Afiq
terpisat-pisat membuka matanya. Wajah seseorang menjamah matanya. Malah, wajah
itu mengukirkan senyuman manisnya. Indah… Afiq turut tersenyum apabila menerima
senyuman itu.
“Ummu…”
tutur Afiq yang cuba bangkit, namun Ummu menggelengkan kepalanya.
“Awak
cedera tu. Berehat…” gumam Ummu.
“Kita
kat mana ni?” tanya Afiq.
Ummu
menundukkan wajahnya. Dia kemudian melemparkan pandangan di sekeliling kurungan
yang telah menempatkan mereka.
“Kita
telah ditangkap oleh satu puak pelik,” gumam Ummu sambil bersandar pada dinding
kurungan yang menempatkan dirinya.
“Pelik?”
tanya Afiq yang sedang berbaring di atas timbunan daun kering yang dijadikan
seperti tilam.
“Masa
kita di bawa ke sini, Ummu tengok keliling kampung mereka terdapat banyak kayu
yang dipacakkan dengan tengkorak kepala manusia. Ummu takut…” ujar Ummu yang
sedang bersandar di dinding kurungan itu. Afiq masih cuba bangkit tetapi
belakang tubuhnya terasa sakit.
“Fiq…
maaafkan Ummu. Sebab semalam tu… Ummu, tak dapat kawal diri,” ucap Ummu sambil
menundukkan wajahnya.
“Tak
apa,” jawab Afiq sambil tersenyum.
“Sekarang
awak kena berehat. Tangan awak luka-luka. Mujurlah tak patah riuk,” ujar Ummu
sambil tersenyum.
Afiq
mengangguk. Dia kembali memejamkan matanya. Sungguh, segala sendi dan tulanga
terasa perit pada waktu itu.
“Saya
akan jaga awak sampai awak bangun,” suara Ummu menyapa cuping telinganya.
Senyuman
jelas terukir pada wajah Afiq.
***
Pintu
yang terkunci sejak semalam tiba-tiba terbuka. Ummu yang sedang tidur itu mula
membuka matanya. Kelihatan dua orang lelaki yang merupakan ahli puak pemburu
kepala yang telah menculik Ummu dan Afiq melangkah masuk. Tangan Ummu pantas
mencari tubuh Afiq.
“Awak…
tu!” gumam Ummu sambil menundingkan jarinya ke arah dua orang lelaki puak pemburu
kepala. Mereka sekadar memakai daun kecil yang dibentuk seperti seluar untuk
melindungi bahagian sulit. Bahagian tubuh yang lain terdedah manakala di tangan
mereka, kelihatan sebatang tombak.
Afiq
bangkit untuk duduk. Kepalanya masih tersisa rasa sakitnya.
“Semua
dah tidur,” gumam lelaki yang paling tinggi.
“Aku
dah tak sabar nak rasa budak perempuan tu,” tutur lelaki yang berbadan gempal
itu pula.
Afiq
dan Ummu saling berpandangan. Pantas Ummu mendekati Afiq lalu berlindung di
belakang lelaki itu.
“Kau
nak buat apa dengan dia?” tanya Afiq sambil merenung tajam. Dia bangkit tetapi
sambil berpaut pada lengan Ummu.
“Jangan
kacau kami nikmati dia malam ni. Kalau kau nak rasa juga, tunggu giliran,”
tutur lelaki yang tinggi lampai itu.
Genggaman
tangan Ummu semakin erat.
“Fiq…
tolong Ummu…” gumam Ummu.
“Jangan
risau. Sampai mati pun diaorang tak akan dapat sentuh Ummu!” tutur Afiq sambil
memberi keyakinan kepada Ummu.
“Kita
selesaikan dia dulu,” tutur lelaki gempal itu.
Mereka
berdua semakin mendekati Afiq dan Ummu. Afiq pula masih tidak berganjak walau
seinci sekalipun. Lelaki yang tinggi lampai itu tiba-tiba menghadiahkan
tendangan yang kemudiannya tepat mengenai dada Afiq. Afiq terundur beberapa
tapak ke belakang. Sakit jatuh dari gaung yang tinggi tempoh hari masih belum
hilang, sekarang dia dihidangkan pula dengan dua orang lelaki sasa yang akan
membunuhnya bila-bila masa kerana Ummu.
