Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,898
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1

TERLALU sejuk! Itulah yang timbul dalam kepala sebaik saja aku membuka pintu kereta milik Mrs Ciara yang baik hati untuk menghantar aku ke Stephen’s Green Shopping Complex ini.

Mujur juga dia mahu jumpa kawannya di Science Gallery Dublin yang terletak tidak jauh dari sini. Alang-alang, dia suruh aku tumpang keretanya sekali. Nak suruh aku berjalan kaki dalam cuaca sejuk? Fuh! Agaknya aku sempat jadi ais kristal di tengah jalan sebelum sampai!

Slán go fóill. Go raibh maith agat!” Aku memandangnya sambil mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih.

Bí curamach!” Mrs Ciara membalas dan berpesan agar aku berhati-hati ketika keluar daripada kereta.

Aku mengangguk pantas dan terus berjalan ke arah pintu masuk kompleks membeli-belah yang masyhur di bandar Dublin ini sebelum angin sejuk mencucuk sehingga ke tulang hitam.

Aku memang suka datang sini. Mungkin kerana ia terletak dekat dengan rumah. Dekorasi dalamannya juga klasik. Bumbungnya transparent dan yang paling menarik deria mata aku adalah jam yang tergantung di bumbung. Besar gedabak okey! Tak perlu susah-susah nak membelek jam di tangan ataupun telefon bimbit untuk melihat masa.

Ah, lega! Aku menarik nafas panjang setelah membuka kot tebal berwarna krim lalu menyangkutnya dilengan. Hawa sederhana di dalam bangunan ini serta-merta meninggikan semula suhu badan.

Entah kenapa, musim sejuk tahun ini terasa begitu dingin. Nampak sangat tubuh badan separuh Irish, suku Arab dan suku Melayu ni tak mampu nak menanggung cuaca sejuk walaupun dah hampir empat tahun duduk di Dublin, Ireland.

Aku menghalakan kaki ke pasaraya Boots untuk membeli sedikit keperluan rumah. Ikutkan hati, lepas singgah Dublin Studio Photography tadi, aku nak balik ke rumah tapi memikirkan di rumah pun tiada sesiapa, ada baiknya aku pergi berjalan-jalan, kan?

Maklumlah, tengah tak ada kerja ni bolehlah merayap. Cuba kalau ada kerja, nak jeling kedai serbaneka pun tak sempat! Namun, bila memikirkan tidak lama lagi aku bakal menjejakkan kaki semula ke Malaysia, aku jadi lemah.

Hmm. Susah hati rasanya bila mengenangkan tanah air sendiri. Nama saja Airin Zulaikha Shane dan biarpun kat dahi ni pun dah ada cop warganegara Malaysia, aku rasa masih canggung duduk di sana berbanding di sini.

Aku menyusuri koridor pusat membeli-belah ini dengan perlahan sambil tersenyum kelat bila teringat lagi sebulan aku akan pulang semula ke Malaysia. Walaupun sahabat baik aku, Dura melompat-lompat kerana terlalu rindukan aku, tapi entah kenapa aku belum bersedia.

Amsyar. Apa khabar agaknya dia? Lepas dia memutuskan perhubungan kami empat tahun lepas, dia terus senyap. Mustahil dia tak rindukan aku, kan? Aku pula sengaja menahan diri daripada terus menghubunginya. Yalah, orang dah tak nak. Buat apa kita nak terus menagih simpati, betul tak?

“Ju! Juju!”

Spontan, aku berhenti padahal pasaraya Boots terletak beberapa langkah saja lagi. Aku menoleh ke sebelah kanan. Hmm, tak ada sesiapa pun melainkan seorang dua manusia berkulit putih.

“Airin Zulaikha Shane!”

Langkah aku mati sekali lagi. Siapa pula yang bertuah panggil nama aku tu?! Bunyi langsung tiada slang Irish. Aku memandang kiri dan kanan. Betul! Tiada sesiapa yang aku kenali.

Ilusi aje kot. Ah, biarlah. Baru saja aku nak melangkah semula, tiba-tiba terasa shawl yang aku pakai ditarik lembut. Pantas, aku berpusing ke arah belakang.

“Rayyan!”

Anak muda yang tingginya sejengkal daripada aku itu ketawa. “Isk! Penat aku panggil tapi kau jual mahal!”

Aku memukulnya perlahan sebelum tergelak. “Cubalah kau bagi salam dulu! Ini tak, main jerit je. Aku ingat jejaka Irish manalah nak tackle tadi.”

Rayyan Ziqri ketawa besar. Aku menggeleng kepala memerhatikan dua pupu aku seorang ini. Dia muda tiga tahun daripada aku tetapi kami lebih selesa membahasakan diri dengan panggilan ‘aku’ dan ‘kau’.

“Kau buat apa kat sini?”

“Aku kahwin dulu!” Aku terus memekik setelah menyedari kami bertanya soalan yang sama dengan serentak.

Orang-orang tua kata kalau dua orang yang sedang berbual tercakap ayat yang sama, salah seorangnya akan kahwin dulu. Kalau ikutkan, mana boleh percaya semua benda itu kerana soal jodoh dan ketentuan takdir, semuanya milik ALLAH.

Namun, adakalanya aku gemar mengusik Rayyan yang sudah dianggap seperti adik. Kehidupan aku yang hanya mempunyai seorang ibu membuatkan aku teringin untuk ada adik-beradik sendiri.

No, no, no…” Rayyan menggelengkan kepalanya sambil menunjukkan jari telunjuknya di hadapan mata aku.

