Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 24: Kisah Yusof Dan Zulaikha

Zaff sekadar membontoti Tok Junaidi dari belakang. Dia memilih untuk membisu walaupun ungkapan daripada Tok Junaidi mengatakan bahawa Malaysia dan Pulau Eurasia itu sebenarnya tidak wujud langsung.

Zaff mula sedar bahawa dirinya sebenarnya terperangkap di satu alam lain, yang dihuni oleh makhluk seakan-akan seperti manusia. Tetapi anehnya, Zaff mendapati bahawa makhluk di situ sangat menyerupai beberapa orang rakannya. Bahkan, mereka merupakan pengganut agama Islam yang setia.

Terus, Zaff tertanya-tanya, dunia apakah yang sedang Zaff berpijak? Hantu? Syaitan? Tidak mungkin. Makhluk tersebut merupakan penderhaka kepada ALLAH, keturunan sang iblis yang tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam A.S.

Kepala Zaff berserabut memikirkannnya.

“Pakcik mempunyai seorang anak perempuan. Nazura namanya. Kami panggil Nazura,” gumam Tok Junaidi memecahkan kesunyian yang sedang berjangkit antara mereka, di tengah-tengah belantara yang menghitam gara-gara malam sedang menguasi alam.

“Ummu juga anak pakcik ke?” tanya Zaff.

Tok Junaidi mengangguk.

“Tentu Nazura tu sama cantik dengan Ummu kan?” ujar Zaff lagi.

“Ummu si kakak. Cuma, Nazura. Pakcik belum dapat carikan jodoh untuk dia. Dia ni keras sikit dari kakak dia, Ummu,” jelas Tok Junaidi.

Zaff sekadar mengangguk mendengarkan cerita daripada Tok Junaidi. Siapa pun Nazuraitu, walaupun hatinya merasakan dia mampu mengagak siapa yang dituturkan oleh Tok Junaidi, namun tidak sedikitpun mampu mencuri minatnya. Dia langsung tidak mempunyai kaitan dengan Nazura.

“Zaff ada keluarga?” tanya Tok Junaidi.

Zaff mengangguk.

“Kat mana?” tanya Tok Junaidi.

“Pakcik tak akan kenal pun. Mereka... bukan dari dunia sini,” gumam Zaff.

Riak wajah Tok Junaidi berubah sebaik sahaja perkataan “dunia lain” itu dituturkan oleh Zaff. Namun, beberapa ketika kemudian, Tok Junaidi kembali tenang. Dia meneruskan langkah kakinya. Pokoknya, apabila Zaff memasuki dunia itu, dia tidak boleh keluar. Satu-satunya cara untuk mengikat Zaff dengan kampung itu ialah... perkahwinan!

Wajah Zaff dijelingnya. Sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan Zaff terus kekal di situ. Rahsia alam yang sepatutnya tidak diketahui oleh manusia biasa harus kekal menjadi rahsia.

“Itu rumah pakcik,” kata Tok Junaidi sambil menunjukkan ke arah rumah kayu dua tingkat yang sedang berdiri tidak jauh daripada tempat Zaff berdiri. Seorang gadis sedang duduk di anak tangga. Zaff kenal siapakah gadis tersebut. Tetapi...

“Nazura?” tutur Zaff tidak percaya.

Nazura menoleh ke arah Zaff yang sedang berdiri. Amani Nazura yang dikenali oleh Zaff bukannya gadis sopan di dalam pakaian baju kurung di hadapannya. Nazura kelihatan lebih anggun dan ayu dengan rambut hitam lurus yang diikat ekor kuda.

“Siapa dia ayah?” tanya Nazura.

“Perkenalkan anak pakcik, Nazura. Nazura, ini Zaff. Dia akan bermalam untuk beberapa hari di rumah kita. Nazura, sediakan bilik untuk Zaff,” arah Tok Junaidi.

“Dia anak pakcik?” tanya Zaff tidak percaya.

