Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 18: Tanah Perkuburan

Saiful sedang duduk bersila di atas katilnya sambil tangannya sedang dibalut oleh Cik Mia. Wajahnya tenang menahan kesakitan.

“Hati-hati tau kat luar sana,” gumam Cik Mia.

“Saya faham. Cik Mia pun kena hati-hati. Jangan biarkan diri Cik Mia kena kacau dengan benda-benda itu tau?”

Cik Mia mengangguk.

“Lagi satu, jangan buat apa-apa aksi lasak. Awak kena ingat yang awak tu cedera,” ucap Cik Mia. “Siap pun balutan.”

Serentak itu, Saiful memusingkan tubuhnya menghadap Cik Mia.

“Saya akan kembali dengan selamat. Kalau saya lama-lama dari Cik Mia, tak ada yang nak jaga Cik Mia.”

***

Pintu bilik Afiq diketuk oleh seseorang.

“Masuk.” Panggil Afiq.

Tombol pintu yang tidak berkunci itu dipulas dari luar. Kelihatan seorang gadis sedang berdiri sambil merenung sayu ke arah Afiq.

“Acha…” tutur Afiq sambil tersenyum melihat kelibat Acha di muka pintu.

“Kenapa?” tanya Afiq yang sedang mengemas beg bajunya itu, memasukkan segal alongokan baju yang diperlukannya. Mujurlah dia sempat menyambar beg bajunya daripada pesawat beberapa bulan lepas sebelum dijilat oleh api.

“Ambil ni…” tutur Acha sambil menyerahkan sebuah kalung kepada Afiq.

“Apa ni Acha?” tanya Afiq.

“This my lucky charm. Mak saya beri pada saya dulu. Dia suruh saya kasi pada sesiapa yang saya sayang. Jadi, saya nak berinya pada awak,” ujar Acha.

Afiq menoleh dengan sangat perlahan ke arah Acha.

“Awak sayangkan saya?” tanya Afiq tidak percaya.

Acha mengangguk sambil tersenyum.

“Tapi, saya ni tak kacak, trouble maker…”

Jari telunjuk Acha menyentuh bibirnya sendiri membuatkan Afiq terdiam.

“Jangan cakap apa-apa. Yang penting, awak kena pergi dan balik dengan selamat. Saya tunggu awak kat sini,” gumam Acha lalu berlalu pergi dari bilik Afiq.

***

Tengku Nizarif sedang berdiri sambil diapit oleh Afiq dan Saiful. Koridor di tingkat satu menjadi tempat mereka berhenti. Ummu dan Hakiman sedang berdiri tidak jauh daripada mereka bertiga manakala Naim sekadar memerhati dari jauh, dengan perasaan tidak puas hati. Orang di dalam hotel itu lebih mempercayai si Saiful daripada genius seperti dirinya.

Saiful sedang memegang sebuah tukul besi. Dia menoleh ke arah Afiq dan Zaff untuk mendapat restu mereka menghancurkan dinding di koridor itu.

“Teruskan Saiful,” gumam Afiq serius.

Zaff dan Afiq berundur beberapa tapak ke belakang. Saiful menghayunkan tangan kirinya ke belakang lalu mengenai dinding di hadapannya. Dinding itu sekadar retak menerima hayunan tukul besi itu. Kali kedua, terdapat lubang kecil yang Berjaya dihapuskan oleh Saiful. Seperti yang dijangka, terdapat ruang kosong di belakang dinding tadi.

“Kita kopek,” cadang Zaff.

Saiful mengangguk. Dia menghulurkan tangan lalu mengopek dinding di hadapannya sambil dibantu oleh Afiq dan Zaff. Beberapa ketika kemudian, kelihatan sesuatu bergolek jatuh. Ummu menjerit spontan melihat tengkorak manusia yang dipenuhi habuk jatuh tergolek di bawah kakinya.

“Innalilah…” gumam Hakiman spontan.

Afiq mengeluarkan sesuatu dari beg galasnya yang kelihatan seperti kain putih lalu mengutip sisa-sisa tengkorak yang tergeletak di atas lantai lalu membungkusnya dengan penuh cermat dan hati-hati.

