Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,889
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 21

RASA berpeluh untuk menyiapkan assignment Bachelor’s Partymilik anak bujang VVIP ini. Rasa terbuntang biji mata apabila melihat persembahan-persembahan yang disajikan. Ngeri! Seksi!

Sesekali aku juga dijadikan bahan usikan mereka. Namun, aku hanya membuat muka serius. Hanya sesekali mengukir senyuman. Kalau ikutkan hati, nak aje aku balik!

Macam ni rupanya parti bujang. Semua yang hadir kebanyakannya lelaki. Aku rasa perempuan yang hadir pun mesti pasangan mereka. Untuk apa parti ni, aku sendiri pun tak tahu.

Kata Faiq, sempena meraikan sahabat mereka yang bakal mendirikan rumah tangganya minggu hadapan. Kenapa perlu sambut? Soalan aku tidak dijawab oleh Faiq.

Aku tahu ada dikalangan tetamu terkejut apabila melihat jurufoto yang hadir ini adalah makhluk perempuan. Tapi… no! I’m not one of the performerokey! Hati aku merengus kecil setiapkali ada yang bersiul tatkala aku mengambil gambar mereka.

Are you okey?”

“No, I’m not!” Aku berkata deras.

Faiq diam. Dia memasukkan kedua belah tangannya ke dalam kocek seluar jeans berwarna hitam. T-shirt berkolar warna putih pula melengkapkan penampilannya.

“Maaf. Saya pun tak tahu macam ni rupa majlisnya.” Faiq berkata dengan perlahan, cukup untuk aku seorang mendengarnya di sebalik alunan muzik sentimental yang dipasang dengan kuat.

Aku menarik nafas panjang. “Tak apa. Lagipun tak adalah teruk sangat. Setakat menari seksi tu, tak ada apa bagi mata-mata lelaki.”

Aku mengerling ke arah Faiq yang menyembunyikan senyumannya lalu berkata, “termasuklah awak, kan?”

Lelaki itu ketawa. “Benda indah dah depan mata awak. Nama pun lelaki, sukar nak ditolak.”

Aku membuat muka tidak percaya. Dasar lelaki betul! Aku menggelengkan kepala lalu menyilangkan tangan. Kamera yang tergantung di leher aku biarkan. Manalah tahu, tiba-tiba saja ada insiden menarik terjadi depan mata.

“Tapi Ju, tak semua lelaki macam tu. Hanya kekuatan iman seseorang itu boleh menghalangnya,” ujar Faiq sambil merapati aku.

“Sekuat manapun iman, hatta ustaz sekalipun boleh tergoda tau. Pokok pangkalnya, elakkan. Bukan relakan untuk memandang.” Aku menepis pendapatnya.

Baju labuh paras lutut yang digabungkan dengan jeans biru muda ini terasa sungguh rimas. Nak kata alat penghawa dingin rosak, mustahil sebab keadaan di dewan kecil ini sungguhlah sejuk!

“Baiklah, awak menang.” Faiq berkata dengan lirih.

Aku tersenyum kecil. “Encik Faiq, bila boleh kita balik?”

“Awak tunggu sini sekejap.”

Faiq berlalu ke arah seseorang yang tidak aku kenali. Mungkin penganjur majlis ini agaknya. Aku mengangkat tali kamera dari leher dan berura-ura untuk memasukkannya ke dalam beg.

Excuse me miss, can you take our photos?”

Aku memandang sekilas pasangan yang menegur itu lalu mengangguk kecil. “Di sini ke?”

“Ha’ah.” Gadis genit yang memakai baju tali halus dan skirt pendek paras peha itu menjawab.

Lantas, aku menghalakan kamera ke arah mereka sebelum tanpa segan silu, mereka membuat aksi yang pada aku sungguhlah tidak senonoh! Aduhai, aku menelan air liur sambil mengambil gambar mereka bercumbu sakan.

Alright, that’s enough. We have to go back now. Thank you.

Tiba-tiba saja aku rasa pandangan mata aku ditutupi oleh tapak tangan seseorang sebelum bahu aku ditarik dengan perlahan ke tempat lain.

“Jom kita balik sekarang.” Faiq bisik.

Aku melihat tangannya sudah memegang beg kamera manakala tangannya sebelah lagi sedang menolak bahu aku keluar dari dewan itu.

“Jangan tengok belakang!”

Serentak dengan kata-kata Faiq, aku terdengar jeritan seorang perempuan dari arah belakang. Terus bergegar jantung! Kenapa cemas sangat aku rasakan situasi yang sedang berlaku ini? Apa sebenarnya yang terjadi?

Faiq menguatkan jemarinya di bahu aku sambil melangkah deras. Aku tak berani nak cakap apa-apa melainkan mengikut kehendak Faiq. Langkah kami semakin laju menuju ke tempat letak kereta. Segalanya berlaku begitu pantas sehinggalah kereta Vios Faiq menghala keluar dari hotel tersebut.

“Kenapa?”

Faiq menggelengkan kepala tatkala memandang aku. Dia membawa kereta dengan perlahan setelah beberapa minit berlalu.

“Faiq, cuba cakap dengan saya. Apa yang berlaku? Awak jangan buat saya saspens.” Aku mengetap bibir.

“Ada pergaduhan jadi masa awak tengah sibuk ambil gambar couple tu. Kebetulan saya nampak ada beberapa orang pegang pistol di sebalik kot baju mereka.”

Aku menelan air liur. Pistol? Ya ALLAH!

“Kenapa pula macam tu? Saya tak faham.” Aku memandang ke arah pemandangan luar yang kelam. Tak salah aku, Faiq sudahpun memasuki lebuhraya MEX.

