Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 19: Manusia Bertopeng

Afiq berlari anak-anak, menjejak langkah kaki Ummu. Selepas meredah batu nisan yang terpacak sana sini, Afiq menjumpai Ummu sedang berdiri di tepi gaung yang amat dalam. Ummu kelihatan sedang berbicara dengan seseorang.

“Ummu!” panggil Afiq.

Ummu menoleh ke belakang.

“Hai Fiq…” tegur Ummu seperti tiada apa yang berlaku. Air mata Ummu mengalir tanpa henti.

“Awak buat apa tu?” tanya Afiq sambil cuba melangkah mendekati Ummu, perlahan-lahan.

“Ayah saya Fiq… ayah saya!” tutur Ummu sambil tersenyum lalu melontarkan pandangannya ke arah hadapannya. Di mata Afiq, kosong. Tapi…

“Ikut ayah nak…” tutur Datuk Junaidi sambil terapung di hadapan Ummu.

“Fiq…” panggil Ummu tiba-tiba. “Kirim salam saya pada semua orang. Pada Zaff… cakap yang saya sayangkan dia!” Pucat wajah Afiq mendengarkan kata-kata itu. Zaff…

“Apa kau merepek ni?” Afiq sudah mula marah. Ummu tersenyum lagi. Dia mula menghayunkan kakinya, cuba untuk menjejak ruang kosong yang bakal membawa Ummu jatuh ke dalam gaung dalam di bawahnya.

“Jangan!” teriak Afiq.

“Kenapa Fiq?” tanya Ummu.

Kemudian, Ummu pun meletakkan kakinya dan, dia jatuh tergolek ke bawah gaung. Afiq membuka larian, lalu bergerak ke arah tepi gaung.

“Ummu!” teriak Afiq dari atas sana. Namun, tiada balasan daripada Ummu.

“Tak guna! Aku kena turun sana!”

***

Naim tiba-tiba menerkam Hakiman dari belakang membuatkan Hakiman jatuh terlentang. Kemudian, sebuah tumbukan dilayang oleh Naim, lalu membuatkan darah tersembur keluar dari mulut Hakiman.

“Kenapa?” tanya Hakiman.

“Nak sedarkan kau yang itu semua…”

Bahu Naim tiba-tiba disentuh oleh seseorang membuatkan Naim menoleh belakang. Seorang wanita yang berpakaian serba putih sedang berdiri sambil tersenyum manis memandang Naim.

“Mak… macam mana…”

“Naim rindukan mak?”

“Macam mana…” Air mata Naim tiba-tiba menitik jatuh. Dia bangkit dari atas tubuh Hakiman lalu berdiri, sambil merenung wajah ibunya. Hakiman merangkak untuk menjauhkan diri daripada Naim.

“Tak! Kau tak wujud! Mak aku dah lama mati!” tempik Naim seperti orang gila sambil menggelengkan kepalanya.

“Ini mak Naim ni. Naim anak mak. Anak yang mak jaga sampai Naim jadi genius…”

“Iblis! Jangan kau tukarkan diri kau jadi mak aku semata-mata nak mengaburi mata aku!”

Tapak tangan wanita yang sedang berdiri di hadapan Naim itu tiba-tiba menyentuh pipi Naim. Naim mahu menepis tetapi tangan wanita yang lain pula menyentuh tangan Naim.

“Mak tahu yang Naim rindukan belaian dan sentuhan mak, bukan?” tutur wanita tadi. Lembut…

“Mak…” Naim sudah teresak-esak menangis manakala Hakiman merenung tidak percaya adegan yang sedang dipaparkan di hadapan matanya. Dia tidak pernah melihat Naim, lelaki yang tidak punya emosi itu akhirnya tumbang jua…

“Mak tahu yang Naim rindukan mak…”

“Mak… Naim sayangkan mak. Sepanjang Naim hidup… perkataan ini tidak pernah terbit dari bibir Naim. Naim nak minta maaf atas apa yang Naim buat selama ini mak. Naim…”

Jari telunjuk wanita yang merupakan ibu Naim itu tiba-tiba menyentuh bibir Naim, membuatkan Naim terdiam. Kemudian, satu pelukan hangat dihadiahkan oleh wanita tadi membuatkan air mata Naim semakin deras.

