Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 20: Puak Pemburu Kepala

Afiq terpisat-pisat membuka matanya. Wajah seseorang menjamah matanya. Malah, wajah itu mengukirkan senyuman manisnya. Indah… Afiq turut tersenyum apabila menerima senyuman itu.

“Ummu…” tutur Afiq yang cuba bangkit, namun Ummu menggelengkan kepalanya.

“Awak cedera tu. Berehat…” gumam Ummu.

“Kita kat mana ni?” tanya Afiq.

Ummu menundukkan wajahnya. Dia kemudian melemparkan pandangan di sekeliling kurungan yang telah menempatkan mereka.

“Kita telah ditangkap oleh satu puak pelik,” gumam Ummu sambil bersandar pada dinding kurungan yang menempatkan dirinya.

“Pelik?” tanya Afiq yang sedang berbaring di atas timbunan daun kering yang dijadikan seperti tilam.

“Masa kita di bawa ke sini, Ummu tengok keliling kampung mereka terdapat banyak kayu yang dipacakkan dengan tengkorak kepala manusia. Ummu takut…” ujar Ummu yang sedang bersandar di dinding kurungan itu. Afiq masih cuba bangkit tetapi belakang tubuhnya terasa sakit.

“Fiq… maaafkan Ummu. Sebab semalam tu… Ummu, tak dapat kawal diri,” ucap Ummu sambil menundukkan wajahnya.

“Tak apa,” jawab Afiq sambil tersenyum.

“Sekarang awak kena berehat. Tangan awak luka-luka. Mujurlah tak patah riuk,” ujar Ummu sambil tersenyum.

Afiq mengangguk. Dia kembali memejamkan matanya. Sungguh, segala sendi dan tulanga terasa perit pada waktu itu.

“Saya akan jaga awak sampai awak bangun,” suara Ummu menyapa cuping telinganya.

Senyuman jelas terukir pada wajah Afiq.

***

Pintu yang terkunci sejak semalam tiba-tiba terbuka. Ummu yang sedang tidur itu mula membuka matanya. Kelihatan dua orang lelaki yang merupakan ahli puak pemburu kepala yang telah menculik Ummu dan Afiq melangkah masuk. Tangan Ummu pantas mencari tubuh Afiq.

“Awak… tu!” gumam Ummu sambil menundingkan jarinya ke arah dua orang lelaki puak pemburu kepala. Mereka sekadar memakai daun kecil yang dibentuk seperti seluar untuk melindungi bahagian sulit. Bahagian tubuh yang lain terdedah manakala di tangan mereka, kelihatan sebatang tombak.

Afiq bangkit untuk duduk. Kepalanya masih tersisa rasa sakitnya.

“Semua dah tidur,” gumam lelaki yang paling tinggi.

“Aku dah tak sabar nak rasa budak perempuan tu,” tutur lelaki yang berbadan gempal itu pula.

Afiq dan Ummu saling berpandangan. Pantas Ummu mendekati Afiq lalu berlindung di belakang lelaki itu.

“Kau nak buat apa dengan dia?” tanya Afiq sambil merenung tajam. Dia bangkit tetapi sambil berpaut pada lengan Ummu.

“Jangan kacau kami nikmati dia malam ni. Kalau kau nak rasa juga, tunggu giliran,” tutur lelaki yang tinggi lampai itu.

Genggaman tangan Ummu semakin erat.

“Fiq… tolong Ummu…” gumam Ummu.

“Jangan risau. Sampai mati pun diaorang tak akan dapat sentuh Ummu!” tutur Afiq sambil memberi keyakinan kepada Ummu.

“Kita selesaikan dia dulu,” tutur lelaki gempal itu.

Mereka berdua semakin mendekati Afiq dan Ummu. Afiq pula masih tidak berganjak walau seinci sekalipun. Lelaki yang tinggi lampai itu tiba-tiba menghadiahkan tendangan yang kemudiannya tepat mengenai dada Afiq. Afiq terundur beberapa tapak ke belakang. Sakit jatuh dari gaung yang tinggi tempoh hari masih belum hilang, sekarang dia dihidangkan pula dengan dua orang lelaki sasa yang akan membunuhnya bila-bila masa kerana Ummu.

