Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 5: Epidemik
Afiq akhirnya terduduk kepenatan. Hampir sehari suntuk Naim berjalan, cuba mencari jalan untuk ke bangkai pesawat yang menjadi rumah mereka di atas pesawat. Namun, keadaan hutan yang kelihatan serupa itu dengan warna hijau dan suasana kelam yang menguasai telah menipu mereka. Dari celahan pokok balak yang tinggi menyombong, sang matahari cuba untuk menerobos masuk melalui celahan kecil. Namun, cahayanya tidak sekuat seperti di tengah hari tadi. Kali ini, senja mula bertompk di dada langit, menunggu giliran sang bulan untuk mengambil alih tugas menerangi alam.

Penghujungnya, mereka terpaksa berehat di situ. Mujurlah pokok pisang yang tumbuh melata di atas pulau itu memberikan tenaga tambahan untuk mereka. Bayangkan apabila terpaksa berjalan dalam keadaan basah kuyup, menunggu matahari di atas sana mengeringkan. Mereka merasakan seperti membawa sesuatu yang lebih berat daripada biasa bersama mereka.

“Ini semua salah kau,” gumam Afiq bengang. Namun, Naim yang seperti tidak terkesan langsung dengan keadaan mereka sekadar berdiri sambil berpeluk tubuh, melemparkan pandangan ke sekeliling mereka. Lama juga Naim memerhati keadaan mereka. Kadang-kadang dia akan tunduk, lalu memegang tanah dan daun-daun di bawah mereka, meneliti sebelum tersenyum. Kemudian, dia akan mengeluarkan pisaunya lalu menandakan sesuatu pada pokok yang berhampiran, seperti membentuk anak panah.

“Apa yang kau buat tu?” mtanya Afiq yang sedari tadi memerhati sahaja tingkah Naim.

“Kita sebenarnya sedang berjalan dalam satu pusingan,” tutur Naim.

“Mana kau tahu?” tanya Afiq .

“Kesan tapak kaki kau. Beberapa jam tadi, kau terpijak batang kayu tu,” jelas Naim. Lagaknya seperti seorang pakar forensik sambil mengambil kayu yang dipijak oleh Afiq. Perasaan kagum terbit dalam jiwa Afiq memerhatikan Naim membuat analisis tersendiri.

“Kalau kita dah sesat. Kau boleh bawa kita balik ke pesawat tempoh hari?” soal Afiq.

Naim tidak terus menjawab soalan Afiq sebaliknya matanya melilau melihat sekelilingnya. Dia kemudian mendongak, mengintai dada langit dari celahan ruang yang ditinggalkan oleh dahan-dahan pokok yang bergayut di atas mereka.

“Hari dah nak malam. Kita fikirkan benda tu esok. Yang penting kita…” kata-kata Naim terhenti di situ apabila jeritan seseorang menyapa cuping telinga mereka. Afiq yang sedang berehat sambil memeluk tubuh lantas berdiri lalu memasang telinga.

“Tolong Acha!”

Seorang gadis yang berhidung mancung seperti paruh burung kakak tua, bermata bulat, berbibir nipis merah yang menghiasi wajah jelita itu sedang berlari ke arah mereka. Rambut lurusnya sampai ke paras bahu beralun ketika dia melarikan diri daripada kawanan dinosaur setinggi paras pinggang manusia. Kelihatan tudung yang selalu tersarung dikepalanya sedang tergantung di lehernya dalam keadaan penuh dengan debu dan kotoran. tudung itu juga koyak rabak, seperti dicarik oleh sesuatu yang tajam.

“Staurikosaurus…” gumam Naim tidak percaya lalu berundur beberapa tapak ke belakang lalu menghilang di balik semak. Afiq pula masih berdiri cekal, sambil mencapai sebatang kayu sebesar lengan manusia.

Staurikosaurus, seekor dinosaur setinggi pinggang manusia, sepanjang dua kaki dan mempunyai belang kuning dan coklat, saling tak tumpah seperti harimau belakang kelihatan sangat tangkas melompat melepasi akar-akar kayu yang berselirat di lantai hutan tropika itu. Staurikosaurus mempunyai gigi halus yang tajam, saling tak tumpah seperti mata gergaji yang digunakan untuk mencarik daging mangsanya menjadi serpihan kecil.

“Berlindung belakang saya…” gumam Afiq ketika Acha meluru ke arahnya lalu memeluk erat tubuh lelaki itu.

Mereka sedang dikepung oleh lebih daripada 3 ekor Staurikosaurus. Masing-masing berdesis aneh sambil menggerakkan ekor mereka seperti memberi amaran kepada Afiq bahawa jangan mencuri makanan malam mereka. Acha yang ketika itu sudah mula menangis teresak-esak sambil memegang erat lengan Afiq. Tangan dan wajah jelitanya itu kelihatan calar balar.

“Jangan dekat!” teriak Afiq memberi amaran sambil menghayunkan kayunya berulang kali, menghalang walau seekor pun Staurikosaurus mendekati mereka. Seketika,

tiada seorang pun yang berganjak, namun akhirnya masing-masing berlari meninggalkan Afiq dan Acha. Sempat juga kawanan Staurikosaurus itu menoleh belakang.

“Awak tak apa-apa ke?” tanya Afiq selepas memastikan kawanan Staurikosaurus tadi menghilang dari pandangan matanya. Acha yang tidak dapat menahan sebak itu tiba-tiba menyembamkan wajahnya di bahu Afiq. Tudungnya pula jatuh menyembah tanah. Naim yang memilih untuk bersembunyi sedari tadi tiba-tiba keluar, menonton dari jauh adegan itu.

