Jalan Emerald
3.00 Petang, 1 April 2013
Syamir sedang bersendirian. Berehat
kerana kakinya yang masih sakit kerana terkena serpihan bas. Sebuah papan tanda
yang terdampar di atas jalan raya sedang ditatap oleh Syamir. Dia sedang
menunggu Izara membuang air di dalam tandas di sebuah kedai farmasi. Syamir
kelihatan mengeluarkan sekotak Malboro. Kotak yang bewarna putih dan separuh
merah itu pula mencuri perhatian Syamir.
Penutup kotak itu dibuka oleh Syamir.
Sebatang rokok diambil Syamir. Kotak itu diletakkan Syamir di sebelahnya
sebaliknya Syamir memegang sebatang rokok yang diambilnya tadi. Seperti sudah
nekad, Syamir meletakkan rokok itu dibibirnya. Tangannya pula merayap di dalam
poket seluar jeans. Pemetik api pula dikeluarkan.
Baru sahaja Syamir mahu menyalakan
rokok itu, Izara muncul dari belakang. Pemetik api itu spontan dilepaskan oleh Syamir
manakala Izara pula saling tak tumpah seperti singa yang kebuluran ketika
melihat Syamir mahu mencuba menghisap rokok.
“Sejak bila awak hisap rokok ni?”
marah Izara sambil menarik rokok yang sedang bergayut di bibir Syamir lalu
mencampakkannya ke tengah jalan raya.
“Siapa peduli benda tu bila dunia
sedang pada penghujungnya?” ujar Syamir sinis.
“Saya tak peduli. Pokoknya saya tak
mahu awak hisap rokok!” marah Izara lagi.
“Saya bukan Azim!” bengkeng Syamir.
“Awak kawan saya!” marah Izara lagi.
“What
kind of guy that dream to be friendzone by his crush?” gumam Syamir sambil
mengambil sebatang lagi rokok.
“Maksud awak?” tanya Izara sambil
merampas rokok itu daripada tangan Syamir.
“Boleh tak kau jangan ganggu aku
walaupun untuk seminit?” marah Syamir.
“Sebelum tu boleh tak awak jelaskan
maksud awak?”
“Kau ni buta atau pekak? Tak
faham-faham lagi ke? Izara Aishah, aku dah jatuh cinta dengan kau. Lama dah!
Atau kau sengaja jadi bodoh dan buat-buat tak faham sebab Azim?”
Izara terdiam. Air matanya mengalir
perlahan-lahan. Dia tidak menyangka yang Syamir akan melukakan perasaannya.
Izara bangkit lalu berlari meninggalkan Syamir yang masih duduk di tepi jalan
raya itu.
“Perempuan...” tutur Syamir lalu
mengambil lagi sebatang rokok Malboro. Dia meletakkan rokok itu pada tepi
bibirnya dan pemetik api cuba dinyalakan.. tiba-tiba sahaja perasaan bersalah
mula menjalar di dalam hatinya.
Aku
tadi terlalu kasar ke dengan Izara? Apa aku membiarkan emosi menguasai diri aku
tadi? Izara Aishah... tak akanlah kau tak pernah sedar yang selama ini aku
terlalu mencintai kau?
6
Bulan lalu...
Minggu hadapan, peperiksaan bakal
bermula. Tahun-tahun terakhir bergelar pelajar SMK Dato’ Onn mahu dimanfaatkan
oleh Azim dan Izara. Ya, mereka mahu belajar bagi menyediakan diri.
Syamir sekadar menguap panjang di
sebelah Azim dan Izara ketika mendengar Cikgu Ravi berceloteh panjang mengenai
topik Empayar Melayu Srivijaya, sebuah empayar melayu yang pertama di asaskan.
Keluasan empayar ini menguasai hampir seluruh nusantara bahkan usia kewujudan
Empayar Srivijaya jauh lebih tua daripada Empayar Melaka yang selalu dicanang.
“Srivijaya eh?” gumam Syamir yang
tiba-tiba menjadi begitu tertarik dengan topik Srivijaya yang dibincangkan oleh
Cikgu Ravi.