Faiq mengeluh kecil. “Saya tak mahu kita terlibat kalau ada apa-apa terjadi. Sejujurnya, saya tak sedap hati sepanjang majlis ni tadi tapi memandangkan saya dah janji nak tolong Shahmi, saya terpaksa juga cari jurufoto. Maafkan saya.”

“Tak apalah. Benda dah nak jadi. Maksud awak, ini kawan Shahmi punya majlis ke?”

“Tak, jurugambar yang dia orang lantik tu kawan Shahmi. Dia sendiri pun tak tahu agaknya pasal majlis ni.”

Aku menarik nafas panjang. Sekiranya benar apa yang Faiq nampak tadi, aku sepatutnya bersyukur panjang kerana apa saja boleh terjadi. Hmm, tak sangka tapi inilah cabaran hidup.

“Awak nak balik terus?” soal Faiq.

“Saya lapar. Jom singgah makan dulu boleh tak?” Aku memberikan cadangan tanpa segan silu.

Faiq tersenyum sambil mengangguk. “Awak nak makan apa?”

“Awak? Ada apa-apa yang awak teringin nak makan?”

“Semua benda saya makan kecuali batu dan kayu.”

Aku tersengih. “Kalau macam tu, awak singgah tepi pantailah.”

“Huh? Pantai tu nak buat apa?” soal Faiq.

“Makan pasir. Awak boleh makan pasir, kan? Sebab batu dan kayu aje awak tolak.” Aku menjawab selamba.

“Zulaikha!”

Aku ketawa besar, sengaja mahu menenangkan sedikit diri kami untuk keluar daripada bayangan bahaya sebentar tadi. Aku tak mahu tahu apa akan terjadi sekiranya kami masih di sana. Moga segalanya baik-baik saja.

“Kasihan kat kita berdua. Tak sempat nak makan.” Faiq berkata setelah keadaan menjadi sunyi seketika.

Aku tersenyum kecil. “Kerja nombor 1. Makan nombor 2.”

“Tu prinsip awak ke?”

“Tak adalah. Tu melanggar hukum alam namanya tapi itulah yang selalu terjadi. Kalau masa orang kahwin lagilah. Sedap aje tengok dia orang mengunyah sedangkan masa tulah kita bertungkus-lumus ambil gambar dia orang.” Aku membebel.

“Samalah macam saya. Masa buat event orang lain, memang tak akan ingat masa makan. Segalanya kena pantau supaya berjalan lancar.” Faiq berkata.

Aku mengangguk. Benar katanya, kerja macam kami ini perlu melunaskan tanggungjawab dahulu sebelum menguruskan diri sendiri. Entahlah, aku sendiri tak pasti kenapa tapi itulah hakikat yang perlu dihadapi.

Aku perasan, antara aku dan Faiq banyak persamaan. Kata lelaki itu, dia juga anak tunggal dan hanya ada ayah yang menyara hidupnya. Sama seperti aku, cuma yang membezakannya, aku ada mama.

“Bila awak nak singgah office saya?” soal Faiq.

“Buat apa?”

“Buat apa?” Faiq bertanya semula sambil mengerling ke arah aku yang kemudiannya mengangguk.

“Saja. Sebagai teman sekerja dan juga kawan, awak patut singgah. Tanya Ray, dia selalu singgah. Bukannya jauh pun. Sekangkang zirafah saja.”

Terburai ketawa aku apabila mendengar omelan Faiq. “Sekangkang zirafah? Saya tahulah office awak tu tinggi bak zirafah, tapi mana boleh awak suka-suka saja tukar simpulan bahasa macam tu aje?”

Giliran Faiq tergelak. “Eh, biarlah. Suka hati saya. Bukannya ada orang nak saman.”

“Hisy. Nantilah saya singgah… kalau rajin.”

“Singgah ajelah hari Isnin ni. Saya nak tunjuk awak portfolio syarikat. Nanti awak boleh tengok koleksi gambar daripada jurufoto-jurufoto Fashion Queen sebelum ni yang bekerja dengan saya. Manalah tahu, boleh dapat idea.”

Amboi dia ni. Beria sungguh mengajak aku pergi naik office. Ada emas berlian ke kat sana? Aku mengingatkan diri supaya singgah nanti sebelum telinga aku dihambat dengan pertanyaan yang sama setiap kali kami berjumpa.

“Alah, bukan saya aje yang akan bekerja dengan awak. Jurufoto lain kan ada? Lagipun, kita akan tengok siapa yang free untuk tolong jadi jurufoto majlis yang awak kendalikan.” Aku bercakap sambil menguap.

Mata aku terbuka dengan luas apabila tapak tangan Faiq hinggap ke mulut aku ketika menguap. “Tak baik menguap tak tutup mulut,” ujarnya.

Aku jadi termalu pula. Biasanya aku tutup aje mulut bila menguap. Entah kenapa, hari ini jadi tak malu. Agaknya dah selesa dengan Faiq. Kalau di rumah, mama yang akan buat kalau aku tak tutup mulut semasa menguap.

“Memang tak semestinya awak tapi lepas ni saya akan pastikan awak yang jadi jurufoto untuk setiap majlis syarikat saya,” kata Faiq.

“Kenapa pula?” soal aku sambil mengangkat kening.

“Sebab saya suka awak. Eh, maksud saya, saya suka cara awak bekerja. Awak faham maksud sesebuah majlis tu berlangsung. Awak tahu apa yang awak nak dan awak tahu waktu mana yang tepat untuk ambil gambar. You capture the right moment!”

Okey. Terkedu terus aku mendengar pujian Faiq yang melambung-lambung. Padahal baru tiga majlisnya aku ambil gambar. Saja puji ke atau nak ambil hati? Aku mengangkat bahu tanpa membalas apa-apa kenyataan buatnya.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.