“Ada lagi ke Saiful?” tanya Hakiman.

“Ikut aku,” arah Saiful.

Mereka telah menemui dua lagi tengkorak manusia. Semuanya telah dibungkus oleh Afiq dengan cermat di dalam sehelai kain putih. Selepas itu, Hakiman mengambil alih tugas memandikan seboleh mungkin tengkorak yang diumpai oleh mereka menurut kaedah syarak.

Kemudian, Hakiman sendiri menjadi imam solat jenazah kepada tiga tengkorak manusia yang dijumpai oleh mereka. Hampir semua penghuni lelaki menyertai solat tersebut kecuali Hafeez yang masih lagi trauma manakala Sarjan Azmi yang setia menemani anak perempuannya.

***

Beberapa orang penghuni Hotel Dino sedang berdiri di perkarangan luar hotel luar tersebut. Kelihatan Dr Izwan, Acha dan Hafeez sedang berdiri, untuk mengiringi pasukan enam orang yang ditubuhkan oleh Saiful untuk mencari tanah perkuburan yang akan menjadi tempat persemadian tiga jenazah yang tinggal tengkorak.

Hakiman, Afiq dan Zaff sudah membawa cangkul yang hampir berkarat yang dijumpai oleh mereka di dalam stor. Selepas perbincangan, mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Afiq akan bersama Saiful. Hakiman dengan Naim manakala Zaff akan bersama Ummu.

“Kami serahkan urusan hotel ini pada kau, Kapten Azrin dan Sarjan Azmi. Jaga Nazura dengan baik sehinggalah kami kembali. Mungkin akan ada satu dua gangguan tetapi bertahan,” tutur Saiful sambil bersalaman dengan Dr Izwan.

Afiq pula sedang berbual mesra dengan Acha. Kadang-kadang hidung Acha dicuit oleh Afiq dan ketawa kecil Acha meletus. Ummu pula memerhatikan dari jauh sambil memeluk tubuh manakala Zaff sekadar tersenyum melihat gelagat Afiq.

“Diam-diam kan dia buat kerja?” gumam Zaff tiba-tiba.

Ummu menoleh ke arah Zaff dengan wajah yang masam.

“Kerja apa?” tanya Ummu.

“Kerja itulah,” ujar Zaff sambil menjuihkan bibirnya. “Diam-diam dia jual minyak.” Zaff ketawa selepas menuturkan ayat itu.

Ummu kembali menoleh depan.

“Kenapa ni Ummu? Sejak kita jumpa, jarang kau bercakap dengan aku,” ujar Zaff.

Ummu sekadar membisu. Tiba-tiba sahaja tapak tangan Zaff memegang bahu Ummu lalu ditolak Ummu menghadapnya.

“Kau masih cemburu kat aku masa aku nyanyi lagu Putih-Putih Melati hari tu?” tanya Zaff.

Serentak itu, wajah Ummu merona merah. Mujurlah kegelapan malam menyembunyikannya.

“Dengar sini Ummu. Aku sengaja buat kau marah hari tu. Kau… comel sangat bila marah,” ujar Zaff lagi. Ummu sudah tidak keruan mendengarkan ayat-ayat manis yang mula ditabur oleh Zaff.

“Er… rasanya kita kena pergi,” tutur Ummu yang cuba melangkah pergi dari Zaff.

Serentak itu, pergelangan tangan Ummu dicapai oleh Zaff membuatkan langkah Ummu serta-merta mati. Semua mata di situ menoleh ke arah Ummu dan Zaff. Lagak Zaff seperti seorang hero filem yang tidak mahu membenarkan Ummu meninggalkannya lagi.

“Kenapa nak pergi? Aku belum habis cakap lagi ni,” tutur Zaff.

Zaff tanpa melepaskan pegangan tangannya kelihatan melangkah mendekati Ummu lalu membisikkan sesuatu di telinga Ummu.