Kemudian, secara tiba-tiba Naim menolak tubuh wanita itu. Naim yang sudah terlutut itu kembali berdiri sambil merenung tajam ke arah susuk tubuh wanita itu. Kemudian, dia mencapai sebatang kayu. Senyuman sinis terukir di wajahnya.

“Aku ialah budak paling genius di Universiti Tun Dr Mahathir! Aku tak akan biarkan diri aku ditipu oleh syaitan. Ya! Banyak anak adam telah kau sesatkan tetapi bukan aku! Aku diberi peringatan bahawa jangan membiarkan diri kita dimanipulasikan oleh syaitan macam kau! Cukuplah moyang aku Nabi Adam yang menjadi mangsa!” teriak Naim sekuat hatinya.

Kemudian, Naim memejamkan matanya.

“Maafkan Naim, ibu. Bukan Naim nak pukul ibu, tapi syaitan di depan Naim yang menggunakan bentuk ibu untuk menipu Naim…” gumam Naim. Kemudian, dia menghayunkan kayu tadi berulang kali, untuk menghalau jelmaan ibunya tadi. Namun, semuanya telus dan jelmaan ibu Naim sekadar tersenyum.

“Aku tolong kau!” Hakiman tiba-tiba bersuara.

Hakiman menggengam tanah di bawahnya, lalu membaca sesuatu. Kemudian, Hakiman melemparkan pasir itu tepat pada jelmaan ibu Naim. Apa lagi, meraunglah jelmaan itu. Naim menoleh ke arah Hakiman sambil tersenyum.

“Terima kasih kawan…” ucap Naim.

“Terima kasih pada kau juga. Kau buka mata aku,” balas Hakiman sambil menepuk belakang Naim.

“Selesaikan pengebumian dan cari budak kita cepat,” kata Naim yang kemudian dibalas oleh anggukan Hakiman.

***

Afiq duduk di tepi gaung itu. Berfikir dalam sama ada dia mahu melakukan kerja gila itu atau tidak. Fikirannya melayang memikirkan seorang gadis jelita, yang menjadi kegilaan ramai jejaka di Universiti Tun Dr Mahathir. Gadis jelita itu merupakan sahabatnya. Mereka saling kenal mengenali sejak usiaremaja lagi. Membesar di sekolah dan universiti yang sama.

“Aku mungkin akan cedera parah kalau aku turun kat bawah sana…” gumam Afiq. “Tapi, aku sayangkan Ummu.”

Afiq seperti bermonolog dengan dirinya. Kemudian, dia mengangguk. Sesuatu yang buruk pasti terjadi pada Ummu kalau dia tidak berbuat sesuatu. Dengan hati yang penuh tekad. Afiq menuruni gaung itu sambil berpaut pada akar-akar pokok.

Seketika, dia seperti mampu turun dengan baik sehinggalah… seekor lipan sebesar lengan manusia sedang merangkak turun tanpa sedar. Kemudian, lipan itu terjatuh di belakang tubuh Afiq.

“Arghh!” teriak Afiq sambil menyapu-nyapu belakang tubuhnya. Dia mahu menghalau lipan itu daripada merayap bebas.

Tubuh Afiq melayang jatuh, menghempas pokok-pokok yang sudah lama bermukim di kawasan tepi gaung itu. Dia hanya mampu sedarkan diri buat seketika sebelum kesakitan yang amat sangat yang sedang merayap di setiap sarafnya datang menyerang. Akhirnya, matanya tertutup perlahan-lahan.

“Maafkan aku Ummu…”

***

Matahari sedang bertenggek di sudut langit. Kelihatan dari jauh, Saiful sedang memapah Tengku Nizarif. Jejaka itu cedera ringan. Bibirnya pecah akibat ditumbuk oleh Afiq. Naim dan Hakiman menyusul dari belakang. Pakaian mereka penuh dengan kesan tanah. Tiada langsung kelibat Afiq dan Ummu kelihatan.