“Srivijaya ni kan pernah diserang
oleh Raja Cholan dari selatan India. Masa tu ada peperangan besar berlaku. Raja
Cholan menghantar ribuan armada lautnya untuk menentang armada laut Srivijaya
yang dikatakan merupakan antara armada laut yang terkuat pada waktu itu,”
kedengaran suara Azim berbisik penuh teruja pada Izara yang duduk di
tengah-tengah dua orang jejaka itu.
“Azim, diam sikit!” kedengaran suara
Cikgu Ravi menegur Azim.
Padan muka! Syamir berasa puas
apabila Azim ditegur oleh Cikgu Ravi, guru mata pelajar sejarah di SMK Dato’
Onn, Pulau Eurasia. Dia tahu yang Azim cuba menunjuk pandai di hadapan Izara,
gadis pujaan SMK Dato’ Onn itu.
***
Sebuah permainan video Left For Dead
3 sedang dimainkan oleh Azim dan Syamir. Dua orang sahabat itu kelihatan
sungguh terhibur bermain permainan video yang melibatkan aksi membunuh zombi
demi survival bangsa manusia.
“Azim... ke tepi! Bagus! Aku dah
tembak dulu,” teriak Syamir yang kelihatan sangat teruja apabila mata yang
dikumpulkan olehnya melebihi mata Azim.
“Syamir...” panggil Azim.
“Apa dia?” balas Syamir yang matanya
tidak langsung teralih daripada skrin televisyen.
“Betul ke kau suka Izara?” tanya
Azim.
“Kau cakap apa ni? Fokus ke game lah!” Syamir tidak mahu ditarik ke
dalam topik perbincangan yang dibawa oleh Azim.
Azim pula memutuskan bahawa masa
itulah yang paling sesuai untuk dia melahirkan isi hatinya. Butang start ditekan oleh Azim untuk
menghentikan permainan itu buat seketika.
“Kau ni kenapa?” tanya Syamir.
“Aku tanya kau ni bro, betul ke kau suka Izara?”
“Siapa bagitahu kau ni?”
“Tak ada siapa yang bagitahu.
Daripada gaya kau tu aku dah nampak yang kau suka Izara. Dalam kelas, kau tak
pernah lepaskan peluang kau untuk memandang dia. Kalau bab minta tolong pula,
Izara minta apa sahaja, kau sanggup tunaikan. Bahkan kalau Izara suruh kau
renang lautan api sekalipun, aku rasa kau rela,” tutur Azim.
Syamir hanya membisu.
“Kenapa kau tanya aku?” tanya Syamir.
“Sebab aku suka Izara juga,” balas
Azim.
Serentak itu, controller yang dipegang oleh Syamir menyembah tanah. Wajah Azim
ditatap oleh Syamir, tajam. Azim pula masih tenang.
“Jadi?” tanya Syamir.
“Aku tak nak kerana seorang gadis,
hubungan kita akan rengang. Kalau kau suka Izara, kita bertanding secara adil.
Kalau aku dapat Izara, aku harap kau tak akan berdendam dengan aku,” luah Azim.
Syamir ketawa besar mendengarkannya.
“Azim, aku tahu yang aku tak akan
dapat Izara. Izara ada bagitahu aku yang dia tu sebenarnya sukakan kau. Dia ada
minta tolong aku untuk adjust dia
untuk jadi awek kau. Peluang aku tipis Azim dan aku tak tergamak nak hancurkan
persahabatan kita kerana seorang gadis,” ujar Syamir sambil tersenyum. Bahu
Azim ditumbuknya lembut.
“Terima kasih kawan...” ucap Azim
sambil memeluk batang tubuh Syamir.
“Dahlah. Jangan nak berdrama sangat.
Kita sambung main,” kata Syamir lagi.
“Okey bro!”
***
Syamir sedang menikmati Nasi Lemak
berserta sotong di kantin sekolah. Lauk sotong merupakan salah satu daripada
makanan kegemaran Syamir terutama jika dihidangkan bersama Nasi Lemak. Seorang
lelaki mengambil tempat duduk di hadapan Syamir.
“Kau Azim,” gumam Syamir.
“El, aku nak buat pengakuan ni,”
kata Azim yang kelihatan sangat teruja.