Afiq berlari cuba menerkam, namun lelaki yang gempal itu mengelak membuatkan Afiq terperosok di atas lantai. Kemudian, lelaki yang tinggi lampai menghampiri Afiq lalu memijak belakang tubuh Afiq berulang kali.

“Rasakan kau!” teriak lelaki tinggi lampai itu.

Lelaki yang berbadan gempal itu pula menghampiri Afiq yang terbaring di atas lantai sambil membawa kayu tombok. Kemudian, belakang tubuh Afiq dibantai berulang kali menggunakan kayu tombak.

“Sakitlah bodoh!” teriak Afiq menahan kesakitan.

Ummu tiba-tiba meluru ke arah Afiq sambil menolak lelaki tinggi dan gempal itu. Ummu mendepakan tangannya, menghalang mereka menjadikan Afiq ‘bantal’ mereka.

“Tolong jangan apa-apakan dia!” Air mata Ummu sudah menitik jatuh.

Lelaki tinggi lampai dan gempal itu saling berkongsi pandangan sebelum tersengih jahat.

“Kalau tak mahu rakan kau tu mati di tangan kami, kau kena jadi makanan kami malam ni,” tutur lelaki tinggi lampai itu. Lelaki gempal di sebelahnya pula mengangguk sakan.

“Jangan…” tutur Afiq lemah.

Ummu menoleh memandang Afiq yang terbaring kesakitan.

“Awak okey?” tanya Ummu.

“Saya tak penting Ummu. Yang penting awak,” tutur Afiq sambil tersenyum.

Belum sempat Ummu mahu menjawab, rambut Ummu yang panjang sampai paras pinggang ditarik dari belakang. Apa lagi, Ummu terseret di atas lantai.

“Kurang ajar kau!” teriak Afiq bengang. Dia cuba bangkit namun lelaki tinggi lampai yang memerhatikan Ummu diseret di atas lantai memukul kaki Afiq berulang kali membuatkan Afiq tidak mampu bangit.

“Jangan sentuh aku!” teriak Ummu cuba menolak tangan lelaki gempal yang kini sedang berada di atas tubuhnya, cuba untuk mengoyak baju yang di pakai oleh Ummu.

Namun kekuatan gadis lemah seperti Ummu tidak banyak membantu. Lelaki gempal itu terlalu kuat.

“Kau makan dulu. Nanti aku pula yang ratah!” Lelaki yang tinggi lampai itu bersuara ketika memijak belakang Afiq menghalang Afiq daripada bergerak walau seinci pun.

“Berhenti!” Pintu bilik kurungan itu terbuka dan seorang lelaki berjanggut putih sampai paras pinggang melangkah masuk. Beberapa orang lelaki sasa yang berdiri di belakangnya kelihatan berpeluk tubuh. Lelaki tinggi lampai dan gempal itu terkejut dengan kehadiran lelaki berjanggut putih itu.

“Tok Putih…” gumam lelaki berbadan gempal itu. Dia terus melepaskan Ummu yang belum sempat disentuhnya. Lelaki tinggi lampai itu pula menjauhi Afiq yang terbari lemah.

“Perempuan itu harus masih dara. Dia bakal dipersembahkan kepada anak aku nanti. Bakal jadi menantu aku nanti! Dan kamu? Kamu telah melanggar PANTANG LARANG!”

“Perempuan tu cantik sangat…” tongkat yang dipegang oleh Tok Putih mengena pipi lelaki gempal tadi.

“Dia milik anak lelaki aku!” teriak Tok Putih. “Dan lelaki ini, kepalanya bakal menjadi persembahan untuk perkahwinan anak aku. Dan kepala yang paling terbaik ialah kepala seorang lelaki gagah, yang akan bertempur dengan orang terkuat kampong ini!”

“Tapi, kamu membuktikan kamu bukan dari puak ini. Kamu menyerang dan memukul lelaki ini ketika dia masih lagi lemah! Ketika dia belum bertempur dengan puak kita lagi!” tambah Tok Putih lagi.

“Maafkan kami…” tutur mereka berdua.

Tok Putih menggelengkan kepalanya.

“Peraturan tetap peraturan!” tutur Tok Putih. “Hari ini, kepala kalian berdua akan dipancung! Kuning, panggilkan seluruh penduduk kampung. Aku mahu tunjukkan kepada mereka bagaimana rasa menjadi pengkhianat. Dan kamu Badul, bawa dua orang ini. Tunjukkan kepada mereka tradisi dan budaya orang kita!”

