Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 4: Buaya Gergasi

Matahari sedang terik memancar di atas kepala mereka. Hutan tropika yang memenuhi hampir keseluruhan geografi pulau itu kelihatan tenang. Afiq melangkah sambil menolak semak samun yang menghalang perjalanannya. Beberapa orang ahli kumpulannya sedang mengekori dari belakang. Husna ketinggalan di belakang, cuba mengejar langkah kaki Afiq.

Hari ini genap seminggu mereka terperangkap di atas pulau itu. Haiwan aneh yang menghuni lantai hutan itu bukanlah perkara paling pelik yang ditemui oleh mereka sebaliknya ialah bekalan makanan yang memang seperti tidak mahu habis.

Baru beberapa jam tadi mereka menikmati durian yang dipetik daripada beberapa buah pokok durian yang tumbuh tinggi, sambil diapit oleh tumbuhan pelik entah datang dari zaman bila. Beberapa hari lepas pula, mereka tersempak dengan pokok rambutan yang tumbuh rendang berdekatan dengan air sungai yang mengalir tenang. Pokok pisang yang lebat dengan buah pula akan kelihatan seperti itu merupakan habitatnya.

Air sungai juga itu menjadi bekalan makanan mereka apabila pelbagai spesis ikan dari sebesar tapak tangan sehinggalah hampir sebesar saiz manusia.

“Kawan-kawan!”

Langkah kaki Afiq terhenti di situ. Dia merenung tidak percaya sebuah bangkai pesawat yang sedang terbaring di hadapan matanya. Terdapat tompokan darah kelihatan di merata-rata tempat di sekitar bangkai pesawat itu.

“Apa yang sebenarnya terjadi?” tanya Dr Izwan tidak percaya.

“Ada dinosaur menyerang mereka barangkali,” tutur Naim.

“Busuknya bau kat sini.” Husna pula bersuara.

Afiq kelihatan menghampiri beberapa batang tubuh yang terputus dari bahagian asal. Wajah Afiq kelihatan jijik memerhatikan keadaan tubuh yang paling dekat dengannya. Kepala seorang wanita cantik sedang terngaga. Tubuhnya kelihatan beberapa kaki daripada kepalanya. Tangan Afiq spontan menyentuh mata gadis itu lalu menutup matanya yang terbeliak, seperti melihat maut sedang menghampirinya.

“Fiq, nanti kau tolong aku gali kubur untuk tanam mereka ini,” kata Dr Izwan. Afiq sekadar mengangguk pendek.

Naim melangkah sambil melihat kelilingnya. Matanya tertancap pada sebuah kamera video yang terdampar di atas tanah. Naim pantas menghampiri kamera video itu lalu membeleknya dengan penuh minat.

“Fiq… aku jumpa kamera video!” panggil Naim. Afiq, Dr Izwan dan Husna menghampiri Naim.

“Nabil punya.” Spontan nama itu keluar dari mulut Afiq.

“Kita naik ke dalam, kita tonton kat sana,” ajak Husna.

Afiq dan Dr Izwan mengangguk manakala Naim mendahului mereka semua. Lapangan yang berdarah, tempat pesawat itu terhempas kelihatan kosong. Ke mana pergi semua orang masih menjadi tanda tanya.

Naim mengambil tempat duduk di atas sebuah kerusi pesawat yang empuk. Afiq dan Husna pula mengambil tempat duduk di sebelahnya. Dr Izwan memilih kerusi di belakang Naim, lalu menjulurkan kepalanya dari belakang untuk menonton rakaman video Nabil. Dengan berhati-hati, Naim menghidupkan kamera video itu.

***

“Assalamualaikum. Nama saya Syed Muhammad Nabil bin Syed Ahmad. Tarikh hari ini ialah 12.7.2007. Saya dan rakan-rakan yang mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh universiti kami ke Pulau Langkawi tetapi malangnya pesawat kami telah terhempas di sebuah pulau. Sementara menunggu pasukan menyelamat tiba, saya akan membuat sedikit rakaman yang akan menceritakan pengalaman kami terperangkap di atas pulau ini,” tutur Syed Nabil sambil menghalakan lensa kameranya ke arah dirinya. Kemudian, dia membawa kamera itu mengikut gerak hatinya. Sasarannya ialahTengku Nizarif.

