Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 2: Konspirasi

Putrajaya

1.15 pagi, 1 April 2013

Perdana Menteri Shahrin kelihatan kusut memikirkan masalah Pulau Eurasia. Mimpi ngeri yang cuba dielaknya jelas sedang memakan diri. Sejak kebelakangan ini, keadaan Perdana Menteri Shahrin sangat tidak terurus mengenangkan kejadian yang menimpa. Pejabatnya di Putrajaya dalam keadaan yang bersepah. Asstrold Pharmacy ialah musuh dalam selimut, yang cuba menghancurkan kariernya, tetapi yang menjadi mangsa ialah seluruh isi bandar Eurasia.

Datuk Hidayat memasuki pejabat itu selepas dipanggil oleh Perdana Menteri Shahrin sendiri. Sebagai seorang Menteri Pertahanan, beliau merupakan satu-satunya manusia yang boleh diharap oleh Perdana Menteri Shahrin untuk meleraikan belenggu yang seolah-olah sudah tersimpul mati itu.

Kejutan menyerang saraf Datuk Hidayat apabila melihat keadaan pejabat yang bersepah itu. Dia kenal Perdana Menteri Shahrin. Orang tua itu merupakan seorang yang sangat cerewet mengenai kekemasan. Tetapi hari ini...

Perdana Menteri Shahrin sedang duduk sambil menyembamkan wajahnya di tangannya. Pasti ada sesuatu yang buruk sedang berlaku, pada Malaysia barangkali, fikir Datuk Hidayat.

“Assalamualaikum Datuk!” tegur Datuk Hidayat sambil menepuk meja. Perdana Menteri Shahrin tersentak daripada lenanya, lantas mengangkat wajah untuk menatap Datuk Hidayat. Bekas air mata jelas kelihatan pada wajah tua Perdana Menteri Shahrin.

“Waalaikumussalam...” Suara Perdana Menteri Shahrin kedengaran sarat dengan jutaan masalah. Tanpa diarahkan, Datuk Hidayat mengambil tempat duduk di sebuah kerusi yang terletak di hadapan meja pejabat Shahrin.

“Anak aku... Shila,” perlahan Shahrin memulakan bicara. Hidayat sekadar menjadi pendengar yang setia. “Diculik oleh Asstrold Pharmacy!” tambah Perdana Menteri Shahrin selepas helaan nafas yang panjang. Riak wajah Datuk Hidayat lantas bertukar.

Sah! Perjudian membeli vaksin untuk wabak H1N1 gelombang ketiga daripada Asstrold Pharmacy, syarikat yang berpangkalan di Sepanyol sedang memakan diri Perdana Menteri Shahrin.

“Tapi, kenapa dan bagaimana?” soal Datuk Hidayat. Pendek, tetapi padat.

“Virus T, virus yang pernah menyerang bandar yang sudah dilupai oleh semua, Racoon City di Amerika sudah tersebar di Eurasia sejak seminggu lalu. Sekarang, hampir semua penduduk bandar itu sedang bertukar menjadi makhluk pemakan daging yang segar... atau zombi!” jelas Perdana Menteri Shahrin. Hidayat hanya mampu menggelengkan kepalanya.

“Aku diarahkan untuk tidak mencampuri urusan di Eurasia, dan menghalang penduduk yang belum dijangkiti keluar daripada bandar Eurasia atau mengarahkan saintis-saintis Malaysia mencipta vaksin atau cuba menghancurkan bandar itu atau Shila yang sudah berada di tangan mereka akan mati!” tambah Perdana Menteri Shahrin lagi.

“Jadi, apa yang kau nak daripada aku?” soal Datuk Hidayat.

“Aku nak kau hantarkan seorang ejen terbaik negara ini, untuk menyelamatkan Shila di sana sementara Komando 69 yang bakal di hantar ke sana melalui helikopter mengawal keadaan atau rusuhan. Tentera kita yang berada di Eurasia akan membantu mereka!” jelas Perdana Menteri Shahrin. Kini, seorang manusia dan seluruh ahli skuad terbaik dunia yang dimiliki oleh Malaysia, Komando 69 terpaksa di heret ke dalam kancah konspirasi awal yang telah bertukar menjadi tragedi.

“Kau mahukan Harish? Perisik kita yang paling setia dan hebat!” tanya Datuk Hidayat apabila nama Harish menjelma di benaknya. Ya! Memang lelaki itu yang paling sesuai untuk menggalas tanggungjawab berat ini. Nyawa yang terlalu banyak untuk diselamatkan.