***

Afiq dan Ummu yang masih berikat tangan disuruh duduk melutut bersama dengan ratusan penduduk kampung aneh itu. Dua orang lelaki yang cuba menjadikan Ummu santapan nafsu serakah mereka sedang melutut di tengah lapangan sambil tangan juga berikat.

“Semua penduduk kampung, dengar sini!” tinggi nada suara Tok Putih. “Mereka berdua telah melanggar segala pantang larang yang telah digariskan oleh nenek moyang kita yang menghuni pulau ini sejak ribuan tahun yang lalu. Jadi, hukuman untuk mereka yang melanggar pantang larang dan adat bangsa kita ialah kepalanya harus dijadikan korban kepada Tuhan Langit!”

“Tuhan langit?” gumam Afiq sambil mengerutkan dahinya.

Ummu sekadar membisu, fokus melihat bagaimana dua orang balaci kesayangan Tok Putih sedang memegang sebilah golok yang pada bila-bila masa akan merobek leher lelaki tadi.

“Sekarang! Badul dan Kuning, sembelih mereka!” arah Tok Putih tanpa perasaan.

Badul dan Kuning mengangguk. Golok yang berada di tangan mereka dihalakan ke arah leher lelaki tinggi lampai dan gempal itu. itu. Sekali hirisan sudah cukup untuk membuatkan darah merembes di udara. Kedengaran jeritan mereka berdua bergema manakala tubuh sudah menggelupur kesakitan. Golok tadi terus membelah urat-urat leher mereka sehinggalah sampai satu masa, kepala mereka hanya dipisahkan oleh beberapa cebis isi daripada tubuh. Ummu pula sudah meletakkan kepalanya di bahu Afiq, tidak sanggup melihat adegan berdarah di hadapan mereka.

“Jadi, selepas ini ialah giliran aku untuk jadi macam mereka?” tutur Afiq perlahan. Ummu pantas mendongak lalu menggelengkan kepalanya.

“Kita kena cari jalan untuk lari daripada sini!” Ummu berkeras. “Awak tak akan apa-apa!”

Afiq tersenyum.

“Ajal aku tak lama lagi… dan tak ada siapa yang tahu kita kat sini,” gumam Afiq seperti orang yang sudah hilang harapan.”

“Tuhan Langit!” teriak Tok Putih tiba-tiba yang kemudian mematikan perbualan Afiq dan Ummu.

“Apa yang dia buat tu?” tanya Afiq pelik. Tok Putih sedang menjulang kepala dua orang lelaki yang sudah disembelihnya di udara. Keadaan lapangan di perkampungan puak pemburu kepala itu sunyi sepi seperti mereka sedang menanti sesuatu.

Kemudian, sayup-sayup dari langit, kedengaran bunyi nyaring.

“Benda apa tu?” tutur Ummu gerun.

Dari kejauhan, kelihatan makhluk yang sangat besar sedang terbang ke arah perkampungan itu, Makhluk itu macam pernah dilihat oleh Afiq dan Ummu. Terdapat sesuatu bentuk aneh di kepala makhluk terbang itu.

“Pteranodon!” tutur Afiq tidak percaya. “Pemburu dari langit dah muncul!”

“Jadi… tuhan mereka selama ini ialah burung dinosaur tu?” Ummu tidak percaya melihat Tok Putih sedang menundukkan dirinya di hadapan Pteranodon yang sudah mendarat di hadapan mereka. Kepala dua orang lelaki tadi dipersembahkan dengan penuh hormat.

Pteranodon berbunyi nyaring lagi. Kepala yang diletakkan di hadapannya itu terus disambar oleh paruhnya. Pteranodon mengipas-ngipas kepaknya di udara, seperti berpuas hati dengan hidangan korban Tok Putih itu.

Pteranodon kelihatan sedang melangkah ke arah tubuh dua orang lelaki yang disembelih tadi. Tubuh itu tersingkap kemas di paruhnya lalu Pteranodon kembali terbang ke udara, seperti mahu membawa tubuh dua orang itu jauh daripada situ, mungkin kembali ke sarangnya.

“Ya ALLAH, kau selamatkanlah kami berdua,” gumam Ummu perlahan. Namun, Afiq masih membisu.

