Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,931
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7

FAIQ melipat sejadah lalu digantungkan di tempat penyangkut. Lelaki itu menjeling ke arah jam dinding. Sudah hampir 6.30 pagi. Dia menuju ke arah almari pakaian dan berura-ura untuk mengambil baju senaman yang biasa dipakai.

Anak mata Faiq menangkap kerlipan lampu daripada telefon Samsung S3 miliknya. Dahinya berkerut perlahan. Siapa pula yang menghantar mesej pagi-pagi buta di hujung minggu ini? Telefon Iphone di sebelah Samsung itu dijeling pula.

Selalunya kalau telefon jenama Samsung yang bernyala, bermaksud ada pesanan baru akan masuk. Faiq segera mengambil telefonnya yang terdampar.

Airin : Hi dear. I nak order pencil box yang nombor kodnya 03 tu boleh? Ada lagi tak? It’s so cute!

Lelaki itu melebarkan senyuman. Pelanggan setianya! Dia tahu gadis yang bernama Airin itu tinggal di Ireland berdasarkan alamat penghantaran.

Faiq : Ya, masih ada. Okey dear. You nak I hantar bila?

Airin : As usual, after I bank-in. Alamat pun sama. Boleh?

Faiq : Of course boleh! Alright dear, thanks a lot. Nanti bila you dah bank-in, bagitahu okey?

Airin : Thanks so much!

Faiq menarik nafas panjang. Susah juga nak berlagak jadi macam orang perempuan ni rupanya! Lelaki itu duduk di birai katil sambil mengetap bibirnya. Pada mulanya dia berasa canggung untuk memulakan perniagaan yang merupakan hobinya itu. Maklumlah, nanti terkejut pula pelanggannya apabila mengetahui tuan punya instagram bubblyknititu berjantina lelaki!

Puas dia melakukan sedikit researchdi laman-laman instagram lain untuk melihat cara mereka membalas sesama sendiri. Dari situ, dia belajar mengenai sikap seorang ‘perempuan’ ketika melakukan urusan niaga.

Airin adalah salah seorang daripada ribuan followers instagramnya yang sering membuat pesanan. Walaupun gadis itu tidak pernah memuat naik gambarnya di dalam profil instagram mahupun WhatsApp, Faiq pasti Airin adalah seorang gadis.

Tidak lama kemudian, dia bangun lalu membuka sebuah almari yang menempatkan barangan hobinya di masa lapang. Almari tersebut penuh dengan benang kait dan produk-produk yang dimuat naik ke laman instagramnya. Walaupun hanya setahun beroperasi, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Namun, tiada sesiapa pun tahu rahsianya melainkan dia dan ayahnya saja. Itupun mujurlah ayahnya buat tidak tahu bila dia ternampak Faiq leka dengan benang-benang kait di tangannya. Kadang-kala, ayahnya juga menjadikan produk mengaitnya sebagai hadiah untuk anak-anak sahabatnya.

Itu hanyalah hobi Faiq. Hobi yang mendatangkan keuntungan yang tidak disangka. Faiq sendiri tidak faham mengapa dia suka mengait walaupun jiwanya kental seperti lelaki lain.

Pada mulanya dia sendiri berasa risau tetapi akhirnya dia membiarkan kerana melalui mengaitlah, hatinya menjadi lapang. Namun, Faiq mulai bimbang apa akan terjadi sekiranya dia sudah berkahwin nanti.

Apakah bakal isterinya akan menyokongnya? Ataupun dia bakal ditertawakan? Faiq tidak ingin memikirkannya! Mungkin sebab itulah kenapa hatinya masih belum terbuka untuk mana-mana gadis sekalipun.

“Daddy nak pergi gym juga ke?” soal Faiq setelah nampak ayahnya, Firdaus Lee membuka pintu bilik dan melangkah ke ruang tamu.

Firdaus mengangguk perlahan. “Jomlah, kita pergi sama. Lepas tu kita breakfast di Atria.”

Faiq mengangguk perlahan. Baginya, kehidupan mereka dua-beranak sudah ternyata lebih daripada cukup. Dia bersyukur walaupun membesar tanpa kasih seorang ibu.

“Malam nanti jadi ke kamu pergi Hotel Dynasty?” Firdaus bertanya setelah menekan butang lif untuk ke tingkat lima.

“Jadi.”

“Kenapa tak ambil Dewan Musytari kat bawah ni?” soal ayahnya lagi.