Hotel Dino tersergam indah disinari oleh cahaya matahari. Dari kejauhan, kelihatan kawanan dinosaur Hervivor sedang meragut rumput. Di atas bumbung Hotel Dino pula, Kapten Azrin yang mengambil alih tugas berjaga dapat mengesan kehadiran Saiful dan ahli kumpulannya.

“Bukakan pintu!” teriak Saiful.

Pintu gerbang yang memisahkan dunia luar yang penuh dengan bahaya itu daripada penempatan manusia di pulau misteri itu terbuka. Kelihatan Kapten Azrin yang ditemani oleh Acha dan Husna menghampiri Saiful yang sedang memapah Zaff.

“Mana Fiq?” Soalan itu meluncur keluar dari mulut Acha.

Saiful memalingkan wajahnya. Dia menggelengkan kepalanya.

“Kenapa dengan dia?” Acha mendesak.

“Dia hilang dengan Ummu. Puas kami cari, tapi tak jumpa!” Hakiman tiba-tiba bersuara.

Sebaik sahaja Acha mendengarkan jawapan, gadis itu tiba-tiba bergerak ke arah pintu gerbang yang terbuka luas di hadapan matanya.

“Kau nak ke mana?” tanya Saiful.

“Cari Fiq!” ujar Acha penuh tekad.

Saiful sekadar memberi isyarat mata kepada Husna. Husna mengangguk lalu menarik tangan Acha, cuba untuk menenangkan gadis itu.

“Jangan macam ni, Acha. Nanti kita cari sama-sama. Kita buat perbincangan. Saiful tentu ada rancangannya tersendiri,” ujar Husna.

“Tapi Fiq dengan Ummu, keseorangan kat luar sana!” tutur Acha.

“Fiq kuat! Akak percayakan dia! Kita dah berjaya sampai setakat ini, kekal hidup di atas pulau ini untuk 2 bulan! Kerana siapa? Fiq! Dia dah tunjukkan kat kita yang dia bukan budak yang lemah,” ujar Husna menasihati.

“Aku percayakan Afiq. Dia kuat… aku akan tubuhkan pasukan mencari. Tapi, biar mereka semua berehat dulu. Kita berdoa agar dia selamat di luar sana,” tambah Saiful pula.

Akhirnya, Acha akur. Dia memegang lengan Husna lalu melentokkan kepalanya di atas bahu perempuan itu. Husna sudah seperti kakaknya sendiri. Acha selalu menjadikan Husna tempat untuknya meluahkan segala perasaannya. Belakang tubuh Acha ditepuk-tepuk oleh Husna, cuba menenangkan gadis itu. Husna tahu yang fikiran gadis itu sedang berserabut.

***

Nabil sedang memerhatikan sahaja Hazira sedang melukis dari jauh. Gadis itu seringkali menjadikan lobi hotel itu tempat lepaknya. Hazira jarang menuturkan perkataan, sekadar bersendirian membuatkan Nabil berminat untuk mengetahui dan mengenali Hazira dengan lebih mendalam.

Pintu lobi itu terbuka dan kelihatan seorang lelaki sedang tersenyum. Nabil pantas bangkit. Lelaki bertopeng itu sekadar berseluar jeans, tidak berbaju melihatkan tubuhnya yang sasa itu.

“Macam mana kau boleh masuk?” teriak Nabil.

“Diam. Shyyy…” tutur Qarin. “Aku nak kau diam. Panggil semua orang. Cakap yang aku nak jumpa mereka.”

Hazira tiba-tiba berdiri. Nabil mengangguk lalu meninggalkan lobi itu dalam keadaan yang tergesa-gesa. Qarin kemudian mengambil tempat di sebuah kusyen di lobi itu lalu berbaring selesa. Hazira kelihatan menghampiri Qarin.

“Aku kenal kau,” tutur Hazira tiba-tiba.

“Shyy…” tutur Qarin.