***

Saiful mengetuai ahli kumpulannya di barisan hadapan. Tangannya sedang galak menebas lalang dan pokok—pokok yang akan melambatkan perjalanan ahli-ahlinya. Naim, Yasmin, Piqah, Hazira dan Hafeez sedang mengekor langkah Naim di belakang.

Mereka semakin jauh meneroka pulau itu. Sudah tiga hari mereka berjalan kaki. Hanya Saiful sahaja yang tahu dimanakah lokasi mereka. Lelaki itu pandai membaca peta. Mereka pasti sudah sesat tanpa Saiful.

“Woi! Aku penat ni! Berhentilah dulu!” Hafeez tiba-tiba bersuara.

Saiful mengangkat tangannya, menyuruh seluruh ahli kumpulannya berhenti di situ. Serentak itu, Hafeez menghempaskan punggungnya di atas sebuah kayu balak mati. Kedengaran suara Hafeez mengeluh lega.

“Baru jalan sikit dah penat…” gumam Acha bengang.

Hafeez sekadar menjeling ke arah Acha. Dia kemudian baring di atas kayu balak itu sambil diperhatikan penuh masam oleh Acha.

“Kita tak boleh bazirkan masa. Fiq dengan Ummu dalam bahaya,” ujar Acha.

“Pembetulan. Untuk Aisyah Mazyadi, Hanya Fiq sahaja dalam bahaya. Kau tak pedulikan Ummu pun,” tutur Hafeez membuatkan Acha mendengus kasar. Dia tiba-tiba menolak Hafeez yang sedang berbaring di atas kayu balak itu.

“Kerengga!” teriak Hafeez sambil bangkit. Dia terjatuh di atas busut kerengga. Saiful sekadar tersenyum melihat telatah Hafeez yang sedang berlari, mencari sungai. Ya, mereka memang dekat dengan sungai.

“Padan muka!” tutur Acha sambil tersengih.

***

Afiq sekadar duduk sambil memeluk tubuh di sudut kurungan yang menempatkannya dengan Ummu. Ummu sekadar memerhatikan dari jauh telatah Afiq. Tak tumpah seperti orang yang hilang akal. Afiq memilih untuk membisu.

“Fiq…” panggil Ummu.

Afiq mendongak.

“Apa?”

“Boleh saya duduk sana?” tanya Ummu meminta izin Afiq terlebih dahulu untuk duduk di sebelah Afiq.

Afiq sekadar mengangguk sebelum tenggelam dalam kebisuan. Ummu bangkit dari tempat tidurnya yang diperbuat dari timbunan lalang dan daun kering yang diiikat dan dijadikan seperti tilam. Kemudian, Ummu mengambil tempat duduk di sebelah Afiq.

“InsyaALLAH, kita akan selamat,” tutur Ummu sambil tersenyum.

Afiq sekadar menatap senyuman yang tampak keanak-anakkan itu. Lesung pipit yang tersemat di sebelah senyum bibir sudah cukup menjadi hiasan senyuman yang menawan itu.

“Saya akan berlawan esok. Demi nyawa saya… dan saya kena menang,” ucap Afiq. “Kalau tak, kepala saya akan jadi macam mereka tu.”

“Saya pula kena kahwin. Dengan orang tak kenal pula tu,” ujar Ummu.

“Awak dah tengok muka dia?” tanya Afiq.

Ummu menggelengkan kepalanya.

“Yang penting dia tak hensem macam awak,” sambung Ummu lagi.

Afiq mengecilkan matanya merenung wajah Ummu.

“Saya bukan Zaff.” Selamba sahaja perkataan itu meluncur keluar daripada mulut Afiq membuatkan wajah Ummu tiba-tiba merona merah.

“Err.. apa kena mengena dengan benda ni?”

Kali in, Afiq sudah boleh tersengih. Idea mahu mengenakan Ummu sudah menjelma di benaknya.

“Bukan ke awak cakap yang awak suka kat dia?” tanya Afiq yang mahu menguji.

“Mana… mana ada!” Suara Ummu sedikit tinggi.

“Tipu!”

“Mana adalah!” Ummu menafikannya. Tetapi, wajahnya dah cukup merah.

“Okey,” jawab Afiq pendek sambil mengekalkan senyumannya itu.

