Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 3: Tetamu Tengah Malam

Sebuah tanah lapang yang terbentuk di tengah-tengah hutan tebal itu kelihatan dipenuhi dengan lautan manusia. Beberapa ungun api kelihatan terpasang, menyebarkan asap yang berkepul-kepul ke udara. Bunyi yang agak bising kedengaran memenuhi kawasan tanah lapang itu. Sebuah bangkai pesawat yang kini terbelah dua, sedang terdampar tidak bernyawa. Bahagian ekornya sudah hilang entah ke mana.

Dari jauh, kelihatan Ummu Habibah sedang dipapah oleh Hafeez. Sejak kemalangan pesawat tempoh hari, kakinya terasa sakit kerana tersepit di kerusi yang rosak. Mujurlah Sarjan Azmi dan Hafeez telah menolongnya.

“Terima kasih Hafeez...”

“Kan saya suruh awak panggil saya Feez. Cukup,” tutur Hafeez pantas. Ummu tersenyum.

Ummu melihat kelilingnya. Terdapat ratusan manusia yang selamat daripada nahas pesawat yang terhempas sedang berkumpul bersama. Ada para keluarga, ada siswa dan siswi Universiti Tun Dr Mahathir dan kelihatan beberapa orang yang memilih untuk menyendiri.

“Mana Zaff?” tanya Ummu yang sedang duduk berhampiran dengan unggun api yang dihidupkan oleh Sarjan Azmi. Hafeez yang termenung panjang menoleh, memandang wajah ayu milik Ummu.

“Tadi dia ada, tak tahu mana hilang,” jawab Hafeez malas. Amirul Hafeez, mengambil satu cekak dalam poket seluar jeansnya lalu meletakkan di rambut panjangnya itu. Dia rimas rambut itu menghalang pandangan mata, tambah-tambah lagi untuk menatap wajah si pujaan hati, Ummu.

“Awak rasa Afiq selamat ke?” tanya Ummu lagi. Dia risau akan keselamatan dua orang sahabatnya, yang tidak pernah lekang di sisinya, iaitu Afiq dan Zaff.

“InsyaALLAH,” jawab Hafeez dengan senyuman padahal dalam hatinya, beratus-ratus sumpah seranah sudah dihamburkan. Siapa tidak kenal Afiq dan Zaff, dua orang jejaka itu pernah bertumbuk dengannya.

“Kenapa awak baik dengan Zaff? Dan... Afiq si trouble maker tu?”

“Tengku Nizarif?” tanya Ummu. “AfiqZaki?”

Hafeez mengangguk. Ummu sekadar tersenyum mengulit kembali kenangan lama yang masih tersimpan rapi. Kisah bagaimana mereka bertiga boleh terjalin satu ikatan yang sangat kuat sehingga bergelar sahabat. Kisah bagaimana mereka bertiga boleh diibaratkan seperti belangkas.

“Awak tak kenal mereka macam saya kenal mereka,” kata Ummu pendek.

“Kalau macam tu, sila kenalkan abang Zaff dan Afiq kepada saya. Mungkin lepas ni, saya boleh jadi sahabat mereka juga,” kata Hafeez, dalam nada sinis.

Ummu mengangguk.


Imbas Kembali…

Afiq sedang duduk sambil berpeluk tubuh, mendengarkan taklimat daripada ketua mereka. Dia telah menyertai sebuah perkhemahan yang dianjurkan oleh Universiti Tun Dr Mahathir untuk memanjat Gunung Ledang.

“Kita mempunyai tujuh checkpoint. Gunung ledang pula mempunyai ketinggian lebih 1276 meter. Di setiap checkpoint, kita akan berehat di sana,” tutur lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai renjer hutan yang akan membawa para pendaki yang terdiri daripada siswa dan siswi Universiti Tun Dr Mahathir.

“Kenapalah aku tawarkan diri aku untuk join benda mengarut ni,” rungut Afiq sambil menggelengkan kepalanya.

Ummu yang sedang duduk di sebelahnya tiba-tiba menepuk belakang Afiq membuatkan Afiq terkejut. Pantas Afiq menoleh memandang wajah Ummu yang tersenyum riang itu.

“Kau dah janji dengan aku yang kau akan join pendakian ni kalau aku join kumpulan assignment kau. Jadi, inilah janji kau,” kata Ummu sambil menunjukkan isyarat peace dengan jarinya. Dia tersenyum lagi membuatkan wajah monyok terpapar di wajah Afiq.

