Putrajaya
1.15 pagi, 1 April 2013
Perdana
Menteri Shahrin kelihatan kusut memikirkan masalah Pulau Eurasia. Mimpi ngeri
yang cuba dielaknya jelas sedang memakan diri. Sejak kebelakangan ini, keadaan
Perdana Menteri Shahrin sangat tidak terurus mengenangkan kejadian yang menimpa.
Pejabatnya di Putrajaya dalam keadaan yang bersepah. Asstrold Pharmacy ialah
musuh dalam selimut, yang cuba menghancurkan kariernya, tetapi yang menjadi
mangsa ialah seluruh isi bandar Eurasia.
Datuk
Hidayat memasuki pejabat itu selepas dipanggil oleh Perdana Menteri Shahrin
sendiri. Sebagai seorang Menteri Pertahanan, beliau merupakan satu-satunya
manusia yang boleh diharap oleh Perdana Menteri Shahrin untuk meleraikan
belenggu yang seolah-olah sudah tersimpul mati itu.
Kejutan
menyerang saraf Datuk Hidayat apabila melihat keadaan pejabat yang bersepah
itu. Dia kenal Perdana Menteri Shahrin. Orang tua itu merupakan seorang yang
sangat cerewet mengenai kekemasan. Tetapi hari ini...
Perdana
Menteri Shahrin sedang duduk sambil menyembamkan wajahnya di tangannya. Pasti
ada sesuatu yang buruk sedang berlaku, pada Malaysia barangkali, fikir Datuk
Hidayat.
“Assalamualaikum
Datuk!” tegur Datuk Hidayat sambil menepuk meja. Perdana Menteri Shahrin
tersentak daripada lenanya, lantas mengangkat wajah untuk menatap Datuk Hidayat.
Bekas air mata jelas kelihatan pada wajah tua Perdana Menteri Shahrin.
“Waalaikumussalam...”
Suara Perdana Menteri Shahrin kedengaran sarat dengan jutaan masalah. Tanpa
diarahkan, Datuk Hidayat mengambil tempat duduk di sebuah kerusi yang terletak
di hadapan meja pejabat Shahrin.
“Anak
aku... Shila,” perlahan Shahrin memulakan bicara. Hidayat sekadar menjadi
pendengar yang setia. “Diculik oleh Asstrold Pharmacy!” tambah Perdana Menteri Shahrin
selepas helaan nafas yang panjang. Riak wajah Datuk Hidayat lantas bertukar.
Sah!
Perjudian membeli vaksin untuk wabak H1N1 gelombang ketiga daripada Asstrold
Pharmacy, syarikat yang berpangkalan di Sepanyol sedang memakan diri Perdana
Menteri Shahrin.
“Tapi,
kenapa dan bagaimana?” soal Datuk Hidayat. Pendek, tetapi padat.
“Virus
T, virus yang pernah menyerang bandar yang sudah dilupai oleh semua, Racoon
City di Amerika sudah tersebar di Eurasia sejak seminggu lalu. Sekarang, hampir
semua penduduk bandar itu sedang bertukar menjadi makhluk pemakan daging yang
segar... atau zombi!” jelas Perdana Menteri Shahrin. Hidayat hanya mampu menggelengkan
kepalanya.
“Aku
diarahkan untuk tidak mencampuri urusan di Eurasia, dan menghalang penduduk
yang belum dijangkiti keluar daripada bandar Eurasia atau mengarahkan
saintis-saintis Malaysia mencipta vaksin atau cuba menghancurkan bandar itu
atau Shila yang sudah berada di tangan mereka akan mati!” tambah Perdana Menteri
Shahrin lagi.
“Jadi,
apa yang kau nak daripada aku?” soal Datuk Hidayat.
“Aku nak
kau hantarkan seorang ejen terbaik negara ini, untuk menyelamatkan Shila di
sana sementara Komando 69 yang bakal di hantar ke sana melalui helikopter
mengawal keadaan atau rusuhan. Tentera kita yang berada di Eurasia akan
membantu mereka!” jelas Perdana Menteri Shahrin. Kini, seorang manusia dan
seluruh ahli skuad terbaik dunia yang dimiliki oleh Malaysia, Komando 69
terpaksa di heret ke dalam kancah konspirasi awal yang telah bertukar menjadi
tragedi.
“Kau
mahukan Harish? Perisik kita yang paling setia dan hebat!” tanya Datuk Hidayat
apabila nama Harish menjelma di benaknya. Ya! Memang lelaki itu yang paling
sesuai untuk menggalas tanggungjawab berat ini. Nyawa yang terlalu banyak untuk
diselamatkan.