Aku hanya membuat muka dan kemudian menoleh ke sebelah kanan setelah nampak seseorang sedang menghala ke arah kami melalui ekor mata.

“Eh, Haikal? Bila kau sampai?”

“Hai Ju! Baru semalam,” jawab Haikal, abang kepada Rayyan walaupun mereka lahir pada tahun yang sama.

Aku mengangguk perlahan. Kami masih lagi berdiri di koridor. Sebenarnya, aku sendiri pun lupa untuk ke pasaraya. Ini semua gara-gara mereka berdua yang tiba-tiba saja muncul.

“Kau tengah cuti ke atau curi tulang ni?” Haikal bertanya selamba.

Aku menyilangkan tangan sambil menjawab ringkas, “aku dah berhenti.”

“Aik? Tak tahu pun?” Rayyan berkata.

“Perlu ke aku bagitahu semua?” Aku mengusiknya.

“Zulaikha!”

Aku menoleh ke arah suara seorang wanita. “Eh, aunty! Aik, uncle pun ada?”

Ibu Rayyan dan Haikal muncul bersama suaminya yang merupakan sepupu mama. Aku menyalami dan memeluk ibu saudara sepupu aku yang dipanggil Aunty Hanani itu.

“Ju buat apa kat sini?” Aunty Hanani bertanya.

“Nak pergi beli barang sikit. Aunty dari mana?”

“Kami baru lepas lepak. Ni nak balik dah. Eh, malam nanti pesan dengan mama, datang rumah ya. Aunty nak buat makan-makan sikit. Ada surprise news!” Aunty Hanani berkata dengan girang.

Aku mengerutkan dahi. “Surprise? Aik, lain macam saja bunyinya?”

Uncle Hawwari ketawa lalu berkata, “someone’s getting married!”

What?!” Aku membuntangkan mata sambil terus memandang Rayyan dan Haikal silih berganti.

Surprise!” Haikal mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas sambil membuat mimik muka yang lucu.

“Oits! Mana boleh langkah bendul!” Aku mengusik.

Aku memandang AuntyHanani kembali. “Aunty, siapa yang nak kahwin?”

“Eh, jangan bocorkan rahsia dulu mummy. Suruh dia datang malam ni,” kata Rayyan.

Aku menjeling ke arahnya dengan tajam. “Yalah, aku datang malam nanti. Okeylah aunty. Ju nak pergi beli barang. Lepas tu baru Ju nak balik.”

“Mummy baliklah dulu dengan daddy. Ray nak berjalan lagi kat sini dengan Haikal. Ju, kau bawa kereta ke tak? Kalau tak, kami hantar kau balik sekali.” Rayyan berkata.

“Alhamdulillah!” Tersengih-sengih aku memandang Rayyan. Musim sejuk macam ni memang aku rasa lebih bersyukur kalau ada orang boleh hantar sampai depan pintu rumah!

Setelah Aunty Hanani dan Uncle Hawwari beredar, kami bertiga melangkah ke dalam pasaraya Boots. Haikal berjalan laju ke hadapan, entah apa yang dikejarnya.

“Kau nak balik Malaysia semula dah?” Soalan Rayyan membuatkan aku terdiam.

“Mana kau tahu?”

“Aku agak je. Kalau tidak, kenapa kau berhenti jadi photographer kat Dublin Studio Photography tu, kan?” Rayyan menyoal lagi.

“Hmm. Mama kata kawan dia ajak buka syarikat di sana. Ikutkan hati, aku nak tinggal kat sini. Tapi kasihan pula nanti mama tinggal seorang diri. Sebagai anak tunggalnya, aku menurut saja Ray…” Aku menarik nafas panjang sambil terus membelek beberapa jenama sabun mandi di rak-rak yang tersusun rapi.

Kami berdua terdiam seketika. Rayyan turut melihat beberapa barangan keperluan bilik mandi sebelum menyambung perbualan.

“Kau masih merajuk?”

Aku tergelak kecil. “Hisy. Tak kuasa! Dah empat tahun pun Ray. Cukup lama buat aku lupakan semuanya.”

“Ju, kau tak payah tipu aku. Perempuan ni kalau dibiarkan dengan perasaannya, sepuluh tahun pun belum tentu dia mampu lupakan cintanya, betul tak?” Rayyan serkap jarang.

“Hmm…”

“Tengok tu. Kan aku dah cakap?”

Aku mengeluh lagi. “Yalah, kau menang. Yang kau tu bila nak habis merajuk?”

“Kenapa pula dengan aku?” Rayyan menyoal tanpa menjawab soalan yang aku berikan.

“Jangan buat Auni Hafya tertunggu-tunggu. Nanti dia jumpa orang lain, mengangalah kau jawabnya!” Aku berkata dan terus berjalan menuju ke rak yang menjual ubat-ubatan.

Pasaraya Boots lebih tertumpu kepada jualan untuk produk-produk kecantikan dan kesihatan. Biasanya aku lebih gemar datang ke sini berbanding membeli di kedai runcit biasa.

Rayyan mengikuti aku dari arah belakang sambil terus berbual, “aku faham. Itu sebabnya aku nak buat tindakan drastik.”

“Maksud kau?” Aku terus memberhentikan langkah lalu memandangnya.

“Itu kau kena tunggu malam nilah.” Rayyan mengenyitkan sebelah matanya lalu terus tergelak memerhatikan aku yang sudah menarik muka empat belas.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.