“Saya nak minta maaf kat awak sebab selama ni saya selalu buat macam-macam kat awak. Tak sangka yang hari ni awak yang selamatkan saya,” ucap Acha lagi.

“Dah. Jangan menangis lagi. Yang penting awak selamat,” balas Afiq, sambil menepuk-nepuk belakang Acha, cuba menenangkan gadis yang masih trauma itu.

“Macam mana awak boleh seorang diri macam ni?” tanya Afiq sebaik sahaja tangisan Acha reda.

“Hafeez. Dia tolak saya jatuh ke dalam sungai masa kumpulan kami kena kejar dengan dinosaur. Kepala saya pula terkena pada batu lalu tak sedarkan diri,” ucap Acha sambil menyelak rambutnya menunjukkan lebam di kepalanya.

***

Pesawat itu kelihatan suram disirami oleh cahaya subuh yang datang daripada matahari yang baru sahaja terbit dari arah timur. Hutan yang mengelilingi kawasan tanah lapang yang terbentuk akibat nahas pesawat hari itu menambahkan lagi rasa sedih yang menyelubungi kawasan pesawat itu. Dari jauh, kelihatan Ummu tertidur di atas bahu Husna yang masih setia berjaga. Afiq yang memerhati pemandangan itu dari jauh sekadar tersenyum.

“Afiq…” gumam Husna perlahan melihat Afiq sedang memapah seorang gadis yang berambut lurus. Naim sekadar melangkah di belakang mereka, dengan raut wajah dingin dan tidak mempunyai perasaan itu. Dia merenung malas ke arah Afiq dan Acha di hadapannya.

“Shyyy…” tutur Afiq perlahan sambil sepat menunjukkan isyarat dengan jari telunjuknya. Husna mengangguk sambil tersenyum.

“Naim… tolong aku sekejap,” panggil Afiq. “Papah Acha.”

Naim terus mencebik wajah, lalu mengangguk, membiarkan Afiq melangkah ke arah Husna dan Ummu. Husna sedang duduk di tangga pesawat yang diturunkan, sambil Ummu sedang neyenyak tidur berbantalkan bahu Husna.

“Cantikkan dia tidur?” tanya Afiq. Husna mengangguk.

“Akak… kita tukar tempat ya? Nak kenakan dia,” pinta Afiq. Fikiran nakal itu terbit di akalnya mahu mengenakan Ummu. Husna pula berkerut dahi mendengarkan permintaan Afiq itu.

“Please…” pinta Afiq sambil mempamerkan riak wajah kasihannya.

Seketika, Husna sekadar menatap wajah Afiq yang cuba mempamerkan wajah kasihannya sebelum mengangguk sambil tersenyum. Dengan perlahan-lahan, Husna bangkit sambil bertukar tempat dengan Afiq. Kepala Ummu pula bertukar tempat dengan bahu Afiq. Sempat juga Afiq menoleh ke arah beberapa biji buah yang tersedia kemas dalam beg kain yang berdiri tegak di sebelah Ummu. Lantas, senyuman terukir di bibir Afiq melihatkan buah itu. Pasti Ummu yang bersusah payah mencari buah itu untuk menjamu dirinya.

Sayang juga kau kat aku kan?

“Cik Ummu…” ucap Afiq sambil menepuk pipi Ummu perlahan. Sekali, tiada respon. Gadis itu sekadar menelan air liurnya sambil membetulkan kedudukan kepalanya di atas bahu Afiq.

“Ada lipas merayap kat leher belakang awak,” bisik Afiq perlahan membuatkan mata Ummu terbuntang luas tiba-tiba. Seketika, Ummu mengangkat kepalanya dari bahu Afiq sebelum menjerit ketakutan.

“Mana lipas? Mana lipas?” teriak Ummu seperti orang gila sambil melibas-libas baju-T unggunya. Afiq pula sekadar tersenyum melihat tingkah Ummu itu sebelum Ummu menyedari bahawa Afiq sedang duduk di sebelahnya.

“Afiq…” gumam Ummu tidak percaya melihat Afiq sedang duduk di sebelahnya. Tidak semena-mena air matanya tumpah terus batang tubuh Afiq dirangkulnya, erat.

“Mana kau pergi selama ni…” ucap Ummu sambil teresak-esak menangis.

“Jadi hero,” balas Afiq pendek.

“Benda itulah yang Zaff ucap kat aku sebelum dia pergi.”

***

Unggun api sedang galak terbakar di tengah-tengah lapangan yang terbentang di hadapan bangkai pesawat itu dikelilingi oleh ahli kumpulan Afiq. Rasa hangat tersebar membuatkan mereka rasa nyaman dan terlindung daripada angin malam yang akan menyucuk sehinga ke tulang hitam kesejukannya. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan menjadi latar muzik makan malam mereka pada hari itu.

Ummu pula sedang membahagikan buah yang saling tak tumpah seperti buah ceri yang diletakkan di dalam sebuah beg kain yang terdapat lambang Karangkraf. Warnanya merah pekat manakala saiznya pula sekadar sebesar ibu jarinya. Kata Ummu, dia melihat banyak kawanan burung sedang meratah buah itu, dan ketika itu, fikirannya hinggap pada Afiq yang hilang bersama Naim. Lantas Ummu memetik bah itu untuk diberikan kepada Afiq.

