Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,873
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 8

AKU menguap untuk kesekian kalinya sambil mata terus tertancap ke arah skrin monitor di hadapan. Aku menoleh pula ke sebelah kiri, melihat mama yang masih lagi nyenyak tidur.

Rayyan di sebelah kanan aku pula sedang khusyuk menonton cerita Inggeris. Aku masih berusaha menamatkan filem Alice in Wonderland versi manusia. Kekacakan Johnny Dep yang berlakon sebagai The Hatter itu tidak mampu menarik minat aku. Hmm, kacak juga ke kalau wajahnya disolek sebegitu rupa? Minda aku terasa terawang-awang.

“Kenapa dengan kau? Resah aje aku tengok. Nak pergi tandas ke?” soal Rayyan seraya memandang aku di sebelah.

Aku menggeleng perlahan. “Mengantuk!”

“Alah, tahan aje. Lima jam lagi sampailah KL,” jawab Rayyan.

Lima jam lagi? Aku rasa macam nak pengsan sekarang. Tadi dah fly tujuh jam lebih ke Dubai, lepas tu transit selama tiga jam. Sekarang ni baru naik dua jam dengan penerbangan Emirates Airlines.

Aku mencongak waktu. Di Dublin tadi aku naik kapal terbang jam 1.50 petang. Jumlah masa yang aku peruntukkan sekarang adalah dua belas jam, bermaksud sekarang dah dekat pukul dua pagi kalau ikut waktu Dublin!

Huh. Patutlah aku menguap tak ingat dunia. Ikutkan hati, rasa malas nak tidur sebab kalau ikut anggaran, kami sampai di Kuala Lumpur nanti jam 3.50 petang.

Terpaksalah aku berusaha untuk menghapuskan jetlag dalam masa beberapa hari ini. Adoi, inilah yang paling aku tak suka bila terpaksa melalui penerbangan jauh.

Sejurus saja aku meletakkan headphone di celah poket kerusi di hadapan, muncul pramugari Emirates Airlines dengan troli makanan. Inilah bahagian yang paling aku suka bila naik kapal terbang. Makan dan makan!

Madam, you want chicken breast or lamb brochette?” Pramugari yang manis dengan baju seragam Emirates Airlines itu bertanya.

“Lamb please, thank you.” Aku menjawab sambil tersenyum.

Chicken for me.” Rayyan pula berkata.

Here sir. Enjoy your meals.

Thank you.

Mama di sebelah aku pun turut memilih ayam daripada kambing. Kenapa aku seorang je yang makan nasi ni? Aku memandang ke arah Rayyan yang sudah sibuk menyuap smoked tuna sebagai juadah appetiser.

“Makanlah. Yang kau tengok aku kenapa?”

“Kau diet ke? Kenapa aku seorang yang makan nasi? Kenapa kau tak makan nasi?” soal aku bertalu-talu sambil membuka penutup air mineral.

Rasa pening pula bila menunduk untuk melihat dulang makanan. Aku sedar, soalan yang diberikan kepada Rayyan itu pun dah macam orang mamai.

“Dietlah! Aku kan dah nak kahwin? Kau dah lupa ke?” usik Rayyan.

“Eleh…”

“Ju, makanlah. Kenapa bising-bising ni?” Mama menegur di sebelah.

Hah! Kan dah kena tegur. Hisy. Apa kenalah dengan aku ni agaknya. Mungkin aku patut tidur sekejap lagi. Sejam pun jadilah.

Aroma daging kambing yang diperap bersama rempah Arab terpilih itu serta merta membuka selera aku. Nasi putih masih berasap tipis. Fuh, sedapnya!

Sedar tak sedar, licin aku kerjakan. Puding kurma dan sos karamel yang disajikan bersama itupun telah aku korbankan. Dashyat juga bila pagi-pagi buta begini pun aku masih berselera.

“Menjilat jari sungguh menunya,” omel aku sambil tersandar kekenyangan.

Rayyan di sebelah sedang mengunyah cokelat hitam yang diberikan sekali. Aku pula masih cuba menghabiskan air teh di dalam cawan.

“Siapa yang ambil kita di airport nanti? Haikal ke?” Aku bertanya.

Lampu kapal terbang sudah dimalapkan kembali. Kebanyakan penumpang kembali menutup mata. Ada juga yang masih setia menggunakan khidmat skrin monitor di hadapan untuk menonton wayang, mendengar lagu ataupun bermain games.

Rayyan menggeleng perlahan. Dia menyilangkan tangan sambil menjawab, “Haikal ada kelas. Kemungkinan besar Aunty Yani yang jemput. Adik perempuan sebelah mummy.”

Aku mengangguk kecil. Ah, terasa rindu pula pada rumah yang ditinggalkan sekian lama! Kata mama, Pak Cik Wan dan isterinya masih setia menjenguk rumah kami itu setiap bulan.

Mujurlah ada mereka. Kalau ikutkan hati aku, nak saja aku suruh mama jual rumah tersebut semasa kami ambil keputusan untuk berpindah ke Dublin.

Namun, mama membantah kerana di situlah terpahat kenangan lama dia membesarkan aku dengan susah payah. Pak Cik Wan dan isterinya bersetuju untuk terus membantu mama menjaganya sehingga kami pulang kembali.

Mata aku terasa semakin layu apabila tiba-tiba saja Rayyan bertanya, “kalau kau jumpa lelaki tu kat airport, apa kau nak buat?”

“Mustahillah aku nak jumpa.”