“Anak bongsu pakcik. Maaf, pakcik cuma ada dua orang sahaja anak perempuan. Tak ada anak lelaki. Jadi, Zaff tak ada kawanlah. Kenapa ya Zaff?”

“Cantik...” tutur Zaff spontan.

“Zaff dah berkenan dengan anak pakcik ya?” usik Tok Junaidi tiba-tiba.

“Eh... er... apa ni.. saya...”

Tok Junaidi tersenyum melihat Zaff tiba-tiba hilang kawalan.

“Jomlah naik. Rasanya Nazura dah siapkan air untuk kita minum,” tutur Tok Junaidi.

Zaff mengangguk lalu mengekori Tok Junaidi dari belakang. Dia meletakkan selipar yang dipakainya, lalu membasuk kakinya dengan air di dalam tempayan. Memang sangat tradisional!

Zaff melihat keadaan rumah ketua Kampung Perebah itu. Terdapat beberapa lukisan tergantung melihatkan keindahan alam yang sangat-sangat mengasyikkan. Kelihatan beberapa lampu minyak tanah digantungkan di dalam rumah tersebut.

“Duduklah dulu,” kata Tok Junaidi.

Zaff mengangguk lalu melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi kayu. Dia kelihatan kekok berada di dalam suasana baru seperti itu. Kemungkinan sini akan jadi tempat tinggalnya, mungkin untuk selama-lamanya.

“Jemput minum...” tutur Nazura yang tiba-tiba muncul di hadapannya.

Ketika Nazura mahu melangkah pergi, pergelengan Nazura tiba-tiba dicapai oleh Zaff.

“Apa ni...”

“Kau kenal aku tak?” tanya Zaff sambil berkerut dahinya.

Nazura menggelengkan kepalanya, takut-takut. Zaff melepaskan pegangan tangannya sebaik sahaja menerima respon daripada Nazura. Dia menghela nafas dengan penuh kecewa. Zaff kelihatan seperti orang yang sudah menyerah. Masuk kali ini, sudah empat orang ahli kumpulannya ditemui di alam aneh itu. Tetapi, tiada seorang pun yang mengenalinya. Ummu, Hafeez, Afiq dan kali ini ialah Nazura. Semuanya tidak mengenali siapakahTengku Nizarif. Bahkan masing-masing sudah mempunyai kehidupan mereka sendiri.

“Saya nak tidur...” ucap Zaff lalu bangkit ke arah bilik yang sudah disiapkan oleh Nazura.

***

Yana sedang melangkah di bawah hutan hujan yang tinggi melangit. Kelihatan Razali Ahmad sedang memimpin gadis buta itu. Sekali-sekala Yana akan memberi arahan kepada Razali, arah mana yang patut dituju oleh mereka.

Kelihatan Ummu, Naim, Saiful dan Kapten Azrin menyusul dari belakang. Afiq sendiri memilih ahli kumpulan itu memandangkan dirinya sudah menjadi ketua penempatan manusia di Hotel Dino, sebuah hotel terbiar yang masih berfungsi dengan sangat baik.

Saiful kelihatan menebas semak samun yang menghalang perjalanan mereka dengan parang yang sentiasa berada di tangannya. Parang yang diambil daripada Gempita dahulu sewaktu bertempur dengan lelaki gagah yang merupakan anak Tok Putih, ketua kampung puak pemburu kepala yang sudah pupus daripada helaian sejarah dan geografi.

“Sekejap...” tutur Yana tiba-tiba.

“Kenapa Yana?” tanya Razali.

“Yana dapat rasa... ada sesuatu yang ditinggalkan oleh Zaff. Tak jauh dari sini...” gumam Yana lagi.

“Betul ke kita nak ikut dia?” bisik Naim tiba-tiba ketika Yana sedang mendahului kumpulan manusia yang dibentuk oleh Afiq sendiri untuk mencari Zaff.

“Aku percayakan dia...” balas Afiq.

Namun, Naim tidak melepaskan pegangan tangannya malah lengan Afiq semakin dicengkamnya.