Tiba-tiba cubitan keras hinggap di lengan Afiq.

“Sakitlah!” Afiq mengaduh kesakitan.

“Itu balasannya! Orang tak suka dia…”

“Zafflah!” pintas Afiq tiba-tiba sambil menundingkan jarinya ke arah pintu yang berkunci itu. Pantas Ummu bangkit sambil melemparkan pandangan ke arah pintu itu. Kemudian, ketawa berdekah-dekah datang daripada Afiq.

“Fiq!” gumam Ummu geram.

“Sorry, Zaff tak datang lagi,” kata Afiq, mengusik Ummu lagi.

“Malas nak layan awak!”

Belum sempat adegan usik mengusik itu tamat, pintu itu terbuka dan seorang lelaki botak kelihatan memauski kawasan kurungan itu, sambil ditemani oleh Tok Putih. Ummu pantas mendekati Afiq.

“Siapa kau?” tanya Afiq sambil bangkit berdiri. Ummu sedang berdiri di belakang Afiq, sambil erat memegang lengan Afiq.

Lelaki botak itu tersenyum, puas. Kemudian, dia melontarkan pandangan ke arah Ummu.

“Aku datang untuk ambil apa yang milik aku!” Lelaki botak itu bersuara membuatkan kening Afiq berkerut. “Oh ya, panggil aku Gempita.”

Afiq dan Ummu saling berkongsi pandangan.

“Ummu milik aku!” tutur Afiq tiba-tiba membuatkan riak wajah Ummu tiba-tiba berubah. Tak akanlah…

“Milik kau?” tutur Gempita sambil terangkat keningnya.

“Perempuan secantik dan jelita seperti dia ialah milik kau? Apa yang kau ada?” tanya Gempita.

“Dia seratus kali lebih baik daripada kau!” Ummu tiba-tba bersuara.

Gempita memeluk tubuhnya sambil merenung Afiq penuh minat. Tubuh Gempita kelihatan berotot di sana sini. Kelihatan tali hitam mengikat lengannya yang sasa itu. Kemudian, tangan Gempita mencari leher Afiq dan… Afiq terangkat di udara.

“Lelaki lemah macam dia yang kau pilih?” tanya Gempita sambil Afiq sedang meronta-ronta untuk melepaskan dirinya.

“Lepaskan dia!” bentak Ummu berani.

Gempita tersenyum.

“Kau berani. Aku suka perempuan berani. Budak, kau akan bertempur dengan budak aku nanti. Kau menang, aku akan tunaikan segala permintaan kau dan kepala kau tidak akan ditebas oleh kami. Dan kau, Ummu ya nama kau? Kematian budak ini akan menjadi penghias hari perkahwinan kita!”

Kemudian, tubuh Afiq dicampakkan mengena dinding ruangan itu. Afiq terbatuk-batuk sambil memegang lehernya. Gempita mendekati Ummu yang masih cekal berdiri itu lalu pipi Ummu tiba-tiba dipegang oleh Gempita.

“Jangan sentuh aku!” bentak Ummu sambil menepis tangan Gempita.

“Garangnya… aku suka,” tutur Gempita sambil memegang tangan Ummu.

“Gempita!” panggil Afiq yang sedang bangkit sambil memegang kepalanya yang sakit.

“Apa dia?” tanya Afiq.

“Kalau aku menang esok, permintaan aku ialah aku nak hak milik aku terus menjadi milik aku!” Afiq tiba-tiba bersuara.

“Maksud kau?” tanya Gempita.

“Ummu ialah milik aku! Aku nak dia terus jadi milik aku, bukan milik kau!”

Ummu merenung tidak percaya wajah Afiq selepas mendengarkan ungkapan itu.

“Kau nak perempuan tu?” tanya Gempita.

Afiq mengangguk.

“Kalau kau kalah?” tanya Gempita.

“Kepala aku milik kau Gempita. Kau akan bangga kerana telah memenangi seorang gadis daripada lelaki yang memiliki gadis itu!”

Gempita tersenyum mendengarkan tawaran Afiq itu.

“Aku tak kisah. Tapi, kau tak akan menang punya…”

Afiq sekadar membatu manakala Gempita mula menghilangkan diri bersama Tok Putih.