“Jangan takut dekat sana nanti. Tengku Nizarif akan sentiasa melindungi kau,” ujar Zaff lagi sambil tersenyum. Kemudian, pergelengan tangan Ummu dilepaskan oleh Zaff dan Zaff terus berlalu ke arah Saiful, kelihatan mahu membincangkan sesuatu dengan Saiful. Ummu memerhatikan sahaja Zaff dari jauh dengan dada yang berdebar aneh.

“Ya ALLAH, kenapa dengan jantung aku ni?” tutur Ummu.

Afiq pula merenung dari jauh adegan yang tidak tumpah seperti dalam filem itu dengan kaku. Spontan tangan kanannya di angkat lalu menyentuh dada.

“Ya ALLAH, kenapa dada aku rasa sakit sangat ni?” gumam Afiq.

“Fiq?” panggil Acha sekaligus mematikan lamunan Afiq. Seulas senyuman terukir pada wajah Afiq namun kelihatan agak kelat.

***

“Berdasarkan peta, kita dah tak jauh daripada tanah perkuburan yang aku cakapkan,” tutur Saiful sambil matanya menatap peta yang dijumpainya di puncak rumah api.

“Macam mana kau boleh tahu semua ni?” tanya Hakiman tiba-tiba.

Saiful menoleh belakang.

“Setiap orang yang dilahirkan dikurniakan oleh ALLAH anugerah. Mungkin anugerah aku mampu melihat mereka dan berbicara dengan mereka,” jelas Saiful tenang.

“Kau nak cakap yang kau boleh nampak hantu?” tanya Naim sambil membetulkan kaca matanya.

Saiful mengangguk.

“Sejak kecil lagi. Sebab tu aku selalu cakap, jalan hidup korang sangat membosankan,” tambah Saiful lagi.

“Jadi… selama ini awak bersikap pelik sebab benda ini ke?” tanya Ummu yang kelihatan ingin tahu.

“Tak jugak. Aku cuma tak biasa bergaul dengan manusia jer. Tapi, kalau korang baik dengan aku, aku akan baik dengan korang,” balas Saiful. “Kita dah sampai…”

Langkah Saiful mati di situ apabila mereka sedang berdiri di hadapan sebuah tanah lapang, di tengah-tengah hutan tebal. Terdapat sebuah papan tanda terbaring di atas tanah tertulis, “Tanah Perkuburan Islam.” Terdapat banyak batu nisan terpacak di sekeliling tanah lapang itu.

Lampu suluh yang dipegang oleh Saiful sedang menyuluh keadaan tanah perkuburan lama itu.

“Siapa sebenarnya penghuni pulau ni? Muzium, hotel, rumah api dan sekarang… tanah perkuburan? Kita kat mana sebenarnya ni?” tanya Naim namun soalannya tidak dijawab langsung oleh mereka yang ada di situ.

“Mari masuk. Kita berpecah. Cari ruang kosong di sini, dan gali macam yang aku ajarkan,” tutur Hakiman.

Kumpulan mereka berpecah kepada tiga seperti mana yang dirancangkan. Saiful akan bersama Afiq. Hakiman dan Naim manakala Zaff bersama Ummu.

***

“Dekat sini,” tutur Saiful lalu mengambil cangkul yang dibawa oleh Afiq.

Namun, belum sempat Saiful menghayunkan cangkulnya, keadaan di sekeliling mereka tiba-tiba bertukar berangin. Saiful sekadar tersenyum melihat situasi yang sedang melandanya.

“Kenapa Saiful?” tanya Afiq.

“Ada sesuatu yang perhatikan kita dari tadi,” gumam Saiful.

“Dinosaur?” tanya Afiq.

Saiful menggelengkan kepalanya.

“Tempat macam ni, dinosaur pun tak berani nak jejak.”

“Habis tu? Ada apa?”

“Atas pokok sana,” kata Saiful sambil melemparkan padangan ke arah sebuah pokok yang paling rendang di kawasan tanah perkuburan itu.

Afiq melontarkan pandangannya ke arah tempat yang sama dengan Saiful namun matanya tidak dapat melihat apa yang Saiful lihat.

“Hijab kau dah lama ke terbuka?” tanya Afiq.