“Yana tu buta! Kau percayakan gadis buta macam dia untuk bawak kita ke Zaff?” tanya Naim. “Apa yang dia boleh buat? Mengarut dan membebel dengan mulut dia bolehlah!”

“Jangan pandang rendah dengan saya,” tutur Yana tiba-tiba membuatkan Naim terdiam. “Ya, deria pengelihatan saya ditarik oleh ALLAH. Tapi... ALLAH mengurniakan saya deria yang lebih hebat. Saya boleh merasa kedudukan orang yang hilang...”

Naim membersut marah. Dia sekadar merenung tajam ke arah Yana.

“Ummu... saya perlukan bantuan awak. Awak masih ada gelang unggu yang dia berikan pada awak?” tanya Yana tiba-tiba.

“Macam mana awak tahu...” tanya Ummu tidak percaya.

“Mana gelang tu? Saya perlukannya! Ada kembar gelang yang lagi satu pada Zaff. Benda yang dicipta sebagai kembar ini adalah penghubung paling senang saya nak berjumpa dengan Zaff! Dia dah semakin hampir dengan kita!” tutur Yana.

Ummu tiba-tiba merenung Afiq. Afiq sekadar mengangguk, merestui permintaan Yana itu manakala Naim sekadar merenung kosong. Ummu melipat sedikit lengan baju yang dipakainya lalu terserlah gelang unggu yang tersarung kemas di pergelangan tangannya.

“Kau tahu tak gelang unggu ni dibuat serentak dengan sebuah gelang lagi yang disimpan oleh Zaff?”

Ummu menggelengkan kepalanya.

“Biasanya gelang ini digunakan oleh pasangan couple untuk menunjukkan mereka ni pasangan bercinta,” tutur Yana. “Daya penghubung inilah paling saya perlukan untuk cuba menghubungi Zaff! Saya perlu tahu lokasi dia sekarang!”

Ummu meleraikan gelang tangannya itu lalu menyerahkan kepada Yana. Jari jemari Yana meraba-raba gelang unggu itu. Ummu sekadar memerhati sahaja apa yang sedang dilakukan oleh Yana dengan dahi berkerut. Dakwaan Yana tadi di tadah oleh telinga Ummu dengan perasaan tidak percaya. Tak akanlah Zaff menyimpan kembar gelang unggu itu...

“Zaff... Zaff...” tutur Yana.

Ketika itu, Afiq dan Naim saling berkongsi pandangan.

“Dia buat apa... bodoh ke apa?” Spontan sahaja Naim menuturkan perkataan itu. Apa yang cuba dilakukan oleh Yana kelihatan sangat mengarut.

***

“Zaff... Zaff...” Kedengaran suara yang memanggil Zaff membuatkan Zaff terus tersedar daripada tidurnya.

Seorang gadis sedang berdiri di hadapan Zaff membuatkan Zaff yang baru sahaja bangun itu hampir sahaja menjerit. Mujurlah dia dapat mengawal dirinya, dan setelah diamatisusuk itu, dia kelihatan mengenali gadis yang sedang berdiri di hadapan matanya itu. Itu ialah...

“Yana... apa yang kau buat kat sini?” tutur Zaff tidak percaya melihat Yana sedang berdiri di hadapannya.

“Aku tak punya banyak masa. Zaff, kau sebenarnya terperangkap di alam bunian dan aku kena bawa kau keluar dari situ sekarang jugak!” tutur Yana membuatkan Zaff terus bangkut dari katilnya. Pantas Zaff meluru ke arah Yana, cuba menyentuh Yana tetapi telus.

“Tapi.... kenapa?” tanya Zaff.

“Aku bukan dari sini. Aku cuma guna kelebihan yang aku dapat bila mata aku buta akibat kemalangan masa pesawat ni terhempas! Cari sesiapa yang kau rasa dapat bantu kau, dan suruh dia tunjukkan jalan keluar dari alam situ!” tutur Yana lagi. Kali ini, bayangan dirinya semakin kabur.