Rayyan tergelak kecil sebelum menyambung kata, “habis tu tahun lepas kau boleh pula jumpa dia kat airport Dublin, kan? Itu lagi pelik! Ada ke dalam banyak-banyak airport kat dunia ni, dia boleh muncul kat sana?”

Giliran aku pula yang tergelak. Pelik. Memang pelik. Aku tak kisah sangat kalau terserempak atau terpandang macam tu saja. Masalahnya ini disertai dengan senyuman macam dah kenal lama!

“Kalau aku jumpa juga, kan…”

Rayyan memandang aku dari tepi sambil menunggu jawapan yang akan berikan. Sejujurnya aku pun tak tahu nak buat apa.

“Aku nak tanya dia kenal aku ke?”

“Baguslah kalau kau nak tanya. Tak adalah hidup kau dalam misteri lagi,” ujar Rayyan.

“Aku rasa taklah. Mesti tak akan jumpa. Silap-silap dia dah pindah Dublin. Itu sebab aku jumpa dia tahun lepas.” Aku berkata penuh yakin.

“Emm…”

Aku menoleh ke arah Rayyan yang tidak memberikan reaksi. Cis! Dah lentok rupanya. Penat aje aku bercakap!

******************************

FAIQ memandang jam di pergelangan tangan. Sudah hampir jam empat petang. Lelaki itu menunggu ayahnya check-in bagasi di kaunter penerbangan MAS.

Sesekali dia melihat panorama ratusan manusia yang sibuk dengan urusan masing-masing di KLIA. Ada pelbagai jenis bangsa dan gelagat yang dapat dilihat dari tempat duduknya.

Faiq segera bangun apabila melihat kelibat ayahnya. Waktu penerbangannya ke Beijing adalah pada jam enam petang. Dia pasti ayahnya akan terus masuk ke balai pelepasan sekejap lagi.

“Ayah masuk dulu. Kamu baliklah. Minggu depan ayah confirm semula flight pukul berapa balik sini.” Firdaus berkata sambil memeriksa semula tiket dan pasport antarabangsa di tangannya.

“Okey.” Faiq menjawab ringkas seraya menghulurkan tangannya untuk bersalam.

Faiq menghantar ayahnya sehingga ke balai pelepasan. Setelah melambai ringkas, dia kembali melangkah untuk pulang.

Dia sempat menyinggah di Café Barbera yang berada tidak jauh dari situ untuk membeli Cappuccino buat habuan tekaknya yang dahaga.

Faiq menyusuri deretan kedai yang ada di KLIA dengan perlahan. Hatinya berdetik untuk terus pulang saja ke rumah tanpa menyinggah pejabat.

Lagipun, hujung minggu nanti tiada majlis besar yang akan berlangsung. Semuanya majlis kecil dan diuruskan oleh Shahmi dan Eryna. Sebagai ketua syarikat, Faiq akan turun padang bila ada apa-apa masalah yang timbul dan tidak dapat diselesaikan oleh anak-anak buahnya.

Tiba-tiba matanya tertancap ke arah seseorang yang amat dikenalinya. Senyumannya kian melebar apabila mereka semakin menghampiri di antara satu sama lain.

“Assalamua’laikum!”

“Wa’alaikumsalam… Faiq! Apa kau buat kat sini?”

Faiq segera memeluk erat sahabat baiknya, Razif yang sudah lama tidak ditemuinya.

Return for good?” usik Faiq tanpa menjawab soalan Razif.

“InsyaALLAH. Aku dah balik seminggu dahlah. Tak sangka jumpa kau kat sini!”

Lelaki yang rendah sedikit daripada Faiq itu menjawab penuh girang. Sudah hampir dua tahun dia menghilang ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana.

“Lah, kenapa tak bagitahu aku? Alhamdulillah. ALLAH pertemukan kita berdua. Aku baru ingat nak hubungi kau. Lama betul kau senyap.” Faiq berkata seraya menarik Razif yang sebayanya itu ke tepi apabila tiba-tiba saja ada sekumpulan manusia yang lalu di situ dengan troli masing-masing.

“Sibuk sangat. Sesekali aku ambil peluang pergi keliling Europe. Itu sebabnya aku tak balik Malaysia,” jawab Razif sambil tersenyum.

“Eh, habis tu kau datang sini kenapa?” soal Faiq.

“Oh. Aku nak ambil kawan aku yang tinggal sekali dengan aku di UK dulu. Dia baru balik hari ni, flight dari Dublin.”

“Jam berapa sampai?” Faiq menyoal sambil matanya masih memerhatikan keadaan sekeliling.

“Rasanya dah landing. Aku tengok di skrin tadi tapi dia tak ada telefon atau mesej.”

Faiq mengangguk sebelum menjawab, “ke kau nak tunggu dia kat depan pintu ketibaan? Jomlah. Sambil tu boleh kita sembang-sembang.”

Mereka berdua terus melangkah ke balai ketibaan yang terletak di tingkat tiga. Pertemuan mereka berlangsung semasa masing-masing sedang melanjutkan pelajaran di Seoul National University.

Walaupun Faiq di dalam jurusan perniagaan dan Razif pula di bidang komunikasi, persahabatan mereka erat kerana banyak bertemu di majlis-majlis yang dianjurkan oleh pelajar beragama Islam di sana.

Mereka berbual dan bertukar cerita. Sesekali terdengar tawa yang tercetus di antara keduanya apabila teringat kenangan lama.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.