***
Harish,
jejaka berambut hitam, berbadan tegap dan berjambang nipis itu melangkah penuh
cekal, meredah koridor-koridor di penempatan Datuk Seri Shahrin Ruslan, perdana
menteri Malaysia yang kesembilan itu.
“Assalamualaikum
tuan. Saya Mejar Adam Harish datang menghadap!” tutur Harish sebaik sahaja
memasuki pejabat Perdana Menteri Ruslan. Datuk Hidayat juga tutut berada di
situ. Dia memberikan tabik hormat kepada orang atasannya.
“Datang
pun kau! Lama kami tunggu,” kata Perdana Menteri Shahrin seraya berdiri. Di
atas meja itu, lengkap senjata canggih dan baju kalis peluru keluaran terkini.
Sepucuk pistol Berreta M9 buatan Itali beserta beberapa keping magazin yang setiap
satu mengandungi 15 butir peluru calibre 9x19mm Parabellum. Pistol itu
berukuran 217 milimeter dengan berat yag mencecah 952 gram.
Mejar
Harish, jejaka yang berbadan tegap itu sekadar mengerutkan dahinya mendengar
segala penjelasan daripada majikannya, Datuk Shahrin Ruslan, Perdana Menteri
Malaysia, tetapi menelan setiap penjelasan yang diberi.
“Tapi..” Harish masih belum dapat menerima penjelasan
daripada ketuanya itu. Penjelasan itu berbunyi seakan-akan filem Hollywood yang
sedang dimainkan, tidak logik masuk dek akal. Tak akanlah makhluk menyeramkan
bernama zombi itu boleh wujud.
“Kenapa?
Kamu keberatan?” Harish mengelengkan kepalanya, bukan itu niatnya. Dia melihat
sekeliling, seolah-olah sedang menunggu seseorang untuk menjerit April Fool
kepadanya, namun dia hampa, sesiapa sahaja yang dinantikan olehnya itu tidak
muncul dan itu membawa berita bahawa ini semua bukan gurauan. Shila harus di
selamatkan olehnya. Misi yang baginya antara yang paling berat pernah
dipikulnya. Nyawa tujuh juta orang penduduk Eurasia berada di dalam genggaman
tangannya.
“Apa
yang harus dilakukan olehnya?” bisik hati kecil Harish. Apakah dia harus
bersetuju dengan misi itu atau mengabaikannya, sekaligus menyebabkan tujuh juta
nyawa yang tidak berdosa melayang kerana dirinya.
“Ba...ik,”
jawab Harish pendek. Harish sedar sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai
seorang perisik, Harish berkewajipan untuk menjadi hero bagi menyelamatkan
seisi bandar. Nyawa Shila adalah penentu kepada untung nasib nyawa tujuh juta
penduduk Bandar Eurasia.
“Ingat.
Selamatkan Shila.. hanya dia sahaja yang mampu mengubah situasi,” rayu Perdana
Menteri Shahrin lagi. Harish mengangguk, terpaksa mengalah akhirnya.
“Ambil
senjata dan baju kalis peluru di atas ini!” kata Datuk Hidayat pula. Perdana Menteri
Shahrin sedang menatap sebuah potret arwah isterinya di dinding pejabat itu.
Datin Sofia kelihatan sedang tersenyum dalam lukisan seseorang.
Andai Sofia tahu apakah yang telah terjadi
kepada Shila sekarang, mahukah kau maafkan abang?
Air mata
Perdana Menteri Shahrin menitik, menyesali perbuatannya. Datuk Hidayat hanya
sekadar mampu menepuk belakang Shahrin, agar kesedihan itu boleh lenyap, tetapi
sayang, perasaan bersalah itu semakin menggunung.
Helikopter
Nuri
2.00
pagi, 1 April 2013
Baju askar
sedang membaluti tubuh Harish. Harish sedang memejamkan matanya sambil berdoa
ketika sedang bersiap sedia di dalam helikopter yang membawanya ke Eurasia. Jantung
Harish pada hari itu entah kenapa berdebar aneh rasanya, seolah-olah itulah
kali pertama dia berangkat untuk melaksanakan sebuah misi untuk negaranya.
Barangkali,
misi kali ini merupakan yang paling berat. Ada ratusan ribu nyawa yang harus di
selamatkan oleh tangan Harish. Tanggungjawab seberat itu sedang tergalas di
bahu Harish.
“Ya
ALLAH, padamu hamba memohon. Kau selamatkanlah perjalanan hamba, pergi dan
balik. Kau kurniakanlah padaku sebuah kekuatan untuk menghadapi ujian yang
paling berat daripada kau.” Sejurus sahaja doa itu diaminkan, helikopter itu
bergegar luar biasa, seraya memandu Harish untuk ke bahagian kopkit.
