Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 13: Saiful Hawiz
Hafeez menggosok-gosok lengannya apabila angin malam yang mencuri masuk dari balik tingkap jeti yang terbuka luas itu menyapa tubuhnya. Cahaya bulan sedang menyuluh cahayanya, menerangi koridor di dalam banggunan setinggi dua tingkat itu.

“Aku takut ada hantu jer,” gumam Hafeez tiba-tiba.

“Kau boleh tak berhenti bercakap pasal hantu?” marah Yasmin bengang.

“Tapi…”

“Kau sebut benda tu lagi, akupukul kau,”ugut Yasmin sambil menggengam penumbuknya. Kedengaran bunyi jari Yasmin berkeriut membuatkan Hafeez tersengih bodoh.

“Sekejap…” kata Azrin iba-tiba sambil berhenti tatkala mereka sedang menyusuri koridor yang kedengaran sunyi itu.

“Kenapa?” tanya Taufiq.

“Ada kesan heretan darah…” jawab Azrin.

“Jangan-jangan…”

“Hafeez!” pintas Yasmin membuatkan Hafeez terdiam.

“Kita ikut kesan darah ni,” cadang Azrin.

Riak wajah Hafeez terus berubah mendengarkan cadangan Azrin itu.

“Tapi… takut-takut ada benda lain jer,” luah Hafeez.

“Selagi kita ada Yasmin dan Piqah dengan kita, percaya cakap aku yang tak akan ada apa yang berlaku pada kita,” kata Azrin yang bangkit dari posisi melututnya selepas meneliti kesan darah itu. “Lagipun kesan darah ini masih baru. Mungkin kita boleh selamatkan seseorang.”

Yasmin yang mendengarkan pujian Azrin itu sekadar tersenyum sinis tatkala Hafeez menatap tidak percaya wajajhnya.

“Jomlah, jangan tercegat lagi kat situ,” kata Taufiq pula sambil menepuk belakang tubuh Hafeez yang masih menatap Yasmin yang kelihatan teruja mengekori Azrin dari belakang.

***

“Arghh!” teriak Hafeez ketika terlanggar sesuatu. Dia jatuh tersembam dan habis wajahnya dipenuhi dengan kesan kotoran yang memenuhi lantai di bawah kaki mereka. Dia cuba bangkit dan seketika, tapak tangannya kelihatan menyentuh sesuatu. Hafeez meraba-raba dalam kegelapan manakalaAzrin pantas menghalakan obor api pada tempat Hafeez terjatuh.Beberapa jasad yang tidak sedarkan diri sedang terbaring dalam jarak yang tidak jauh.

“Hantu mayat!” teriak Hafeez ketakutan lalu berundur dengan riak wajah yang penuh pucat.

Yasmin menggelengkan kepalanya melihat gelagat Hafeez yang lebih berdrama daripada biasa. Hakiman yang sedang terbaring tidak sedarkan diri itu dihampiri oleh Yasmin lalu diperiksa nadi dan nafas jejaka itu.

“Kiman masih hidup!” teriak Yasmin.

Azrin dan Taufiq kemudian mendekati tubuh Saiful danCik Miayang masih terbaring. SepertiHakiman, mereka berdua masih bernyawa dan bernafas seperti biasa. Piqah pula menghampiri Nazura yang masihbelum sedarkan diri.

“Apa sebenarnya yang berlaku pada mereka?” gumam Azrin.

Wajah Saiful ditepuk oleh Azrin berulang kali. Namun, tiada langsung balasan daripada Saiful.

“Siapa tahu nama dia?” tanya Azrin.

“Saiful Hawiz. Budak paling bermasalah kat universiti aku,” terang Taufiq.

“Encik SaifulHawiz. Anda dengar suara saya tak? Kat mana awak ketika ini, tolonglah sedar dari pengsan awak…” bisik Azrin di telinga Saiful. Azrin tahu yang jejaka itu masih dalam halunisasinya.

***

Saiful sedang melihat dirinya yang ketika berumur 8 tahun. Saiful kecil sedang duduk di tepi kubur sambil ditemani neneknya. Dia masih tidak mengerti apa yang berlaku pada ibu dan bapanya dan kenapa dia dibawa oleh neneknya ke tempat itu. Manakala neneknya yang kelihatan lebih muda daripada hari ini sedang membacakan Yassin.