Afiq
berlari cuba menerkam, namun lelaki yang gempal itu mengelak membuatkan Afiq
terperosok di atas lantai. Kemudian, lelaki yang tinggi lampai menghampiri Afiq
lalu memijak belakang tubuh Afiq berulang kali.
“Rasakan
kau!” teriak lelaki tinggi lampai itu.
Lelaki
yang berbadan gempal itu pula menghampiri Afiq yang terbaring di atas lantai
sambil membawa kayu tombok. Kemudian, belakang tubuh Afiq dibantai berulang
kali menggunakan kayu tombak.
“Sakitlah
bodoh!” teriak Afiq menahan kesakitan.
Ummu
tiba-tiba meluru ke arah Afiq sambil menolak lelaki tinggi dan gempal itu. Ummu
mendepakan tangannya, menghalang mereka menjadikan Afiq ‘bantal’ mereka.
“Tolong
jangan apa-apakan dia!” Air mata Ummu sudah menitik jatuh.
Lelaki
tinggi lampai dan gempal itu saling berkongsi pandangan sebelum tersengih
jahat.
“Kalau
tak mahu rakan kau tu mati di tangan kami, kau kena jadi makanan kami malam
ni,” tutur lelaki tinggi lampai itu. Lelaki gempal di sebelahnya pula
mengangguk sakan.
“Jangan…”
tutur Afiq lemah.
Ummu
menoleh memandang Afiq yang terbaring kesakitan.
“Awak
okey?” tanya Ummu.
“Saya
tak penting Ummu. Yang penting awak,” tutur Afiq sambil tersenyum.
Belum
sempat Ummu mahu menjawab, rambut Ummu yang panjang sampai paras pinggang
ditarik dari belakang. Apa lagi, Ummu terseret di atas lantai.
“Kurang
ajar kau!” teriak Afiq bengang. Dia cuba bangkit namun lelaki tinggi lampai
yang memerhatikan Ummu diseret di atas lantai memukul kaki Afiq berulang kali
membuatkan Afiq tidak mampu bangit.
“Jangan
sentuh aku!” teriak Ummu cuba menolak tangan lelaki gempal yang kini sedang
berada di atas tubuhnya, cuba untuk mengoyak baju yang di pakai oleh Ummu.
Namun
kekuatan gadis lemah seperti Ummu tidak banyak membantu. Lelaki gempal itu
terlalu kuat.
“Kau
makan dulu. Nanti aku pula yang ratah!” Lelaki yang tinggi lampai itu bersuara
ketika memijak belakang Afiq menghalang Afiq daripada bergerak walau seinci
pun.
“Berhenti!”
Pintu bilik kurungan itu terbuka dan seorang lelaki berjanggut putih sampai
paras pinggang melangkah masuk. Beberapa orang lelaki sasa yang berdiri di
belakangnya kelihatan berpeluk tubuh. Lelaki tinggi lampai dan gempal itu
terkejut dengan kehadiran lelaki berjanggut putih itu.
“Tok
Putih…” gumam lelaki berbadan gempal itu. Dia terus melepaskan Ummu yang belum
sempat disentuhnya. Lelaki tinggi lampai itu pula menjauhi Afiq yang terbari
lemah.
“Perempuan
itu harus masih dara. Dia bakal dipersembahkan kepada anak aku nanti. Bakal
jadi menantu aku nanti! Dan kamu? Kamu telah melanggar PANTANG LARANG!”
“Perempuan
tu cantik sangat…” tongkat yang dipegang oleh Tok Putih mengena pipi lelaki
gempal tadi.
“Dia
milik anak lelaki aku!” teriak Tok Putih. “Dan lelaki ini, kepalanya bakal
menjadi persembahan untuk perkahwinan anak aku. Dan kepala yang paling terbaik
ialah kepala seorang lelaki gagah, yang akan bertempur dengan orang terkuat
kampong ini!”
“Tapi,
kamu membuktikan kamu bukan dari puak ini. Kamu menyerang dan memukul lelaki
ini ketika dia masih lagi lemah! Ketika dia belum bertempur dengan puak kita
lagi!” tambah Tok Putih lagi.
“Maafkan
kami…” tutur mereka berdua.
Tok
Putih menggelengkan kepalanya.
“Peraturan
tetap peraturan!” tutur Tok Putih. “Hari ini, kepala kalian berdua akan
dipancung! Kuning, panggilkan seluruh penduduk kampung. Aku mahu tunjukkan
kepada mereka bagaimana rasa menjadi
pengkhianat. Dan kamu Badul, bawa dua orang ini. Tunjukkan kepada mereka
tradisi dan budaya orang kita!”