“Apa
yang terjadi...” soalan Harish itu tidak menemui jawapan. Juruterbang yang
seharusnya memandu helikopter itu ke tempat yang selamat di pinggir hutan
Eurasia sudah tidak bernyawa. Sebutir peluru yang Harish kenal berasal daripada
jenis 5.56x45 mm NATO sedang terbenam di salah sebuah kepala juruterbang
helikopter itu. Mungkin senjata seperti G41 buatan Jerman yang telah membunuh
juruterbangnya. Cermin di hadapan Harish pula berlubang menguatkan lagi teori
Harish.
Helikopter
itu sedang menjunam menyembah bumi. Harish pantas mengalihkan tubuh salah
seorang daripada juruterbang itu. Cuba mengambil alih helikopter tersebut
dengan menggunakan seciput ilmu penerbangan yang dipelajarinya. Malapetaka berterusan
apabila ekor helikopter pula menjadi mangsa tembakan bazooka.
“Habislah...”
bisik hati Harish.
Kopkit
pantas ditinggalkan lalu Harish mencari pintu keluar daripada helikopter itu.
Beg payung terjun yang tergalas di badannya sudah bersedia untuk berkhidmat.
Sekali lagi helikopter itu dijamah oleh peluru bazooka. Mujurlah, Harish sudah
terjun terlebih awal.
“Alhamdulilah...”
Harish sempat bersyukur. Ujian daripada ALLAH tidak tamat di situ apabila
serpihan daripada kipas helikopter terkena pada payung terjun Harish.
“Arghhh...”
teriak Harish sebaik sahaja dirinya ditarik oleh graviti yang tidak mengenali
erti kasihan. Pada saat itu, hatinya hanya mampu dipanjatkan kepada ALLAH,
TUHAN semesta alam ini.
Hutan
Simpan Eurasia
3.00
pagi, 21 Disember 2011
“Awak...
awak okey ke?” soal satu suara lunak. Pipi Harish ditepuk-tepuk oleh seseorang.
Terpisat-pisat Harish membuka matanya. Wajah seorang gadis yang berambut hitam
pekat, berhidung mancung dan bermata bulat sedang menjamah pandangan matanya. Cantiknya...
Harish
bangkit sambil memegang kepalanya yang masih bersisa pening itu. Dia sedang
terlantar di lantai hutan khatulistiwa yang tinggi menyombong. Dia menoleh
memandang wajah penyelamatnya.
“Aulia,”
tutur gadis itu sambil menghulurkan tangan untuk di salam oleh Harish.
Harish
tidak memberitahu namanya ataupun membalas huluran salam Aulia sebaliknya
merenung wajah gadis itu, dengan penuh curiga. Tangan Aulia terus rebah dengan
perasaan kecewa.
“Awak
siapa?” soal Harish memulakan bicara.
“Saya
Aulia!” jawab Aulia yang cuba tersengih.
“Tak..tak.
Saya tak tanya nama awak. Saya tanya awak ni siapa?” soal Harish dingin.
Kebisuan terus menjangkiti bibir Aulia. Langit ditatap oleh Aulia, sekaligus
mengembalikan memori yang hanya berjalan pergi beberapa hari sebelum kehadiran
Harish pada malam itu.
“Saya
kawan Shila...” Riak wajah Harish terus berubah selepas mendengar nama gadis
yang seharusnya di selamatkan olehnya meluncur keluar dari mulut Aulia. Bahu
Aulia terus sahaja digoncang oleh Harish.
“Mana
dia? Saya Mejar Harish, diarahkan untuk menyelamatkannya! Cepat beritahu saya
lokasinya!” arah Harish sambil menunjukan lencananya. Ada sinar kegembiraan
yang terpancar dari wajah Aulia secara tiba-tiba.
Pantai
Eurasia
6.15
petang, 30 Mac 2013
Dua
hari sebelum tragedi...
Kelihatan
dua orang gadis yang berseluar jeans dan berbaju-T lengan pendek sedang
berlari-lari di bahagian pantai yang agak tersorok daripada bandar dan
pengetahuan orang. Hanya anak jati Eurasia sahaja seperti Aulia yang mengetahui
akan pantai itu.
Suasana
pantai yang berjiran dengan Hutan Simpanan Eurasia itu sunyi. Hanya bunyi
ketawa dan usikan dua orang gadis jelita itu sahaja yang memecahkan kesunyian
pantai itu.
“Akhirnya...
rindu aku pada pantai ini terubat juga!” luah Shila yang terduduk keletihan
sambil memerhatikan sang ombak Laut Cina Selatan menghempaskan dirinya pada si
pantai yang sentiasa setia.
“Itulah...
dah jadi orang KL, aku ingat dah lupa kat aku,” seloroh Aulia. Dua orang
sahabat itu ketawa lagi.