“Apa dia?” kata Syamir malas.
“Aku nak ajak Izara jadi pasangan
aku untuk malam prom nanti,” ucap Azim lagi.
Sebaik sahaja perkataan itu dijamah oleh
cuping telinga Syamir, makanan yang sedang mengalir turun di tekak Syamir
tiba-tiba terasa seperti duri yang tajam. Syamir jadi tergamam. Itu ialah
hasrat hatinya. Syamir sudah merancang bagaimana untuk meluahkan perasaanya
pada Izara pada malam prom nanti. Syamir mahu Izara tahu betapa dia cintakan
Izara.
“Baguslah macam tu Azim,” kata Syamir
sambil memaksa dirinya untuk senyum.
Azim bangkit tiba-tiba, meninggalkan
Syamir yang masih setia mengukir senyuman palsu itu. Izara yang sedang beratur
untuk membeli makanan ditegur oleh Azim. Mereka berdua berbual sebentar sebelum
Azim melompat riang. Syamir tahu apa yang bakal berlaku seterusnya dan dia
harus pergi membawa hatinya yang lara...
“Tahniah Azim,” tutur Syamir.
Jalan Emerald
3.10 Petang, 1 April
2013
“Izara Aishah dan Muhammad Azim,”
gumam Syamir sambil tersenyum sinis. Rokok di tangannya sudah hampir habis.
Kemudian, Syamir melihat waktu di
jam tangannya. Sudah lima minit Izara menghilangkan diri. Perasaan risau mula
menjalar dalam saraf tubuh Syamir. Pantas Syamir bangkit sambil memegang cota
polis yang diambilnya.
Syamir mengatur langkahnya
menghampiri farmasi yang dijadikan tempat berteduh sementara. Namun, farmasi
itu kosong dan tiada langsung Izara yang dicari oleh Syamir. Perasaan bersalah
mula menyerang.
“Apa yang aku dah buat tadi?” tanya Syamir.
Syamir kembali menuju ke arah jalan
raya. Dia cuba mengingati kembali arah yang dituju oleh Izara. Kemudian,
berdasarkan naluri dan gerak hati, Syamir terus melangkah hingga tiba di lorong
yang agak gelap walaupun malam belum menjengah.
“Rantai Izara,” gumam Syamir apabila
melihat seutas rantai emas tergeletak di atas jalan. “Dia ada di sekitar sini.”
Syamir mengeratkan lagi pegangan cotanya. Sesuatu yang buruk mungkin menimpa
Izara.
Jeritan Izara mengejutkan Syamir.
Izara tidak jauh daripadanya.
“Awak!” teriak Izara lagi.
Langkah kaki Syamir mati sebaik
sahaja pandangan yang tidak disangka olehnya sedang menjamah mata. Izara sedang
terduduk sambil memegang pistol yang diambil daripada si mati polis. Tetapi,
bukan itu yang mengejutkan Syamir tetapi dua zombi yang sedang menghampiri
Izara.
“Mak.... ayah...” tutur Syamir yang
tiba-tiba menjadi lemah.
Kedua-dua orang tua Syamir yang
masih lengkap berpakaian formal ketika menghadiri majlis makan malam bersama
Ketua Menteri Pulau Eurasia, Datuk Hazman semalam. Apa yang membezakan mereka
dengan manusia biasa ialah darah merah yang membasahi baju serta mata yang
tidak lagi memancarkan emosi manusia.
“Selamatkanlah saya...” teriak Izara
lagi. Tangan gadis itu kelihatan menggeletar memegang pistol. Darah gemuruh
gadis itu menyerang ketika dirinya sedang diancam oleh dua orang zombi, yang
kedua-duanya merupakan orang tua Syamir.
“Saya...” gumam Syamir.
“Awak kata awak sukakan saya? Awak
kata awak cintakan saya? Tapi, apa bukti yang awak cintakan saya?” pancing
Izara lagi sambil melepaskan sedas tembakan tetapi tersasar.
“Itu...”
“Kalaulah awak ialah Azim, dah tentu
dia akan selamatkan saya!” tempik Izara lagi.
“Mereka ialah mak ayah saya!” balas Syamir
yang kini sedang melutut di atas jalan raya.