Saiful sekadar mengangguk.

“Kau nak apa daripada aku?” tanya Saiful separuh menjerit.

Tiba-tiba sahaja kedengaran bunyi hilaian tawa memenuhi tanah perkuburan itu. Afiq sudah kelihatan resah tetapi Saiful masih tenang luar biasanya.

“Dengan nama ALLAH yang menciptakan kau, aku nak kau berambus dari sini. Aku datang bukan untuk buat kacau tetapi melunaskan apa yang patut dilunaskan!”

Namun, bunyi hilaian tawa terus bergema di kawasan tanah perkuburan itu.

“Kita teruskan menggali. Pedulikan apa yang kau dengar dan lihat,” kata Saiful.

Afiq mengangguk.

***

Zaff tersenyum apabila Ummu kelihatan takut-takut berjalan meredah kubur-kubur yang tidak diketahui penghuninya. Lengan kanan Zaff erat digenggam oleh jari jemari Ummu.

“Hati-hati,” gumam Zaff sekali-sekala ketika Ummu melangkah batu nisan yang sudah ditumbuhi rumput dan semak samun.

Lama juga Zaff dan Ummu berjalan mencari ruang kosong untuk menanam tengkorak yang mereka temui. Akhirnya mereka menemui sebuah ruang kosong yang menurut Zaff cukup untuk kerja mereka.

“Kita berhenti kat sini. Kau tolong tengok-tengok keadaan sekeliling sementara aku gali kubur dia. Nah, pegang kain putih ni sekali,” gumam Zaff.

Ummu mengangguk. Zaff membuka baju-T hitamnya lalu terserlah tubuhnya yang sasa itu. Ummu menelan air liur melihat Zaff hanya berseluar jeansnya. Baju-T hitamnya itu dilemparkan ke arah wajah Ummu membuatkan Ummu bertukar bengang.

“Zaff!” gumam Ummu geram.

Zaff ketawa kecil melihat telatah Ummu. Zaff terus menggali kubur. 7 kaki dalamnya, dan 3 kaki lebar menurut Hakiman. Ketika Ummu sedang asyik memerhatikan Zaff berkerja keras, bahunya dicuit oleh seseorang dari belakang.

Ummu menoleh belakang dan seorang lelaki yang sangat tidak dijangka oleh Ummu sedang berdiri sambil tersenyum dalam pakaian serba putih. Jari jemari Ummu menggigil tiba-tiba. Air matanya menitik tanpa sedar…

“Ayah…” tutur Ummu perlahan.

Lelaki tadi mengangguk sambil tersenyum. Kemudian, lelaki yang dikenali oleh Ummu sebagai ayahnya berundur setapak demi setapak ke belakang sebelum berlari masuk ke dalam hutan tebal yang mengelilingi kawasan tanah perkuburan itu.

“Ayah jangan pergi!” teriak Ummu tiba-tiba.

Zaff mendongak. Ummu kelihatan luar biasa resahnya.

“Kenapa?” tanya Zaff sambil memanjat keluar dari lubang kubur yang digalinya itu.

“Zaff, kau tunggu sini. Aku nak cari seseorang,” ujar Ummu tiba-tiba, lalu meletakkan kain putih yang mengandungi sisa tengkorak manusia.

“Ummu!” jerit Zaff apabila Ummu menghilang dalam kegelapan malam.

“Budak perempuan ni…” gumam Zaff sambil menggelengkan kepalanya. Jejaka itu meletakkan cangkul dan penyodoknya di tanah. Kemudian, dia mengambil bajunya yang dicampak jauh oleh Ummu.

“Jangan pergi jauh-jauh Ummu. Cukup sekali aku terpisah dengan kau.” Zaff sempat menuturkan ayat itu kepada dirinya sendiri ketika belari mengejar langkah kaki Ummu.

***

“Hakiman…” panggil Naim tiba-tiba.

Hakiman yang sedang menggali kubur di bawah kakinya menoleh ke arah Naim yang sedang berehat selepas penat menggali tanah di bawahnya dengan Hakiman.

