KOPI ‘o’ buatan Mak Cik Mah memang
kaw! Dari dulu rasanya sama aje, tak pernah berubah. Pelik betul aku rasa. Ni
kena minta tips ni, getus hati aku sambil terus menghirup kopi yang enak itu.
Cucur
udang melengkapkan lagi hidangan petang kami di ruang tamu. Pak Cik Wan tidak
datang sekali, katanya ada kerja sikit di rumah orang lain. Hanya Mak Cik Mah yang datang
membantu untuk mengemaskan rumah seperti yang selalu dia lakukan.
Aku
mengambil lagi cucur udang sambil mata tertancap ke arah televisyen yang
memaparkan cerita Hindustan, Mujhse Dosti
Karoge. Percintaan bersegi-segi di antara Hrithik Roshan, Rani Mukherjee dan
Kareena Kapoor.
Kalau
tadi merembes air mata aku menyaksikan kisah syahdu mereka, kini perasaan aku
sedang dibuai dengan keenakan cucur udang mama dan air kopi Mak Cik Mah.
Minda
aku terus laju memikirkan plot cerita Hindustan
yang menetapkan percintaan dan halangan keluarga sebagai kisah utama. Kalau
ikut cerita yang sedang aku tonton ni, heronya bersahabat baik dengan
heroinnya.
Hairan
sungguh aku. Macam mana sahabat baik boleh jatuh cinta di antara satu sama
lain? Kalau rasanya lepas tu mereka putus cinta, adakah mereka masih boleh
bertukar menjadi teman baik semula?
“Saya
cuba
redalah Kak Ina. Kasihan tengok Wawa, tapi nak buat macam mana lagi? Dia perlu
utamakan suaminya dulu.”
Kata-kata
Mak Cik Mah terus membuatkan aku terbantut untuk berperasaan lebih apabila tiba
lagu Jaane Dil Mein, setelah Raj mengerti bahawa selama ini Pooja
yang selalu menghubunginya semasa di luar negara, sedangkan Tina pula hanya
buat tidak tahu. Syahdu!
Okey,
mata di televisyen tapi telinga dah berada di antara Mak Cik Mah dan mama. Aku
pura-pura buat tidak tahu walaupun segala yang dibualkan mereka betul-betul
masuk ke dalam deria pendengaran ini.
“Kenapa
jadi macam tu?” soal mama sambil mengerutkan dahi.
Mak
Cik Mah mengeluh. “Suaminya tu ikut cakap mak dia. Semua kerja rumah Wawa yang
kena buat. Hah, sekarang ni dia suruh Wawa berhenti kerja sebab nak suruh duduk
rumah.”
“Hmm,
mungkin ada bagusnya dia duduk rumah, manalah kita tahu kan Mah?”
“Betul,
tapi manalah saya tak kasihan kalau Wawa asyik telefon dan mengadu semua benda
yang dia buat tak kena di mata ibu mertuanya. Dia orang bukan tak ada pembantu, tapi macam
sengaja nak gunakan Wawa,” keluh Mak Cik Mah lagi.
“Habis
tu suaminya takkan langsung tak cakap apa-apa?” Mama bersuara.
Aku
mengetap bibir menahan geram.
Kasihannya Wawa! Muda-muda lagi dah kena macam tu. Ibu
mertuanya tu pun satu hal. Kenapa perlu buli menantu sendiri? Isy, pelik!
Mak
Cik Mah yang muda tiga tahun daripada mama itu menggelengkan kepala. “Akak,
saya baru dengar cerita masa kenduri hari tu, sebenarnya keluarga mertuanya ada
pilihan lain tapi suaminya tak mahu. Dia nak kahwin juga dengan Wawa.”
Terus
aku terkedu daripada mengunyah. Drama! Betul-betul macam dalam drama ni. Aku
lihat mama juga mengeluh. Wawa sudah seperti adik aku, Mak Cik Mah juga telah
menjadi seperti adik mama sendiri selama ini. Cubit paha kiri, paha kanan mesti terasa juga, kan?
“Doalah
banyak-banyak Mah. Doa moga Wawa kuat menghadapinya. Doa juga moga dilembutkan
hati keluarga mereka. Nak buat macam mana kalau dah ini takdirnya.” Mama
berkata perlahan sambil mengusap bahu Mak Cik Mah yang sudah tunduk.
“Saya
faham kak, tapi hati manalah yang tak rasa susah
kalau satu-satunya anak kandung saya
diperlakukan sebegitu oleh mak orang
lain. Sedangkan saya sendiri tak pernah marah
Wawa, inikan pula orang
lain?” Mak Cik Mah sudah mula tersedu.
Alahai, aku menahan air
mata daripada tumpah. Ah, kalau tumpah sekalipun apa salahnya. Mesti dia orang ingat aku terlalu melayan perasaan menonton Hindustan ni.
Kadang-kadang
aku jadi takut untuk berkahwin. Tengoklah macam Mak Cik Mah cerita ni, kalau
tak ada masalah dengan suami, mungkin dengan keluarga suami. Kalau tak ada
masalah dengan kedua-duanya, mungkin masalah berpunca daripada diri sendiri.
Pokoknya, hidup ini sentiasa ada naik turunnya. Mungkin
hari ini kita bahagia dan esok kita derita. Ataupun kini kita bersedih,
hari-hari akan datang kita gembira. Berdoalah kepada ALLAH Yang Satu semoga hati akan terus
tabah.
Aku
nak kahwin tapi aku jadi takut bila selalu sangat nampak isu rumahtangga. Bukan setakat di suratkhabar, malah di
majalah dan di internet pun dah berlambak. Macam mana nak cari the right
person? Kalau tengok orang
tu perfect, silap-silap dia kaki pukul pula. Hmm, rumit sebenarnya.