“Nampak macam pelik jer buah ni…” Belum sempat Afiq mahu membantah, Ummu terus menyumbah buah ceri itu ke dalam mulut Afiq membuatkan Afiq hilang kata-kata. Dia menguyah dengan raut wajah yang monyok. Namun, kemanisan yang mula menular ke seluruh lidahnya membuatkan monyok itu terus hilang begitu sahaja.

“Sedap kan? Saya dah rasa sejak semalam tau. Sebab tu nak awak rasa,” kata Ummu sambil meninggalkan Afiq keseorangan di atas kayu balak yang mati. Senyuman mula terukir di wajahnya, mengambil alih perasaan tidak puas hati dipaksa makan oleh Ummu. Buah tadi sangat sedap…

Afiq memerhati langkah kaki gadis yang berambut ikal sampai ke paras pinggang itu menghampiri Dr Izwan yang memilih untuk bersendirian. Ummu sedang memaksa Dr Izwan menelan setiap biji buah ceri yang dipetiknya itu. Namun, Dr Izwan lebih suka memakan pisang. Katanya lebih berkhasiat daripada buah ceri yang dipetik oleh Ummu. Pertengkaran kecil sedang berlaku antara mereka, namun sekadar menimbulkan sengihan Afiq. Afiq kenal benar siapa gadis yang bernama Ummu itu. Dia tidak pernah mahu kalah, dalam apa-apa hal.

“Kau tahu tak kita ni dah jadi monyet asyik makan pisang tu aje?”

“Untuk pengetahuan kau Ummu, pisang ni adalah benda yang banyak beri tenaga kat kita. Kau ingat senang ke kita terperangkap kat pulau tropika macam ni, tapi kita masih mempunyai tenaga meneroka setiap inci pulau di bawah kita? Kalau ikut realiti sebenar, kita

dah guna banyak tenaga! Tapi sebab ada banyak pokok pisang kat atas pulau ni, yang buatkan kau bebas buat apa yang kau suka. Pisang yang kau makan mampu hilangkan dehidrasi yang memang biasa terjadi bila terperangkap dalam hutan macam ni!”

“Tapi…” Ummu cuba membantah namun Dr Izwan menggelengkan kepalanya.

“Pisang ada khasiat yang banyak. Kau tahu tak buah pisang ni yang banyak diambil oleh atlet sukan? Dua biji pisang yang kau makan mampu memberikan tenaga untuk kau berlari selama 90 minit tanpa henti. Sebab tu banyak pelari marathon mengambil pisang sebagai sumber tenaga mereka!”

Afiq menjadi semakin menarik menonton pertengkaran kecil itu. Nampaknya ilmu yang dimiliki oleh Dr Izwan membuatkan Ummu akhirnya mati kata-kata untuk terus membantah Dr Izwan dan memaksa lelaki itu menelan buah ceri merah yang dipetiknya ketika mencari Afiq.

“Awak…” ucap satu suara yang kemudian menarik perhatian Afiq. Acha melabuhkan punggungnya di sebelah Afiq. Gadis itu sedang lengkap menyarungkan seluar jeans dan baju-T hitam lengan panjang yang diambil daripada bahagian bagasi diletakkan. Rambutnya dibiarkan beralun dimainkan oleh sang angin. Mulut Acha pula sedang menguyah buah ceri yang dipetik oleh Ummu.

“Ya Acha?”

“Sedapkan buah yang Ummu petik tu?”

Acha memulakan bicara. Rasa kekok mula berjangkit antara mereka. Siapa tidak kenal Afiq dan Acha ketika di Universiti Tun Dr Mahathir dahulu. Mereka boleh diibaratkan seperti anjing dan kucing, seringkali bertengkar meski hal itu sebesar zarah sekalipun. Acha terutamanya tidak senang melihat gelagat Afiq. Pernah suatu ketika Acha yang terlihat Afiq cuba meletakkan cicak ke dalam beg Hafeez, lalu menjadi dalang yang membuatkan Afiq kantoi besar.

“Ya sedap,” jawab Afiq sepatah.

Mereka berdua tidak berani langsung untuk bertentangan mata, apatah lagi wajah. Masing-masing merenung kosong ke arah yang berlainan, sambil di kepala sedang ligat merancang ayat apakah yang mahu dilontarkan. Seketika, suasana bisu menguasai mereka.

“Saya nak minta maaf kat awak atas apa yang saya dah buat kat awak sepanjang awak kenal saya. Saya juga nak ucapkan terima kasih kat awak sebab selamatkan nyawa saya semalam!” ucap Acha tiba-tiba, dalam sekali nafas sahaja membuatkan Afiq cuba untuk tersenyum, namun sekadar herotan aneh dimulutnya. Acha mula menuturkan ayat itu seperti sedang membaca buku teks. Kepalanya pula tertunduk beberapa kali seperti orang Jepun.

“Errr… saya tak pernah ambil hati pun di atas apa yang terjadi,” luah Afiq jujur.

“Betul ke?” tanya Acha dengan wajah yang berseri-seri.

Afiq mengangguk.

“Saya ingat awak benci kat saya,” kata Acha jujur.

“Hahahaha… saya tak pernah benci awak pun. Tapi saya yakin betul yang awak benci sangat-sangat kat saya. Tapi saya tak salahkan awak, semua orang benci pembuat kacau macam saya,” ujar Afiq.