“Kau percaya ke cerita Saiful yang dia boleh tengok benda-benda yang macam tu?” tanya Naim.

Hakiman sekadar tersenyum, dia tidak menjawab soalan Naim sebaliknya kembali menggali kubur di bawahnya.

“Aku tengah cakap dengan tunggul kayu ke?” tanya Naim.

“Naim, itu soal dia dengan ALLAH. Kalau dia dibukakan hijabnya, itu adalah anugerah ALLAH untuknya. Dia antara yang terpilih, dan ALLAH mempunyai sebab memilihnya. Kita mungkin tak sekuat dia wahai Naim untuk dipilih melihat alam yang bukan kita datang daripadanya,” gumam Hakiman.

Naim mengangguk. Peribadi yang ditunjukkan oleh Hakiman benar-benar mencuri perhatiannya. Ilmu agamanya juga sangat tinggi. Siapakah sebenarnya Mohammad Hakiman yang berada di depannya?

“Awak…” tutur satu suara yang mengejutkan Hakiman dan Naim.

Pantas perhatian mereka teralih pada satu susuk tubuh gadis yang sedang berdiri di hadapan mereka. Gadis itu memakai baju kurung putih. Rambutnya diikal sanggul di belakang manakala senyuman manis terukir di wajahnya. Serentak itu, jari jemari Hakiman menggigil, tapi bukan kerana takut.

“Hakiman… awak ingat tak kat saya?” tanya gadis itu.

“Siapa dia…” Naim hilang kata-kata dengan kemunculan gadis di hadapan mereka.

“Suhaila…” tutur Hakiman. “Tapi macam mana… awak dah pergi..”

“Saya nak bawa awak pergi dengan saya,” tutur Suhaila lagi. Kemudian, kelihatan seorang budak kecil muncul dari kegelapan malam. Dia dan Suhaila kelihatan bersinar anehnya.

“Sia…pa dia?” tanya Hakiman.

“Anak awak…” tutur Suhaila lagi.

Naim lantas bangkit selepas mendengarkan ungkapan daripada Suhaila.

“Man… sejak bila kau kahwin?” tutur Naim tidak percaya. Mata Naim berlegar memerhatikan Hakiman dan Suhaila silih berganti.

“Papa…” panggil budak kecil tadi membuatkan air mata Hakiman menitis jatuh. Lutut Hakiman terasa longgar tiba-tiba.

“Ya ALLAH, apakah ini caranya engkau mahu menunjukkan kepadaku betapa berdosanya aku pada waktu silam?” tutur Hakiman yang sudah teresak-esak menangis. Cangkul dan penyodok yang digunakan oleh Hakimah jatuh tergeletak.

“Aku hidup untuk selama-lamanya!” tutur Hakiman yang kemudian membuatkan rakan-rakannya ketawa terbahak-bahak.

Ibunya menangis melihat telatah Hakiman. Botol yang mengandungi air setan yang sedang dipegang oleh Hakiman diteguk oleh Hakiman seperti air itu ialah air zam-zam.

“Baliklah nak… ayah kau tengah sakit tu,” gumam ibunya.

“Jangan kacau aku! Aku bosan dengar kau meleter. Orang tua tu, suruh dia mampus!” tutur Hakiman yang sedang berkepit dengan seorang gadis yang bernama Suhaila itu.

“Sayang… I mengantuk,” tutur Suhaila sambil merenung jijik wanita tua yang sedang berdiri di hadapannya.

“Nanti I bawa you pergi dari sini. Tepi kau!” tempik Hakiman lalu menolak wanita tua itu. Terjelopok jatuh manusia yang bernama ibu buat Hakiman itu. Dia hanya mampu memerhatikan dengan sayu anak sulungnya itu berjalan berkepit dengan perempuan yang tidak halal baginya.

***

Dataran di hadapan kawasan perumahan PPR Relung Dalam, Pulau Eurasia itu kelihatan meriah dengan geng-geng motor yang baru sahaja habis berlumba. Kumpulan RD, geng mat rempit yang terkenal di Pulau Eurasia itu mempunyai seorang ketua yang sangat mereka banggakan. Hakiman, sedang duduk di atas sebuah motor sambil dikelilingi oleh anak-anak buahnya.