“Tapi, bukan ke kau…”

“Shyy. Budak, aku nak kau diam. Kau akan ganggu permainan takdir nanti,” ujar Qarin lagi. Kali ini, Hazira akur. Namun, Hazira tidak sedikitpun berganjak daripada tempat berdirinya sebaliknya menatap Qarin dengan penuh minat.

“Kenapa?” tanya Qarin.

“Kau… menarik,” gumam Hazira lagi.

“Kau pun sama budak. Lepas ni, mereka akan sedar kenapa mereka terperangkap. Terima kasih pada kau, budak,” tutur Qarin.

“Kenapa aku?” tanya Hazira.

“Jangan ganggu permainan takdir,” balas Qarin. Hazira semakin bingung. Akhirnya, Hazira mengangkat kedua-dua bahunya. Keliru dengan permainan kata-kata yang keluar dari mulut Qarin.

“Haz!” suara Kapten Azrin menegah Hazira. “Jauhkan diri daripada lelaki tu!”

Kemudian, Yasmin dan Piqah berlari lalu memeluk Hazira dari belakang, cuba membawa Hazira menjauhi Qarin. Kemudian, muncul Saiful dan semua penghuni bilik itu sambil Nabil sedang memapah Zaff.

“Macam mana kau boleh masuk?” tanya Saiful.

“Takdir telah membenarkan aku untuk masuk. Kau siapa nak lawan permainan takdir, Saiful Hawiz?” tanya Qarin balik. Berkerut dahi Saiful mendengarkan ungkapan Qarin itu.

“Apa yang kau nak?” tanya Kapten Azrin pula.

Qarin bangkit. Dia mendekati kumpulan manusia yang setia berdiri di belakang Saiful. Kemudian, Acha yang kelihatan takut-takut itu didekati oleh Qarin.

“Kau masih cantik macam dulu, Aisyah Mazyadi…” tutur Qarin tiba-tiba sambil menyentuh pipi Acha. Pantas tangan Qarin ditepis dan sebuah tamparan hampir sahaja hinggap di pipi Qarin. Namun, pantas Qarin menangkap pergelengan tangan Acha.

“Juga masih garang masa pertama kali kita berjumpa,” tambah Qarin membuatkan kening Acha terangkat.

“Siapa kau?” tanya Acha.

“Takdir belum mahu mendedahkan aku siapa, sahabat…” ujar Qarin.

Kemudian, Qarin mendekati Naim yang sedang berdiri tidak jauh daripada Acha.

“Ahmad Naim bin Ahmad Rosdi. Apa khabar si genius?”

Naim tidak menjawab, sebaliknya terus melontarkan renungan tajam. Qarin mengangkat bahunya sekali dua.

“Masih ego seperti dulu.”

Kemudian, Qarin kembali mendekati Saiful. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman dengan Saiful.

“Macam mana kau boleh masuk?” tanya Saiful yang tidak langsung membalas huluran salam tangan Qarin.

“Takdir kawan… dia yang membenarkan aku masuk,” gumam Qarin membalas soalan Saiful.

“Siapa kau?” tanya Saiful.

“Aku? Raja hutan ini.”

Bunyi berbisik mula memenuhi kawasan lobi itu.

“Kenapa kau datang sini?” tanya Saiful.

“Takdir menghantar aku untuk memberitahu kalian di manakah Afiq dan… Ummu,” jelas Qarin lagi.

“Kau tahu mana Fiq?” Acha tiba-tiba bersuara.

“Hebat Acha. Sangat hebat… takdir kisah cinta kau sungguh menyayat hati. Cinta kau masih pada Fiq? Walaupun dia tak pandang pun kau? Walaupun hanya Ummu yang menjadi pilihan hatinya, walaupun hanya Ummu seorang sahaja perempuan dalam kepala otak dia?”

Wajah Acha merah apabila Qarin menuturkan ayat itu.

“Mana Ummu?” tanya Hafeez dan Taufiq serentak.

“Aku ingat korang berdua lagi. Sangat-sangat ingat,” tutur Qarin sambil matanya fokus ke arah Hafeez dan Taufiq.