“Tapi siapa? Semua di alam ini sangat misterius. Aku jumpa orang yang sama nama dengan Ummu, Fiq, Hafeez dengan Nazura! Alam ni memang sangat...”

“Aku tak boleh lama. Good luck, Zaff...” ucap Yana sebelum dia menghilang.

***

Yana tercampak, begitu juga dengan Ummu. Masing-masing terhentak pada pokok balak yang berdekatan gara-gara kuasa yang entah daripada mana datang daripada gelang unggu yang dipakai oleh Ummu.

Darah merah mengalir dari hidung dan telinga Ummu dan Yana. Ummu cuba bangun namun tidak berdaya manakala Yana sudah tidak sedarkan diri. Mereka yang memerhatikan apa yang berlaku memang betul-betul terkejut.

“Dia tak menipu...” tutur Afiq.

Naim memuncungkan mulutnya. Afiq kelihatan cuba untuk memapah Ummu manakala Kapten Azrin dan Razali pula sedang berusaha untuk menyedarkan Yana daripada pengsan.

“Aku pergi cari tempat berehat sekarang!” gumam Saiful Hawiz tiba-tiba. Afiq mengangguk sambil meriba Ummu di atas pehanya. Ummu masih cuba bangkit namun akhirnya dia kembali rebah.

“Kenapa tiba-tiba macam ni?” tanya Ummu.

“Aku rasa aku tahu jawapannya. Yana menggunakan gelang Ummu sebagai perantaraan untuk masuk ke alam yang lain, di mana alam yang mungkin sejajar dengan alam manusia tetapi manusia dan mereka yang menghuni alam itu tidak akan mampu untuk melihat antara satu sama lain. Dalam sains, alam ini dipanggil sebagai parralel universe. Di mana, Zaff terperangkap di parallel universe. Mungkin inilah alam bunian yang menjadi kisah yang sinonim dengan masyakarat Melayu. Dalam erti kata lain, mereka tidak dapat menyesuaikan diri ke dalam alam itu, menyebabkan mereka ditendang balik kerana zarah di dalam tubuh mereka tidak dapat berfungsi dengan baik. Hanya cahaya sahaja zarah di dunia yang mampu menyeberangi sebarang alam dengan baik, ini ialah ilmu yang asas dalam kuantum fizik!” terang Naim panjang lebar.

“Macam mana kau tahu semua tu Naim?” tanya Kapten Azrin. “Benda ni... aku pernah belajar dulu. Tapi, bukannya tahap budak macam kau.”

“Aku genius, Mestilah aku tahu semua ni,” ujar Naim bangga.

“Habis tu macam mana Yana boleh masuk alam tu sekejap?” tanya Afiq pula.

“Korang pernah dengar tak bila ALLAH tarik satu deria daripada manusia, manusia itu akan menerima deria yang lain atau deria lain yang sudah wujud akan bertambah kuat?” tanya Naim.

Mereka yang berada di situ mengangguk.

“Aku rasa TUHAN mungkin kurniakan kepada Yana deria keenam yang selama ini diperdebatkan oleh saintis dan ahli agama,” jelas Naim lagi.

***

Zaff sedang duduk termenung jauh di tangga rumah Tok Junaidi. Apakah peristiwa dia berjumpa dengan Yana semalam sekadar mimpi atau benar-benar berlaku? Kalau benar, memangtepatlahsangkaannya bahawa alam tempat dia berpijak ketika waktu itu merupakan sebuah alam yang lain. Kata Yana, alam itu merupakan alam bunian.

“Zaff... termenung jauh nampak...” tutur Tok Junaidi tiba-tiba.

“Tak ada apa Tok...” tutur Zaff yang memaksa dirinya untuk tersenyum meskipun detik itu sebenarnya bukanlah waktu terbaik untuk Zaff tersenyum. Zaff sangat kusut ketika itu.

“Tok nak cakap sikit ni Zaff...” ujar Tok Junaidi memulakan bicara.