Kemudian, muncul dari jauh seorang gadis yang lengkap berbaju kurung. Dia berjalan penuh sopan, menghampiri kumpulan mat rempit itu. Hakiman yang sedang memeluk pinggang seorang gadis yang dikenali sebagai Suhaila itu tidak menyedari akan kehadiran gadis yang berbaju kurung itu.

Hakiman yang menyarung jaket hitam itu ditepuk dari belakang bahunya. Pantas Hakiman menoleh ke arah rakannya yang menepuk belakang.

“Cun awek tu…” gumam rakannya itu.

Hakiman sekadar diam apabila dirinya dihampiri gadis yang berbaju kurung itu.

“Abang… emak panggil balik!”

Membuah ketawa anak-anak buah Hakiman mendengarkan ungkapan gadis itu. Merah mula Hakiman menahan malu. Penumbuk diggenggamnya.

“Berapa kali aku cakap dengan kau, jangan datang sini lagi!”

“Tapi emak…”

“Cakap kat orang tua tu. Aku tahu bila aku nak balik! Aku bukan budak-budak lagi!”

Gadis berbaju kurung itu tertunduk apabila ditengking oleh Hakiman di hadapan belasan rakan-rakan mat rempit Hakiman.

“Pergi balik!” arah Hakiman lagi. Gadis itu hanya tersengguk-sengguk lalu melangkah meninggalkan Hakiman.

“Kiman… apa kata kau kasi adik kau untuk aku ratah?” tutur seorang rakan mat rempit Hakiman.

Apa lagi, Hakiman yang tiba-tiba bertukar berang menolak Suhaila ke tepi lalu menerkam rakannya itu. Mereka berdua bergelut untuk seketika sebelum diredakan oleh mat rempit yang lainnya.

“Sabarlah bro, aku gurau jer tadi…”

Kemudian, Hakiman meludah tepat di lantai. Dia mengambil helmetnya lalu memakainya. Kemudian, dia mengarahkan Suhaila untuk memboncengnya di belakang sebelum Hakiman memecut laju meninggalkan kumpulan mat rempit itu.

“Hakiman semakin sombong bila berada di atas…”

“Kita kena buat sesuatu…”

***

Berkerut dahi Hakiman mendengarkan kata-kata Suhaila di hadapannya. Patutlah gadis itu menghilang daripada pandangan matanya sejak beberapa bulan ini. Kemudian, tidak semena-mena pagi tadi dia menerima panggilan daripada Suhaila. Konon mahu berjumpa…

“Mana kau tahu dalam perut kau tu anak aku?” tanya Hakiman.

Suhaila semakin kuat tangisnya di kedai mamak yang berdekatan dengan PPR tempat Hakiman tinggal. Hakiman resah memandang kiri dan kanannya. Janganlah dia buat aku malu…

“Nah ambil tisu ni. Lap air mata kau,” tutur Hakiman.

Suhaila mengangguk.

“Aku kasi kau duit. Gugurkan budak dalam perut kau!” dingin sahaja suara Hakiman menuturkan perkataan itu.

Suhaila pantas menggelengkan kepalanya.

“Saya dah buat dosa berzina dengan awak! Dan saya tak nak buat dosa membunuh pula!” tinggi nada suara Suhaila membantah cadangan Hakiman itu.

“Perempuan sundal macam kau ada hati nak bercakap pasal dosa?” Hakiman ketawa selepas menuturkan perkataan itu membuatkan riak wajah Suhaila tidak dapat dibaca sama sekali.

Suhaila bangkit dari kerusinya secara tiba-tiba membiarkan Hakiman dengan senyuman sinisnya. Kemudian, dengan air mata yang bercucuran jatuh, Suhaila melangkah ke arah jalan raya dengan hati penuh walang. Hakiman sekadar memerhati Suhaila melintas sehinggalah sebuah kereta…

“Suhaila! Jangan!” teriak Hakiman memberi amaran. Namun, tubuh Suhaila sudah terpelanting di udara. Hakiman spontan bangkit lalu berlari di tengah jalan raya. Kereta yang melanggar tubuh Suhaila keluar, sambil menelefon ambulans.

