pembentungan daripada di atas jalan sana yang
terdapat jutaan zombi,” ujar Jiwon sambil memapah Alexa untuk berdiri.
“Aku takut tikus,” gumam Alexa
tiba-tiba membuatkan Jiwon dan Azim terdiam. Kemudian...
“Hahahahah...” Azim ketawa besar.
“Kau ni nampak aje ganas...”
Satu cubitan hinggap di perut Azim.
“Auch,” kata Azim sambil memegang
perutnya.
“Aku sakitlah...” marah Azim.
“Kau tak fikir aku sakit?” marah
Alexa.
“Okey-okey. Aku mintak maaf,’ kata
Azim yang merasakan tindakannya memulakan peperangan bukanlah satu tindakan
yang bijak. “Kalau ada tikus, aku Ketua Pengawas SMK Dato’ Onn yang paling
kacak akan melindungi kau.”
Alexa menjelirkan lidahnya.
Jiwon hanya tersenyum melihat
tingkah Azim dan Alexa.
“Tak apa Jiwon. Aku masih boleh
berjalan sendiri,” kata Alexa sambil menolak dengan sopan tangan Jiwon.
Kemudian, Alexa menarik picu shotgunnya.
“Bersedia untuk sebuah pengembaraan
yang paling... seram di bawah pembentungan,” usik Azim sambil mendahului yang
lainnya keluar dari kereta api yang kini terdampar jauh dari landasannya.
“Azim!” seru Alexa bengang.