Lapangan Terbang Antarabangsa Eurasia
8.00 pagi, 1 April 2013
Ashraf dan Fera benar-benar tidak
percaya dengan apa yang dilihat oleh mereka. Pasukan keselamatan yang
berkampung Lapangan Terbang Eurasia akhirnya tumpas awal. Satu demi satu
rakan-rakan mereka tumbang dibaham oleh mayat hidup yang sedang merusuh.
“Kita kena lari!” tutur Ashraf
yakin. Fera melontarkan renungan tajam ke arah Ashraf.
“Tapi tanggungjawab kita...”
“Mampu ke kita bertahan dua orang
ini, dengan awak yang terpaksa menjaga bayi tu?” soal Ashraf lagi yang sempat
melepaskan beberapa das tembakan, melindungi Fera yang sedang menenangkan bayi
yang berada dalam gendongannya.
Fera mati hujah untuk melawan Ashraf.
Benar juga kata-kata lelaki kacukan itu. Wajah Ashraf yang sedang kusyuk
melepaskan tembakan direnung penuh kusyuk oleh Fera. Kemudian, gadis itu
melarikan matanya untuk melihat sekeliling. Tiada lagi manusia yang belum
dijangkiti di dalam lapangan terbang canggih itu. Masing-masing sudah bertukar
menjadi mayat hidup yang dahagakan daging segar.
“Awak, pintu keluar ada kat sana!
Terbuka luas,” tutur Fera. Bayi tadi tidak lagi menangis sebaliknya merenung
kosong wajah Fera. Ashraf memalingkan wajahnya ke arah arah yang ditunjukkan
oleh Fera.
“Kita berdua lari serentak ke sana,
sambil saya melindungi awak,” ujar Ashraf serius. Fera mengangguk.
“Satu.... dua... tiga!” teriak Ashraf
lalu membuka langkah seribu.
***
“Arief! Tinggal kita aje kat
lapangan terbang ni!” tempik Azmir sambil mengisi peluru ke dalam senjatanya.
Arief sekadar menggelengkan kepalanya mendengarkan jeritan Azmir.
“Aku tak akan menyerah!” balas
Arief. “Kalau ditakdirkan aku terkorban di sini, aku rela. Yang penting aku
kena pegang amanah yang telah diletakkan ke atas aku.”
Azmir berlari menghampiri Arief lalu
menghadiahkan sebuah tumbukan yang kemudiannya tepat mengenai pipi Arief. Koler
Arief digenggamnya.
“Amanah apa lagi? Tiada siapa lagi
yang masih manusia biasa dalam lapangan terbang ini kecuali kita. Dan kita ada
dua nyawa yang harus kita pertahankan. Tasha dan budak perempuan tu!” marah Azmir.
“Ambil kau!” kedengaran suara Tasha
berteriak ketika menghadiahkan satu pukulan menggunakan sebatang besi lalu tepat
mengenai kepala zombi yang cuba menyerang budak kecil tadi. Namun, kudrat
seorang gadis seperti Tasha tidak banyak membantu. Akhirnya, budak kecil tadi
menjadi mangsa ratahan zombi yang sedang mengganas.
“Adik!” teriak Tasha yang terlepas
pegangan tangannya ketika budak kecil itu ditarik kakinya ke arah lautan zombi
yang sedang mengepung mereka. Tasha spontan terlutut di tanah, tidak percaya
dengan peristiwa yang sedang berlaku.
“Bangkit Tasha!” kata Azmir sambil
melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah zombi yang cuba menyerang Tasha dari
pelbagai arah.
“Budak tadi...” gumam Tasha sambil
mengesat air matanya. Arief menggelengkan kepalanya melihat situasi itu.
Selepas kembali mengikat senjata sniper buatan Malaysia di belakangnya, Arief
menghulurkan tangannya.
“Kita kena lari,” tutur Arief sambil
menanti Tasha mencapai huluran tangannya.
“Tinggalkan saya kat sini.. saya
lemah,” balas Tasha.
Azmir pula sedang sibuk melindungi Arief
dan Tasha tatkala mereka berdua sedang menjadi sasaran zombi-zombi yang
mengganas. Namun, Tasha masih membisu memaksa Arief untuk melakukan sesuatu.
