Matahari sedang terik memancar di atas
kepala mereka. Hutan tropika
yang memenuhi hampir keseluruhan geografi pulau itu
kelihatan tenang. Afiq melangkah sambil menolak semak samun yang menghalang
perjalanannya. Beberapa orang ahli kumpulannya sedang mengekori dari belakang.
Husna ketinggalan di belakang, cuba mengejar langkah kaki Afiq.
Hari ini genap seminggu mereka
terperangkap di atas pulau itu. Haiwan aneh yang menghuni lantai hutan itu
bukanlah perkara paling pelik yang ditemui oleh mereka sebaliknya ialah bekalan
makanan yang memang seperti tidak mahu habis.
Baru beberapa jam tadi mereka
menikmati durian yang dipetik daripada beberapa buah pokok durian yang tumbuh
tinggi, sambil diapit oleh tumbuhan pelik entah datang dari zaman bila.
Beberapa hari lepas pula, mereka tersempak dengan pokok rambutan yang tumbuh
rendang berdekatan dengan air sungai yang mengalir tenang. Pokok pisang yang
lebat dengan buah pula akan kelihatan seperti itu merupakan habitatnya.
Air sungai juga
itu menjadi bekalan makanan mereka apabila pelbagai spesis ikan dari sebesar
tapak tangan sehinggalah hampir sebesar saiz manusia.
“Kawan-kawan!”
Langkah
kaki Afiq terhenti di situ. Dia merenung tidak percaya sebuah bangkai pesawat
yang sedang terbaring di hadapan matanya. Terdapat tompokan darah kelihatan di
merata-rata tempat di sekitar bangkai pesawat itu.
“Apa
yang sebenarnya terjadi?” tanya Dr Izwan tidak percaya.
“Ada
dinosaur menyerang mereka barangkali,” tutur Naim.
“Busuknya
bau kat sini.” Husna pula bersuara.
Afiq
kelihatan menghampiri beberapa batang tubuh yang terputus dari bahagian asal.
Wajah Afiq kelihatan jijik memerhatikan keadaan tubuh yang paling dekat
dengannya. Kepala seorang wanita cantik sedang terngaga. Tubuhnya kelihatan
beberapa kaki daripada kepalanya. Tangan Afiq spontan menyentuh mata gadis itu
lalu menutup matanya yang terbeliak, seperti melihat maut sedang
menghampirinya.
“Fiq, nanti kau tolong aku
gali kubur untuk tanam mereka ini,” kata Dr Izwan. Afiq sekadar mengangguk
pendek.
Naim
melangkah sambil melihat kelilingnya. Matanya tertancap pada sebuah kamera
video yang terdampar di atas tanah. Naim pantas menghampiri kamera video itu
lalu membeleknya dengan penuh minat.
“Fiq…
aku jumpa kamera video!” panggil Naim. Afiq, Dr Izwan dan Husna menghampiri
Naim.
“Nabil
punya.” Spontan nama itu keluar dari mulut Afiq.
“Kita
naik ke dalam, kita tonton kat sana,” ajak Husna.
Afiq
dan Dr Izwan mengangguk manakala Naim mendahului mereka semua. Lapangan yang
berdarah, tempat pesawat itu terhempas kelihatan kosong. Ke mana pergi semua
orang masih menjadi tanda tanya.
Naim
mengambil tempat duduk di atas sebuah kerusi pesawat yang empuk. Afiq dan
Husna pula mengambil
tempat duduk di sebelahnya. Dr Izwan memilih kerusi di belakang Naim, lalu
menjulurkan kepalanya dari belakang untuk menonton rakaman video Nabil.
Dengan berhati-hati, Naim
menghidupkan kamera video itu.
***
“Assalamualaikum.
Nama saya Syed Muhammad Nabil
bin Syed Ahmad.
Tarikh hari ini ialah 12.7.2007.
Saya dan rakan-rakan yang mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh universiti
kami ke Pulau Langkawi tetapi
malangnya pesawat kami telah terhempas di sebuah pulau.