Acha terdiam. Ditatapnya setiap raut wajah Afiq yang manis. Tidak kacak, tetapi manis untuk dipandang mata. Rambutnya yang sentiasa kusut itu adalah aset yang sangat berharga untuk Afiq.

“Saya tak benci awak pun. Saya… saya…” Belum sempat Acha mahu menuturkan ayat itu, tiba-tiba sahaja Ummu yang sedari menonton sahaja adegan antara Afiq dan Acha dengan perasaan cemburu yang berapi-api tiba-tiba rebah ke lantai. Afiq spontan bangkit, meninggalkan Acha lalu meluru ke arah Ummu yang sedang terbaring lemah. Dr Izwan kelihatan menyusul dari belakang.

“Telinga dengan hidung Ummu berdarah,” gumam Afiq sambil meletakkan tapak tangannya di atas dahi Ummu. “Dahi dia panas.”

“Bawa dia masuk ke dalam. Acha, panggilkan Husna. Aku nak dia bawakan kat aku peti kecemasan cemas. Mungkin ada sesuatu di dalamnya yang boleh sembuhkan Ummu,” arah Dr Izwan. Afiq mengangguk sambil mencempung tubuh Ummu masuk ke dalam bangkai pesawat.

***

Pintu yang menutup satu-satunya jalan masuk ruangan tidur yang disediakan untuk para petugas kabin pesawat MH707 itu terbuka ditendang oleh seseorang. Kelihatan Afiq sedang mencempung Ummu yang tidak sedarkan diri. Darah sudahpun berhenti mengalir dari hidung dan telinganya.

“Letak kat situ,” arah Dr Izwan menyuruh Afiq meletakkan tubuh Ummu pada sebuah katil dua tingkat yang memang sudah tersedia untuk pesawat Boeing 777. Terdapat sekurang-kurangnya empat buah katil dalam ruangan itu.

“Macam mana bro?” tanya Afiq ketika Dr Izwan sedang memeriksa keadaan Ummu. Lampu suluh yang dijumpai oleh mereka dalam pesawat itu digunakan oleh Dr Izwan untuk memeriksa mata Ummu sebelum menganalisis denyutan nadi Ummu.

“Setakat ni aku tak tahu apa yang jadi kat Ummu. Tapi aku dah berikan dia aspirin. Badan dia panas. Mungkin hidung dia berdarah sebab demam,” terang Dr Izwan. Afiq mengangguk memahami.

“Kau jaga dia. Mungkin waktu sekarang ni dia perlukan orang macam kau. Anggap demam biasa jer tu. Kejutan pada tubuh dia yang keletihan. Bukan sikit dugaan yang datang untuk dia,” kata Dr Izwan sambil sempat menepuk belakang tubuh Afiq. Pintu bilik tidur para petugas kabin itu tertutup di belakang Afiq tatkala Dr Izwan melangkah keluar.

***

Dr Izwan sedang melangkah dengan dahi yang berkerut. Walaupun dia diagnosis awal daripadanya mengatakan bahawa penyakit yang menyerang Ummu sekadar demam biasa. Mungkin kejutan terperangkap di lantai hutan tropika yang dipenuhi dengan makhluk prasejarah membuatkan kesan demam itu semakin teruk. Dr Izwan risau penyakit yang menyerang Ummu adalah penyakit seperti Demam Denggi atau Chikukunya. Tetapi setakat ini tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan Ummu dengan demam denggi meski mereka sedang hidup di tempat di mana hampir setiap masa dikacau oleh nyamuk-nyamuk kecil.

Ummu tak apa-apa…

Dr Izwan cuba menyakinkan dirinya. Kalau sesuatu yang ditakutkannya terjadi, Dr Izwan sekadar mempunyai ubat-ubatan asas untuk merawat Ummu. Untuk mencari ubatan-ubatan tradisional dalam hutan itu bukan tugas senang. Kepalanya sudah mula memikirkan ubat-ubatan tradisional yang mungkin boleh digunakan. Dr Izwan takutkan bahawa Ummu terkena demam denggi. Kalau itu terjadi, antara cara menaikkan platlet dalam darah Ummu adalah dengan memberi banyak air untuk diminum. Namun, sumber air yang benar-benar bersih agak sukar untuk dicari ketika ini. Kalau ikut cara perubatan Melayu lama, sup ketam mampu meredakan penyakit Denggi.

“Kenapa dengan budak tu?” tutur satu suara yang lantas menganggu lamunan Dr Izwan yang sedang meredah koridor di dalam pesawat. Kelihatan Naim sedang duduk sambil bersilang kaki. Di tangannya terdapat buah ceri yang diberikan oleh Ummu tadi.

“Aku rasa demam biasa aje,” balas Dr Izwan.

“Demam biasa? Aku tak rasa demam biasa sampai berdarah hidung macam tu,” tambah Naim lagi sambil bangun dan bergerak ke arah Dr Izwan. “Kau nak buah ni?”

Dr Izwan menggelengkan kepalanya. Dia menolak untuk makan buah yang diberikan oleh Naim. Naim sekadar mengangkat bahunya, lalu terus menyumbat buah itu ke dalam mulutnya.

“Kalau kau perlukan bantuan aku, cari aje aku. Otak genius aku ni boleh pakai tau,” kata Naim lalu melangkah meninggalkan Dr Izwan yang sekadar berdiri melihat Naim melangkah di hadapannya.