Tubuh Suhaila yang berlumuran darah itu diriba oleh Hakiman. Suhaila masih bernafas ketika itu. Tercungap-cungap menahan kesakitan ketika malaikat maut sedang menarik nyawanya.

“Awak… kena jaga diri awak…” tutur Suhaila sambil tangannya cuba memegang pipi Hakiman. “Jangan jadi macam saya. Saya hamba ALLAH yang penuh dosa… awak kena berubah…”

***

Langkah kaki Hakiman longlai ke arah Suhaila yang sedang berdiri dengan cahaya yang berkilau anehnya. Air mata Hakiman menitik tanpa sedar, menuruni sehingga ke bawah dagunya yang terdapat janggut sejemput itu. Jari-jemari Hakiman cuba mengelus pipi Suhaila. Lembut…

“Awak betul-betul wujud ke?” tanya Hakiman.

“Saya ada kat depan awak,” tutur Suhaila lagi.

“Kenapa awak datang… bukan ke awak dah tenang…”

Jari telunjuk Suhaila tiba-tiba menyentuh bibir Hakiman. Indah senyuman yang terukir, membuatkan hati Hakiman yang dilanda ombak resah itu kembali tenang, seperti sedang diselimuti suasana alam.

“Sebab saya rindukan awak.” Lembut suara Suhaila menuturkan perkataan itu.

“Hakiman! Sedar kau daripada mainan syaitan! Ingat, kau ada benda lain yang perlu kau uruskan!” teriak Naim tiba-tiba.

Hakiman yang seperti disampuk itu menoleh ke arah Naim. Tetapi, dia kembali menumpukan perhatian menatap wajah kesayangannya yang telah lama meninggalkannya. Pipi Hakiman disentuh lembut,

“Pedulikan dia… saya nak awak ikut saya,” tutur Suhaila lembut.

***

Saiful Hawiz sedang duduk berehat di bawah sebatang pokok di tanah perkuburan itu. Kelihatan Afiq tenang menemaninya. Masing-masing seperti kehabisan nafas membuat kerja pengebumian. Gangguan demi gangguan tidak langsung mematahkan kerja mereka.

“Fiq!” teriak seseorang tiba-tiba membuatkan Afiq berdiri. Saiful yang memejamkan matanya untuk seketika turut kelihatan terkejut.

“Itu suara Ummu…” gumam Afiq.

“Fiq! Tolong Ummu. Zaff nak buat sesuatu!” Ummu menjerit lagi, tidak jauh daripada mereka.

“Zaff? Kurang ajar!” gumam Afiq geram.

Sebatang kayu sebesar lengan diambil oleh Afiq. Tanpa mengendahkan Siaful yang terpingga-pingga, Afiq sudah membuka langkah seribu ke arah punca suara Ummu tadi.

“Tunggu aku…” Lengan Saiful tiba-tiba ditangkap oleh seseorang. Pantas Saiful menoleh belakang.

“Cik Mia?” gumam Saiful tidak percaya melihat kelibat wanita itu.

“Saiful sukakan Cik Mia ya?” tanya Cik Mia.

Saiful terdiam. Dia merenung wajah Cik Mia tidak percaya mendengarkan soalan itu.

“Kenapa…”

Jari telunjuk Cik Mia tiba-tiba membelai tubuh Saiful yang tidak berbaju, sekadar berseluar jeans itu. Pantas Saiful menepis.

“Kenapa ni Saiful?” tanya Cik Mia dengan kening yang terangkat.

“Apa Cik Mia buat ni.. err… kita…”

Kemudian, tubuh Saiful yang sasa itu dipeluk oleh Cik Mia.

“Astaghfirulah… berambus kau syaitan!” teriak Saiful tiba-tiba lalu menolak Cik Mia ke belakang, membuatkan wanita itu jatuh terlentang.