“Satu lagi kisah cinta hebat. Kamu berdua ditakdirkan untuk mencintai Ummu. Tapi… kamu tidak ditakdirkan untuk memiliki dia!”

“Berhenti mengarut. Bagitahu kami mana Fiq dan Ummu!” Zaff berang.

“Hahahahaha… sahabat aku. Sahabat aku… aku akan beritahu di mana dia. Saiful, bawakan peta kau ke sini. Biar aku tandakan tempatnya!”

Saiful terpempan. Lelaki bertopeng yang sedang berdiri di hadapannya itu tahu segala-galanya. Seolah-olah semua orang di situ sangat dikenalinya. Bahkan apa yang sedang disimpan oleh Saiful diketahuinya. Saiful mengeluarkan sesuatu daripada jaket kulitnya lalu menyerahkan sehelai kertas kepada Qarin.

“Sini. Barat daripada hotel ini. Seminggu perjalanan jalan kaki. Kau akan jumpa sebuah perkampungan…”

“Perkampungan? Ada oranglah kat sini?” pintas Hafeez tiba-tiba, kelihatan teruja.

Qarin menggelengkan kepalanya.

“Aku tahu apa yang kau fikirkan. Tapi… mereka bukan sebenar-benarnya orang. Mereka… ialah Puak Pemburu Kepala yang telah hilang daripada sejarah! Mereka yang membina tempat ini, salah pulau!”

Riak wajah Saiful berubah sebaik sahaja mendengarkan kisah Qarin.

“Habislah… Fiq dengan Ummu…”

“Mereka belum mati lagi, Taufiq. Jaga mulut kau. Puak pemburu kepala itu cuma akan korbankan nyawa mangsa mereka, di bawah bulan purnama di mana akan muncul dalam masa seminggu lagi. Ketika itu, barulah mereka akan memenggal kepala mangsa mereka. Darah itu akan diminum untuk menggambarkan kekuatan mereka. Kalian ada seminggu untuk selamatkan Afiq dan Ummu.”

***

Kawasan lobi itu dipenuhi oleh para survivor nahas terhempasnya pesawat Boeing 777-300ER, penerbangan MH707 di sebuah pulau misteri pada detik 7.7.2007. Masing-masing mempamerkan wajah yang penuh resah dan terkejut. Jelas kemunculan tiba-tiba Qarin meninggalkan trauma di antara mereka.

“Aku dah tukar password untuk masuk ke dalam hotel ini. Aku nak kamu semua mengaku, siapa yang menjadi dalang menyebarkan kata laluan untuk masuk ke sini? Jujur dengan aku…” gumam Saiful sambil berdiri berpeluk tubuh sambil diapit oleh Cik Mia.

Masing-masing diam seribu bahasa. Kemudian, Hafeez mengangkat tangannya ke udara.

“Aku rasa ini kerja Hazira,” ujar Hafeez sambil tanpa segan silu menundingkan jarinya ke arah Hazira yang sedang berdiri di satu sudut lobi itu sambil melukiskan sesuatu mendongak merenung Hafeez.

“Aku kenal kau, ke?” tanya Hazira sambil mengecilkan matanya merenung wajah Hafeez.

“Tadi, dia aje yang rapat dengan lelaki bertopeng tu. Siap berbual lagi. Mungkin dia ialah dalangnya. Yalah, korang pun tahu dia tu memang pelik?” Hafeez mempertahankan teorinya.

“Jangan tuduh dia!” bentak Yasmin tiba-tiba. “Aku kenal Haz! Dia bukan macam yang kau cakapkan!”

“Tapi…”

“Aku rasa aku kenal siapa lelaki bertopeng itu,” ujar Hazira membuatkan Yasmin yang hampir bertumbuk dengan Hafeez terdiam. Semua mata di situ menoleh ke arah Hazira.

“Siapa! Siapa?” tanya Acha tiba-tiba.

“Tapi… aku tak nak ganggu perjalanan takdir. Aku…” Hazira menoktahkan ayatnya di situ sebelum kembali memeluk anak patungnya. Gadis itu menundukkan wajahnya, melarikannya daripada ditatap oleh oleh Hafeez.

