Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,878
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 15

MATA aku tak berkelip melihat Faiq yang muncul di hadapan mata. Oh TUHAN! Dari mana pula dia datang? Macam tahu-tahu aje aku tengah cakap pasal dia.

“Ada kerja kat studio ke?” Faiq menyoal Rayyan yang duduk di sebelahnya.

Rayyan menggelengkan kepalanya. “Saja datang. Zulaikha ada temuduga dengan Mr George. Guess what? Dia akan mula kerja minggu hadapan.”

“Ya ke? Tahniah Zulaikha.” Faiq hanya mempamerkan riak selamba.

Aku mengetap bibir. Baru tadi aku bagitahu Faiq dalam telefon. Rasa macam kelakar pula. Aku menjeling ke arah Rayyan. Perlu ke dia ni memberitahu semuanya kepada Faiq?

“Terima kasih.” Aku menjawab ringkas sambil terus mencuit mee wantan yang masih banyak berbaki di pinggan.

“Ju, kau kenalah kenal dengan Faiq ni. Dia bakal jadi bos kau juga.”

Kata-kata Rayyan membuatkan mata aku terus menjadi lebih besar. “Maksudnya…?”

“Fashion Queen bekerjasama dengan dia orang kalau ada apa-apa majlis yang melibatkan jurufoto. Faiq ni bos event management, Happy Eventually. Pejabat dia orang kat atas ni aje Ju,” ujar Rayyan lagi.

Aku pula hanya melopong. Hmm. Hadap sajalah, nak buat macam mana? Apabila teringat saja insiden kenduri tempoh hari, aku mula jadi tak senang duduk.

“Lepas ni jangan segan-segan kalau jumpa saya. Tegur aje. Kalau nak komen event yang kami buat pun tak apa.”

Berdesing telinga aku mendengar kata-kata Faiq. Amboi, macam perli aku je? Ah, biarkan dia Zulaikha. Buat tak tahu. Itu lagi senang daripada fikir pasal perasaan bersalah. Entah-entah dia pun tak ingat apa yang kau cakap dulu.

“Baik.” Aku menjawab ringkas dan terus menghadap makanan.

Rancak betul mereka berdua berbual. Mesti dah kenal lama ni. Aku memandang saja kedua-dua jejaka di hadapan mata. Baru kali ini aku dapat melihat wajah Faiq yang kelihatan sangat bersih dan tenang.

Telefon aku tiba-tiba berbunyi menandakan ada mesej atau emel yang masuk. Tersengih seketika apabila terlihat nama Helmi di skrin telefon. Tak sabar aku nak tahu pandangannya tentang cerita Shahmi yang aku jumpa hari tu!

Assalamua’laikum Zulaikha,

Habislah. Habislah kau! Hahaha! Apalah nasib kau bila sampai Malaysia je dah kena hadap macam-macam masalah. Hari tu cerita Mr. Chipsmore. Lepas tu cerita Shahmi. Isk. Kasihan betul dengan kau ni lah…

Tak semestinya bila kau jumpa Shahmi tu, kau kena ada perasaan benci pada dia. Benda tu kan semua dah lama. Zaman hingusan kita dah berlalu Ju. Kalau ditakdirkan kau jumpa dia sekali lagi, buat tak tahu je. Kau kena tunjuk yang kau tak ada masalah apa-apa pun nak menghadap dia sekali lagi!

Alah, don’t worry about Eryna. Janganlah kau fikir nak terserempak dengan dia pula! Aku risau nanti jadi betul-betul, haru hidup kau nanti. Ke kau teringin nak jumpa? Kalau nak, aku bagitahu dia dalam FB. Hahaha~!

Pandang depan, jangan tengok belakang dah! Jangan layan perasaan kau tu. Malaysia ni panas, nanti hati kau yang sejuk macam kat Dublin dulu boleh bertukar jadi cuaca kat Malaysia ni. Semuanya ada hikmah Ju, aku tahu kau kuat. Jadi, senyum!

Aku, Helmi.

Helmi memang seorang kawan yang baik. Aku terus mengukir senyuman sebelum menutup kembali telefon. Balik rumah nanti baru aku rancang nak membalasnya.

Rayyan ni lama lagi ke nak berborak dengan Faiq? Aku nak kena balik sekarang ni sebab sudah berjanji dengan Dura untuk berjumpa dengannya di rumah.

“Ray, aku nak balik dululah ya? Ada kerja sikit nak buat.”

Aku terus mencelah perbualan mereka berdua. Hisy. Nak tunggu masing-masing diam, entah bila agaknya. Rayyan dan Faiq memandang ke arah aku dengan serentak.

“Okey. Nanti apa-apa telefon aku, okey?”

Aku mengangguk dan terus bangun daripada kerusi. Sempat juga aku memandang ke arah Faiq dan mengukir senyuman buatnya sebelum melangkah pergi.

******************************

“LEPAS tu?” Anak mata Dura bersinar semasa aku menceritakan hal Shahmi kepadanya.

“Lepas tu aku buat tak tahu je dengan dia.” Aku berkata dan kemudiannya ketawa.