“Ya Tok?” tanya Zaff.

“Tok nak kahwinkan Zaff dengan anak perempuan Tok. Nazura, dia dah lama membujang...” ucap Tok Junaidi membuatkan wajah Zaff terus bertukar pucat.

“Tok...”

“Zaff sebatang kara. Tok kasihankan Zaff. Zaff sendiri pun tak tahu macam mana nak balik rumah Zaff. Tok benarkan Zaff menumpang rumah Tok, tapi tak manis pula sebab Nazuratu anak dara, dan Zaff ni anak teruna. Nanti orang bising apa pulak...” terang Tok Junaidi.

“Tapi Tok...”

“Okey, Zaff boleh tak kahwin dengan Nazura. Tapi Zaff kena ingat... Zaff dah tak ada tempat lain dah...”

Zaff diam. Dia merenung wajah Tok Junaidi dengan perasaan yang berbaur keliru.

“Nazura macam mana?” tanya Zaff.

“Nazuratak kisah. Dia cakap kamu tampan. Lagipun, diatak ada masalahdengan pilihan ayahnya. Sudah adat penduduk Kampung Perebah yang jodoh mereka ditetapkan oleh orang tua,” terang Tok Junaidi lagi.

Zaff mengeluh berat. Dia meraup wajahnya dengan tapak tangan. Dugaan yang diterima olehnya semakin berat. Ya ALLAH, kau berikanlah kekuataan kepada aku, begitulah doa Zaff di dalam hatinya.

“Tiga hari lagi, kamu berdua bakal dinikahkan,” tutur Tok Junaidi pula.

“Tiga hari?” ujar Zaff tidak percaya.

“Kenapa cepat sangat! Kenapa Tok?” Zaff seperti hilang sabar.

“Bukankah perkahwinan adalah antara perkara yang nabi galakkan kita untuk segerakan, terutama bila kamu darah muda begini,” tutur Tok Junaidi.

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Pokoknya, kamu kena bersedia. Kamu nak ke mana lagi? Kalau kamu nak terus tinggal di sini, kamu kena ikut apa yang kami mahu!”

Belum sempat Zaff mahu membantah, Tok Junaidi sudah bangkit dan menghilangkan dirinya ke dalam rumah kayu dua tingkat yang sedang berdiri di belakang Zaff. Perasaan Zaff serba salah.

***

Zaff sedang duduk di ruang tamu sambil kepalanya rungsing memikirkan hari pernikahannya yang semakin hari semakin menghampiri. Dia melemparkan pandangan ke luar rumah. Malam sudah menjelma. Ke mana pula hilangnya Tok Junaidi ni?

“Awak...” tutur satu suara yang tiba-tiba muncul dari belakang.

Nazura sedang berdiri sambil tersenyum. Gadis itu di dalam keadaan yang berkemban membuatkan kejantanan Zaff mula tergugat. Rambut gadis itu masih lagi basah. Kain batik yang membalut tubuh Nazura kelihatan melekat kerana membaluti tubuh Nazura yang sedang basah itu.

“Astagfirulah...” gumam Zaff sambil melarikan pandangannya.

“Pergi pakai baju! Nanti orang nampak...”

Belum sempat Zaff mahu menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba sahaja tangan Nazura menyambar lengan Zaff. Zaff pantas menepis tangan Nazura. Namun, tangan Nazura yang lain pula mencari lengan Zaff.

“Nazura, apa yang kau nak buat ni?” tanya Zaff sambil menolak tubuh Nazura ke tepi. Dia mahu meninggalkan rumah itu dan tiba-tiba tangan Nazura mencari belakang baju Zaff.

“Apa ni?” Zaff sudah hilang sabar.

Prapp! Belakang baju Zaff koyak ditarik oleh Nazura, menampakkan belakang badannya yang terdedah. Sekali lagi Zaff beristighfar kepada ALLAH. Dan... tubuh belakangnya dipeluk oleh Nazura. Serentak itu, pintu hadapan rumah Tok Junaidi terbuka.