“Bro, aku nak kau cakap sesuatu kat kamera ni,” kata Nabil ketika menghampiri Zaff yang sedang diapit oleh dua orang gadis jelita itu.

“Cakap apa?” tanya Zaff sambil meletakkan gitar kesayangannya itu ke tanah.

“Apa-apa ucapan kau. Kalau kita berjaya keluar dari sini, kita boleh usya balik video yang aku rakam. Mungkin kau nak sampaikan pesanan kau pada rakan-rakan kau?”

“Kepada Fiq, member baik aku. Aku tahu kau ada kat luar sana. Mungkin tengah terperangkap dengan awek pramugari yang kau berkenan hari tu. Kalau betul apa yang aku cakap ni, kirim salam kat Husna,” kata Zaff sambil tersenyum. Afiq yang sedang menonton rakaman video itu tersengih memandang Husna yang melemparkan renungan tajam ke arahnya.

Nabil membawa kamera video itu, mencari mangsanya yang seterusnya. Kelihatan Hazira Gaddafi yang sedang melukiskan sesuatu di atas buku lukisannya.

“Tengok siapa yang ada kat sini. Hazira, kau tengah buat apa tu?” tanya Nabil di sebalik kamera video. Hazira mendongak, melihat Nabil.

“Kalau kau tak nak bapak aku saman kau, baik kau berambus,” tutur Hazira dingin membuatkan Nabil tersengih, lalu beredar dari situ. Nabil melihat sekelilingnya, untuk mencari manusia yang bakal dirakamnya. Acha sedang mengukirkan sesuatu pada sebatang pokok.

“Aisyah Mazyadi ataupun dikenali sebagai Acha. Boleh ceritakan sedikit pengalaman... ehh, apa kau buat tu?” tanya Nabil. Acha seperti mengukirkan sesuatu di pokok itu seperti nama seseorang. A F I....

“Kau jangan kacau aku!” Acha menolak-nolak Nabil supaya menjauhi dirinya. Dia seboleh-bolehnya mahu melindungi nama seseorang yang diukirkan pada pokok itu. Nabil sekadar tersengih meninggalkan Acha lalu menghampiri Ummu yang sedang bersendirian.

“Ummu, saya tengah buat rakaman sebelum kita pergi dari sini. Kapten Azrin sedang menghubungi pihak berkuasa. InsyaALLAH, dalam masa terdekat, kita akan berjaya keluar dari sini,” tutur Nabil ketika duduk di sebelah Ummu.

“Awak nak saya cakap apa?” tanya Ummu.

“Apa-apa aje ucapan awak. Untuk sesiapa sahaja ataupun awak nak ceritakan pengalaman awak kat sini,” kata Nabil sambil kusyuk menghalakan lensa kameranya merakam Ummu yang rambutnya diikat ekor kuda.

“Kepada Fiq, kau kat mana? Aku dah mula rindukan kau. Lama kau menghilang. Macam mana ya keadaan kau kat luar sana? Aku seorang diri kat sini.” Ummu melontarkan pandangannya ke arah Zaff yang sedang kusyuk berbual dengan beberapa orang gadis.

“Kalau kau ada kat sini, kau tak akan biarkan aku sedih?” Air mata Ummu sudah mengalir. Nabil pula kelihatan gelabah apabila dia tidak menyangka permintaannya itu membuatkan naluri Ummu tersentuh.

“Aku rindukan kau, sahabat...” gumam Ummu buat kali terakhir sebelum tapak tangannya menyentuh kamera Nabil. “Jangan rakam aku menangis. Pergi...” Nabil mengangguk sebelum membawa diri.