Sementara menunggu pasukan menyelamat tiba, saya akan membuat sedikit rakaman
yang akan menceritakan pengalaman kami terperangkap di atas pulau ini,” tutur
Syed Nabil sambil menghalakan lensa
kameranya ke arah dirinya. Kemudian, dia membawa kamera itu mengikut gerak
hatinya. Sasarannya ialahTengku
Nizarif.
“Bro,
aku nak kau cakap sesuatu kat kamera ni,” kata Nabil ketika menghampiri Zaff
yang sedang diapit oleh dua orang gadis jelita itu.
“Cakap
apa?” tanya Zaff sambil meletakkan gitar kesayangannya itu ke tanah.
“Apa-apa
ucapan kau. Kalau kita berjaya keluar dari sini, kita boleh usya balik video
yang aku rakam. Mungkin kau nak sampaikan pesanan kau pada rakan-rakan kau?”
“Kepada
Fiq, member baik aku. Aku tahu kau
ada kat luar sana. Mungkin tengah terperangkap dengan awek pramugari yang kau
berkenan hari tu. Kalau betul apa yang aku cakap ni, kirim salam kat Husna,”
kata Zaff sambil tersenyum. Afiq yang sedang menonton rakaman video itu
tersengih memandang Husna yang melemparkan renungan tajam ke arahnya.
Nabil
membawa kamera video itu, mencari mangsanya yang seterusnya. Kelihatan Hazira
Gaddafi yang sedang melukiskan sesuatu
di atas buku lukisannya.
“Tengok
siapa yang ada kat sini. Hazira, kau tengah buat apa tu?” tanya Nabil di
sebalik kamera video. Hazira mendongak, melihat Nabil.
“Kalau
kau tak nak bapak aku saman kau, baik kau berambus,” tutur Hazira dingin membuatkan
Nabil tersengih, lalu beredar dari situ. Nabil melihat sekelilingnya,
untuk mencari manusia yang bakal dirakamnya. Acha sedang mengukirkan sesuatu
pada sebatang pokok.
“Aisyah
Mazyadi ataupun dikenali sebagai Acha. Boleh ceritakan sedikit pengalaman...
ehh, apa kau buat tu?” tanya Nabil. Acha seperti mengukirkan sesuatu di pokok
itu seperti nama seseorang. A F I....
“Kau
jangan kacau aku!” Acha menolak-nolak Nabil supaya menjauhi dirinya. Dia
seboleh-bolehnya mahu melindungi nama seseorang yang diukirkan pada pokok itu.
Nabil sekadar tersengih meninggalkan Acha lalu menghampiri Ummu yang sedang
bersendirian.
“Ummu,
saya tengah buat rakaman sebelum kita pergi dari sini. Kapten Azrin sedang
menghubungi pihak berkuasa. InsyaALLAH, dalam masa terdekat, kita akan berjaya
keluar dari sini,” tutur Nabil ketika duduk di sebelah Ummu.
“Awak
nak saya cakap apa?” tanya Ummu.
“Apa-apa
aje ucapan awak. Untuk sesiapa sahaja ataupun awak nak ceritakan pengalaman
awak kat sini,” kata Nabil sambil kusyuk menghalakan lensa kameranya merakam
Ummu yang rambutnya diikat ekor kuda.
“Kepada Fiq, kau kat mana? Aku dah
mula rindukan kau. Lama kau menghilang. Macam mana ya keadaan kau kat luar
sana? Aku seorang diri kat sini.” Ummu melontarkan pandangannya ke arah Zaff
yang sedang kusyuk berbual dengan beberapa orang gadis.
“Kalau
kau ada kat sini, kau tak akan biarkan aku sedih?” Air mata Ummu sudah
mengalir. Nabil pula kelihatan gelabah apabila dia tidak menyangka
permintaannya itu membuatkan naluri Ummu tersentuh.
“Aku
rindukan kau, sahabat...” gumam Ummu buat kali terakhir sebelum tapak tangannya
menyentuh kamera Nabil. “Jangan rakam aku menangis. Pergi...” Nabil mengangguk
sebelum membawa diri.