Saiful mash mengingati apa yang berlaku kepada ayah dan ibunya. Nahas pesawat yang terhempas di hutan Pahang telah memakan nyawa mereka. Selepas bertahun barulah diketahui bahawa punca pesawat itu terhempas adalah kerana dirampas oleh pengganas.

“Saiful…” panggilsatu suara tatkala Saiful sedang kusyuk memerhatikan adegan di kubur itu dari jauh.

“Ibu dengan ayah…”ucap Saiful tidak percaya melihat dua susuk manusia yang sangat dirinduinya.

“Itu masa Saiful tengah kecil.” Ibu Saiful memulakan perbualan tatkala Saiful masih lagi tergamam dengan keajaiban yang sedang dialaminya itu.

“Masa tu Saiful rindukan kami. Tapi, Saiful tak mengerti apa itu kematian,” terang ayahnya pula.

Saiful mengangguk.

“Sekarang pun Saiful rindukan mak dan ayah,”luahSaiful jujur.

Kemudian, latar di sekeliling Saiful berubah lagi. Kali ini, Saiful kecil yangberusia pula mengambil alih layar. Budak kecil itu sedang dimaki hamun oleh beberapa orang budak perempuan di sebuah taman diSKHang Tuah, sebuah sekolah rendah yang lokasinya terletak di Pulau Eurasia.

“Saiful benci perempuan…” gumam Saiful ketika menontonmemoriyangsedang ditayangkan di hadapan matanya.

“Kenapa mereka buat Saiful macam tu?” tanya ibu Saiful.

“Saiful tak ingat…” gumam Saiful.

Saiful memerhatikan ajebagaimana dirinya yang baru sahaja berusia 10 tahun sedang bertengkar dengan sekumpulan pelajar perempuan itu.

“Kenapa kau tak nak kawan dengan kitaorang?” tanya seorang budak perempuan yang bertindak seperti seorang ketua di kalangan rakan-rakannya.

“Kenapa aku kena kawan dengan korang?” tanya Saiful kecil bengang yang cuba pergi dari situ.

“Sebab kita orang nak kawan dengan kau.”

“Aku benci perempuan…” tutur Saiful sambil menolak budak perempuan tadi yang mengacauprivasinya.

“Sombong gila… tak sedar diri tu anak yatim…”ejekbudak-budak perempuan itu.

“Mak bapak dah mati pun sombong gila!”kata satu suara yang lain.

“Jangan cakap pasal mereka kalau kau tak kenal siapa diaorang! Aku rindukan diaorang!” teriak Saiful lalu menolak budak perempuan itu sehinggakan jatuh terjelopok di atas lopak lumpur.

“Saiful! Habis dia jadi macam ni. Kau tunggu aku report katcikgu…”

Saiful Hawizsekadar tersenyum melihat apa yang sedang dipaparkan di hadapan matanya.Kenangan ketika dia masih lagi mahu belajar mengenal isi dunia, pada usia sementah itu.

“Sebab tusaya benci perempuan,” gumam Saiful perlahan.

“Kalau Saiful benci perempuan… siapa Cik Mia pada Saiful?” tanya kedua-dua orang tua Saiful tiba-tiba.

Riak wajah Saiful lantas berubah sebaik sahaja nama Cik Mia menyapa cuping telinganya.

“Mak dengan ayah kenal Cik Mia siapa?”

Kedua-dua orang tuanya mengangguk.

“Kami hidup dalam hati kau, sama macam Cik Mia hidup dalam hati Saiful,” tutur ayah Saiful sambil memegang bahu anaknya itu.

“Dia hidup dalam hati Saiful?” tanya Saiful dengan kening yang terangkat.

Kali ini, ibu Saiful mula ketawa.

“Saiful dah mula suka kat dia pun Saiful tak sedar lagi?”

Saiful jadi keliru dengan semua itu.

“Sekejap… mak dengan ayah tengah cakap pasal apa ni?” tanya Saiful.

Ibu dan ayah Saiful sekadar tersenyum.

“Satu aje pesanan ayah untuk kau Saiful. Lepas kau sedar ni, jaga dia elok-elok. Cik Mia pun berkongsi rasa yang sama. Ingat ya, cinta ni datang tanpa kita sedari. Tatkala kita tidak mengerti, ketika itulah dia datang. Jangan biarkan cinta memiliki diri kita, tetapi kita kena memiliki cinta,” tutur ayah Saiful.