“Maafkan aku,” tutur Arief lalu
melingkarkan tangannya tiba-tiba di perut Tasha, lalu mengangkat gadis itu
seperti sekarung guni di bahunya. Tasha kelihatan meronta untuk melepaskan diri
daripada Arief.
“Aku kira sampai tiga. Kita lari!” tutur
Azmir yang sedang berdiri di sebelah Arief.
***
“Shyyy...” tutur Ashraf sebaik
sahaja dia melabuhkan punggungnya di celahan kereta yang diparkir kemas di
hadapan lapangan terbang. Fera pula hanya mampu menepuk-nepuk bahu bayi yang
berada di dalam dakapannya.
“Kita tak boleh kasi dia menangis,”
tutur Fera perlahan.
“Kalau macam tu, kasi dia minum
susu,” jawab Ashraf.
“Mana saya nak cari susu masa-masa
macam ni?” tanya Fera.
“Hmm... boleh tak kalau awak guna
susu tu...” Fera berkerut dahi mendengarkan cadangan Ashraf, cuba menangkap
maksud Ashraf namun selepas beberapa ketika, cubitan keras hinggap di perut
lelaki itu.
Berkerut dahi Ashraf menahan
kesakitan. Malah, Ashraf sempat menggigit lidahnya bagi mengelakkan sebarang
suara keluar dari mulutnya. Fera mahu bangkit namun Ashraf sempat memegang
pergelangan tangannya.
“Saya dengar bunyi tapak kaki sedang
datang ke sini,” tutur Ashraf perlahan. Senapang M16 kembali dkeluarkan sebagai
langkah berjaga-jaga.
“Ada peluru lagi ke?” tanya Fera.
“Tinggal sebutir sahaja,” balas Ashraf.
***
“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” teriak
Tasha ketika dirinya diusung seperti guni oleh Arief.
“Kita nak ke mana?” tanya Azmir yang
terus berlari mengekori Arief dari belakang. Arief sekadar membisu. Azmir
mahupun karenah Tasha langsung tidak dilayannya sebaik sahaja Azmir masih terus
berlari.
Bam! Tiba-tiba sahaja ada sesuatu
runtuh dari siling dan hampir sahaja menimpa mereka. Mujurlah Azmir sempat
melompat untuk mengelakkan runtuhan. Sedar-sedar sahaja, dia sedang dipeluk
oleh Tasha.
Mereka berdua kekal dalam posisi
yang agak kekok itu dalam beberapa saat. Sebelum Tasha bangkit, cuba meraih
kesempatan itu untuk melarikan diri. Namun, Azmir sudah berdiri di hadapan Tasha
sambil tersenyum.
“Maaf,” tutur Azmir lalu memukul
bahagian tertentu di leher Tasha untuk membuatkan gadis itu pengsan. Kemudian, Azmir
pula mengambil giliran untuk mengusung Tasha.
“Kita tinggalkan tempat ini! Kita ke
kawasan parkir kereta. Di sana ada sebuah kereta yang kalis peluru dan kita
boleh gunakannya!” kata Arief yang mengambil senapang M16 yang diberikan oleh Azmir.
VLB Berapi terpaksa ditinggalkan kerana sudah kehabisan peluru.
“Ini satu-satunya senjata aku yang
masih berfungsi,” kata Azmir. “Dah, jangan buang masa, kita bertolak!”
***
Ashraf merangkak, gaya seorang
tentera di dalam peperangan. Manakala Fera pula sedang memeluk erat bayi yang
diamanahkan kepada mereka. Mujurlah bayi itu sedang lena tidur. Syukur...
Ashraf berdiri dan...
mengacukan M16. Seorang lelaki juga mengacukan senjata yang sama ke arah Ashraf.
Serentak itu, mereka berdua menjatuhkan senjata, sambil berkongsi pandangan.
Kemudian, masing-masing tersenyum.
“Ashraf!”
“Azmir!”
Kedua-dua orang sahabat itu saling
berbalas pelukan. Serentak itu, Fera dan Arief yang sedang mengendong Tasha
keluar dari tempat persembunyian. Fera dan Arief juga berbalas senyuman.
“Fazeera!” panggil Arief.
“Arief!” panggil Fera pula.
“Kamu berdua kenal ke?” tanya Ashraf
dan Azmir serentak.
“Mestilah, Kami ni satu pasukan,”
jawab Arief dan Fera serentak.