“Aku
rindukan kau juga,” gumam Afiq sambil tersenyum
melihat rakaman video Nabil. Kalau dia mampu, dia mahu berada di situ,
mengesat air mata Ummu. Sungguh, dia tak mampu untuk melihat Ummu menangis
sedemkian rupa. Hatinya akan sebak. Mereka berempat kembali menonton video yang
dirakam oleh Syed Nabil .
“Lari!
Ada dinosaur!” teriak Sarjan Azmi sambil membawa sebatang obor api.
Beberapa
orang penumpang cuba melarikan diri namun kelajuan Velociraptor sangat pantas.
Beberapa orang daripada mereka dipijak tanpa belas kasihan. Seorang perempuan
dibaham lehernya oleh seekor Velociraptor yang memijak belakang tubuhnya.
Seseorang
datang menghampiri Syed Nabil. Sarjan Azmi merampas kamera video Nabil lalu
mencampakkannya di atas tanah. Kedengaran Sarjan Azmi bertengkar kecil dengan
Nabil.
“Kenapa
abang campak kamera saya?”
“Nak
selamatkan nyawa kau. Nak ikut aku, Zaff dengan Hazira tak? Aku nak bawa korang
pergi dari sini!” Sarjan Azmi mengenggam erat koler baju Nabil.Selepas melihat apa yang berlaku disekelilingnya, Nabil
akhirnya terpaksa akur.Ketika itu, seorang budak
kecil menarik baju Sarjan Azmi.
“Saya
nak ikut boleh?” tanya budak kecil. Sarjan Azmi mengangguk setuju.
Kemudian,
kelihatan juruterbang pesawat Boeing 777-300ER itu, Kapten Azrin,
Hafeez, Taufiq, Acha, Piqah dan Yasmin, antara penumpang pesawat yang melarikan
diri mengikut haluan mereka. Serangan mengejut sekawan Velociraptor jelas telah
memisahkan semua orang.
“Ummu
mana?” tanya Afiq sebaik sahaja rakaman video itu tamat sampai di situ sahaja.
Kedengaran bunyi aneh dari sebuah bahagian pesawat itu. Mereka berempat menoleh
ke arah punca bunyi itu.
“Datang
daripada tempat rehat para pekerja kabin,” kata Husna spontan.
“Kat
mana?” soal Afiq.
“Hujung
sana, naik tangga dan akan sampai ke tempat tu,” terang Husna.
Afiq
pantas membuka langkah seribu ke tempat yang dikatakan oleh Husna. Seseorang
yang dicarinya selama ini. Seseorang yang telah secara terang-terangan
mengucapkan ucapan rindu untuknya. Seseorang yang dia sanggup mati demi
melindunginya. Ummu Habibah.
“Ummu!”
teriak Afiq memanggil nama itu. Kelihatan seseorang keluar dari bawah katil.
“Fiq!”
panggil Ummu yang teruja melihat Afiq sedang berdiri di hadapannya. Sebuah
dakapan tiba-tiba diterima oleh Afiq. Erat rangkulan daripada Ummu membuatkan
hidung Afiq berdarah buat kali kedua. Wajahnya pula merah. Dr Izwan, Husna dan
Naim muncul dari belakang.
“Mana kau hilangkan diri selama ni?”
tanya Ummu yang sudah teresak-esak menangis. Tubuh Afiq masih kejap
dirangkulnya. Afiq tersenyum sambil menepuk-nepuk belakang badan Ummu.
“Ummu...”
“Kau
jahat Fiq!
Jahat!” ucap Ummu teresak-esak. Kali ini, dia meleraikan pelukannya lalu
menumbuk-numbuk dada Afiq. Jari Afiq tiba-tiba menyentuh wajah Ummu, lalu
dikesat air mata Ummu.
“Cik
Ummu, mulai hari ini, saya berjanji akan sentiasa di sisi awak, tak akan
terpisah!” Afiq mengangkat dua jarinya ke udara, seperti gaya orang bersumpah.
“Janji?”
ucap Ummu yang sudah mampu tersenyum.
“Janji.”
Afiq membelai rambut gadis itu.