“Kalaulah mak masih hidup Saiful… mak sangat suka kau dengan dia. Dia dah banyak jaga anak mak masa mak tak ada. Hidup Saiful, anak kesayangan mak mula terasa ceria sejak dia muncul. Saiful…”

“Ya mak?”

“Mak dengan ayah kau dah lama lagi dah ni. Kami kena pergi. Kau dapat jumpa kami pun sebab kau sedang berada antara hidup dan kematian. Tapi, kau tak boleh ikut kami… masa kau belum tiba. Ada banyak manusia kat luar sana sangat memerlukan kebolehan kau sayang… jaga diri Saiful kat luar sana?” tutur ibu Saiful.

Tidak semena-mena satu ciuman singgah di pipi Saiful daripada ibunya. Air mata Saiful tidakpula spontanbergulung jatuh.

“Saiful rindukan ciuman seorang ibu…”luah Saiful penuh kejujuran.

Ibunya tersenyum lagi dan kemudian, satu rangkulan diterima oleh Saiful.Lama Saiful memeluk ibunya, seperti tidak mahu lepas. Saiful rindukan kehangatan yang tidak lagi diperolehnya sejak belasan tahun yang lalu. Saifulmahu waktu berhenti pada detik itu. Sebak yang menggunung di dadanya tidak dapat ditahan lagi.

“Mak… bila nak jumpa Saiful lagi?”luah Saiful sambil teresak-esak menangis.

“Mak sentiasa ada di sisi Saiful, memerhatikan anak mak membesar,” balas ibunya.

Kemudian, ayah Saiful pula memeluk badan anaknya itu.

“Kau anak yang kuat, Saiful…”

***

Saiful sedang duduk sambil memerhatikan setiap wajah yang baru sahaja menjumpai ahli kumpulannya. Ahli kumpulannya yang lain masih belum sedarkan diri, masing-masing masih tenggelam dalam memori lama, yang pastinya membuka luka yang sebenarnya sudah tidur jauh di sudut jiwa.

“Macam mana korang boleh jadi macam ni?” tanya Azrin sambil duduk di sebelah Saiful.

“Ada seorang lelaki bertopeng. Dia… ada satu asap ni lepas tu semua pengsan,” jelas Saiful, dalam ayat yang sependek mungkin.

“Lelaki bertopeng?” tanya Azrin yang cuba berbual dengan Saiful, namun dibalas dengan sekadar dengan anggukan sahaja.

“Kenapa diaorang buat macam tu kat kau?” tanya Azrin lagi.

“Manalah aku tahu. Bukan aku lelaki bertopeng tu,” kata Saiful.

Jawapan daripada Saiful mengundang renungan pelik daripada Azrin. Seolah-olah Saiful membenci kehadiran dirinya dan tidak mahu langsung bergaul dengan kumpulan manusia di situ. Azrin kemudian mengalihkan perhatian ke arah ahli kumpulannya, cuba meminta jawapan mereka, namun sekadar di balas oleh angukan bahu sahaja.

Saiful tiba-tiba bangkit lalu menghampiri Cik Mia, memeriksa nadi wanita itu sebelum dia tersenyum. Dia kemudian mencempung tubuh Cik Mia yang belum sedarkan diri itu lalu meletakkan di tempat yang lebih selesa untuk wanita itu tidur. Perlakukan Saiful itu sekadar diperhatikan oleh Azrin dan ahli kumpulannya.

“Apa perancangan kau selepas ini?” tanya Saiful tiba-tiba selepas membaringkan Cik Mia di sebelahnya.

Kali ini, senyuman terukir di wajah Azrin. Dia mengeluarkan sesuatu daripada poket seluar slack hitamnya.

“Aku ada jumpa peta masa aku dan budak-budak aku terokai tempat ni. Ternyata yang kita bukan orang pertama di sini, dan jeti ni bukan satu-satunya banggunan binaan manusia di dalam pulau ni, tetapi banyak tempat lain lagi.” Azrin memulakan bicaranya.

“Jadi?” tanya Saiful pendek.