“Aku rindukan kau juga,” gumam Afiq sambil tersenyum melihat rakaman video Nabil. Kalau dia mampu, dia mahu berada di situ, mengesat air mata Ummu. Sungguh, dia tak mampu untuk melihat Ummu menangis sedemkian rupa. Hatinya akan sebak. Mereka berempat kembali menonton video yang dirakam oleh Syed Nabil .

“Lari! Ada dinosaur!” teriak Sarjan Azmi sambil membawa sebatang obor api.

Beberapa orang penumpang cuba melarikan diri namun kelajuan Velociraptor sangat pantas. Beberapa orang daripada mereka dipijak tanpa belas kasihan. Seorang perempuan dibaham lehernya oleh seekor Velociraptor yang memijak belakang tubuhnya.

Seseorang datang menghampiri Syed Nabil. Sarjan Azmi merampas kamera video Nabil lalu mencampakkannya di atas tanah. Kedengaran Sarjan Azmi bertengkar kecil dengan Nabil.

“Kenapa abang campak kamera saya?”

“Nak selamatkan nyawa kau. Nak ikut aku, Zaff dengan Hazira tak? Aku nak bawa korang pergi dari sini!” Sarjan Azmi mengenggam erat koler baju Nabil.Selepas melihat apa yang berlaku disekelilingnya, Nabil akhirnya terpaksa akur.Ketika itu, seorang budak kecil menarik baju Sarjan Azmi.

“Saya nak ikut boleh?” tanya budak kecil. Sarjan Azmi mengangguk setuju.

Kemudian, kelihatan juruterbang pesawat Boeing 777-300ER itu, Kapten Azrin, Hafeez, Taufiq, Acha, Piqah dan Yasmin, antara penumpang pesawat yang melarikan diri mengikut haluan mereka. Serangan mengejut sekawan Velociraptor jelas telah memisahkan semua orang.

“Ummu mana?” tanya Afiq sebaik sahaja rakaman video itu tamat sampai di situ sahaja. Kedengaran bunyi aneh dari sebuah bahagian pesawat itu. Mereka berempat menoleh ke arah punca bunyi itu.

“Datang daripada tempat rehat para pekerja kabin,” kata Husna spontan.

“Kat mana?” soal Afiq.

“Hujung sana, naik tangga dan akan sampai ke tempat tu,” terang Husna.

Afiq pantas membuka langkah seribu ke tempat yang dikatakan oleh Husna. Seseorang yang dicarinya selama ini. Seseorang yang telah secara terang-terangan mengucapkan ucapan rindu untuknya. Seseorang yang dia sanggup mati demi melindunginya. Ummu Habibah.

“Ummu!” teriak Afiq memanggil nama itu. Kelihatan seseorang keluar dari bawah katil.

“Fiq!” panggil Ummu yang teruja melihat Afiq sedang berdiri di hadapannya. Sebuah dakapan tiba-tiba diterima oleh Afiq. Erat rangkulan daripada Ummu membuatkan hidung Afiq berdarah buat kali kedua. Wajahnya pula merah. Dr Izwan, Husna dan Naim muncul dari belakang.

“Mana kau hilangkan diri selama ni?” tanya Ummu yang sudah teresak-esak menangis. Tubuh Afiq masih kejap dirangkulnya. Afiq tersenyum sambil menepuk-nepuk belakang badan Ummu.

“Ummu...”

“Kau jahat Fiq! Jahat!” ucap Ummu teresak-esak. Kali ini, dia meleraikan pelukannya lalu menumbuk-numbuk dada Afiq. Jari Afiq tiba-tiba menyentuh wajah Ummu, lalu dikesat air mata Ummu.

“Cik Ummu, mulai hari ini, saya berjanji akan sentiasa di sisi awak, tak akan terpisah!” Afiq mengangkat dua jarinya ke udara, seperti gaya orang bersumpah.

“Janji?” ucap Ummu yang sudah mampu tersenyum.

“Janji.” Afiq membelai rambut gadis itu.