“Kenapa awak cakap macam tu?” tanya Ummu tiba-tiba.

“Sebab nak selamatkan awak. Jangan risau. Saya tak maksudkan pun apa yang saya cakap tadi. Awak masih milik Zaff,” tutur Afiq yang sempat lagi mengusik Ummu.

“Asyik Zaff aje dari tadi!” Ummu naik berang. “Tapi… boleh ke awak menang?”

Pertanyaan daripada Ummu tadi membuatkan Afiq terdiam. Lantas Afiq mendongakkan kepalanya ke atas.

“Kalau Dia masih mahu memanjangkan umur, mungkin boleh menang. Semuanya terserah kepada Dia di atas sana,” ujar Afiq perlahan. Ummu sekadar mengangguk.

***

Saiful memberi isyarat supaya ahli kumpulannya berhenti. Mereka mengambil tempat yang sedikit terlindung dek semak samun dan pokok. Dari kejauhan, kelihatan sebuah perkampungan yang agak besar. Perkampungan itu dikelilingi oleh tembok kayu setinggi lebih 2 meter. Dikeliling tembok kayu itu kelihatan banyak tengkorak yang dipacakkan dengan sebatang kayu runcing yang dipajakkan ke dalam tanah.

“Kampung puak pemburu kepala yang Qarin cakap…” gumam Saiful.

“Fiq dengan Ummu ada kat dalam sana kan?” ujar Acha tiba-tiba.

Saiful mengangguk.

“Kita kena fikir macam mana cara kita nak masuk sana,” gumam Saiful.

Ketika itu, semua mata menoleh ke arah Ahmad Naim yang sedang membisu.

“Kenapa pandang aku?” tanya Naim sambil mengecilkan matanya.

“Kau kan genius. Sekarang, kita orang perlukan kepala otak kau!” Hafeez bersuara.

Naim mengangguk sambil tersenyum. Naim merenung perkampungan yang sedang tersergam di hadapan matanya. Kemudian, pandangan matanya tepat merenung wajah Hafeez dan Piqah.

“Aku nak hantar dua orang masuk ke dalam sana,” gumam Naim.

“Maksud kau?” tanya Saiful.

“Tengok dada langit. Apa yang kau nampak?” soal Naim.

“Nak senja…” gumam Saiful.

“Malam ini menurut Qarin merupakan malam bulan penuh. Malam yang terbaik untuk mereka korbankan kepala manusia. Tapi, kita harus berbuat sesuatu sebelum malam menjelma. Kita perlu huru-harakan kampung mereka. Tapi, ingat! Saat itu ialah apabila Fiq dan Ummu mahu dipancung kepala,” terang Naim.

“Aku faham. Tapi masalahnya siapa yang akan masuk ke dalam sana?” tanya Hafeez.

Kali ini, semua mata di situ beralih ke arah Hafeez. Riak wajah Hafeez bertukar pucat.

“Kenapa aku?” tanya Hafeez tidak puas hati.

“Demi cinta kau kat Ummu? Kau bilang yang dalam hati kau hanya ada Ummu? Inilah masanya untuk kau tunjukkan pada Ummu yang kau sebenarnya hero, bukannya Fiq atau Zaff. Barulah Ummu buka mata sikit!” tempelak Acha cuba memancing Hafeez.

Terdiam terus Hafeez mendengarkan ayat Acha itu.

“Er…”

“Kau takut?” kata Acha membuatkan Hafeez tiba-tiba bangkit dari balik semak samun tempat mereka bersembunyi.

“Aku Amirul Hafeez tak pernah ada rasa takut!” tutur Hafeez berdiri sambil mendabik dada.

“Tunduklah bodoh!” kata Yasmin sambil menarik tangan Hafeez.

“Kalau kau tak ada rasa takut, pergi masuk dalam sana. Jadi umpan untuk kitaorang selamatkan Fiq dengan Ummu!” kata Acha lagi membuatkan dahi Hafeez berkerut.

“Errr…” Hafeez hilang kata-kata.

“Aku akan bersama kau kat dalam sana.” Piqah menawarkan dirinya. “Aku tak percaya kau seorang boleh selamat.”

“Okey, Hafeez dengan Piqah akan masuk sana. Korang dua dengar baik-baik rancangan aku ni…” Naim terus bercerita apa yang terkandung dalam benaknya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.