Acha menolak Hafeez dan Taufiq yang sedang berdiri di hadapannya. Hazira didekati oleh Acha. Bahu Hazira disentuh oleh Acha lalu digoyangkannya berulang kali. Acha tidak ubah seperti orang gila.

“Bagitahu aku siapa lelaki bertopeng tu! Siapa dia?” tanya Acha berulang kali.

“Takdir…” gumam Hazira lalu menepis tangan Acha.

“Gila…” gumam Nazura tiba-tiba sambil mempamerkan wajah jelik melihat sikap yang dipamerkan oleh Hazira.

Hazira kemudian menjauhi Acha yang tergamam dengan sikap yang dipamerkan oleh Hazira. Saiful Hawiz menepuk tangan untuk sekali dua, demi mengenbalikan focus ahli kumpulan itu kepada dirinya.

“Kalau tak ada yang mengaku, tak mengapalah. Itu urusan kalian dengan ALLAH. Apa-apa pun, aku ada satu benda nak beritahu pada kamu semua,” tutur Saiful lagi. “Aku nak tubuhkan sebuah pasukan yang akan bersama aku menyelamatkan Fiq dan Ummu.”

Semua di situ sekadar mengangguk.

“Siapa yang nak bersama dengan aku?” tanya Saiful.

“Korang nak jumpa Fiq?” tanya Hazira tiba-tiba. Saiful mengangguk.

“Aku nak pergi. Aku ada benda nak tanya dia,” tutur Hazira.

Saiful tidak menjawab sebaliknya merenung tidak percaya. Ini ialah kali pertama Hazira bersikap sedemikian. Sebelum ini, gadis itu memilih untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang mereka laksanakan. Tetapi, kali ini Hazira sangat berbeza.

“Okey, Haz dengan aku. Siapa lagi?” tanya Saiful.

“Aku!” kata Zaff sambil mengangkat tangannya di udara.

Kali ini, Saiful menggelengkan kepalanya.

“Aku akan suruh Cik Mia jaga kau. Kau masih cedera. Dr Izwan akan berada di sini untuk memantau keadaan kau.”

“Waktu terakhir kau tawarkan benda ni, aku jadi takut. Tapi, Fiq pula yang hilang. Aku nak tebus kesalahan aku sebab tak berada di sisi dia saat dia susah. Jadi, Saiful tolong pilih aku!”

“Acha. Kau ikut kita orang. Siapa lagi?” tawar Saiful lagi.

“Sekejap…” Yasmin bersuara tiba-tiba. “Lelaki bertopeng tu cakap yang kita akan berdepan dengan puak pemburu kepala? Jadi, maknanya korang kena pilih aku dengan Piqah.”

“Cantik. Aku memang nak korang ada dalam pasukan aku,” balas Saiful sambil tersenyum. Saiful masih teringat gandingan Yasmin dan Piqah yang telah menyelamatkan dirinya daripada di baham oleh kawanan Alectrosaurus.

“Kepala aku macam mana? Korang perlukan otak aku. Jadi, Ahmad Naim menawarkan dirinya,” dehem Naim pula.

“Kau dengan kita orang empat mata. Siapa lagi?” soal Saiful.

Ketika itu, Hafeez kelihatan membisikkan sesuatu di telinga Taufiq. Taufiq menggelengkan kepalanya. Hafeez kemudian menunduk kecewa.

“Hazira, Acha, Yasmin, Piqah dan Naim. Siapa lagi?” tanya Saiful.

“Aku nak!” Hafeez menawarkan dirinya. Taufiq menoleh tidak percaya.

“Aku nak kau jaga telur tu!” bisik Taufiq.

Hafeez tersengih.

“Tempat aku di sisi Ummu, kawan…” balas Hafeez, juga dalam nada berbisik. “Kau kena jaga telur tu!”

Wajah Taufiq monyok.

“Hafeez orang terakhir? Bagus. Kita akan bergerak dalam beberapa jam lagi. Sarjan Azmi, aku serahkan tugas menjaga hotel ni kat kau.”

“Tak ada masalah, Saiful.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.