“Dahlah tu Fiq. Aku ada kat sini bro. Sekurang-kurangnya kau ada teman untuk daki Gunung Ledang tu,” tutur Zaff sambil menepuk lembut bahu Afiq. Afiq sekadar mengangguk lalu bangkit malas, untuk menyertai pendakian itu.

Kedengaran Hazira Gaddafi sedang bercakap telefon dengan ayahnya. Dari pendengaran Afiq, jelas bahawa Tan Sri Gaddafi tidak berkenan dengan tindakan Hazira untuk menyertai pendakian itu. Kemudian, pandangan Afiq ditalakan ke arah Syed Nabil yang sedang kusyuk merakam suasana peserta. Nabil sedang mengacau Acha yang merupakan orang yang paling teruja dalam pendakian itu.

“Makin lama, makin aku tak suka dengan perangai si Nabil tu. Asyik dengan kamera video dia jer,” gumam Zaff sambil menjuihkan bibirnya ke arah Nabil yang ketawa melihat reaksi Acha yang memarahi dirinya.

“Biarkanlah dia. Syed Nabil dan kamera video, memang tak dapat dipisahkan,” kata Afiq yang sebenarnya terhibur melihat telatah Nabil dan kamera videonya.

Mereka memulakan pendakian untuk ke checkpoint pertama di Bukit Semput. Pada asalnya, mereka harus mendaki 700 anak tangga menurut renjer yang bertugas. Selepas itu, barulah jalan tanah menanti mereka. Lama juga mereka mendaki sehingga sampai ke Bukit Semput, yang merupakan checkpoint pertama.

“Semput aku,” kata Afiq yang tersenyum.Afiq duduk sambil mengambil sebotol air mineral yang dihulurkan oleh Zaff.

“Kan saya dah cakap memang best mendaki gunung ni,” tutur Ummu.

Afiq sekadar tersenyum. Kepenatan sudah menjalar dalam tubuhnya.Afiqsekadar melihat dari jauh seorang gadis yang dikenalinya sebagai Piqah sedang berbual dengan rakannya yang bernama Yasmin. Kemudian, pandangan Afiq ditalakan Nabil yang masih gagah merakam suasana sekeliling. Hazira Gaddafi bersendirian di satu sudut sambil melihat suasana sekeliling. Gadis itu tidak pernah mempunyai rakan. Lama juga dia memerhatikan rakan-rakannya.

“Bro, jom?” ajak Zaff yang bangkit sambil menepuk belakang Afiq. Afiq bangkit, dan mereka bakal meneruskan perjalanan ke checkpoint seterusnya. Afiq sempat membasahkan rambutnya. Ummu kelihatan tidak berkenan dengan Afiq melakukan perbuatan itu. Menurut Ummu, wajah Afiq akan tumbuh panau.

“Kau takut yang muka aku akan tumbuh panau, dan tak handsome lagi? Lepas tu kau dah tak boleh suka kat aku?” usik Afiq. Merah wajah Ummu menerima usikan, lantas cubitan keras hinggap di perut Afiq.

“Sakitlah...” rungut Afiq. Zaff pula ketawa besar.

“Mulut tu jaga boleh tak?” marah Ummu sambil meninggalkan Afiq yang terpingga-pingga dengan Zaff. Gadis itu mendahului mereka di hadapan. Ketika itu, Nabil menghampiri Ummu untuk merakam segala tindak-tanduk Ummu.

“Dan... Nabil dah jumpa mangsanya!” tutur Zaff sambil melihat Ummu sekadar tersengih apabila lensa kamera Nabil sedang asyik merakam tindak tanduknya.

“Biarlah Nabil tu...” kata Afiq.

“Okey,” jawab Zaff pendek.

Namun, dari pandangan Zaff, dia jelas cemburu perhatian yang diberikan oleh para lelaki di Universiti Tun Dr Mahathir kepada Ummu. Siapa yang tak kenal Ummu. Antara wanita yang menjadi rebutan para jejaka, daripada si kasanova Amirul Hafeez sehinggalah si gila kuasa seperti Taufiq Ariffin, semuanya menaruh harapan kepada Ummu.

“Kenapa dia asyik marah kat aku bila aku bergurau pasal cinta dengan dia?” tanya Afiq sambil menolong Zaff untuk memanjat tanah yang agak curam. Zaff terdiam, sebaliknya merenung Ummu yang sedang berbual dengan Hafeez di hadapan sana dengan Afiq, sahabat hidup sematinya itu.

“Cinta pada Ummu adalah benda yang sangat berharga. Hati dia adalah benda yang paling mahal di dunia,” tutur Zaff yang kemudiannya membuatkan Afiq tergamam. Dia pula yang merenung Ummu yang sedang berbual dengan Hafeez dan wajah Zaff silih berganti.