“Ehem..” dehem Naim. “Simpan drama
cinta kau orang lepas ni Kita ada sesuatu yang lebih penting... dari jiwang-jiwang
kau orang,” tambah Naim lagi.
Afiq
dan Ummu merah disindir oleh Naim.
“Popular
juga kau ni kan budak?” kata Dr Izwan tiba-tiba. “Tadi dalam video, budak Acha
tu ukir nama kau kat pokok. Lepas tu, si Ummu ni. Dua-dua cantik, dua meletup.”
Tiba-tiba
sahaja mood Ummu berubah serta merta. Dia bergerak meninggalkan bilik itu.
Sempat juga bahu Afiq dilanggar oleh Ummu.
“Kau
sengaja kan?” kata Afiq yang tidak puas hati dengan Dr Izwan.
“Aku
nak balas dendam kau buat aku habis basah masa hari tu,” ujar Dr Izwan sinis.
“Fiq,
kakak pergi
pujukkan Ummu,” kata Husna yang mahu meminta diri pergi dari situ.
Afiq
mengangguk sambil merenung tajam ke arah Dr Izwan. Perangai lelaki itu tidak
serupa seperti seorang doktor pun.
***
Dr
Izwan sedang mendongak, melihat Afiq memanjat sebatang pokok kelapa untuk
mengambil buah kelapa yang ada bertenggek di atas pokok yang tinggi itu. Peluh
membasahi wajah Afiq.
“Sikit
lagi tu… pulas sikit…” arah Dr Izwan.
“Sabarlah!”
kata Afiq bengang.
Sebiji
buah kelapa jatuh ke tanah. Afiq mahu turun namun Dr Izwan menjerit mengatakan
bahawa sebiji tidak cukup untuk empat orang makan dan menyuruh Afiq memetik
sekurang-kurangnya dua biji
lagi.
Namun,
belum sempat Afiq meneruskan aktiviti berbahaya itu, kelihatan seorang gadis
sedang berjalan dengan wajah yang bengis. Afiq sempat melihat kelibat Ummu dari jauh. Rambut ikal
gadis itu beralun mengikut lenggok kakinya.
“Siapa
yang suruh dia naik atas?” tanya Ummu yang sedang berdiri di sebelah Dr Izwan.
“Aku
tanya dia, dia yang sukarela…”
“Aku
tak suka kau buli dia. Suruh dia turun sekarang!” Ummu memintas penjelasan Dr
Izwan.
“Tapi…”
“Kau
pernah tengok perempuan mengamuk tak?” tanya Ummu. Dr Izwan sekadar tersengih
sambil menggelengkan kepalanya. Dr Izwan kemudiannya memberikan isyarat
menyuruh Afiq turun dari atas pokok itu.
“Kau
boleh jatuh tau tak?” marah Ummu sambil bercengkak pinggang.
“Aku
cuma nak cari makanan…”
“Ada
sungai yang berdekatan dengan sini. Kita boleh pancing ikan kat sana. Minta
tolong Naim sikit macam mana nak buat joran. Makan ikan lagi sedap daripada
buah kelapa ni,” tutur Ummu. Belum sempat Afiq mahu membantah, pergelangan
tangan Afiq ditarik oleh Ummu.
“Tapi…” Afiq terpaksa membawa kakinya mengikut derap kaki
Ummu.
“Ada
apa?” tutur Naim yang sedang bersendirian di satu sudut dalam pesawat itu. Dia
tidak sedikit pun mendongak melihat Ummu dan Afiq yang sedang berdiri di
hadapan matanya.
“Ajar
kita orang macam mana nak buat joran… juga memancing,” tutur Ummu. Tapak tangan
Afiq masih belum dilepaskannya.
Naim
mendongak. Dia membetulkan kaca matanya sambil menatap Afiq dan Ummu slih
berganti.
“Korang
ingat aku ni apa? Macai kisah cinta korang dua?” ujar Naim sambil mengerutkan
dahinya. “Aku tak nak.”
Afiq
dan Ummu saling berkongsi pandangan. Rasa lucu mendengarkan jawapan Naim itu.