Tba-tiba… tubuh Naim rebah ke lantai membuatkan wajah Dr Izwan berkerut aneh. Pantas dia meluru ke arah tubuh Naim. Darah sedang keluar meleleh daripada hidung dan telinga Naim manakala Naim sudah tidak sedarkan diri. Buah ceri yang dimakannya tergeletak di atas lantai pesawat.

“Husna! Acha!” teriak Dr Izwan sambil mencempung tubuh Naim.

***

“Zaff… Fiq… Ummu rindukan Zaff dengan Fiq,” ucap Ummu tiba-tiba lantas membuatkan Afiq tersentak. Dia pantas menoleh ke arah Ummu yang sedang erat memegang tapak tangannya. Namun, gadis itu masih belum sedarkan dirinya.

“Kenapa tinggalkan Ummu seorang kat sini? Konon nak jadi hero…” kata Ummu lagi. Kali ini, air matanya mengalir dalam pengsan membuatkan Afiq tiba-tiba sebak. Patutlah gadis itu tidak mahu langsung dia pergi jauh daripada hidupnya. Entah berapa beratnya trauma yang terpaksa ditanggung oleh Ummu.

Afiq sedang membayangkan bagaimana keadaan Ummu selepas ditinggalkan seorang diri di kelilingi oleh hutan tebal yang penuh dengan haiwan yang menakutkan. Tambahan pula ketika itu, terdapat belasan mayat yang tak diuruskan dengan sempurna membuatkan tempat itu lebih seram daripada biasa. Afiq juga sedang membayangkan bagaimana tidur seorang diri dalam pesawat itu, sambil bila-bila masa sahaja maut menghampiri. Bukan situasi yang senang, malah untuk lelaki seperti Afiq.

“Ummu, kau kuat,” ucap Afiq sambil tersenyum lalu mengulas lembut rambut Ummu yang hampir menutup wajahnya.

“Kau tahu tak yang muka kau cantik sangat bila kau tidur?” ucap Afiq lagi sambil menatap setiap inci wajah Ummu.

Ingatan Afiq kemudian terbang pada saat pertama dia berjumpa dengan Ummu. Gadis yang berkulit sawo matang itu mencuri pandangannya ketika berada di sebuah stesen bas ketika dalam perjalanan ke sekolah. Pada pandangan pertama, tiada yang istimewa mengenai Ummu sehinggalah senyuman yang paling indah pernah ditatap oleh Afiq pada wajah seorang perempuan terukir kemas. Lesung pipit umpama penghias kepada sebuah keindahan yang membuatkan Afiq terpana sejenak.

“Aku beruntung sangat mengenali kau, Ummu. Kau jadi pengisi kekosongan yang aku rasa sejak sekian lama. Terima kasih,” kata Afiq lagi.

Seketika, Ummu sekadar menggerakkan kepalanya ke kiri dan kanan sebelum akhirnya mulut gadis itu berbicara lagi.

“Zaff, aku sayang kat kau!” Sebaik sahaja perkataan itu meluncur dari Ummum wajah Afiq terus bertukar pucat. Wajah Afiq ketika itu kelihatan baru sahaja dilanggar oleh sebuah kereta api peluru. Dia terdiam sejenak sebelum tersenyum sendirian. Serentak itu, pintu bilik itu terbuka dan kelihatan Dr Izwan sedang mencempung tubuh Naim sambil Husna dan Acha berdiri di belakangnya.

“Afiq, hidung kau berdarah,” tutur Dr Izwan.

Afiq pantas mengesat cecair yang mengalir dari hidungnya. Merah. Lantas Afiq mendongak memandang Dr Izwan dengan riak wajah yang penuh ketakutan. Kemudian Afiq menggelengkan kepalanya sambil menuturkan sesuatu.

“Aku tak nak mati lagi!”

Bab 13

Afiq menggelengkan kepalanya ketika Dr Izwan cuba mengejar langkah kakinya. Lelaki itu seperti orang gila, berlari tanpa henti cuba meninggalkan bangkai pesawat itu. Air mata lelaki mencurah-curah jatuh. Manakala darah pula tak henti-henti mengalir keluar dari hidungnya. Berkali-kali dia cuba mengesatnya, namun darah seperti tidak mahu berhenti mengalir. Badannya pula menjadi semakin panas.

“Aku boleh hentikan pendarahan hidung kau!” Dr Izwan menjerit dalam kegelapan malam. Afiq menoleh ke belakang, melihat Dr Izwan melontarkan ayat itu, Dr Izwan semakin mendekatinya manakala langkah kaki Afiq semakin menjadi lemah. Dia terlanggar akar kayu lalu jatuh tersembam. Wajahnya dipenuhi oleh kesan tanah.

“Afiq… jangan buat benda bodoh,” nasihat Dr Izwan ketika cuba menghampiri Afiq yang tak tumpah seperti orang gila. Kelihatan Husna muncul dari jauh, sempat mengejar langkah kaki Dr Izwan bersama Acha.

“Aku perlu bertahan Izwan. Ummu… dia… aku nak jaga dia!” kata Afiq lagi. “Aku dah janji dengan diri aku sendiri dan Ummu yang kita tak akan mati kalau kita tak mampu keluar dari pulau ni. Tolonglah aku Izwan…”

Dr Izwan tergamam melihat reaksi Afiq itu. Afiq sudah terlutut di atas tanah, seolah-olah sedang merayu di kakinya. Rambut kusut Afiq sedang menutupi wajahnya, namun kesan air mata dapat dilihat dari balik rambut itu. Dr Izwan dapat merasa ketakutan sedang menyelimuti hati remaja di hadapannya.