Zaff sukakan Ummu, getus hati kecil Afiq. Tiba-tiba ada satu perasaan menyelinap masuk dalam dirinya. Afiq pantas menghalau perasaan itu. Dan...

“Kau boleh jalan cepat tak?” marah Acha tiba-tiba ketika melihat Afiq yang masih tercegat berdiri. Zaff pulak sudah jauh ke hadapan. Acha yang mahu melalui laluan itu terpaksa berhenti kerana Afiq berada di situ.

“Okey-okey. Janganlah marah,” kata Afiq sambil melajukan langkah kakinya, meninggalkan Acha, gadis bertudung itu di belakang, merenung penuh marah ke arah Afiq. Sehingga hari ini, Afiq tidak mengetahui punca Acha membenci dirinya. Orang cuma berkata puncanya kerana Afiq yang nakal itu.

***

Kabus tebal sedang menyelubungi kawasan hutan. Ummu yang mahu mara ke hadapan tiba-tiba dicapai pergelangan tangannya oleh Afiq. Hanya mereka bertiga sahaja yang berada dalam lingkaran kabus itu. Rakan-rakan mereka sudah tidak kelihatan.

“Kenapa?” tanya Ummu.

“Kau tak rasa pelik ke Zaff?”

“Kita dah jauh terpisah dengan rakan-rakan kita. Kita sebenarnya sedang berada dalam lingkaran yang sama,” gumam Zaff sambil melihat sekelilingnya. Kabus putih sahaja.

“Kau jangan nak bergurau...” Pantas tangan Afiq mencari mulut Ummu. Serentak itu, bunyi hilaian tawa bergema di keliling mereka. Zaff pantas mengeluarkan parang yang dari tadi terikat di tepi pinggangnya lalu bersedia.

“Apa tu?” bisik Ummu sambil memegang erat lengan Afiq. Tangan Afiq tidak lagi menekap mulutnya.

“Kami tak ganggu korang! Jangan ganggu kami!” teriak Zaff berani.

“Pontianak,” bisik Afiq yang kemudiannya mendapat cubitan keras daripada Ummu.

Namun, tempikan Zaff langsung tidak menghalau kabus putih dan hilaian tawa perempuan itu.

“Kita berdua azan!” cadang Afiq. Zaff mengangguk setuju.

“Satu... dua... tiga!” tutur mereka berdua serentak.

Laungan azan daripada dua orang anak muda itu bergema ke sekeliling hutan di kaki Gunung Ledang itu. Merdu sahaja membuatkan Ummu merenung tidak percaya dua orang sahabatnya. Walaupun perangai mereka berdua gila-gila, tetapi dua orang jejaka ternyata berisi.

Habis sahaja azan dilaungkan, kelihatan kabus sudah mula hilang. Dan... Ummu hampir sahaja menjerit apabila melihatsebuah sarang lebah terjatuh di hadapan mereka. Afiq dan Zaff saling berkongsi pandangan.

“Lari!” teriak Zaff yang merupakan orang pertama yang membuka langkah seribu. Afiq kelihatan menyusul diikuti oleh Ummu. Lama mereka berlari mencari sungai sehinggalah... Afiq menoleh ke belakang. Kelihatan Ummu sedang terbaring sambil memegang kakinya yang terseliuh.

“Pergi! Tinggalkan aku kat sini!” tempik Ummu menyuruh Afiq berlalu pergi. Afiq kesima. Dia melihat kiri dan kanannya. Zaff sudah jauh meninggalkannya manakala Ummu sedang terbaring. Jika dia pergi menyelamatkan Ummu, kemungkinan besar dirinya akan disengat, tetapi, sesuatu buruk mungkin akan terjadi kepada Ummu.

“Naik kat belakang aku,” ujar Afiq sambil duduk bercangkung, menanti Ummu untuk memanjat belakang tubuhnya.

“Tapi...”

“Darurat!” pintas Afiq. Ummu tidak berfikir panjang lalu meletakkan tangannya di bahu Afiq. Kemudian, Afiq mengendongnya di belakang lalu memecut laju.

“Kenapa kau sanggup buat macam ni kat aku?” tanya Ummu ketika Afiq

“Sebab kau tersangat istimewa dalam hidup aku!”

Ummu tergamam.

***

“Afiq buat macam tu untuk awak?” tanya Hafeez tidak percaya.

“Sungguhpun dia suka buat kacau, nakal, pemalas... tetapi dia seorang yang berani mati demi rakan-rakannya. Dia mementingkan persahabatan lebih dari segala-galanya,” balas Ummu.