“Senyum
pun kau Shila. Macam tulah.. lupakanlah Azmir. Sekali kau putus cinta, banyak
lagi jejaka yang kejar kau. Apa-apa pun, tumpukan pada pelajaran kau, dapatkan
ijazah barulah gatal nak bercinta,” panjang lebar Aulia memberi nasihat kepada
Shila yang baru sahaja mencecah umur 19 tahun itu.
“Insya-ALLAH...”
jawab Shila pendek. Angin senja sedang bermain-main dengan rambut hitamnya itu.
Kesedihan masih kelihatan terpalit pada wajah Shila walaupun baru sahaja
ketawanya meletus kerana seloroh Aulia.
“Dia
yang bodoh sebab lepaskan anak perdana menteri macam kau, Shila!” ujar Aulia
lagi yang berapi-api membela Shila. Bagi Aulia, Azmir memang bodoh kerana telah
meninggalkan gadis secantik dan sekaya Shila itu. Aulia juga yakin bahawa ramai
lagi jejaka di luar sana yang meminati dan mengimpikan untuk menjadikan Shila
sebagai buah hatinya.
Aulia
tiba-tiba bangkit. “Hari dah nak malam... mari balik?” ajak Aulia.
“Tak
nak... kalau kau nak balik. Kau pergilah dulu... aku nak sendirian di sini.
Banyak perkara yang aku nak buang pada lautan ni!” ujar Shila yang langsung
tidak menoleh ke arah Aulia.
“Baiklah.
Tak nak ganggu kau... buanglah kenangan dengan Azmir kau tu kat lautan!” tutur
Aulia lalu mengayun kakinya meninggalkan pantai yang indah itu. Warna oren
sudah mula bertompok di dada langit.
Hutan
Simpan Eurasia
3.10
pagi,1 April 2013
“Jadi
awak benar-benar tak tahu ke mana dia menghilang?” soal Harish sambil
mengecilkan matanya menatap wajah Aulia. Aulia menggelengkan kepalanya. Harish
menumbuk tanah dengan perasaan geram.
“Awak
buat apa kat sini?” soal Harish lagi.
“Saya
nak cari Shila bersama pasukan polis yang telah ditugaskan. Tapi, saya sesat, hilang
daripada mereka beberapa jam tadi,” jelas Aulia sedih. Mata Haris liar
memandang sekelilingnya, melihat keadaan hutan itu. Dia kemudian cuba bangkit,
tapi terjatuh kembali. Rasa sakit yang amat sangat menyerang kakinya.
“Arghh...”
teriak Harish sambil melipat seluar kakinya. Kakinya cedera teruk. Tiba-tiba
sahaja rasa sakit itu menular. Aulia merenung simpati wajah jejaka itu. Harish
cuba untuk berdiri lagi, sekali lagi dia rebah.
“Apa
ni?” tutur Harish dingin apabila Aulia tiba-tiba sahaja menghulurkan tangan,
menanti untuk disambut oleh Harish.
“Saya
papah awak. Kita sama-sama cari Shila!” Aulia menawarkan dirinya dalam misi
Harish. Harish terdiam sambil merenung wajah Shila sebelum menjawab.
“Tak...
awak tu perempuan. Saya boleh buat seorang diri. Kaki saya ni tak sakit mana.
Awak lihat nanti,” balas Harish lalu bangkit buat kali ketiga. “Arghh...”
teriak Harish, rebah...
Aulia
sempat memaut tubuh Harish yang sasa itu. Tangan Aulia melingkari lengan Harish
membuatkan Harish tergamam. Pandangan mereka bersatu... jantung Harish
tiba-tiba berdegup kencang. Begitu juga dengan Aulia. Entah mengapa, hatinya
terasa nyaman tiba-tiba apabila mata biru Harish bertamu di matanya.
Harish
menggelengkan kepalanya, cuba menghalau halunisasi tadi. “Jangan.. saya boleh
berdiri sendiri!”
Aulia masih
tidak melepaskan lengan Harish sebaliknya melontarkan pandangan tajam
membuatkan Harish terdiam. “Harish! Buang ego awak tu boleh tak? Awak tu sakit.
Kaki awak tu tak boleh berdiri tanpa bantuan saya!”
“Tapi...”
“Tak ada
tapi-tapi!” Aulia mencelah pantas.
“Saya
tak menyusahkan awak ke?” Aulia menggelengkan kepalanya sambil mengukirkan
sebuah senyuman. Harish terpaku pada senyuman itu. Senyuman Aulia begitu tajam
menusuk hatinya.
“Harish?”
soal Aulia apabila Harish tidak melarikan pandangan matanya. Namun, tiada
balasan daripada Harish membuatkan Aulia terpaksa memanggil nama Harish buat
kali kedua. Kali ini, angan-angan Harish tersentak.