Hati
aku tiba-tiba teringat Amsyar. Kenapa pula masa ni aku nak teringat? Adoi! Rasanya dah lama
aku lupa tapi bila masuk bab perasaan ni, mesti wajah tenangnya yang menggamit
rasa aku untuk kembali berfikir.
Mana
kau pergi sebenarnya Amsyar? Apa sebenarnya yang berlaku? Apakah kita masih ada
harapan? Aku mengeluh berat. Dura kata, kalau Amsyar menyedari hakikat kami
masih mempunyai perasaan cinta yang serupa, dia pasti akan cuba mencari aku. Tapi sampai
sekarang tak ada cerita!
Televisyen
yang masih memaparkan cinta Raj dan Pooja itu
sudahpun beralih menjadi aku dan Amsyar. Satu persatu layar kenangan mula
ditayangkan. Lama-lama, air mata yang aku tahan tadi terus tertumpah tanpa
henti.
“Hisy
Ju ni… Punyalah feeling tengok Hindustan
sampai berjuraian air mata,” teguran mama membuatkan aku terus menyeka
kedua-dua belah pipi.
“Sedihlah…”
Aku berkata dengan nada serak. Cis. Bukan sedih tengok cerita ni, tapi sedih
mengenangkan nasib cinta diri sendiri!
*********************************************************
“KASIHANKAN Wawa tu mama?” Aku
menyoal setelah menyuap suapan terakhir nasi putih bersama sambal sardin dan
sayur kacang panjang bersama telur.
Mama
mengerutkan dahi. “Aik, Ju dengar apa yang kami cerita petang tadi ke?”
Aku
mengangguk perlahan sambil tangan kiri menuang air oren Sunkist ke dalam gelas kaca yang tinggi.
“Ingatkan
khayal tengok Hrithrik Roshan,” usik mama.
“Oh
please!Baik melayan perasaan tengok Robert Pattison.” Aku menggetus
perlahan.
Mama
tergelak sebelum menjawab, “nak buat macam mana Ju, perkahwinan ni memang
banyak risiko yang kita perlu lalui. Dah itu jalan yang perlu ditempuhinya.
Mama harap Wawa akan kuat menghadapinya.”
“Susah
juga kahwin dengan orang kaya, kan? Mesti dia berlagak ataupun dia rasa
Wawa tak layak kahwin dengan anak dia.” Aku berkata dengan nada tidak puas
hati.
“Hisy,
jangan cakap macam tu Ju. Tak semua orang
macam tu. Kita tak baik buruk sangka. Lagipun kita tak tahu apa yang keluarga
tu hadapi,” bebel mama seraya mengangkat pinggan kosongnya ke dapur.
Aku
mengikuti langkah mama sambil terus mengomel, “faham mama tapi dia orang ni kan
ada perasaan macam bangga lebih. Mak Cik Mah kata, dia orang
ada pilihan menantu sendiri, kan?
Hah, mungkin sebab tulah dia orang nak buat sampai Wawa jadi give up.
Betul tak?”
Mama
menggelengkan kepala. “Ju ni banyak sangat tengok drama rasanya. Macam mama
cakap tadi, kita tak tahu cerita. Jadi, jangan banyak spekulasi. Hah, sibuk
sangat nak cakap pasal orang
dah kahwin, yang Ju ni bila lagi nak kahwin?”
Hah,
ambil sebiji! Padan muka aku. Sibuk sangat mengata orang lain, diri sendiri yang kena. Setahu
aku, mama tak pernah sibuk tanya tentang jodoh aku tapi kenapa malam ni pula? Adakah sebab aku timbulkan
isu Wawa ataupun ada sesuatu telah berlaku?
Sambil
mencuci pinggan, minda aku terus berjalan ke beberapa hari lepas, sewaktu aku
bertemu dengan Daddy Daus. Balik tu aku terus
paksa mama bagi aku tengok album lama walaupun tidak banyak gambar kami bersama.
Kata
mama, sempat jugalah aku ada seorang ‘abang’ dahulu iaitu anak Daddy Daus.
Entahlah, aku pun tak ingat langsung bayangan mahupun namanya. Ada juga gambar kami
bersama tapi memang sumpah, aku tak ingat! Hmm, tapi syok juga kalau mama dan
Daddy Daus tu kahwin balik, bisik hati nakal aku.
“Mama,
Daddy Daus tu… eh Uncle Dauslah kan
Ju patut panggil?” Aku berkata sambil keliru sendiri.
Mama
membuka suis televisyen lalu terus duduk di sebelah aku. “Panggil ajelah
apa-apa yang Ju suka.”
“Dia
dah kahwin lain ke mana?” Aku mengusik mama.
“Entah.
Mama tak tanya pula.”
“Isy,
apalah mama ni. Tanya ajelah. Mana tahu kot dia masih seorang duda yang hot.
Bolehlah mama…”
“Hah!
Tak payah nak gatal uruskan
hal mama. Ju tu yang penting!” Amboi, cepat betul mama mengelak soalan!
Aku
terus ketawa. “Alah
mama ni. Okey apa Uncle Daus tu. Masih muda lagi Ju tengok. Handsome!
Lagipun, merasalah Ju ada abang lagi nanti. Teringin juga nak jumpa.”
Mama
tergelak. “Lain macam aje mama dengar? Kata Firdaus, dia tengah nak cari bakal
menantu untuk ‘abang’ Ju tu. Apa kata mama bagi cadangan kat dia supaya pinang
aje anak mama seorang ni? Hah, kan
best!”
“Mama!”
Cis!
Aku baru ingat nak usik mama dengan Uncle Daus, tapi mama pula nak kenenkan aku
dengan ‘bekas abang’ yang langsung aku tak kenal tu. Cis!