“Ala
Naim… kau kan pandai… genius…”pujuk
Ummu lagi.
Naim
mengeluh berat.
“Ada
pisau tak? Bawakan aku beberapa batang kayu dan pisau. Juga tali halus. Benang
barangkali… yang kuat. Aku rasa korang boleh tengok kat bahagian beg bagasi
diletakkan,” kata Naim malas.
“Terima
kasih Naim!” Ummu kelihatan sangat teruja manakala Afiq mempamerkan riak wajah
malasnya.
“Kalau
ya pun, boleh tak korang berdua lepaskan tangan masing-masing? Geli aku
tengok.” Serentak itu, Ummu lantas meleraikan pegangan tangan Afiq. Merah
wajahnya menahan malu
kerana disindirNaim.
“Maaf,”
tutur Ummu sambil tunduk malu. Afiq pula bersiul, berlagak seperti tiada apa
yang berlaku. Naim tersenyum sinis.
“So childish…”
***
“Siap
pun,” kata Naim sambil mengelap keringatnya. Lama juga dia menyiapkan pancing
yang diminta oleh Ummu.
“Fiq,
kau tahu kan macam mana nak memancing?” Afiq mengangguk. “Jadi, tak perlu aku
nak mengajar korang. Lepas ni, jangan ganggu aku lagi. Aku ada banyak kerja nak
buat.”
“Terima
kasih abang Naim. Kenapa hari baru aku sedar yang kau ni comel?” ucap Ummu
sambil sempat mengusik Naim.
“Kau
ni tak cukup dengan Zaff dengan Fiq ke? Aku pun kau nak?”
Meletus
ketawa Ummu dan Afiq mendengarkan jawapan daripada Naim itu.
“Aku
bergurau jerlah kawan. Kalau betul tu, cukuplah Zaff dengan Afiq aje.
Sekurang-kurangnya diaorang boleh lindungi aku,” kata Ummu sambil menepuk bahu
Naim lalu berlalu dari situ dengan Afiq, meninggalkan Naim dengan wajah masam
mencukanya itu.
“Aku
nak ikut korang!” Naim bangkit tiba-tiba sambil menutup komputer ribanya. Ummu
dan Afiq mati langkah lalu menoleh ke arah Naim.
“Kenapa
kau nak ikut?” tanya Ummu.
“Tak
ingat ke apa nabi cakap? Kalau lelaki dan perempuan berdua-duaan, orang
ketiganya ialah?” Ummu mengecilkan matanya merenung Naim. Naim sekadar
tersengih lalu melingkarkan lengannya di leher Afiq.
“Sungai
kat mana?” tanya Afiq.
“Dalam
beberapa kilometer dari lokasi pesawat ni,” jawab Ummu yang seperti sudah tahu
di mana tempat untuk mereka memancing.
***
“Dah
sampai pun!” Ummu begitu teruja sambil mendepakan tangannya di hadapan sebatang
sungai yang sangat lebar di hadapan mereka. Air sungai itu kelihatan tenang
sahaja. Bunyi sang burung berkicauan menjadi latar muzik yang menenangkan
jiwa. Kadang-kala kelihatan seekor ikan yang melompat naik.
Naim
yang dipaksa oleh Ummu untuk membawa satu plastik yang dipenuhi oleh cacing
yang bakal dijadikan umpan merungut. Dia duduk keletihan selepas dipaksa berjalan jauh.
“Jauh
juga kau bawak kita orang,” kata Afiq sambil memeriksa umpan yang bakal
dicangkukkan pada mata kail yang dibentuk oleh mereka sendiri menggunakan dawai
halus yang dijumpai di dalam
pesawat.
“Mestilah.
Kita akan berseronok!” tutur Ummu sambil tersenyum. “Sekarang, aku nak kau ajar
aku memancing.”
Afiq
sekadar mengangguk. Dia menyuruh Ummu memegang joran yang dibuat oleh Naim. Dia
menerangkan fungsi spoil, ladung dan tali yang memang dicipta cukup kemas oleh budak
segenius Naim. Ummu sekadar mengangguk, namun dalam diam, sempat juga dia
menjeling wajah Afiq yang kusyuk mengajarnya. Tiba-tiba sahaja, degupan jantung
Ummu jadi menggila, lantas dipalingkan wajahnya menghadap sungai yang sedang
tenang.