“Ehem..” dehem Naim. “Simpan drama cinta kau orang lepas ni Kita ada sesuatu yang lebih penting... dari jiwang-jiwang kau orang,” tambah Naim lagi.

Afiq dan Ummu merah disindir oleh Naim.

“Popular juga kau ni kan budak?” kata Dr Izwan tiba-tiba. “Tadi dalam video, budak Acha tu ukir nama kau kat pokok. Lepas tu, si Ummu ni. Dua-dua cantik, dua meletup.”

Tiba-tiba sahaja mood Ummu berubah serta merta. Dia bergerak meninggalkan bilik itu. Sempat juga bahu Afiq dilanggar oleh Ummu.

“Kau sengaja kan?” kata Afiq yang tidak puas hati dengan Dr Izwan.

“Aku nak balas dendam kau buat aku habis basah masa hari tu,” ujar Dr Izwan sinis.

“Fiq, kakak pergi pujukkan Ummu,” kata Husna yang mahu meminta diri pergi dari situ.

Afiq mengangguk sambil merenung tajam ke arah Dr Izwan. Perangai lelaki itu tidak serupa seperti seorang doktor pun.

***

Dr Izwan sedang mendongak, melihat Afiq memanjat sebatang pokok kelapa untuk mengambil buah kelapa yang ada bertenggek di atas pokok yang tinggi itu. Peluh membasahi wajah Afiq.

“Sikit lagi tu… pulas sikit…” arah Dr Izwan.

“Sabarlah!” kata Afiq bengang.

Sebiji buah kelapa jatuh ke tanah. Afiq mahu turun namun Dr Izwan menjerit mengatakan bahawa sebiji tidak cukup untuk empat orang makan dan menyuruh Afiq memetik sekurang-kurangnya dua biji lagi.

Namun, belum sempat Afiq meneruskan aktiviti berbahaya itu, kelihatan seorang gadis sedang berjalan dengan wajah yang bengis. Afiq sempat melihat kelibat Ummu dari jauh. Rambut ikal gadis itu beralun mengikut lenggok kakinya.

“Siapa yang suruh dia naik atas?” tanya Ummu yang sedang berdiri di sebelah Dr Izwan.

“Aku tanya dia, dia yang sukarela…”

“Aku tak suka kau buli dia. Suruh dia turun sekarang!” Ummu memintas penjelasan Dr Izwan.

“Tapi…”

“Kau pernah tengok perempuan mengamuk tak?” tanya Ummu. Dr Izwan sekadar tersengih sambil menggelengkan kepalanya. Dr Izwan kemudiannya memberikan isyarat menyuruh Afiq turun dari atas pokok itu.

“Kau boleh jatuh tau tak?” marah Ummu sambil bercengkak pinggang.

“Aku cuma nak cari makanan…”

“Ada sungai yang berdekatan dengan sini. Kita boleh pancing ikan kat sana. Minta tolong Naim sikit macam mana nak buat joran. Makan ikan lagi sedap daripada buah kelapa ni,” tutur Ummu. Belum sempat Afiq mahu membantah, pergelangan tangan Afiq ditarik oleh Ummu.

“Tapi…” Afiq terpaksa membawa kakinya mengikut derap kaki Ummu.

“Ada apa?” tutur Naim yang sedang bersendirian di satu sudut dalam pesawat itu. Dia tidak sedikit pun mendongak melihat Ummu dan Afiq yang sedang berdiri di hadapan matanya.

“Ajar kita orang macam mana nak buat joran… juga memancing,” tutur Ummu. Tapak tangan Afiq masih belum dilepaskannya.

Naim mendongak. Dia membetulkan kaca matanya sambil menatap Afiq dan Ummu slih berganti.

“Korang ingat aku ni apa? Macai kisah cinta korang dua?” ujar Naim sambil mengerutkan dahinya. “Aku tak nak.”

Afiq dan Ummu saling berkongsi pandangan. Rasa lucu mendengarkan jawapan Naim itu.