“Astagfirullahalazim...” tutur Tok Junaidi yang kelihatan tidak percaya melihat apa yang berlaku. Kebetulan, ketika itu Tok Junaidi datang dengan orang surau untuk membincangkan mengenai hal perkahwinan Zaff dan anak perempuannya.

Afiq, Hafeez serta Ummu yang kelihatan teruja untuk membincangkan mengenai hal perkahwinan itu salah seorang daripada rombongan yang dibawa oleh Tok Junaidi. Wajah Zaff pucat melihat Ummu turut berada di situ.

“Saya kena fitnah!” teriak Zaff.

“Bohong,” tutur Nazura yang sudah meleraikan pelukannya. “Awak dah merasa saya, lepas tu macam ni ya awak buat?”

Zaff menoleh tidak percaya ke arah Nazura. Dia mengecilkan matanya merenung seperti bila-bila masa sahaja dia akan membunuh Nazura, namun mujurlah imannya masih bersisa di hatinya ketika itu.

“Demi ALLAH, saya tak buat apa-apa dengan dia. Ini ialah fitnah dia! Dia cuba perangkap saya untuk kekal dalam perkahwinan yang saya tak rela!”

Pang! Satu tamparan hinggap di pipi Zaff.

“Sampai hati awak buat macam ni kat saya! Saya... mana janji manis awak? Lelaki semuanya sama!” Nazura sudah mula menangis teresak-esak manakala Zaff seperti hilang kata-kata.

“Percayalah. Ada konspirasi yang cuba mengenakan saya!” tutur Zaff. Sebaik sahaja Zaff menuturkan perkataan itu, tiba-tiba sebuah tumbukan hinggap di pipinya. Ianya datang daripada Hafeez.

“Ke...kenapa?” tanya Zaff.

“Kau dah ratah adik ipar aku! Lepas tu kau nak buat tak tahu ya? Kurang ajar punya jantan!” Sebuah tumbukan hinggap lagi muka Zaff.

Zaff terbaring terlentang di atas lantai. Mulutnya berlumuran darah. Hafeez pula berada di atas tubuhnya, terus melayangkan penumbuk di muka Zaff sambil diperhatikan oleh mereka semua di situ.

Ya ALLAH, berat sungguh dugaan yang kau timpakan ke atas aku...

“Cukup tu Hafeez. Tumbuk dia tak jadi apa-apa. Esok juga kau kena kahwin dengan anak aku. Kau dah malukan aku, kau kena tanggung sendiri. Hafeez, ikat dia. Pastikan dia tak cabut lari esok. Afiq, kau akan jadi tok kadi nanti!”

Afiq sekadar mengangguk.

“Fiq... kau pun sama dengan diaorang? Dah tak percayakan aku?” tutur Zaff lemah ketika Hafeez mengarahkan beberapa orang mengikat tubuh Zaff dengan tali yang baru sahaja diambilnya daripada dapur.

Tok Junaidi sekadar tersenyum sinis melihat keadaan Zaff. Manakala, Ummu sekadar merenung simpati. Entah kenapa gerak hatinya mengatakan bahawa Zaff tidak bersalah pada waktu itu.

“Bawa dia ke rumah aku. Senang sikit kita jaga dia,” arah Hafeez lagi.

***

Pipi Zaff ditepuk-tepuk oleh seseorang. Zaff yang sudah tertidur dalam keadaan yang berikat dengan tali itu mula membuka mata. Wajah pujaan hatinya, Ummu Habibah menghiasi pandangannya. Namun, riak resah kelihatan terpapar di wajah jelita itu.

“Nak apa? Nak pukul aku macam yang diaorang buat?” ujar Zaff lemah. Mata lelaki itu kelihatan lebam. Kuyu sahaja diperhatikan oleh Ummu membuatkan perasaan simpati menjalar dalam diri Ummu.

“Saya tahu yang awak tak bersalah,” ujar Ummu membuatkan Zaff tersenyum.