“Pengamatan
aku…” Belum sempat Afiq mahu menjelaskan teknik memancing yang sesuai, Naim
tiba-tiba berdiri sambil memerhatikan arus sungai. Tenang…
“Afiq,
Teknik tanpa pemberat. Teknik ini lebih sesuai jika kawasan berkenaan lemah
arusnya. Umpan akan mengambil masa untuk sampai ke dasar. Ketika ia menjunam,
umpan mudah menjadi sasaran
ikan dan pemancing perlu mengarau tali jika terdapat tanda ia disambar.
Sambaran dengan teknik pancing begini biasanya berlaku pertengahan air dan
kawasan di mana kadar sangkut mata kail adalah minimum,” jelas Naim sambil
berpeluk tubuh. Afiq tidak mempedulikan jejaka itu yang sedang tunjuk pandai. Afiq kembali memberi fokus
kepada Ummu.
“Kau
pegang sini,” tutur Afiq sambil membawa tangan Ummu memegang spoil. Kemudian,
tangan Ummu yang lain memegang tempat pemegang.
“Sekarang,
ikut aku berundur ke belakang,” tutur Afiq sambil mengundurkan dirinya beberapa
tapak ke belakang. Sampai satu ketika, Ummu terpijak tapak kaki Afiq, dan…
mereka berdua jatuh terletang sambil Ummu terjatuh di atas Afiq. Mereka berdua
berada dalam posisi kekok itu untuk beberapa ketika, sebelum Naim merampas
joran yang berada di tangan Ummu.
“Berhenti
dengan aksi geli-geli korang berdua. Tengok aku ajar korang pulak,” tutur Naim.
Lagak seorang pemancing professional, Naim melontarkan joran itu di udara,
sambil talinya masuk ke dalam air sungai.
“Senang
aje kan?” kata Naim sambil meletakkan joran itu di atas tanah sambil menoleh ke
hadapan, memandang Ummu dan Afiq yang sudah merah wajah mereka. Mereka berdua melontarkan
pandangan ke arah tempat yang berlawanan, membiarkan Naim yang meletakkan joran
di atas tanah. Dia kemudian duduk bersila sambil memandang air sungai.
“Duduklah
korang dua,” ajak Naim apabila Afiq dan Ummu masih berdiri membelakangkan
antara satu sama lain. Namun, mereka berdua masih kekal membisu dan membatu
lantas membuatkan Naim terpaksa bangkit.
“Kenapa?”
tanya Naim.
Serentak
itu, Afiq dan Ummu berpaling, menghadap antara satu sama lain.
“Maafkan
aku.”Afiq dan Ummu menuturkan
ucapan maaf itu serentak.
Naim
sekadar tersenyum sinis. Dia baru sahaja mahu mengatakan sesuatu tetapi air
sungai di belakang mereka tiba-tiba berkocak aneh. Mereka bertiga kembali
merenung air sungai. Seketika,
tiada apa yang muncul sehinggalah makhluk sepanjang 10 meter melompat ke udara.
Rupanya saling tak tumpah seperti buaya, dengan kulit badan yang menggerutu
serta rahang yang panjang. Yang membezakannya dengan buaya hari ini ialah saiz
badannya.
“Rhamphosuchus,
buaya yang paling besar pernah dunia lihat. Menghuni dasar sungai yang dalam,
juga lautan luas!” tutur Naim sambil membetulkan kaca matanya. Afiq dan Ummu
sudah berundur jauh ke belakang, namun Naim masih kaku di situ, menunjukkan
betapa terujanya dia melihat haiwan yang sudah pupus.
“Hebat…
tak sangka yang Rhamposuchus masih hidup…”
“Woi
Naim! Tinggalkan tepi sungai tu!” teriak Afiq dari jauh. Namun, telinga Naim
seolah pekak mendengarkan tegahan Afiq itu.