“Jadi, lepas aku perhati peta ni, aku dapati yang kita tak berapa jauh daripada salah sebuah monument lain yang terdapat di pulau ni. Kali ini, sebuah hotel!”

“Hotel?” Kening Saiful terangkat lalu mengambil peta di tangan Azrin tanpa meminta keizinan lelaki itu langsung. Selepas meneliti peta itu. Saiful mengangguk memahami rancangan Azrin.

“Jadi, kau nak kita semua ke sana?” tanya Saiful.

Azrin mengangguk teruja ketika berkongsi pelannya dengan Saiful.

“Mungkin rahsia pulau ini terletak di kawasan hotel itu. Siapa tahu…”

“Tapi sebelum itu, aku nak mintak tolong kau boleh?” pinta Azrin lagi.

***

Azrin berlari pantas mendekati titi yang sedang dihayut ombak dari jauh. Terdapat kesan darah pada titi itu. Selepas meneliti titi itu, dia kelihatan menyumpah seranah sesuatu.

“Sesuatu terjadi pada kumpulan Bob…” tutur Azrin.

Namun, persoalan tentang apa yang terjadi pada Bob tidak kekal lama apabila kelihatan di tengah laut, seekor haiwan yang sudah lama pupus melompat sambil satu lagi titi berada dalam mulutnya. Kelihatan seorang manusia meminta tolong, cuba melepaskan diri daripada cengkaman gigi Basilosaurus, namun tak terdaya. Basilosaurus mengetatkan lagi cengkaman giginya dan kali ini, kelihatan darah merah merembes di udara.

Nazura spontan mencapai lengan Hakiman lalu meletakkan wajahnya di bahu Hakiman, tidak sanggup untuk menatap pemandangan berdarah itu. Saiful sekadar memerhati dengan riak wajah yang kosong.

“Bodoh…” gumam Yasmin pula.

“Nampaknya keluar daripada pulau ini melalui rakit bukan cadangan yang bijak,” gumam Taufiq pula.

“Jom, kita kena teruskan perjalanan kita,” kata Saiful lagi.

“Pada waktu malam ni?” tanya Hakiman. “Kan lebih baik kita berehat? Tunggu sampai esok pagi?”

“Tapi…” Saiful cuba membantah.

Lengan Saiful tiba-tiba dipegang oleh Cik Mia. Kelihatan wanita itu membisikkan sesuatu kepada Saiful.

“Okey, kita berehat. Tapi, jauh sikit daripada laut. Takut, benda besar tu datang sini aje,” tutur Saiful.

Serentak itu, Taufiq menghempaskan beg galasnya.

“Hati-hati… nanti pecah,” bisik Hafeez.

Taufiq tersenyum.

“Aku tahulah…” ujar Taufiq sambil menepuk belakang tubuh Hafeez.

***

Taufiq memilih untuk duduk jauh daripada unggun api. Dia merenung susuk tubuh Hafeez dari jauh. Hafeez sudah terbongkang kerana keletihan. Taufiq membuka zip beg galasnya lalu merenung beberapa biji telur dengan perasaan teruja.

“Ummu… bila aku sudah kaya, kau sendiri akan datang pada aku,” tutur Taufiq.

Kemudian, wajah Ummu dibayangkan oleh Taufiq. Gadis itu sangat cantik pada pandangan Taufiq. Ya, serbi sempurna cuma Ummu bergaul dengan orang yang salah. Taufiq cukup sakit mata apabila Ummu rapat dengan Afiq. Budak pembuat masalah seperti Afiq bukan tempatnya di sisi Ummu.

“Seorang ke?” tutur satu suara yang menegur Taufiq dari belakang.

Kelihatan Nazura mengambil tempat duduk di sebelah Taufiq. Taufiq sekadar mengangguk.

“Terima kasih sebab sedarkan aku dari pengsan tadi…” gumam Nazura.

Taufiq menganggguk lagi.

“Kau simpan apa dalam beg tu?” tanya Nazura.

“Bukan urusan kau,” balas Taufiq lalu bangkit meninggalkan Nazura di situ.

***

Matahari sudah mula naik di sudut alam. Kelihatan dalam semak hutan, Saiful mengetuai beberapa orang berjalan meredah semak samun, kayu balak yang mati. Taufiq berada paling belakang sambil memeluk beg galas yang mengandungi telur Velociraptor itu.