Riak wajah Hafeez tidak dapat dibaca usai sahaja Ummu bercerita.Hafeez kemudiannya meminta diri untuk beredar, meninggalkan Ummu tersenyum seorang diri, mengenangkan kembali kenangan lama.

“Ummu, senyum!” kata satu suara yang kemudian mematikan lamunan Ummu. Nabil sedang merakam wajahnya.

***

Tengku Nizarif sedang duduk sambil memeluk gitar kesayangannya. Dia dikelilingi oleh ramai siswi dari Universiti Tun Dr Mahathir. Semuanya menanti penuh sabar untuk mendengarkan Zaff menyanyikan lagu. Mereka semua tahu suara yang dimiliki oleh Zaff mampu mencairkan hati mana-mana gadis. Cuma, Ummu sahaja tidak menyertai kumpulan manusia itu. Dia sekadar merenung dari jauh sambil ditemani oleh Hafeez.

“Menyampah betul,” gumam Ummu yang sedang dibakar oleh api cemburu.

“Awak, betul ke kita orang dengar awak dengan Ummu?” tanya seorang gadis yang sedang duduk di sebelah Zaff yang sedang memebelk gitar kesayangannya di atas sebatang kayu balak mati.

“Sekejap, saya jawab dalam lagu,” tutur Zaff.

“Yeay! Zaff dah nak nyanyi lagu!” tutur satu suara perempuan yang lain pula. Penangan jejaka setampan Zaff itu benar-benar rmenggigit kejantanan Hafeez yang sebelum ini gah dengan gelaran kasanova nombor satu Universiti Tun Dr Mahathir.

Siapa bilang aku seperti dia

Siapa bilang aku cintai dia

Sesungguhnya aku tidak benar-benar cinta

Kerna kau tidak seputih Melati

Semua yang berkumpul di keliling Zaff sudah bertepuk tangan teruja. Suara serak-serak basah Zaff memang mencairkan. Lelaki itu pula terlentok dalam lirik lagu yang dinyanyikan itu. Matanya terpejam menghayati lagu.

Kalau ada hitam pasti ada putih

Jika hatimu kelam tak mungkin bersih

Tak usah kau lanjutkan untuk berbagi kasih

Kerna kau tak seperti Melati

“Gediknya perempuan-perempuan tu,” gumam Ummu sambil bersandar di pokok. Hafeez pula mengangguk setuju. Namun jauh di sudut Hafeez, Hafeez tahu bahawa ungkapan Ummu itu kerana cemburu Ummu melihat Zaff diapit oleh perempuan.

Tiba-tiba sahaja Zaff bangkit dari tempat duduknya, bergerak ke arah Ummu yang terpingga-pingga apabila Zaff membawa orang ramai ke tempat Ummu. Hafeez yang mahu mencelah itu pun tidak dapat pergi ke mana-mana. Suara Zaff telah menjadi hiburan seketika orang yang terperangkap di lantai hutan itu untuk melupakan seketika realiti yang pahit.

Putih-putih Melati

Merah-merah Delima

Siapa yang baikhatipasti kuterima

Zaff sempat menghadiahkan kenyitan matanya kepada Ummu, seolah-olah lagu yang dinyanyikan itu ditujukan oleh untuk Ummu. Seolah-olah menggambarkan keinginan Zaff untuk menerima Ummu dalam hidupnya.

“Nyanyi ramai-ramai dengan saya!” ajak Zaff.

“Kenapa kau buat macam ni?” tanya Ummu.

“Kerana kau melati hidupku,” bisik Zaff ketika melintasi Ummu membuatkan wajah Ummu merona merah.

Kerana kau melati hidupku...

Zaff berlalu dengan selamba sambil membawa para pendengar lagunya. Ummu sekadar memerhati dari jauh.

***

“Ummu, saya tengah buat rakaman sebelum kita pergi dari sini. Kapten Azrin sedang menghubungi pihak berkuasa. InsyaALLAH, dalam masa terdekat, kita akan berjaya keluar dari sini,” tutur Nabil ketika duduk di sebelah Ummu.

“Awak nak saya cakap apa?” tanya Ummu.

“Apa-apa aje ucapan awak. Untuk sesiapa sahaja ataupun awak nak ceritakan pengalaman awak kat sini,” kata Nabil sambil kusyuk menghalakan lensa kameranya merakam Ummu yang mengikat ekor kuda rambut ikalnya.