***
Afiq
dan Ummu yang masih berikat tangan disuruh duduk melutut bersama dengan ratusan
penduduk kampung aneh itu. Dua orang lelaki yang cuba menjadikan Ummu santapan
nafsu serakah mereka sedang melutut di tengah lapangan sambil tangan juga
berikat.
“Semua
penduduk kampung, dengar sini!” tinggi nada suara Tok Putih. “Mereka berdua
telah melanggar segala pantang larang yang telah digariskan oleh nenek moyang
kita yang menghuni pulau ini sejak ribuan tahun yang lalu. Jadi, hukuman untuk
mereka yang melanggar pantang larang dan adat bangsa kita ialah kepalanya harus
dijadikan korban kepada Tuhan Langit!”
“Tuhan
langit?” gumam Afiq sambil mengerutkan dahinya.
Ummu
sekadar membisu, fokus melihat bagaimana
dua orang balaci kesayangan Tok Putih sedang memegang sebilah golok yang
pada bila-bila masa akan merobek leher lelaki tadi.
“Sekarang!
Badul dan Kuning, sembelih mereka!” arah Tok Putih tanpa perasaan.
Badul
dan Kuning mengangguk. Golok yang berada di tangan mereka dihalakan ke arah
leher lelaki tinggi lampai dan gempal itu. itu. Sekali hirisan sudah cukup
untuk membuatkan darah merembes di udara. Kedengaran jeritan mereka berdua
bergema manakala tubuh sudah menggelupur kesakitan. Golok tadi terus membelah
urat-urat leher mereka sehinggalah sampai satu masa, kepala mereka hanya
dipisahkan oleh beberapa cebis isi daripada tubuh. Ummu pula sudah meletakkan
kepalanya di bahu Afiq, tidak sanggup melihat adegan berdarah di hadapan
mereka.
“Jadi,
selepas ini ialah giliran aku untuk jadi macam mereka?” tutur Afiq perlahan.
Ummu pantas mendongak lalu menggelengkan kepalanya.
“Kita
kena cari jalan untuk lari daripada sini!” Ummu berkeras. “Awak tak akan
apa-apa!”
Afiq
tersenyum.
“Ajal
aku tak lama lagi… dan tak ada siapa yang tahu kita kat sini,” gumam Afiq
seperti orang yang sudah hilang harapan.”
“Tuhan
Langit!” teriak Tok Putih tiba-tiba yang kemudian mematikan perbualan Afiq dan
Ummu.
“Apa
yang dia buat tu?” tanya Afiq pelik. Tok Putih sedang menjulang kepala dua
orang lelaki yang sudah disembelihnya di udara. Keadaan lapangan di
perkampungan puak pemburu kepala itu sunyi sepi seperti mereka sedang menanti
sesuatu.
Kemudian,
sayup-sayup dari langit, kedengaran bunyi nyaring.
“Benda
apa tu?” tutur Ummu gerun.
Dari
kejauhan, kelihatan makhluk yang sangat besar sedang terbang ke arah
perkampungan itu, Makhluk itu macam pernah dilihat oleh Afiq dan Ummu. Terdapat
sesuatu bentuk aneh di kepala makhluk terbang itu.
“Pteranodon!”
tutur Afiq tidak percaya. “Pemburu dari langit dah muncul!”
“Jadi…
tuhan mereka selama ini ialah burung dinosaur tu?” Ummu tidak percaya melihat
Tok Putih sedang menundukkan dirinya di hadapan Pteranodon yang sudah mendarat
di hadapan mereka. Kepala dua orang lelaki tadi dipersembahkan dengan penuh
hormat.
Pteranodon
berbunyi nyaring lagi. Kepala yang diletakkan di hadapannya itu terus disambar oleh
paruhnya. Pteranodon mengipas-ngipas kepaknya di udara, seperti berpuas hati
dengan hidangan korban Tok Putih itu.
Pteranodon kelihatan sedang melangkah ke arah tubuh dua
orang lelaki yang disembelih tadi. Tubuh itu tersingkap kemas di paruhnya lalu Pteranodon
kembali terbang ke udara, seperti mahu membawa tubuh dua orang itu jauh
daripada situ, mungkin kembali ke sarangnya.
“Ya ALLAH, kau selamatkanlah kami berdua,” gumam Ummu
perlahan. Namun, Afiq masih membisu.