“Sebab itu saya sayangkan awak,” ujar Zaff membuatkan wajah Ummu merona merah.

“Saya dah ada suami,” ucap Ummu.

“Maksud saya, awak dari dunia lain,” balas Zaff.

Namun, tidak sedikitpun riak wajah Ummu berubah sebaik sahaja perkataan dunia lain itu meniti di bibir Zaff.

“Saya dari dunia lain tu macam mana?” tanya Ummu. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Zaff.

“Dia baik macam awak. Muka dia macam awak. Cantik, ada lesung pipit bila senyum. Hidung tak berapa nak mancung, dahi agak luas, kening lentik, err... pokoknya, semua yang ada kat awak, ada kat dia,” jelas Zaff.

“Kan bagus saya yang hidup di dunia awak?” ucap Ummu tiba-tiba.

“Kenapa awak cakap macam tu?” tanya Zaff.

“Saya sebenarnya tak rela kahwin dengan Hafeez. Dia jahat. Tapi, ayah yang paksa saya kahwin dengan dia. Saya dilayan macam haiwan oleh Hafeez,” luah Ummu membuatkan Zaff benar-benar terkejut. Dunia tempat dia berpijak itu memang aneh.

“Tapi saya tengok awak dengan dia, sangat bahagia,” ujar Zaff.

“Dia yang paksa saya. Dia tak nak awak tahu macam mana hubungan kita berdua,” jawab Ummu lagi.

Zaff mengangguk mengerti. Dia kini sudah mampu tersenyum.

“Macam mana awak tahu saya tak bersalah?” tanya Zaff.

“Belakang badan awak. Baju awak koyak di bahagian belakang. Benda tu buat saya teringat pada kisah Yusof dan Zulaikha...”

Serentak itu, Zaff mengucapkan penuh syukur kepada ALLAH. Sekurang-kurangnya ada orang yang dibuka matanya oleh ALLAH. Kemudian, ingatan Yana kembali bermain di minda Zaff.

“Saya nak awak lepaskan saya. Tunjukkan saya jalan untuk saya keluar dari sini,” kata Zaff tiba-tiba membuatkan Ummu merenung wajah Zaff tidak percaya.

“Tak..tak.. saya tak...”

“Saya tahu yang awak tahu. Saya perlu balik ke sana!” kata Zaff dengan mata yang sudah berkaca. Dia merayu sepenuh hatinya. Ya ALLAH, kau bukakanlah pintu hati hambamu ini untuk membantu aku, getus hati kecil Zaff.

“Kenapa awak nak balik?” tanya Ummu.

“Sebab saya tak boleh hidup di dunia di mana awak bukan milik saya!” Jawapan yang keluar dari Zaff membuatkan Ummu tergamam. Mata hijau Zaff ditatap oleh Ummu, seolah-olah sedang mencari sinar keikhlasan daripada apa yang keluar dari mulut Zaff tadi.

“Cepat, kita kena buat diam-diam,” kata Ummu tiba-tiba membuatkan Zaff mula tersenyum.

Terima kasih Ummu, getus hati kecil Zaff.

“Kita ada perjalanan jauh nak ditempuhi. Jauh juga pintu keluar dari sini yang awak kena tempuhi,” ujar Ummu lagi.

Zaff sekadar mengangguk. Dia cuba untuk berdiri namun dia kembali rebah, kepalanya masih tersisa pening. Kesan tumbukan bertalu-talu yang datang daripada Hafeez masih terasa.

“Hafeez mana?” tanya Zaff ketika dirinya sedang dipapah oleh Ummu.

“Dia kat rumah Tok Junaidi. Sebelum dia balik, kita kena cepat,” ujar Ummu.

Zaff mengangguk. Terhincut-hincut dia melangkah sambil matanya melilau melihat sekeliling, berjaga-jaga, takut Hafeez muncul tiba-tiba dan pastinya Ummu pula akan menjadi mangsa baran lelaki itu.