Namun, langkah kaki Saiful tiba-tiba mati.

“Kenapa?” tanya Azrin.

Saiful memberi isyarat jari dengan tangannya menyuruh Azrin diam. Pantas dia mengeluarkan sebilah pisau. Mata Saiful pula tajam melihat sekelilingnya.

“Kenapa?” tanya Cik Mia pula.

Saiful tidak menjawab sebaliknya menolak tubuh Cik Mia ke tepi. Dari semak, lompat seekor dinosaur yang rupa dan bentuk badannya seperti T-Rex. Berkepala lebih besar dari saiz lehernya, mempunyai tangan kecil tergantung di bawha kepalanya, Cuma saiz Alectosaurus lebih kecil daripada T-Rex, setinggi manusia.

“Alectrosaurus…” gumam Saiful.

Kemudian, muncul dari arah lain dua ekor Alectrosaurus lagi.

“Apa dinosaur pemburu telur ini buat kat sini?” teriak Azrin tiba-tiba.

Taufiq menelan air liurnya terasa mengental itu. Dia melihat Hafeez yang sudah bertukar pucat. Hanya Hafeez sahaja yang mengetahui kenapa mereka terkepung oleh haiwan pemangsa yang bernama Alectorsaurus.

Saiful sekadar memerhati dengan matanya yang tajam. Langkah kaki Alectorsaurus diperhatikan sahaja. Alectosaurus itu setinggi bahu Saiful. Seekor Alectosaurus kelihatan membuat bunyi bingit yang aneh dengan rahangnya seperti meminta sesuatu daripada Saiful. Namun, Saiful masih tenang berdiri.

“Jangan bagitahu aku yang kau, nak lawan dengan raksasa tu?” tanya Nazura sambil tergagap apabila melihat Saiful mengeluarkan pisaunya, sambil diarahkan ke arah Alectosaurus.

“Binatang itu sekadar mengikut naluri dia. Dia fikir kita ini lemah dan dia boleh buat apa sahaja kepada kita. Sekarang, aku perlu mengajar mereka agar jangan cari gaduh dengan Saiful Hawiz…” tutur Saiful.

“Jangan mengarut! Kau tak akan menang! Mereka besar dan kuat!” kata Hafeez pula.

“Kalian belum kenal siapa Saiful Hawiz…” tutur Saiful sambil tersenyum sinis. Dia kelihatan membuka langkah silatnya.

“Jangan kacau dia…” tutur Cik Mia tiba-tiba membuatkan Nazura dan Hafeez merenung tidak percaya.

“Cik Mia sebagai seorang pensyarah seharusnya menghentikan Saiful!” Taufiq pula bersuara.

“Tengok aje dia selesaikan dinosaur tu…” Cik Mia sekadar tersenyum melihat reaksi pelajarnya itu.

Seekor Alectrosaurus melompat sambil mengangakan rahangnya, cuba membaham tubuh Saiful namun Saiful melayang di udara, mengelak serangan Alectrosaurus itu. Kemudian, sebuah tendangan dilayangkan oleh Saiful yang kemudiannya mengenai kepala Alectrosaurus yang cuba menyerang Saiful sehingga Alectrosaurus itu terperosok di tanah.

“Hebat…” gumam Azrin tidak percaya dengan kekuatan dan ketangkasan yang dimiliki oleh Saiful.

“Kau fikir aku tak kuat dan tak ada senjata?” gumam Saiful sambil mengeluarkan sebilah pisau. Dia melibas ke arah mana-mana Alectrosaurus yang cuba menjadikan dia makan malam.

Seekor Alectrosaurus tiba-tiba berlari deras sambil mengagakan mulutnya untuk membaham Saiful. Kali ini, Saiful tidak mengelak sebaliknya menunggu dengan penuh cekal Alectrosaurus itu menghampirinya. Ketika jarak mereka hanya seinci sahaja, Saiful menangkap rahang Alectrosaurus lalu melemparkan tubuh Alectrosaurus itu ke tanah.

“Kuatnya dia…” gumam Yasmin yang kagum melihat aksi yang dipamerkan oleh Saiful.