***
Saiful
mengetuai ahli kumpulannya di barisan hadapan. Tangannya sedang galak menebas
lalang dan pokok—pokok yang akan melambatkan perjalanan ahli-ahlinya. Naim,
Yasmin, Piqah, Hazira dan Hafeez sedang mengekor langkah Naim di belakang.
Mereka
semakin jauh meneroka pulau itu. Sudah tiga hari mereka berjalan kaki. Hanya
Saiful sahaja yang tahu dimanakah lokasi mereka. Lelaki itu pandai membaca
peta. Mereka pasti sudah sesat tanpa Saiful.
“Woi!
Aku penat ni! Berhentilah dulu!” Hafeez tiba-tiba bersuara.
Saiful
mengangkat tangannya, menyuruh seluruh ahli kumpulannya berhenti di situ.
Serentak itu, Hafeez menghempaskan punggungnya di atas sebuah kayu balak mati.
Kedengaran suara Hafeez mengeluh lega.
“Baru
jalan sikit dah penat…” gumam Acha bengang.
Hafeez
sekadar menjeling ke arah Acha. Dia kemudian baring di atas kayu balak itu
sambil diperhatikan penuh masam oleh Acha.
“Kita
tak boleh bazirkan masa. Fiq dengan Ummu dalam bahaya,” ujar Acha.
“Pembetulan.
Untuk Aisyah Mazyadi, Hanya Fiq sahaja dalam bahaya. Kau tak pedulikan Ummu
pun,” tutur Hafeez membuatkan Acha mendengus kasar. Dia tiba-tiba menolak
Hafeez yang sedang berbaring di atas kayu balak itu.
“Kerengga!”
teriak Hafeez sambil bangkit. Dia terjatuh di atas busut kerengga. Saiful
sekadar tersenyum melihat telatah Hafeez yang sedang berlari, mencari sungai.
Ya, mereka memang dekat dengan sungai.
“Padan
muka!” tutur Acha sambil tersengih.
***
Afiq
sekadar duduk sambil memeluk tubuh di sudut kurungan yang menempatkannya dengan
Ummu. Ummu sekadar memerhatikan dari jauh telatah Afiq. Tak tumpah seperti
orang yang hilang akal. Afiq memilih untuk membisu.
“Fiq…”
panggil Ummu.
Afiq
mendongak.
“Apa?”
“Boleh
saya duduk sana?” tanya Ummu meminta izin Afiq terlebih dahulu untuk duduk di
sebelah Afiq.
Afiq
sekadar mengangguk sebelum tenggelam dalam kebisuan. Ummu bangkit dari tempat
tidurnya yang diperbuat dari timbunan lalang dan daun kering yang diiikat dan
dijadikan seperti tilam. Kemudian, Ummu mengambil tempat duduk di sebelah Afiq.
“InsyaALLAH,
kita akan selamat,” tutur Ummu sambil tersenyum.
Afiq
sekadar menatap senyuman yang tampak keanak-anakkan itu. Lesung pipit yang
tersemat di sebelah senyum bibir sudah cukup menjadi hiasan senyuman yang
menawan itu.
“Saya
akan berlawan esok. Demi nyawa saya… dan saya kena menang,” ucap Afiq. “Kalau
tak, kepala saya akan jadi macam mereka tu.”
“Saya
pula kena kahwin. Dengan orang tak kenal pula tu,” ujar Ummu.
“Awak
dah tengok muka dia?” tanya Afiq.
Ummu
menggelengkan kepalanya.
“Yang
penting dia tak hensem macam awak,” sambung Ummu lagi.
Afiq
mengecilkan matanya merenung wajah Ummu.
“Saya
bukan Zaff.” Selamba sahaja perkataan itu meluncur keluar daripada mulut Afiq
membuatkan wajah Ummu tiba-tiba merona merah.
“Err..
apa kena mengena dengan benda ni?”
Kali
in, Afiq sudah boleh tersengih. Idea mahu mengenakan Ummu sudah menjelma di
benaknya.
“Bukan
ke awak cakap yang awak suka kat dia?” tanya Afiq yang mahu menguji.
“Mana…
mana ada!” Suara Ummu sedikit tinggi.
“Tipu!”
“Mana
adalah!” Ummu menafikannya. Tetapi, wajahnya dah cukup merah.
“Okey,”
jawab Afiq pendek sambil mengekalkan senyumannya itu.