***

Harish, jejaka berambut hitam, berbadan tegap dan berjambang nipis itu melangkah penuh cekal, meredah koridor-koridor di penempatan Datuk Seri Shahrin Ruslan, perdana menteri Malaysia yang kesembilan itu.

“Assalamualaikum tuan. Saya Mejar Adam Harish datang menghadap!” tutur Harish sebaik sahaja memasuki pejabat Perdana Menteri Ruslan. Datuk Hidayat juga tutut berada di situ. Dia memberikan tabik hormat kepada orang atasannya.

“Datang pun kau! Lama kami tunggu,” kata Perdana Menteri Shahrin seraya berdiri. Di atas meja itu, lengkap senjata canggih dan baju kalis peluru keluaran terkini. Sepucuk pistol Berreta M9 buatan Itali beserta beberapa keping magazin yang setiap satu mengandungi 15 butir peluru calibre 9x19mm Parabellum. Pistol itu berukuran 217 milimeter dengan berat yag mencecah 952 gram.

Mejar Harish, jejaka yang berbadan tegap itu sekadar mengerutkan dahinya mendengar segala penjelasan daripada majikannya, Datuk Shahrin Ruslan, Perdana Menteri Malaysia, tetapi menelan setiap penjelasan yang diberi. 

“Tapi..” Harish masih belum dapat menerima penjelasan daripada ketuanya itu. Penjelasan itu berbunyi seakan-akan filem Hollywood yang sedang dimainkan, tidak logik masuk dek akal. Tak akanlah makhluk menyeramkan bernama zombi itu boleh wujud.

“Kenapa? Kamu keberatan?” Harish mengelengkan kepalanya, bukan itu niatnya. Dia melihat sekeliling, seolah-olah sedang menunggu seseorang untuk menjerit April Fool kepadanya, namun dia hampa, sesiapa sahaja yang dinantikan olehnya itu tidak muncul dan itu membawa berita bahawa ini semua bukan gurauan. Shila harus di selamatkan olehnya. Misi yang baginya antara yang paling berat pernah dipikulnya. Nyawa tujuh juta orang penduduk Eurasia berada di dalam genggaman tangannya.

“Apa yang harus dilakukan olehnya?” bisik hati kecil Harish. Apakah dia harus bersetuju dengan misi itu atau mengabaikannya, sekaligus menyebabkan tujuh juta nyawa yang tidak berdosa melayang kerana dirinya.

“Ba...ik,” jawab Harish pendek. Harish sedar sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang perisik, Harish berkewajipan untuk menjadi hero bagi menyelamatkan seisi bandar. Nyawa Shila adalah penentu kepada untung nasib nyawa tujuh juta penduduk Bandar Eurasia.

“Ingat. Selamatkan Shila.. hanya dia sahaja yang mampu mengubah situasi,” rayu Perdana Menteri Shahrin lagi. Harish mengangguk, terpaksa mengalah akhirnya.

“Ambil senjata dan baju kalis peluru di atas ini!” kata Datuk Hidayat pula. Perdana Menteri Shahrin sedang menatap sebuah potret arwah isterinya di dinding pejabat itu. Datin Sofia kelihatan sedang tersenyum dalam lukisan seseorang.

Andai Sofia tahu apakah yang telah terjadi kepada Shila sekarang, mahukah kau maafkan abang?

Air mata Perdana Menteri Shahrin menitik, menyesali perbuatannya. Datuk Hidayat hanya sekadar mampu menepuk belakang Shahrin, agar kesedihan itu boleh lenyap, tetapi sayang, perasaan bersalah itu semakin menggunung.

Helikopter Nuri

2.00 pagi, 1 April 2013

Baju askar sedang membaluti tubuh Harish. Harish sedang memejamkan matanya sambil berdoa ketika sedang bersiap sedia di dalam helikopter yang membawanya ke Eurasia. Jantung Harish pada hari itu entah kenapa berdebar aneh rasanya, seolah-olah itulah kali pertama dia berangkat untuk melaksanakan sebuah misi untuk negaranya.

Barangkali, misi kali ini merupakan yang paling berat. Ada ratusan ribu nyawa yang harus di selamatkan oleh tangan Harish. Tanggungjawab seberat itu sedang tergalas di bahu Harish.

“Ya ALLAH, padamu hamba memohon. Kau selamatkanlah perjalanan hamba, pergi dan balik. Kau kurniakanlah padaku sebuah kekuatan untuk menghadapi ujian yang paling berat daripada kau.” Sejurus sahaja doa itu diaminkan, helikopter itu bergegar luar biasa, seraya memandu Harish untuk ke bahagian kopkit.