Biar seberapa banyak pun Afiq cuba tunjuk bahawa dialah lelaki yang paling berani dan cekal, namun seperti mereka yang lainnya, apa yang terjadi itu meninggalkan trauma yang cukup dalam. Hari ini, Dr Izwan melihat sendiri bagaimana hati Afiq hancur menjadi kepingan-kepingan kecil. Ya, harapan yang Afiq pegang, kepercayaan bahawa dia akan kembali ke Eurasia sedang mula terbeam dalam dirinya.

“Kau tahu apa mereka panggil aku kat Hospital Eurasia Kebangsaan dulu?” gumam Dr Izwan tiba-tiba. Afiq yang sudah melutut di atas tanah itu mendongak untuk menatap wajah Dr Izwan yang sedang tersenyum.

Dr Miracle!

Imbas Kembali

Siapa yang tidak kenal dia, Dr Izwan Sharif, pakar bedah otak nombor satu di dunia. Dr Izwan tidak pernah kenal erti kegagalan dalam kamus hidupnya. Peratus pembedahan yang dijalankan oleh Dr Izwan di Hospital Eurasia mencatatkan bahawa tidak pernah ada satu pun kegagalan yang menghantuinya. Koridor Hospital Eurasia yang sentiasa sibuk itu diredah oleh Dr Izwan dengan penuh semangat. Dia membelok kiri, lalu menghampiri beberapa orang jururawat yang sedang menolak sebuah katil, sambil seorang gadis sedang terbaring di atasnya.

“Nama mangsa?” tanya Dr Izwan ketika beberapa orang jururawat sedang menolak sebuah katil yang membawa sekujur tubuh seorang gadis yang kelihatan langsung tidak bermaya.

“Khaleeda binti Dermawan,” tutur jururawat yang sudah memahami protokol Dr Izwan bekerja. Dr Izwan mengangguk lalu mereka bergerak ke dalam dewan pembedahan. Sesungguhnya, Hospital Kebangsaan Eurasia sememangnya bertuah memiliki Dr Izwan sebagai salah seorang doktor.

Sebelum memulakan pembedahan, Dr Izwan mengambil beberapa keping gambar sinar X-Ray lalu meneliti setiap satu daripadanya. Dia memerhati sambil mengecilkan matanya di bawah sinaran lampu, lalu senyuman terukir pada wajahnya.

“Kita akan mulakan pembedahan. Sebuah keajaiban akan terjadi lagi,” tutur Dr Izwan.

***

Bertuah hidupnya Dr Izwan. Selain dikurniakan bakat yang sangat luar biasa, Dr Izwan juga mempunyai seorang isteri yang sangat setia. Puan Nisa binti Jamil sedang kusyuk mendengar Dr Izwan bercerita. Petah dan sungguh bersemangat. Nasi Goreng Kampung yang dimasak oleh Puan Nisa tidak langsung diusik oleh Dr Izwan sebaliknya kisah mengenai kejayaan Dr Izwan menyelamatkan satu lagi nyawa terus berkumandang di meja makan dalam rumah teres dua tingkat itu.

“Lepas tu abang dah panik, abang rasa abang perlu fikirkan sesuatu sebab abang dah buat kesilapan…”

Nisa mengenali lelaki yang rambutnya bersikat tepi itu. Sejak kecil lagi dunia perubatan merupakan sebuah dunia yang mahu dihuni oleh Dr Izwan. Meski terpaksa mengharungi pembedahan lebih daripada 12 jam di dalam dewan bedah, namun rasa penat seolah-olah tidak pernah menguasai Dr Izwan, malah dia seperti disuntik oleh tonik. Sudah menjadi kebiasaan Dr Izwan, bercerita mengenai pembedahannya setiap hari kepada Nisa, sehinggakan wanita yang bekerja sebagai akauntan itu mengenali semua istilah-istilah perubatan.

Kalaulah awak tahu apa yang terjadi pada saya…

“Katakanlah suatu hari nanti awak gagal, apa perasaan awak?” Entah kenapa pertanyaan itu meluncur keluar dari mulut Nisa. Dr Izwan yang sedang petah bercerita tiba-tiba terus mati kata-katanya. Wajah jelita isterinya Nisa ditatapnya lama, seelum Dr Izwan tersenyum.

“Itu adalah benda yang paling mustahil di dunia,” ucap Dr Izwan bangga.

Nisa tersenyum mendengarkan jawapan daripada Dr Izwan. Perasaan puas dan bangga yang sering terpapar di wajah Dr Izwan itulah yang dinantikan oleh Nisa, mungkin untuk kali terakhir. Pandangan matanya semakin berpinar menyaksikan Dr Izwan yang baru sahaja mahu menghabiskan makanan yang dimasaknya. Lelaki yang berkaca mata itu kelihatan sangat berselera menghabiskan makanan yang tersedia dalam pinggan itu.

Abang… Nisa sayangkan abang!

Tiba-tiba sahaja Nisa rebah ke lantai. Seketika, Dr Izwan menjadi kaku memerhati apa yang berlaku sebelum dia meluru ke arah jasad isterinya di lantai. Diriba wanita itu yang sedang menggelupar kesakitan. Darah sedang mengalir keluar dari hidungnya. Nisa tersenyum tatkala air mata Dr Izwan menitik lalu mendarat di pipinya. Matanya semakin kuyu sementara jeritan Dr Izwan bergema di seluruh rumah itu.