“Bukan!” bentak Izara yang sedang
merangkak di atas jalan raya, cuba menjauhi orang tua Syamir yang sudah
bertukar menjadi zombi. “Mereka bukan mak ayah awak lagi tapi dah jadi zombi!”
“Maafkan saya Izara Aishah,” gumam Syamir
yang air matanya mengalir spontan menuruni pipinya.
Ayah Syamir yang berjambang nipis
itu tiba-tiba menjatuhkan diri di atas tubuh Izara. Mulut Datuk Huzaimi ternganga
luas ketika cuba membaham leher Izara. Tapak tangan Izara menolak dagu Datuk
Huzaimi.
“Saya cintakan awak!” teriak Izara
lagi.
Kali ini, perkataan yang meluncur
keluar dari mulut Izara membuatkan dunia di sekeliling Syamir seolah-olah
berhenti sejenak. Benarkah perkataan itu datang dari mulut Izara?
“Betul ke?” tanya Syamir. “Bukan ke
awak suka Azim?”
“Saya suka kamu berdua. Dua-dua saya
cinta. Saya tak tahu nak pilih yang mana satu. Tapi, demi tuhan yang saya
sayangkan awak!” suara Izara terputus-putus.
Syamir terdiam. Cota yang terbaring
di sebelahnya tiba-tiba digapai oleh Syamir.
“Betul cakap awak. Mereka bukan
manusia lagi,” kata Syamir cuba menyakinkan dirinya.
“Mak... ayah... maafkan Syamir,” gumam Syamir
sebelum mengahyunkan cota itu. Darah merembes membasahi wajahnya. Selepas
beberapa ketika, Syamir mula menyedari apa yang dilakukannya.
“Maafkan Syamir...” tutur Syamir.
Hujan lebat turun mencurah membasahi
bumi Eurasia. Membawa sekali darah yang membasahi wajah Syamir. Izara pula
memeluk erat batang tubuh Syamir yang seperti tidak lagi bernyawa.
“Apa yang aku dah buat tadi?” gumam Syamir
perlahan namun perkataan itu menyapa cuping telinga Izara.
“Awak baru sahaja selamatkan saya.
Awak tak bersalah... kalau saya, saya pun akan buat benda yang sama,” bisik
Izara di telinga Syamir.
“Betul ke awak sayang saya?” tanya Syamir
tiba-tiba. Serentak itu, rangkulan Izara menjadi longgar dan Izara menjauhkan
sedikit tubuhnya daripada Syamir. Pipi Syamir lembut disentuhnya.
“I
love you.”
Air mata Syamir dan air hujan tidak
lagi dapat dibezakan.
Lebuhraya Eurasia
3.15 Petang, 1 April
2023
Lebuhraya Eurasia masih terbentang
luas. Kelihatan tiga orang manusia yang sedang menyusuri tepi jalan raya yang
bertar. Selepas ditinggalkan oleh Daniel dan anak-anak buahnya, mereka bertiga
terpaksa meneruskan perjalanan dengan hanya berjalan kaki.
“Hujan...” gumam Azim yang sedang
memegang lengannya.
“Cari tempat perlindungan sekarang!”
teriak Jiwon.
“Tak apa. Aku dah lama nak main
hujan,” tutur Azim sambil mendepakan kedua-dua tangannya di udara.
“Tak apa Jiwon. Lagipun kita dah
dekat dengan Pekan Bintang. Beberapa ratus meter dari sini, ada persimpangan
yang akan bawa kita ke sana. Dari situ, kita akan naik kereta api bawah tanah
ke Pusat Bandar Eurasia!” jelas Alexa lagi.
“Stesen kereta api bawah tanah?”
gumam Jiwon. “Dengarnya macam menarik.”
“Boleh tak aku main hujan dulu?”
pinta Azim. “Mungkin ini kali terakhir aku menikmati hujan.”
Alexa dan Jiwon saling berkongsi
pandangan.
“Azim...” panggil Alexa. “Kita ubah
destinati kita. Bukannya Balai Polis Utama Eurasia tapi Hospital Eurasia!”
Belum sempat Azim mahu membantah,
Alexa sudah berjalan mendahului mereka.