Alectrosaurus tadi berundur beberapa tapak daripada Saiful. Ketangkasan yang ditunjukkan oleh Saiful membuatkannya mula kecut. Ketika itu, Hafeez tiba-tiba mara ke hadapan lalu meneriakkan sesuatu.

“Pengecut!” teriak Hafeez bangga.

“Bodoh!” gumam Piqah melihat telatah Hafeez itu.

Seekor Alectrosaurus yang mula berkira-kira mahu pergi tiba-tiba melompat dari jarak jauh sambil mengangakan rahangnya. Hafeez terkejut melihat kemampuan dinosaur setingginya itu mampu melompat dari jarak yang jauh. Kakinya terasa terpaku di situ, seolah-olah menanti sahaja maut menjemputnya.

Ketika itulah Saiful menolak Hafeez ke tepi lalu menghalakan tangannya untuk melindungi Hafeez. Apa lagi, tangan Saiful disambar oleh rahang Alectrosaurus. Hafeez pula merangkak menjauhi Saiful yang sedang bergelut dengan Alectrosaurus.

“Arghh! Sakit!” teriak Saiful sambil cuba menolak kepala Alectrosaurus yang membaham tangannya.

“Sekarang!” tempik Yasmin sambil memberi arahan kepada Piqah.

Sebatang kayu dicapai oleh Piqah manakala Yasmin melompat di atas badan Alectrosaurus yang masih degil untuk melarikan rahangnya daripada lengan Saiful yang sudah memancutkan darah itu.

“Sini kau…” tutur Piqah sambil melemparkan sebatang kayu, menarik perhatian dua ekor Alectrosaurus yang hanya memerhatikan sahaja Saiful digigit.

“Dia nak buat apa tu?” gumam Azrin ketika cuba membantu Saiful melepaskan diri.

Dua ekor Alectrosaurus mengaum. Kemudian, dua ekor Alectrosaurus itu membuka langkah kakinya lalu berlari deras ke arah Piqah yang masih tersenyum. Aneh, Piqah memilih untuk berlari secara berundur, tetapi masih lagi pantas dan ketika dirinya hanya beberapa inci sahaja daripada mendekati sebuah pokok, gadis itu melakukan satu lompatan yang penuh akrobatik dan dua Alectrosaurus tadi terlanggar pokok lalu terlanggar antara satu sama lain. Piqah berjaya mencuri masa mereka sementara Yasmin melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Saiful.

Sementara itu, Yasmin sedang berusaha untuk membuka rahang Alectrosaurus yang sudah tercengkam kemas di lengan sasa Saiful. Beberapa batang gigi Alectrosaurus kelihatan sudah terbenam di lengan sasa itu.

“Jangan cari pasal dengan aku!” teriak Yasmin lalu menggunakan sepenuh tenaganya.

Bunyi sesuatu dipatahkan bergema seketika sebelum Alectrosaurus yang membenamkan giginya di lengan Saiful mula rebah. Saiful pantas menarik tangannya yang berlumuran darah itu lalu melangkah sambil melemparkan renungan tajam ke arah dua ekor Alectrosaurus yang masih berdiri.

“Arghh!” teriak Saiful mengacah mahu menyerang dua ekor Alectrosaurus tadi.

Apa lagi, bertempiaran lari dua ekor dinosaur pemangsa itu. Selepas memastikan Alectrosaurus tadi sudah semakin jauh dari pandangan, kaki Saiful mula layu. Kepalanya mula terasa pening kerana darah yang tidak henti-henti mengalir.

“Saiful!” teriak Cik Mia sambil berlari ke arah Saiful. Saiful rebah dalam pangkuan Cik Mia.

“Maafkan saya…” gumam Saiful.

“Kita kena tolong dia!” teriak Cik Mia.

“Hafeez dengan Taufiq. Tolong papah tubuh Saiful. Kita dah dekat dengan hotel dalam peta tu. Mungkin boleh cari sesuatu kat situ!” Azrin memberi arahan.

“Tapi badan dia berat…” gumam Hafeez.

Bam! Pipinya ditumbuk oleh Yasmin membuatkan Hafeez tersungkur.

“Kalau lembik sangat, biar aku yang papah Saiful,” kata Yasmin membuatkan Hafeez terpingga-pingga.

“Hati-hati… tangan dia sakit,” ujar Taufiq.

Yasmin mengangguk.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.