“Apa yang terjadi...” soalan Harish itu tidak menemui jawapan. Juruterbang yang seharusnya memandu helikopter itu ke tempat yang selamat di pinggir hutan Eurasia sudah tidak bernyawa. Sebutir peluru yang Harish kenal berasal daripada jenis 5.56x45 mm NATO sedang terbenam di salah sebuah kepala juruterbang helikopter itu. Mungkin senjata seperti G41 buatan Jerman yang telah membunuh juruterbangnya. Cermin di hadapan Harish pula berlubang menguatkan lagi teori Harish.

Helikopter itu sedang menjunam menyembah bumi. Harish pantas mengalihkan tubuh salah seorang daripada juruterbang itu. Cuba mengambil alih helikopter tersebut dengan menggunakan seciput ilmu penerbangan yang dipelajarinya. Malapetaka berterusan apabila ekor helikopter pula menjadi mangsa tembakan bazooka.

“Habislah...” bisik hati Harish.

Kopkit pantas ditinggalkan lalu Harish mencari pintu keluar daripada helikopter itu. Beg payung terjun yang tergalas di badannya sudah bersedia untuk berkhidmat. Sekali lagi helikopter itu dijamah oleh peluru bazooka. Mujurlah, Harish sudah terjun terlebih awal.

“Alhamdulilah...” Harish sempat bersyukur. Ujian daripada ALLAH tidak tamat di situ apabila serpihan daripada kipas helikopter terkena pada payung terjun Harish.

“Arghhh...” teriak Harish sebaik sahaja dirinya ditarik oleh graviti yang tidak mengenali erti kasihan. Pada saat itu, hatinya hanya mampu dipanjatkan kepada ALLAH, TUHAN semesta alam ini.

Hutan Simpan Eurasia

3.00 pagi, 21 Disember 2011

“Awak... awak okey ke?” soal satu suara lunak. Pipi Harish ditepuk-tepuk oleh seseorang. Terpisat-pisat Harish membuka matanya. Wajah seorang gadis yang berambut hitam pekat, berhidung mancung dan bermata bulat sedang menjamah pandangan matanya. Cantiknya...

Harish bangkit sambil memegang kepalanya yang masih bersisa pening itu. Dia sedang terlantar di lantai hutan khatulistiwa yang tinggi menyombong. Dia menoleh memandang wajah penyelamatnya.

“Aulia,” tutur gadis itu sambil menghulurkan tangan untuk di salam oleh Harish.

Harish tidak memberitahu namanya ataupun membalas huluran salam Aulia sebaliknya merenung wajah gadis itu, dengan penuh curiga. Tangan Aulia terus rebah dengan perasaan kecewa.

“Awak siapa?” soal Harish memulakan bicara.

“Saya Aulia!” jawab Aulia yang cuba tersengih.

“Tak..tak. Saya tak tanya nama awak. Saya tanya awak ni siapa?” soal Harish dingin. Kebisuan terus menjangkiti bibir Aulia. Langit ditatap oleh Aulia, sekaligus mengembalikan memori yang hanya berjalan pergi beberapa hari sebelum kehadiran Harish pada malam itu.

“Saya kawan Shila...” Riak wajah Harish terus berubah selepas mendengar nama gadis yang seharusnya di selamatkan olehnya meluncur keluar dari mulut Aulia. Bahu Aulia terus sahaja digoncang oleh Harish.

“Mana dia? Saya Mejar Harish, diarahkan untuk menyelamatkannya! Cepat beritahu saya lokasinya!” arah Harish sambil menunjukan lencananya. Ada sinar kegembiraan yang terpancar dari wajah Aulia secara tiba-tiba.

Pantai Eurasia

6.15 petang, 30 Mac 2013

Dua hari sebelum tragedi...

Kelihatan dua orang gadis yang berseluar jeans dan berbaju-T lengan pendek sedang berlari-lari di bahagian pantai yang agak tersorok daripada bandar dan pengetahuan orang. Hanya anak jati Eurasia sahaja seperti Aulia yang mengetahui akan pantai itu.

Suasana pantai yang berjiran dengan Hutan Simpanan Eurasia itu sunyi. Hanya bunyi ketawa dan usikan dua orang gadis jelita itu sahaja yang memecahkan kesunyian pantai itu.

“Akhirnya... rindu aku pada pantai ini terubat juga!” luah Shila yang terduduk keletihan sambil memerhatikan sang ombak Laut Cina Selatan menghempaskan dirinya pada si pantai yang sentiasa setia.

“Itulah... dah jadi orang KL, aku ingat dah lupa kat aku,” seloroh Aulia. Dua orang sahabat itu ketawa lagi.