Pekan Bintang
3.30 Petang, 1 April
2023
Mereka bertiga
kelihatan sangat berhati-hati menyusuri jalan raya yang kelihatan sunyi. Hanya
sampah sarap yang bersepah mengusutkan lagi pandangan. Terdapat beberapa buah
kereta yang tersadai dengan pintu terbuka. Jiwon memimpin mereka sambil Alexa
sedang memapah Azim.
“Maafkan aku sebab menyusahkan kamu
semua,” tutur Azim sambil tersengih. Kepalanya yang tidak gatal itu digarunya.
Azim berubah tiga ratus enam puluh darjah. Dia bukan lagi si monyok yang
merungut mengenai nasibnya tetapi Azim berubah ceria. Seolah-olah dia sudah
menerima dengan hati terbuka Sang Maut yang sedang mengintai di sudut hidupnya.
“Aku kawan kau Azim. Sejak sekolah
rendah lagi. Aku tak akan biarkan kau mereput di luar sana. Selagi boleh
diikhtiarkan, aku akan tolong,”
Azim sekadar tersenyum.
“Terima kasih Nurul Alexandra
Suzanna,” ucap Azim tiba-tiba yang kemudiannya membuahkan ketawa Alexa.
“Kau aje yang ingat nama aku masa
kat sekolah tu kan Azim?” kata Alexa pula selepas puas ketawa.
“Mestilah aku ingat, siapa yang tak
akan ingat nama orang yang selalu langgar peraturan sekolah macam kau? Buku
nota aku asyik penuh dengan nama kau aje Alexa,” kata Azim pula.
“Oh ya, aku lupa yang kau ni Ketua
Pengawas Yang Paling Kacak itu kan?”
“Kau ingat lagi ya nama yang orang
panggil aku kan? Well, I know that I’m
that handsome.”
“Perasan!”
Kemesraan antara dua orang kawan itu
berterusan ketika mereka semakin jauh menuju ke dalam Pekan Bintang yang
semakin menyeramkan keadaannya. Jiwon tahu Alexa dan Azim memerlukan bantuannya
untuk terus hidup. Jiwon bertindak sebagai pegawai keselamatan apabila matanya
tidak pernah lelah mencari bahaya di sekeliling mereka. Selepas berjalan agak
jauh, mereka tiba ke pintu masuk stesen kereta api yang dimaksudkan. Kegelapan
di hujung bawah sana membuatkan bulu roma mereka meremang tiba-tiba.
“Betul ke kita nak masuk ke dalam
ni?” tutur Azim.
“Kau takut ke Azim?” usik Alexa
lagi.
“Kau kenal aku kan...” Belum sempat
Azim mahu menghabiskan kata-katanya, dia ditarik oleh Alexa yang kelihatan
sangat teruja untuk berdepan dengan bahaya yang sedang menanti mereka di bawah
sana.
Stesen Kereta Api Pekan
Bintang
3.40 Petang, 1 April
2023
Stesen kereta api bawah tanah itu
kelihatan seperti baru sahaja diletupkan. Sebuah keretea api terbalik di atas
landasannya manakala laluan yang menghala ke arah Pusat Bandar Eurasia masih
kosong. Kelihatan Jiwon mengetuai mereka menyusuri stesen kereta api yang gelap
itu. Mujurlah Jiwon masih membawa lampu suluhnya bersama.
“Jujur, aku tak suka stesen kereta
api bawah tanah,” luah Azim ketika masih di papah oleh Alexa. Pedang katananya
masih tergantung rapi di tepi seluar Azim.
“Aku tahu yang kau takut gelap kan?”
“Aku tak... Alexa!” tutur Azim
geram.
“Okey. Aku faham,” balas Alexa.
“Shyy...” tutur Jiwon tiba-tiba.
Telinganya dapat menangkap bunyi sesuatu. Lantas lampu suluhnya itu dimatikan. Kemudian,
Alexa dan Azim ditarik oleh Jiwon untuk bersandar pada dinding yang
berhampiran.
“Kenapa...” Alexa tidak menghabiskan
pertanyaan apabila bunyi nyaring menjerit memenuhi stesen kereta api bawah
tanah itu.