Buaya
tadi yang memilih untuk merenung Naim
tiba-tiba melompat untuk menyambar batang tubuh
Naim. Namun, Afiq sempat berlari lalu menyambar tubuh Naim, lalu mereka berdua
sama-sama jatuh ke dalam sungai.
“Kau
ni dah kenapa?” teriak Naim bengang.
“Selamatkan
kau!” bentak Afiq.
“Pakai
otak lah! Air dan buaya prasejarah macam tu tak dapat dipisahkan. Mereka lebih
hebat daripada di atas darat sana. Dan kau, heret aku lebih dalam ke dalam
lubang neraka!”
Afiq
tergamam. Dia melontarkan renungan ke arah buaya gergasi yang sepatutnya sudah
pupus itu. Buaya itu melompat ke dalam air lalu membuatkan Afiq dan Naim saling
berkongsi pandangan.
“Lari!”
teriak Naim.
Mereka
harus berenang ke arah daratan yang terbentang jauh di seberang sana, jauh dari
tempat mereka memancing tadi.
“Cepat!”
teriak Ummu memberi semangat.
Afiq
hampir sahaja untuk sampai ke daratan, tetapi dia sempat menoleh ke belakang,
merenung Naim yang sedang berusaha sehabis baik untuk menyangi Afiq. Buaya di
belakang mereka semakin hampir…
“Capai
kayu ni cepat! Aku tarik kau!” teriak Afiq sambil menghulurkan sebatang kayu untuk
dicapai oleh Naim. Jejaka yang berambut putih uban itu mengangguk lalu mencapai
kayu yang dihulurkan Afiq. Dengan sekuat hati, Afiq menarik Naim ke daratan.
“Yeahh!”
teriak Naim sambil terbaring di atas tanah. Afiq cuba bangkit, mahu menjauhkan
diri sejauh mungkin dari daratan. Dia menarik tangan Naim.
“Cepat!
Kita kena pergi…” Namun, belum sempat Afiq mahu melepaskan lelahnya, dia sekali
lagi dihidangkan dengan kejutan.
“Kenapa…”
Naim
juga terus tergamam. Di sebalik semak di hadapan mereka, kelihatan seekor lagi
Rhamphosuchus yang sedang menjaga telur-telurnya. Mereka berdua menoleh ke
belakang, Rhamphosuchus yang
mengejar mereka dari seberang semakin hampir. Maut seolah-olah sedang mengapit
dua sahabat itu,.
“Naim…”
panggil Afiq.
“Fiq,
aku nak mintak maaf kat kau kalau selama ni, aku ada buat salah…” Bum! Pipi
Naim terus sahaja ditumbuk oleh Afiq. Berundur Naim beberapa tapak ke belakang,
dia mengesat darah yang mengalir.
“Jangan
sesekali menyerah! Kau kena ikut aku, buat macam aku…” tutur Afiq sambil
menunggu sahaja si buaya yang menjaga telurnya menghampiri mereka.
Ketika
si buaya itu mengangakan mulutnya, terus sahaja sebatang kayu sebesar lengan
manusia dilontarkan ke dalam mulut buaya itu menyebabkan kayu itu tersekat di mulut panjang buaya
gergasi itu. Kemudian, Afiq pantas melompat di atas
mulut panjang buaya itu lalu berlari di atas badannya.. Naim tersenyum apabila
Afiq menunjukkan jalan kepadanya.
Tanpa
ragu-ragu, Naim mengulangi kembali apa yang dilakukan oleh Afiq. Lama mereka berlari
meninggalkan tempat malang itu, sehinggalah mereka berdua begitu yakin sudah
meninggalkan dua ekor Rhamphosuchus itu di belakang mereka, barulah mereka
berhenti.
“Kita
berjaya!” teriak Afiq dan Naim serentak. Mereka berdua saling berpelukan. Lama juga
sehingalah Naim menyedari sesuatu. Dia menolak tubuh Afiq sambil melihat
sekelilingnya.
“Kita kat mana ni?” soal Naim yang lantas
membuatkan raut wajah Afiq berubah.