“Kepada Fiq, kau kat mana? Aku dah mula rindukan kau. Lama kau menghilang. Macam mana ya keadaan kau kat luar sana? Aku seorang diri kat sini.” Ummu melontarkan pandangannya ke arah Zaff yang sedang kusyuk berbual dengan beberapa orang gadis.

“Kalau kau ada kat sini, kau tak akan biarkan aku sedih?” Air mata Ummu sudah mengalir. Nabil pula kelihatan gelabah apabila dia tidak menyangka permintaannya itu membuatkan naluri Ummu tersentuh.

“Aku rindukan kau, sahabat...” gumam Ummu buat kali terakhir sebelum tapak tangannya menyentuh kamera Nabil. “Jangan rakam aku menangis. Pergi...” Nabil mengangguk sebelum membawa diri.

Ummu menyendiri sambil memerhatikan api yang terpancar daripada unggun yang dihidupkan sedang galakterbakar. Seeorang lelaki mengambil tempat duduk di sebelah Ummu. Siapa tidak kenal lelaki itu. Dia merupakan jejaka yang Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Dr Mahathir.

“Saya nampak awak menangis tadi,” gumam Taufiq.

Ummu menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Taufiq sempat menyerahkan sekeping kain putih.

“Lap air mata awak. Jangan bersedih lagi,” tutur Taufiq. Ummu mengangguk. Dia mengambil kain putih yang diberikan oleh Taufiq lalu mengekap sisa air mata yang masih berbekas di wajah ayunya itu.

“Kenapa awak menangis?” tanya Taufiq.

“Saya rindukan kawan saya,” jawab Ummu jujur.

“Afiq, si trouble maker tu?” tanya Taufiq.

“Kalau awak datang sini, nak kutuk kawan saya, lebih baik awak pergi,” kata Ummu berang.

“Itu yang semua orang panggil,” kata Taufiq cuba mempertahankan dirinya.

“Encik Taufiq Ariffin, untuk pengetahuan awak, si trouble maker itulah yang banyak selamatkan nyawa saya. Budak Afiq yang awak dan semua orang bencikan itulah orang yang paling menghargai apa yang dipanggil sebagai persahabatan!” Ummu mencampakkan sapu tangan putih Taufiq ke tanah membuatkan Taufiq tergamam.

Tiba-tiba dari kejauhan, seorang lelaki sedang berlari sambil membawa unggun api yang menerangi kegelapan malam. Riak wajah lelaki itu penuh ketakutan. Peluh jantan membasahi baju-T dan pipinya.

“Lari! Ada dinosaur!” teriak Sarjan Azmi memberi arahan. Ummu dan Taufiq lantas bangun. Kawanan Velociraptor sedang mara ke kawasan bangkai pesawat itu. 

Dari kejauhan kelihatan kawanan dinosaur yang berwarna coklat, sambil di badannya bersalut belang kekuningan. Kepalanya saling tak tumpah seperti kepala seekor biawak manakala saiz dinosaur itu pula setinggi bahu manusia. Di kakinya tersemat taji tajam yang bertindak sebagai senjata utama pemangsa terhebat dalam sejarah itu. Kawanan Velociraptor sedang mengejar Sarjan Azmi dari belakang.

“Macam mana… benda tu boleh wujud?” tutur Taufiq tergagap-gagap sambil melihat beberapa ekor dinosaur sedang mengejar Sarjan Azmi dari belakang. Bunyi teriakan memenuhi seisi kem itu. Beberapa orang penumpang pesawat menjadi mangsa kawanan velociraptor yang menyerang mereka. Kelihatan dari jauh, seorang lelaki sedang berlari ke arah Ummu sambil menggalas gitar tongnya di badan.

“Zaff...” tutur Ummu tidak percaya apabila Zaff membawa Ummu masuk ke dalam bangkai pesawat.

“Kenapa kau buat macam ni kat aku?” tanya Ummu.

“Sebab awak melati dalam hidup saya,” tutur Zaff sambil memaparkan senyuman manisnya. Lesung pipit jelas kelihatan. Tiada lagi aku kau yang biasanya terbit dari bibir mereka berdua.

“Kita naik ke tempat tinggal para pekerja kabin ya?” kata Zaff.

Zaff memimpin Ummu untuk memanjat tangga pesawat. Kemudian, Zaff terus menarik Ummu meredah koridor pesawat.Mereka tiba di sebuah tempat yang kelihatan seperti tempat tidur para pramugari dan pramugara peswat itu.

“Awak sorok kat bawah katil ni dulu...” suruh Zaff.

“Kau nak ke mana?” tanya Ummu ketika Zaff mahu meninggalkannya di situ.

“Jadi hero,” jawab Zaff pendek sebelum mengenyitkan matanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.