Aku mengambil sehiris lagi kuih bakar yang dimasak oleh Dura. Itu kata dialah, tapi aku tak menafikan Dura memang pandai masak sejak di zaman sekolah lagi.

“Alah, kenapa kau buat tak tahu? Isk, kau ni. Cubalah korek cerita kawan-kawan lama ke…” Dura membuat muka.

“Isk, nak buat apa?”

Dura mengeluh. “Yalah, kau kata bila kau balik sini kau tak ada kawan. Itulah peluang kau nak kawan balik dengan dia orang semua.”

“Ah, tak kuasalah aku. Cukuplah aku ada kau aje kat sini.”

“Weh, aku bukannya boleh melayan kau selalu. Mana aku nak campak encik suami aku?”

Aku ketawa kecil. Lupa pula budak seorang ni dah bersuami! Walang sungguh hati aku tahun lepas bila tak dapat bersama-samanya di hari bahagia.

“Tak apa. Dia faham. Lagipun kau bukannya kerja. Duduk rumah goyang kaki. Bolehlah aku datang bertandang,” usik aku lagi seraya mencapai mug berisi air kopi susu.

Dura yang duduk bersila di atas sofa itu memandang saja aku tanpa berkelip. Dia berkata, “lepas kau kerja nanti susahlah sikit. Kau pun cuti masa hujung minggu. Masa tulah juga aku keluar dating dengan encik suami.”

“Telefon ada.”

“Isk, budak ni… Ah, kau nak tak aku kenalkan dengan kawan-kawan encik suami aku?” Dura menggiat.

“Huh? Buat apa?”

“Hoi, berkenalanlah sikit! Manalah tahu, tersangkut mana-mana jurutera nanti.”

Aku mengangkat bahu. “Malas.”

Dura menggelengkan kepalanya. Aku pula masih mengunyah sambil melihat kediaman apartmennya yang agak luas untuk kehidupan mereka berdua.

“Apa kau nak buat sekarang?” Dura bertanya.

“Kerja. Kumpul duit. Lepas tu keliling dunia.” Aku menjawab ringkas.

Aku perasan Dura membuat muka lagi sebelum dia mencapai getah di atas meja lalu mengikat rambut ikalnya menjadi ikatan tocang.

“Kahwin?”

Aku menggelengkan kepala. “Tiada di dalam prioriti setakat ini.”

“Tak nak cari?”

“Tak nak.”

Akhirnya Dura terdiam. Aku pula tersengih kerana berupaya mengusik sahabat kesayangan aku itu. Mukanya mencuka kerana tidak dapat meyakinkan aku dengan idea gilanya untuk membuat blind date.

“Dura, rileks. Nanti sampai masa, kahwinlah aku. Aku dah niat, bila pijak je balik tanah Malaysia ni, aku nak lupakan semua. Macam bayi baru lahir, semuanya pengalaman baru. Fikirkan macam sebelum ni aku tak pernah wujud kat Malaysia.” Panjang lebar aku berkata kepada Dura.

Teman baik aku itu hanya mengangguk. “Ikut kaulah Ju. Nak kahwin ke, tak nak kahwin ke, bukan effect hidup aku pun, kan?”

Aku membulatkan mata apabila ayat Dura kedengaran seperti memerli aku. “Nanti tiba masanya kau pasti nampak aku bersanding dengan bakal encik suami aku pula. So, don’t worry.”

Dura memandang aku tanpa berkelip. “Worrylah sengal! Kita kan dah janji untuk sehidup semati dulu masa di sekolah.”

“Kalau macam tu, kau bagi aku tinggal sinilah. Ataupun…”

Fikiran aku menjadi nakal seketika. Nak saja aku usik, kita bermadu okey tak? Silap-silap ada esok keluar berita seorang gadis dicampak keluar daripada apartmen bestfriendnya setelah melamar untuk menjadi madunya!

“Atau apa?” soal Dura termangu-mangu.

Aku cepat-cepat menggelengkan kepala. Mana boleh tanya hal tu. Sensitif! Daripada berkawan nanti boleh bertukar jadi lawan.

“Okeylah. Kalau kau rasa ada yang sesuai untuk aku, kenalkanlah. Tapi!”

Wajah Dura bersinar-sinar apabila mendengar ayat aku. Amboi, teruja benar! Matanya berkelip-kelip menandakan dia tidak sabar menunggu sambungannya.

“Tapi, tak semestinya aku terima tau!” Aku mengacahnya.

“Okey! Janji kau ada hati untuk terima lelaki baru, itu dah cukup buat aku.”

Terburai ketawa aku mendengarnya. “Kau ni mengalahkan mama. Dia pun tak bising kenapa aku nak kahwin tapi kau pula lebih-lebih.”

Giliran Dura tergelak. “Alah, senang sikit kalau kau berteman. At least boleh buat double date dengan aku dan encik suami!”

Aku hanya membuat muka bosan sementara Dura pula masih sibuk dengan angan-angannya untuk mencari calon yang sesuai untuk aku. Apa-apalah Dura, janji kau bahagia.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.