“Ala Naim… kau kan pandai… genius…”pujuk Ummu lagi.

Naim mengeluh berat.

“Ada pisau tak? Bawakan aku beberapa batang kayu dan pisau. Juga tali halus. Benang barangkali… yang kuat. Aku rasa korang boleh tengok kat bahagian beg bagasi diletakkan,” kata Naim malas.

“Terima kasih Naim!” Ummu kelihatan sangat teruja manakala Afiq mempamerkan riak wajah malasnya.

“Kalau ya pun, boleh tak korang berdua lepaskan tangan masing-masing? Geli aku tengok.” Serentak itu, Ummu lantas meleraikan pegangan tangan Afiq. Merah wajahnya menahan malu kerana disindirNaim.

“Maaf,” tutur Ummu sambil tunduk malu. Afiq pula bersiul, berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Naim tersenyum sinis.

So childish…”

***

“Siap pun,” kata Naim sambil mengelap keringatnya. Lama juga dia menyiapkan pancing yang diminta oleh Ummu.

“Fiq, kau tahu kan macam mana nak memancing?” Afiq mengangguk. “Jadi, tak perlu aku nak mengajar korang. Lepas ni, jangan ganggu aku lagi. Aku ada banyak kerja nak buat.”

“Terima kasih abang Naim. Kenapa hari baru aku sedar yang kau ni comel?” ucap Ummu sambil sempat mengusik Naim.

“Kau ni tak cukup dengan Zaff dengan Fiq ke? Aku pun kau nak?”

Meletus ketawa Ummu dan Afiq mendengarkan jawapan daripada Naim itu.

“Aku bergurau jerlah kawan. Kalau betul tu, cukuplah Zaff dengan Afiq aje. Sekurang-kurangnya diaorang boleh lindungi aku,” kata Ummu sambil menepuk bahu Naim lalu berlalu dari situ dengan Afiq, meninggalkan Naim dengan wajah masam mencukanya itu.

“Aku nak ikut korang!” Naim bangkit tiba-tiba sambil menutup komputer ribanya. Ummu dan Afiq mati langkah lalu menoleh ke arah Naim.

“Kenapa kau nak ikut?” tanya Ummu.

“Tak ingat ke apa nabi cakap? Kalau lelaki dan perempuan berdua-duaan, orang ketiganya ialah?” Ummu mengecilkan matanya merenung Naim. Naim sekadar tersengih lalu melingkarkan lengannya di leher Afiq.

“Sungai kat mana?” tanya Afiq.

“Dalam beberapa kilometer dari lokasi pesawat ni,” jawab Ummu yang seperti sudah tahu di mana tempat untuk mereka memancing.

***

“Dah sampai pun!” Ummu begitu teruja sambil mendepakan tangannya di hadapan sebatang sungai yang sangat lebar di hadapan mereka. Air sungai itu kelihatan tenang sahaja. Bunyi sang burung berkicauan menjadi latar muzik yang menenangkan jiwa. Kadang-kala kelihatan seekor ikan yang melompat naik.

Naim yang dipaksa oleh Ummu untuk membawa satu plastik yang dipenuhi oleh cacing yang bakal dijadikan umpan merungut. Dia duduk keletihan selepas dipaksa berjalan jauh.

“Jauh juga kau bawak kita orang,” kata Afiq sambil memeriksa umpan yang bakal dicangkukkan pada mata kail yang dibentuk oleh mereka sendiri menggunakan dawai halus yang dijumpai di dalam pesawat.

“Mestilah. Kita akan berseronok!” tutur Ummu sambil tersenyum. “Sekarang, aku nak kau ajar aku memancing.”

Afiq sekadar mengangguk. Dia menyuruh Ummu memegang joran yang dibuat oleh Naim. Dia menerangkan fungsi spoil, ladung dan tali yang memang dicipta cukup kemas oleh budak segenius Naim. Ummu sekadar mengangguk, namun dalam diam, sempat juga dia menjeling wajah Afiq yang kusyuk mengajarnya. Tiba-tiba sahaja, degupan jantung Ummu jadi menggila, lantas dipalingkan wajahnya menghadap sungai yang sedang tenang.