***

Dr Izwan sedang duduk di dalam dewan bedah itu. Wajahnya sangat pucat manakala rambutnya kelihatan tidak terurus. Air mata seperti tidak mahu berhenti mengalir membasahi wajahnya. Kadangkala Dr Izwan akan ketawa, seperti orang gila. Kadangkala dia akan berbicara sendirian sambil melontarkan pandangan ke arah sebuah jasad yang berselimut dengan kain putih di hadapannya.

“Hahahahaha… Nisa, abang dah kalah,” gumam Dr Izwan. “Abang terlalu sombong dengan pencapaian yang abang dapat. Ya, abang hanya gagal sekali. Hari ini kegagalan abang membuatkan abang kehilangan Nisa. Hahahahahaa…”

Ketawa Dr Izwan terus bergema di sekeliling dewan itu.

“Aku dah kalah dengan kau, Ya ALLAH…”

***

Dr Izwan menghampiri air sungai yang sedang mengalir tenang itu. Diperhatikan sahaja air yang sedang berkilau dipanah cahaya matahari yang baru sahaja naik menghiasi bumi yang hilang itu. Rasa tenang mengalir dalam sarafnya. Dr Izwan mendongak, memandang langit yang diwarnai oleh cahaya fajar.

“Ya ALLAH… kau bantulah hambamu ini. Kali ini aku benar-benar tewas dengan kau. Kalau dulu, aku terlalu besar kepala, namun hari ini, aku dengan rendah hati memohon kau berilah aku ilham untuk menyelamatkan mereka semua,” ucap Dr Izwan sebelum membasahkan wajahnya dengan air sungai itu.

Dr Izwan berharap semoga air sungai itu mampu memberi kesegaran baru untuk menghadapi ujian yang sangat getir itu. Afiq sudah tidak sedarkan diri sedari semalam manakala Acha sudah mula menunjukkan simptom yang terjadi pada Afiq. Namun, gadis itu masih gagah bertahan walaupun darah tidak henti-henti mengalir dari hidung dan telinganya. Aspirin yang diberikan kepada mereka sudah tidak mampu berbuat apa lagi.

Dalam fikiran Dr Izwan, antara penyakit yang berjangkit antara mereka itu adalah berpunca daripada nyamuk, kerana hanya itu sahaja kemungkinan yang boleh diambil kira. Simptom yang menyerang rakan-rakannya saling tak tumpah seperti demam denggi berdarah, namun kadar penyakit itu mengambil alih tubuh manusia adalah diluar jangkaannya. Tetapi tiada yang mustahil di dunia itu.

Kalau haiwan yang sepatutnya sudah pupus jutaan tahun dahulu pun boleh menampakkan diri mereka, apatah lagi dengan kewujudan penyakit Denggi yang mempunyai kadar impak yang lebih cepat dari biasa. Dalam minda Dr Izwan, dia sedang memikirkan rawatan-rawatan tradisional yang boleh digunakan untuk merawat penyakit mereka.

“Awak…” panggil satu suara yang tiba-tiba muncul di belakang Izwan. Husna sednag melangkah dalam pakaian pramugarinya itu.

“Ya Husna? Acha macam mana?” tanya Dr Izwan.

Husna menggelengkan kepalanya.

“Dia dah tak sedarkan diri. Tinggal kita berdua aje,” ucap Husna.

Dr Izwan mengeluh berat.

“Awak buat apa kat sini?” tanya Husna.

“Cari ketenangan. Fikirkan cara terbaik untuk rawat mereka,” balas Dr Izwan.

“Awak rasa penyakit apa yang dihidapi oleh mereka?” tanya Husna.

“Denggi berdarah,” jawab Dr Izwan pendek. “Saya perlu cari Ketam Sungai. Tapi, saya tak tahu mana lokasi paya bakau yang terdekat untuk cari ketam tu. Kita dah tak ada masa lagi.”

“Ketam Sungai?” tanya Husna dengan kening yang terangkat. Dr Izwan mengangguk.

“Ya. Itulah satu-satunya cara untuk selamatkan mereka. Ketam ada protein yang boleh naikkan balik platlet dalam darah mereka kalau betul-betul mereka menghidapi denggi berdarah. Tapi masalahnya sekarang, saya tak tahu nak cari kat mana,” ucap Dr Izwan.

“Ada paya berdekatan dengan sungai ni. Masa saya dengan Husna pergi cari Afiq dan Naim hari tu. Kami jumpa kawasan berlumpur, dan banyak juga haiwan kat situ. Tapi masalahnya ada banyak haiwan pelik-pelik,” luah Husna jujur.

“Saya tak kisah… asalkan awak bawa saya ke situ! Mungkin boleh cari Ketam Sungai?”

“Awak yakin?” tanya Husna. Dr Izwan mengangguk dengan perasaan teruja.

***

Dr Izwan memerhati keadaan di sekeliling. Aliran sungai yang mengalir di sebelahnya menjadi semakin kecil, ketika mereka memasuki sebuah kawasan yang pokok-pokok yang menghuni kawasan itu kelihatan lebih besar dan tumbuh agak jarang. Tanah yang dipijak di bawah mereka bukan lagi pasir sungai yang bersih sebaliknya bertukar menjadi lumpur-lumpur.

“Hutan paya?” tanya Dr Izwan. Husna mengangguk.