Tiba-tiba
cubitan keras hinggap di lengan Afiq.
“Sakitlah!”
Afiq mengaduh kesakitan.
“Itu
balasannya! Orang tak suka dia…”
“Zafflah!”
pintas Afiq tiba-tiba sambil menundingkan jarinya ke arah pintu yang berkunci
itu. Pantas Ummu bangkit sambil melemparkan pandangan ke arah pintu itu.
Kemudian, ketawa berdekah-dekah datang daripada Afiq.
“Fiq!”
gumam Ummu geram.
“Sorry,
Zaff tak datang lagi,” kata Afiq, mengusik Ummu lagi.
“Malas
nak layan awak!”
Belum
sempat adegan usik mengusik itu tamat, pintu itu terbuka dan seorang lelaki
botak kelihatan memauski kawasan kurungan itu, sambil ditemani oleh Tok Putih.
Ummu pantas mendekati Afiq.
“Siapa
kau?” tanya Afiq sambil bangkit berdiri. Ummu sedang berdiri di belakang Afiq,
sambil erat memegang lengan Afiq.
Lelaki
botak itu tersenyum, puas. Kemudian, dia melontarkan pandangan ke arah Ummu.
“Aku
datang untuk ambil apa yang milik aku!” Lelaki botak itu bersuara membuatkan
kening Afiq berkerut. “Oh ya, panggil aku Gempita.”
Afiq
dan Ummu saling berkongsi pandangan.
“Ummu
milik aku!” tutur Afiq tiba-tiba membuatkan riak wajah Ummu tiba-tiba berubah.
Tak akanlah…
“Milik
kau?” tutur Gempita sambil terangkat keningnya.
“Perempuan
secantik dan jelita seperti dia ialah milik kau? Apa yang kau ada?” tanya
Gempita.
“Dia
seratus kali lebih baik daripada kau!” Ummu tiba-tba bersuara.
Gempita
memeluk tubuhnya sambil merenung Afiq penuh minat. Tubuh Gempita kelihatan
berotot di sana sini. Kelihatan tali hitam mengikat lengannya yang sasa itu.
Kemudian, tangan Gempita mencari leher Afiq dan… Afiq terangkat di udara.
“Lelaki
lemah macam dia yang kau pilih?” tanya Gempita sambil Afiq sedang meronta-ronta
untuk melepaskan dirinya.
“Lepaskan
dia!” bentak Ummu berani.
Gempita
tersenyum.
“Kau
berani. Aku suka perempuan berani. Budak, kau akan bertempur dengan budak aku
nanti. Kau menang, aku akan tunaikan segala permintaan kau dan kepala kau tidak
akan ditebas oleh kami. Dan kau, Ummu ya nama kau? Kematian budak ini akan
menjadi penghias hari perkahwinan kita!”
Kemudian,
tubuh Afiq dicampakkan mengena dinding ruangan itu. Afiq terbatuk-batuk sambil
memegang lehernya. Gempita mendekati Ummu yang masih cekal berdiri itu lalu
pipi Ummu tiba-tiba dipegang oleh Gempita.
“Jangan
sentuh aku!” bentak Ummu sambil menepis tangan Gempita.
“Garangnya…
aku suka,” tutur Gempita sambil memegang tangan Ummu.
“Gempita!”
panggil Afiq yang sedang bangkit sambil memegang kepalanya yang sakit.
“Apa
dia?” tanya Afiq.
“Kalau
aku menang esok, permintaan aku ialah aku nak hak milik aku terus menjadi milik
aku!” Afiq tiba-tiba bersuara.
“Maksud
kau?” tanya Gempita.
“Ummu
ialah milik aku! Aku nak dia terus jadi milik aku, bukan milik kau!”
Ummu
merenung tidak percaya wajah Afiq selepas mendengarkan ungkapan itu.
“Kau
nak perempuan tu?” tanya Gempita.
Afiq
mengangguk.
“Kalau
kau kalah?” tanya Gempita.
“Kepala
aku milik kau Gempita. Kau akan bangga kerana telah memenangi seorang gadis
daripada lelaki yang memiliki gadis itu!”
Gempita
tersenyum mendengarkan tawaran Afiq itu.
“Aku
tak kisah. Tapi, kau tak akan menang punya…”
Afiq
sekadar membatu manakala Gempita mula menghilangkan diri bersama Tok Putih.