“Senyum pun kau Shila. Macam tulah.. lupakanlah Azmir. Sekali kau putus cinta, banyak lagi jejaka yang kejar kau. Apa-apa pun, tumpukan pada pelajaran kau, dapatkan ijazah barulah gatal nak bercinta,” panjang lebar Aulia memberi nasihat kepada Shila yang baru sahaja mencecah umur 19 tahun itu.

“Insya-ALLAH...” jawab Shila pendek. Angin senja sedang bermain-main dengan rambut hitamnya itu. Kesedihan masih kelihatan terpalit pada wajah Shila walaupun baru sahaja ketawanya meletus kerana seloroh Aulia.

“Dia yang bodoh sebab lepaskan anak perdana menteri macam kau, Shila!” ujar Aulia lagi yang berapi-api membela Shila. Bagi Aulia, Azmir memang bodoh kerana telah meninggalkan gadis secantik dan sekaya Shila itu. Aulia juga yakin bahawa ramai lagi jejaka di luar sana yang meminati dan mengimpikan untuk menjadikan Shila sebagai buah hatinya.

Aulia tiba-tiba bangkit. “Hari dah nak malam... mari balik?” ajak Aulia.

“Tak nak... kalau kau nak balik. Kau pergilah dulu... aku nak sendirian di sini. Banyak perkara yang aku nak buang pada lautan ni!” ujar Shila yang langsung tidak menoleh ke arah Aulia.

“Baiklah. Tak nak ganggu kau... buanglah kenangan dengan Azmir kau tu kat lautan!” tutur Aulia lalu mengayun kakinya meninggalkan pantai yang indah itu. Warna oren sudah mula bertompok di dada langit.

Hutan Simpan Eurasia

3.10 pagi,1 April 2013

“Jadi awak benar-benar tak tahu ke mana dia menghilang?” soal Harish sambil mengecilkan matanya menatap wajah Aulia. Aulia menggelengkan kepalanya. Harish menumbuk tanah dengan perasaan geram.

“Awak buat apa kat sini?” soal Harish lagi.

“Saya nak cari Shila bersama pasukan polis yang telah ditugaskan. Tapi, saya sesat, hilang daripada mereka beberapa jam tadi,” jelas Aulia sedih. Mata Haris liar memandang sekelilingnya, melihat keadaan hutan itu. Dia kemudian cuba bangkit, tapi terjatuh kembali. Rasa sakit yang amat sangat menyerang kakinya.

“Arghh...” teriak Harish sambil melipat seluar kakinya. Kakinya cedera teruk. Tiba-tiba sahaja rasa sakit itu menular. Aulia merenung simpati wajah jejaka itu. Harish cuba untuk berdiri lagi, sekali lagi dia rebah.

“Apa ni?” tutur Harish dingin apabila Aulia tiba-tiba sahaja menghulurkan tangan, menanti untuk disambut oleh Harish.

“Saya papah awak. Kita sama-sama cari Shila!” Aulia menawarkan dirinya dalam misi Harish. Harish terdiam sambil merenung wajah Shila sebelum menjawab.

“Tak... awak tu perempuan. Saya boleh buat seorang diri. Kaki saya ni tak sakit mana. Awak lihat nanti,” balas Harish lalu bangkit buat kali ketiga. “Arghh...” teriak Harish, rebah...

Aulia sempat memaut tubuh Harish yang sasa itu. Tangan Aulia melingkari lengan Harish membuatkan Harish tergamam. Pandangan mereka bersatu... jantung Harish tiba-tiba berdegup kencang. Begitu juga dengan Aulia. Entah mengapa, hatinya terasa nyaman tiba-tiba apabila mata biru Harish bertamu di matanya.

Harish menggelengkan kepalanya, cuba menghalau halunisasi tadi. “Jangan.. saya boleh berdiri sendiri!”

Aulia masih tidak melepaskan lengan Harish sebaliknya melontarkan pandangan tajam membuatkan Harish terdiam. “Harish! Buang ego awak tu boleh tak? Awak tu sakit. Kaki awak tu tak boleh berdiri tanpa bantuan saya!”

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi!” Aulia mencelah pantas.

“Saya tak menyusahkan awak ke?” Aulia menggelengkan kepalanya sambil mengukirkan sebuah senyuman. Harish terpaku pada senyuman itu. Senyuman Aulia begitu tajam menusuk hatinya.

“Harish?” soal Aulia apabila Harish tidak melarikan pandangan matanya. Namun, tiada balasan daripada Harish membuatkan Aulia terpaksa memanggil nama Harish buat kali kedua. Kali ini, angan-angan Harish tersentak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.