Kelihatan beberapa ekor monyet sedang melihat mereka jauh di atas pokok. Jauh dari mereka, ke dalam paya yang agak luas itu, beberapa ekor buaya dari spesis berbeza sekadar sedang berendam tenang dalam air. Patutkah Husna bertanya berkali-kali ketika dia memaksa Husna membawa mereka ke tempat itu.

“Awak tahu macam mana nak tangkap ketam?” tanya Husna.

“Darah anak kampung masih mengalir dalam diri saya. Awak tolong tengok-tengok keadaan sekeliling.” Husna mengangguk. Sempat juga Husna melihat keadaan sekeliling. Beberapa ekor Lystrosaurus, seekor haiwan yang saling tak tumpah seperti seekor badak air, namun saiznya agak kecil dan kulitnya berwarna biru, sedang melintasi tidak jauh daripada mereka. Beberapa ekor Cyclotosaurus, haiwan yang hampir sahaja menyerupai seperti seekor buaya, tetapi saiznya yang agak kecil dan mempunyai mulut yang bulat, tidak runcing dan pancang seperti buaya sedang berenang-berenang tidak jauh daripada mereka.

Dr Izwan mula melipat lengan bajunya seperti sudah tekad untuk masuk ke dalam paya yang terbentang di hadapan matanya. Sang nyamuk yang berlegar di sekeliling mereka tidak lagi diendahkan, apatah lagi dengan haiwan-haiwan pelik yang menghuni kawasan paya itu. Setakat ini, masih tiada yang berani mendekati Dr Izwan yang sudah mula memasuki kawasan paya.

“Tanah selut… habitat biasa Ketam Sungai,” gumam Dr Izwan sambil tersenyum. Dia masih terus melangkah sampai ke kawasan yang di mana air sudah mula mencecah paras pinggangnya. Dr Izwan terus tunduk, lalu tangannya meraba-raba dasar paya itu, cuba mencari sesuatu. Husna pula sedang memerhati dari jauh, dengan perasaan cemas dan risau. Buaya yang dari tadi tidak kisah langsung dengan kehadiran mereka sudah mula memberikan perhatian dari jauh. Dr Izwan pula masih mencari.

“Arghhh…” teriak Dr Izwan tiba-tiba membuatkan riak wajah Husna terus berubah.

“Izwan!” panggil Husna cemas. Seketika, Dr Izwan masih menggelupur dalam air yang keruh itu sebelum ketawa kecil.

“Jahat!” gumam Husna geram. “Kalau saya tahu macam ni jadinya, lebih baik kita cari rawatan denggi yang lain, macam buah ke…”

Riak wajah Dr Izwan terus berubah sebaik sahaja perkataan buah meluncur keluar. Dahinya berkerut tatkala mindanya sedang berfikir sesuatu.

“Husna, awak makan tak buah ceri yang Husna petik semalam?” teriak Dr Izwan dari dalam paya. Husna menjawab dengan gelengan kepala.

“Aku pun tak makan… sekejap. Jangan-jangan…” Dr Izwan terus belari keluar dari dalam paya itu. Lumpur yang membasahi baju kemeja putihnya itu langsung tidak diendahkan oleh Dr Izwan sebaliknya dia mencapai tapak tangan Husna lalu memegang erat dengan perasaan yang penuh teruja.

“Bawa saya ke tempat yang awak dan Ummu pergi petik buah tu,” ujar Dr Izwan lagi.

“Tapi kenapa?” tanya Husna dengan dahi berkerut.

“Saya dah jumpa rawatan untuk penyakit diaorang!” teriak Izwan gembira. “Terima kasih kepada awak Husna!” Kemudian, tangan Dr Izwan yang penuh dengan lumpur itu dilumurkan ke wajah Husna membuatkan wajah Husna terus bertukar monyok.

***

“Moonseed…” gumam Dr Izwan sambil memerhati sebuah pokok yang terdapat buah-buah merah.

“Tadi kita orang nampak

“Awak tak salah,” gumam satu suara yang tiba-tiba muncul dari belakang. Mereka semua menoleh. Kelihatan seorang lelaki yang berhidung mancung dan tinggi lampai sedang melangkah ke arah mereka sambil ditemani oleh seorang wanita yang mereka kenal sebagai Cik Mia.

“Saiful Hawiz…” gumam Afiq.

“Memang burung boleh makan buah ni. Tapi, perut kita tak boleh nak hadam buah Moonseed. Ianya beracun untuk manusia,” tutur Saiful lagi.

“Banyak kau tahu…” kata Dr Izwan sambil berdiri dan bersalaman dengan Saiful.

“Aku baca. Kau tahu macam mana nak buat antitdote untuk buah ni?” tanya Saiful.

“Aku pernah belajar dulu kat universiti dulu. Buah ni biasanya tumbuh di Amerika Utara. Nama latinnya adalah Menispermum candense. Ada penawar untuk racun buah ni. Puak asli Red Indian ada menciptanya. Aku tahu macam mana nak buatnya. Cuma memerlukan beberapa bahan. Tapi, kita boleh cari di sekitar hutan ni.”

Saiful mengangguk memahami.

***

Mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian kemeja kotak-kotak dan berkaca mata sedang terbaring di dalam sebuah lubang kubur yang baru sahaja digali oleh seseorang. Seorang lelaki yang berkelubung hitam dalam pakaian hoodnya merenung simpati ke arah mayat itu.

“Terima kasih sebab sudi jadi penyelamat kami. Kalau tak kerana kamu dan pengetahuan medik kau, tak mungkin kami mampu bernyawa sampai sekarang. Tetapi sayang… kau pergi dulu.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.