***

Hafeez mengetuai pemuda-pemuda Kampung Perebah sambil membawa obor api. Kegelapan malam bertukar terang berderang disuluh cahaya yang datang daripada obor mereka. Raut wajah kebengisan jelas terpapar di wajahnya, penuh dengan amarah.

Sebaik sahaja dia pulang daripada rumah Tok Junaidi, dia melihat Zaff sudah tiada, bahkan Zaff melarikan isterinya. Pantang pendekar Kampung Perebah itu apabila maruahnya diinjak-injak oleh si pendatang yang tak sedar dek untung. Kalau tidak kerana Hafeez, budak itu pasti akan mati lemas di Sungai Kali. Tetapi, berani benar Zaff mencalit arang di mukanya. Kalau didapatnya Zaff, akan dicincang-cincang Zaff sampai ke tulang hitam.

Kedengaran bunyi bising di luar rumah Tok Junaidi. Orang tua itu yang mahu melelapkan matanya dengan berat hati terpaksa bangkit dari katil yang empuk. Dia melangkah ke arah tingkap rumahnya lalu membukanya. Kelihatan ratusan pemuda Kampung Perebah sedang berdiri di hadapan rumahnya sambil diketuai oleh Hafeez. Kelihatan Nazura menyertai Tok Junaidi dari belakang.

“Kenapa ni Hafeez?”

“Ayah! Isteri saya kena bawak lari dengan budak Zaff tu!” tutur Hafeez bengang.

Riak wajah Tok Junaidi betul-betul berubah selepas mendengarkan perkara itu. Dia menoleh ke arah Nazura yang sedang berdiri di sebelahnya.

“Kau ambilkan golok ayah. Ayah nak pergi cari budak Zaff tu. Kurang ajar!” tutur Tok Junaidi bengang. Nazura sekadar memandang wajah Tok Junaidi dengan renungan seperti merayu simpati kepada Zaff.

“Salah bapa juga suruh saya perangkap dia,” ujar Nazura sambil menundukkan kepalanya.

“Aku buat semua ni untuk kebaikan Kampung Perebah. Kau tak ada hak untuk persoalkan apa yang aku buat. Jangan jadi derhaka macam kakak kau. Carikan golok aku cepat!” arah Tok Junaidi membuatkan Nazura mengangguk lemah.

Maafkan Nazura, getus hati kecil Nazura. Dia menghilangkan diri dari pandangan Tok Junaidi.

***

Zaff sedang duduk di bawah sebatang pokok balak yang sangat tinggi. Ummu kelihatan sedang meletakkan sesuatu di matanya yang lembam itu. Sesekali, Zaff mengaduh kesakitan namun Ummu sekadar tersenyum memerhatikannya.

“Orang lelaki kena tahan sakit,” ujar Ummu.

“Saya tengah cuci luka awak. Ada nanah kat tepi mata awak. Nanah ni kena dikeluarkan kalau awak tak nak mata awak terus kuyu,” tutur Ummu sambil memegang sebilah pisau yang diletakkan di bahagian lebam di mata Zaff.

Sekali hirisan, maka kedengaran suara Zaff menjerit kesakitan. Daripada lebam di mata Zaff, mengalir cecair hijau dan kuning yang bercampur.

“Sekarang awak dah boleh buka mata awak,” tutur Ummu.

Zaff memberanikan membuka matanya.Zaff sudah mampu melihat dengan lebih jelas dan mampu membuka matanya lebih luas daripada tadi. Kemudian,Zaffmenoleh ke arah Ummu sambil tersenyum.

“Terima kasih,” ucap Zaff.

“Kita kena teruskan perjalanan. Kita kena cepat sebelum mereka jumpa kita,” ujar Ummu lagi.

Zaff mengangguk. Dia sudah mampu berjalan dengan baik selepas lama berehat. Dia membiarkan sahaja Ummu mengetuai jalan sambil membawa pelita untuk menerangi kawasan hutan pada waktu malam. Ummu lebih mengetahui selok belok Kampung Perebah itu daripada Zaff.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.