“Pergi kau iblis. Jangan kau menyerupa lagi untuk menyesatkan anak Adam. ALLAHU AKHBAR!” Sebaik sahaja takbir diucapkan oleh Saiful, tubuh Cik Mia hilang seperti data di udara.

“Dia sengaja lambatkan aku untuk membiarkan Afiq masuk perangkap…”

***

Dari kejauhan, kelihatan Ummu sedang dipeluk dari belakang oleh Zaff, Meronta-ronta Ummu cuba melepaskan diri. Afiq yang menyaksikan kejadian itu tambah terbakar.

Kurang ajar punya manusia. Ketika aku tak ada di sisi Ummu dan percayakan dia, ini balasannya yang dia berikan pada aku? Harapkan pagar, pagar makan padi! Afiq memecut ke arah Zaff sambil menghayunkan kayunya.

“Fiq…” tutur Zaff yang sempat memusingkan tubuhnya menghadap Afiq. Hayunan kayu tadi sempat dielaknya.

“Kenapa?” tutur Zaff yang tidak menyedari Ummu sudah berlari meninggalkannya.

“Awak pergi cari Saiful. Biar saya uruskan si bedebah ni!” teriak Afiq sambil merenung tajam Zaff.

“Kenapa tiba-tiba ni Fiq?” tanya Zaff.

“Aku dengar suara Ummu menjerit. Kau cuba ambil kesempatan ke atas dia sementara kau berdua-duaan dengan dia!” tuduh Afiq berang sambil menundingkan kayu yang sebesar lengan itu tepat di hadapan wajah Zaff.

“Astaga… kau cakap apa ni?”

“Bangsat kau! Jangan buat tak faham…” Afiq menghayunkan kayu itu berulang kali, namun semuanya tidak mengena tepat pada sasaran.

“Terima kasih awak…” tutur satu suara tiba-tiba dari belakang. Afiq menoleh dan Ummu sedang berdiri sambil memegang lengan Afiq. “Nasib baik awak ada. Tadi dia…” Kelihatan Ummu tidak mahu menuturkan perkataan terakhir itu.

“Ummu macam mana…”

“Diam kau! Perogol!” pintas Ummu. Kemudian, kelihatan Ummu membisikkan sesuatu di telinga Afiq membuatkan Afiq mengangguk sambil tersenyum.

“Aku akan pastikan kau menyesal dengan apa yang kau buat,” gumam Afiq bengang. Sepertinya dia sedang dirasuk sesuatu, amarah barangkali.

“Dengar penjelasan aku…

Belum sempat Zaff mahu menghabiskan ayatnya, kayu tadi mengena perut Zaff membuatkan Zaff tertunduk senak. Kemudian, kayu tadi menghentam pipinya membuatkan dia jatuh terperosok.

“Sakit Fiq…”

“Pukul dia lagi Fiq! Pukul dia!” Kedengaran suara Ummu seperti mencurah minyak ke dalam amarah Afiq.

“Dengarlah dulu… aku cuma nak halang dia…”

“Daripada melarikan diri daripada nafsu serakah kau?” celah Afiq sinis.

“Demi ALLAH aku tak pernah buat…”

“Jangan guna nama ALLAH untuk tutup apa yang kau buat, sial!” Kali ini, Afiq menumbuk bibir Zaff. Darah tersembur membasahi baju Zaff.

“Fiq!” teriak Saiful tiba-tiba dari belakang. Afiq menoleh dan… Ummu tadi ghaib begitu sahaja.

“Tadi bukan Ummu yang menjerit. Itu penghuni tanah perkuburan ni. Mereka nak halau kita! Kita kena cari yang lain, segerakan apa yang perlu disegerakan dan pergi dari tempat ni!”

Afiq termengkelan. Dia melihat Zaff yang sedang terbaring lemah dengan mulut yang berlumuran darah. Tulang pipinya kelihatan patah selepas menerima hentakan padu daripada kayu Afiq.

“Pergi kejar Ummu. Dia lari arah sana…” gumam Zaff.

“Aku tolong Zaff. Kau pergi cari Ummu!” arah Saiful. Afiq mengangguk.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.