“Pengamatan aku…” Belum sempat Afiq mahu menjelaskan teknik memancing yang sesuai, Naim tiba-tiba berdiri sambil memerhatikan arus sungai. Tenang…

“Afiq, Teknik tanpa pemberat. Teknik ini lebih sesuai jika kawasan berkenaan lemah arusnya. Umpan akan mengambil masa untuk sampai ke dasar. Ketika ia menjunam, umpan mudah menjadi sasaran ikan dan pemancing perlu mengarau tali jika terdapat tanda ia disambar. Sambaran dengan teknik pancing begini biasanya berlaku pertengahan air dan kawasan di mana kadar sangkut mata kail adalah minimum,” jelas Naim sambil berpeluk tubuh. Afiq tidak mempedulikan jejaka itu yang sedang tunjuk pandai. Afiq kembali memberi fokus kepada Ummu.

“Kau pegang sini,” tutur Afiq sambil membawa tangan Ummu memegang spoil. Kemudian, tangan Ummu yang lain memegang tempat pemegang.

“Sekarang, ikut aku berundur ke belakang,” tutur Afiq sambil mengundurkan dirinya beberapa tapak ke belakang. Sampai satu ketika, Ummu terpijak tapak kaki Afiq, dan… mereka berdua jatuh terletang sambil Ummu terjatuh di atas Afiq. Mereka berdua berada dalam posisi kekok itu untuk beberapa ketika, sebelum Naim merampas joran yang berada di tangan Ummu.

“Berhenti dengan aksi geli-geli korang berdua. Tengok aku ajar korang pulak,” tutur Naim. Lagak seorang pemancing professional, Naim melontarkan joran itu di udara, sambil talinya masuk ke dalam air sungai.

“Senang aje kan?” kata Naim sambil meletakkan joran itu di atas tanah sambil menoleh ke hadapan, memandang Ummu dan Afiq yang sudah merah wajah mereka. Mereka berdua melontarkan pandangan ke arah tempat yang berlawanan, membiarkan Naim yang meletakkan joran di atas tanah. Dia kemudian duduk bersila sambil memandang air sungai.

“Duduklah korang dua,” ajak Naim apabila Afiq dan Ummu masih berdiri membelakangkan antara satu sama lain. Namun, mereka berdua masih kekal membisu dan membatu lantas membuatkan Naim terpaksa bangkit.

“Kenapa?” tanya Naim.

Serentak itu, Afiq dan Ummu berpaling, menghadap antara satu sama lain.

“Maafkan aku.”Afiq dan Ummu menuturkan ucapan maaf itu serentak.

Naim sekadar tersenyum sinis. Dia baru sahaja mahu mengatakan sesuatu tetapi air sungai di belakang mereka tiba-tiba berkocak aneh. Mereka bertiga kembali merenung air sungai. Seketika, tiada apa yang muncul sehinggalah makhluk sepanjang 10 meter melompat ke udara. Rupanya saling tak tumpah seperti buaya, dengan kulit badan yang menggerutu serta rahang yang panjang. Yang membezakannya dengan buaya hari ini ialah saiz badannya.

“Rhamphosuchus, buaya yang paling besar pernah dunia lihat. Menghuni dasar sungai yang dalam, juga lautan luas!” tutur Naim sambil membetulkan kaca matanya. Afiq dan Ummu sudah berundur jauh ke belakang, namun Naim masih kaku di situ, menunjukkan betapa terujanya dia melihat haiwan yang sudah pupus.

“Hebat… tak sangka yang Rhamposuchus masih hidup…”

“Woi Naim! Tinggalkan tepi sungai tu!” teriak Afiq dari jauh. Namun, telinga Naim seolah pekak mendengarkan tegahan Afiq itu.