“Perempuan...” bisik Azim.
“Aku tahu,” kata Jiwon lagi.
Mereka bertiga berdiri di situ untuk
waktu yang lama. Kegelapan yang menghuni sekeliling mereka membuatkan bulu roma
semakin tegak berdiri. Makhluk dari kegelapan itu pasti sudah menghidu
kedatangan mereka.
Bam! Kedengaran bunyi sesuatu
menghempas dinding di sebelah mereka. Pantas Jiwon menghidupkan lampu suluhnya
dan menyuluh ke arah punca bunyi tersebut. Apa yang mengejutkan ialah mayat
seorang wanita sedang terbaring dengan wajah yang berlumuran darah.
Serentak itu, bunyi kereta api
kedengaran menghampiri kawasan itu. Alexa dan Azim mahu berlari ke arah kawasan
landasan yang berdekatan tetapi Jiwon telah menegah terlebih awal.
“Jangan... perangkap,” bisik Jiwon
lagi.
Tiba-tiba, sesuatu membelit kaki
Alexa lalu menarik gadis itu ke dalam kegelapan. Azim cuba mencapai tangan
Alexa tetapi kekuatan belitan itu memang sangat kuat. Bang! Tembakan berjaya
dilepaskan oleh Alexa. Kemudian, suasana menjadi sunyi, untuk seketika
sehinggalah...
“Lari! Tinggalkan aku kat sini!”
kedengaran suara Alexa menjerit dari kegelapan.
“Bagi aku lampu suluh dan shotgun
kau Jiwon!” pinta Azim yang tidak dapat menahan dirinya mendengar dua das
tembakan lagi dilepaskan.
“Tapi...” tutur Jiwon.
Azim menggelengkan kepalanya. Lampu
suluh dirampas dari tangan Jiwon lalu kembali dihidupkan. Apa yang mengejutkan
Azim ialah Alexa sedang terbaring sambil memegang lengannya yang berdarah.
“Azim...” panggil Alexa.
“Tangan kau?” tanya Azim yang
terhincut-hincut berlari ke arah Alexa yang sedang terbaring di tanah.
“Jangan risau. Bukan kena gigit,
benda tu sempat cakar aje tangan aku,” kata Alexa.
“Mana dia?” Belum sempat Alexa
menjawab, sedas tembakan dilepaskan oleh Jiwon.
“Maaf, tadi benda tu ada kat
belakang kau,” teriak Jiwon. “Kau tolong suluhkan tempat ni. Aku perlukan
cahaya untuk menentang mereka.”
Azim mengangguk sambil tersenyum.
“Jiwon, kat situ!” teriak Azim
memberi amaran. Makhluk yang bergerak dalam posisi merangkak itu melayang di
udara, cuba menerkam Jiwon dan serentak itu, tembakan dilepaskan oleh Jiwon
lalu membaham kepala makhluk yang diberi nama Pemburu oleh Ashraf dan Azmir.
“Awak tak apa-apa ke?” tanya Azim
sambil meriba Alexa yang sedang kesakitan di atas lantai. Lima baris luka
panjang kelihatan di lengan Alexa. Baju kemeja lengan panjang itu kelihatan
koyak.
“Awak?” ulang Alexa sambil
mengecilkan matanya.
Azim pantas bangkit membiarkan Alexa
di atas lantai. Dia bersiul seolah-olah tiada apa yang berlaku lalu menghampiri
Jiwon yang sedang memeriksa tubuh makhluk yang menyerang mereka.
“Kita nak ke mana sekarang?” tanya
Azim.
Jiwon sekadar menjuihkan bibirnya ke
arah kereta api yang tiba-tiba muncul ketika mereka sedang dilanda bahaya
sebentar tadi.
“Kau tahu pandu kereta api?” tanya
Azim yang dari nada suaranya tidak dapat menyembunyikan perasaan kagumnya.
Jiwon sekadar mengangguk. Dia memilih untuk membisu daripada melontarkan
kata-kata.
“Kenapa ni?” tanya Azim yang
menyedari ada perubahan pada wajah Jiwon.
“Zombi ni... mereka dah bertukar.”