“Kenapa
awak cakap macam tu?” tanya Ummu tiba-tiba.
“Sebab
nak selamatkan awak. Jangan risau. Saya tak maksudkan pun apa yang saya cakap
tadi. Awak masih milik Zaff,” tutur Afiq yang sempat lagi mengusik Ummu.
“Asyik
Zaff aje dari tadi!” Ummu naik berang. “Tapi… boleh ke awak menang?”
Pertanyaan
daripada Ummu tadi membuatkan Afiq terdiam. Lantas Afiq mendongakkan kepalanya
ke atas.
“Kalau
Dia masih mahu memanjangkan umur, mungkin boleh menang. Semuanya terserah
kepada Dia di atas sana,” ujar Afiq perlahan. Ummu sekadar mengangguk.
***
Saiful
memberi isyarat supaya ahli kumpulannya berhenti. Mereka mengambil tempat yang
sedikit terlindung dek semak samun dan pokok. Dari kejauhan, kelihatan sebuah
perkampungan yang agak besar. Perkampungan itu dikelilingi oleh tembok kayu
setinggi lebih 2 meter. Dikeliling tembok kayu itu kelihatan banyak tengkorak
yang dipacakkan dengan sebatang kayu runcing yang dipajakkan ke dalam tanah.
“Kampung
puak pemburu kepala yang Qarin cakap…” gumam Saiful.
“Fiq
dengan Ummu ada kat dalam sana kan?” ujar Acha tiba-tiba.
Saiful
mengangguk.
“Kita
kena fikir macam mana cara kita nak masuk sana,” gumam Saiful.
Ketika
itu, semua mata menoleh ke arah Ahmad Naim yang sedang membisu.
“Kenapa
pandang aku?” tanya Naim sambil mengecilkan matanya.
“Kau
kan genius. Sekarang, kita orang perlukan kepala otak kau!” Hafeez bersuara.
Naim
mengangguk sambil tersenyum. Naim merenung perkampungan yang sedang tersergam
di hadapan matanya. Kemudian, pandangan matanya tepat merenung wajah Hafeez dan
Piqah.
“Aku
nak hantar dua orang masuk ke dalam sana,” gumam Naim.
“Maksud
kau?” tanya Saiful.
“Tengok
dada langit. Apa yang kau nampak?” soal Naim.
“Nak
senja…” gumam Saiful.
“Malam
ini menurut Qarin merupakan malam bulan penuh. Malam yang terbaik untuk mereka
korbankan kepala manusia. Tapi, kita harus berbuat sesuatu sebelum malam
menjelma. Kita perlu huru-harakan kampung mereka. Tapi, ingat! Saat itu ialah
apabila Fiq dan Ummu mahu dipancung kepala,” terang Naim.
“Aku
faham. Tapi masalahnya siapa yang akan masuk ke dalam sana?” tanya Hafeez.
Kali
ini, semua mata di situ beralih ke arah Hafeez. Riak wajah Hafeez bertukar
pucat.
“Kenapa
aku?” tanya Hafeez tidak puas hati.
“Demi
cinta kau kat Ummu? Kau bilang yang dalam hati kau hanya ada Ummu? Inilah
masanya untuk kau tunjukkan pada Ummu yang kau sebenarnya hero, bukannya Fiq
atau Zaff. Barulah Ummu buka mata sikit!” tempelak Acha cuba memancing Hafeez.
Terdiam
terus Hafeez mendengarkan ayat Acha itu.
“Er…”
“Kau
takut?” kata Acha membuatkan Hafeez tiba-tiba bangkit dari balik semak samun
tempat mereka bersembunyi.
“Aku
Amirul Hafeez tak pernah ada rasa takut!” tutur Hafeez berdiri sambil mendabik
dada.
“Tunduklah
bodoh!” kata Yasmin sambil menarik tangan Hafeez.
“Kalau
kau tak ada rasa takut, pergi masuk dalam sana. Jadi umpan untuk kitaorang
selamatkan Fiq dengan Ummu!” kata Acha lagi membuatkan dahi Hafeez berkerut.
“Errr…”
Hafeez hilang kata-kata.
“Aku
akan bersama kau kat dalam sana.” Piqah menawarkan dirinya. “Aku tak percaya
kau seorang boleh selamat.”
“Okey,
Hafeez dengan Piqah akan masuk sana. Korang dua dengar baik-baik rancangan aku
ni…” Naim terus bercerita apa yang terkandung dalam benaknya.