Buaya tadi yang memilih untuk merenung Naim tiba-tiba melompat untuk menyambar batang tubuh Naim. Namun, Afiq sempat berlari lalu menyambar tubuh Naim, lalu mereka berdua sama-sama jatuh ke dalam sungai.

“Kau ni dah kenapa?” teriak Naim bengang.

“Selamatkan kau!” bentak Afiq.

“Pakai otak lah! Air dan buaya prasejarah macam tu tak dapat dipisahkan. Mereka lebih hebat daripada di atas darat sana. Dan kau, heret aku lebih dalam ke dalam lubang neraka!”

Afiq tergamam. Dia melontarkan renungan ke arah buaya gergasi yang sepatutnya sudah pupus itu. Buaya itu melompat ke dalam air lalu membuatkan Afiq dan Naim saling berkongsi pandangan.

“Lari!” teriak Naim.

Mereka harus berenang ke arah daratan yang terbentang jauh di seberang sana, jauh dari tempat mereka memancing tadi.

“Cepat!” teriak Ummu memberi semangat.

Afiq hampir sahaja untuk sampai ke daratan, tetapi dia sempat menoleh ke belakang, merenung Naim yang sedang berusaha sehabis baik untuk menyangi Afiq. Buaya di belakang mereka semakin hampir…

“Capai kayu ni cepat! Aku tarik kau!” teriak Afiq sambil menghulurkan sebatang kayu untuk dicapai oleh Naim. Jejaka yang berambut putih uban itu mengangguk lalu mencapai kayu yang dihulurkan Afiq. Dengan sekuat hati, Afiq menarik Naim ke daratan.

“Yeahh!” teriak Naim sambil terbaring di atas tanah. Afiq cuba bangkit, mahu menjauhkan diri sejauh mungkin dari daratan. Dia menarik tangan Naim.

“Cepat! Kita kena pergi…” Namun, belum sempat Afiq mahu melepaskan lelahnya, dia sekali lagi dihidangkan dengan kejutan.

“Kenapa…”

Naim juga terus tergamam. Di sebalik semak di hadapan mereka, kelihatan seekor lagi Rhamphosuchus yang sedang menjaga telur-telurnya. Mereka berdua menoleh ke belakang, Rhamphosuchus yang mengejar mereka dari seberang semakin hampir. Maut seolah-olah sedang mengapit dua sahabat itu,.

“Naim…” panggil Afiq.

“Fiq, aku nak mintak maaf kat kau kalau selama ni, aku ada buat salah…” Bum! Pipi Naim terus sahaja ditumbuk oleh Afiq. Berundur Naim beberapa tapak ke belakang, dia mengesat darah yang mengalir.

“Jangan sesekali menyerah! Kau kena ikut aku, buat macam aku…” tutur Afiq sambil menunggu sahaja si buaya yang menjaga telurnya menghampiri mereka.

Ketika si buaya itu mengangakan mulutnya, terus sahaja sebatang kayu sebesar lengan manusia dilontarkan ke dalam mulut buaya itu menyebabkan kayu itu tersekat di mulut panjang buaya gergasi itu. Kemudian, Afiq pantas melompat di atas mulut panjang buaya itu lalu berlari di atas badannya.. Naim tersenyum apabila Afiq menunjukkan jalan kepadanya.

Tanpa ragu-ragu, Naim mengulangi kembali apa yang dilakukan oleh Afiq. Lama mereka berlari meninggalkan tempat malang itu, sehinggalah mereka berdua begitu yakin sudah meninggalkan dua ekor Rhamphosuchus itu di belakang mereka, barulah mereka berhenti.

“Kita berjaya!” teriak Afiq dan Naim serentak. Mereka berdua saling berpelukan. Lama juga sehingalah Naim menyedari sesuatu. Dia menolak tubuh Afiq sambil melihat sekelilingnya.

“Kita kat mana ni?” soal Naim yang lantas membuatkan raut wajah Afiq berubah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.