Nada suara Firdaus sama saja sepertimana dia melayan pelanggan-pelanggan hotel yang lain. Tugasnya sebagai Pengurus Besar Hotel Polaris ini menyebabkan dia sudah biasa kelihatan tegas.

“Klien tak ada budget,” jawab Faiq dengan ringkas sambil memandang nombor-nombor lif yang sedang bertukar di setiap tingkat.

“Nama pun five star hotel Faiq, selalunya memang orang-orang kenamaan saja yang mampu buat di sini.” Firdaus berkata dengan suara yang mendatar.

Faiq memandang ke arah ayahnya dari sisi. Dia sendiri kadang-kala tidak dapat menangkap jelas ayat-ayat ayahnya sama ada berbaur sindiran ataupun tidak bermaksud apa-apa.

“Bulan depan ada wedding di Dewan Zuhal ayah. Klien Faiq.” Lelaki itu memberitahu.

Firdaus mengangguk. Dewan Zuhal merupakan dewan terbesar di Hotel Polaris itu dan terletak di tingkat tiga. Ianya juga mempunyai dekorasi dalaman yang paling menarik di antara tiga dewan yang ada. Namanya juga di ambil daripada nama planet yang tercantik di sistem suria.

Tidak lama kemudian, lif terbuka dan mereka berdua melangkah keluar. Tidak ramai orang di gym yang dibuat khas untuk pengunjung hotel dan juga pekerja-pekerja hotel. Mungkin sebab masih terlalu awal.

Faiq dan Firdaus menghala ke arah yang berbeza. Faiq lebih gemar berada di atas treadmill tatkala ini manakala ayahnya menuju ke arah spinning bike.

Sambil memulakan senaman ringan di atas treadmill, Faiq berfikir sendirian. Sejak pulang ke Malaysia lima tahun yang lepas, dia dan ayahnya tinggal di Family Suite di tingkat 25, Hotel Polaris.

Kebanyakan pengurus pelbagai bahagian juga tinggal di tingkat yang sama. Cuma, ayahnya diberikan suite yang lebih besar berdasarkan jawatan yang dipegang.

Ketika ini dia bersyukur kerana tidak perlu berhempas pulas untuk mencari rumah sewa lain. Lelaki itu akhirnya memulakan langkah dengan lebih laju dan menetapkan 30 minit untuk jogging.

*******************************

SOALAN Firdaus membuatkan Faiq terdiam. Dia memandang breakfast plate miliknya yang berisi telur scramble, pancakes saiz kecil bersama madu, dua keping daging ayam salai dan juga salad.

Semangkuk buah-buahan yang terdiri daripada tembikai susu, epal merah dan strawberi turut dihidangkan sekali. Sejurus selepas bersenam, mereka berdua menuju ke Restoran Atria di tingkat dua yang menghidangkan pelbagai jenis menu antarabangsa.

“Daddy nak cari dia di mana?” Faiq bertanya.

“Daddy tengah fikir lagi. Daddy tak tahu kenapa daddy selalu teringatkan dia,” kata Firdaus sambil mengeluh.

Sudah hampir sebulan dia terkenangkan bekas isteri yang pernah dikahwininya biarpun hanya dalam masa dua tahun. Ketika itu Faiq berumur lapan tahun dan Firdaus sendiri tidak pasti sama ada anak terunanya masih mengingati wanita itu ataupun tidak.

“Kenapa daddy nak cari dia tapi daddy tak nak cari mummy?” Faiq bertanya kembali dengan nada bungkam.

Jiwanya terasa sakit dengan sikap ayahnya. Fikiran Faiq kian berkecamuk. Apakah daddy masih mempunyai perasaan terhadap wanita yang pernah dikahwininya itu? Kalau ya, bagaimana pula dengan bekas isterinya dahulu merangkap ibu kandung aku sendiri?

Faiq menyuapkan makanan dengan rasa kelat di anak tekak. Walaupun rasa mual mendengar cadangan ayahnya untuk mencari balik wanita itu, Faiq tetap cuba menghabiskan makanannya.

“Kan daddy dah cakap… Lupakan mummy Faiq. Dia yang tinggalkan kita! Dia yang tinggalkan Faiq!” kata Firdaus dengan tegas sambil terus bangun lalu menuju ke arah kaunter manisan.

Faiq mengeluh berat. Baginya, mummy tetap ibunya yang sebenar. Tiada galang gantinya. Bahkan, wanita yang pernah dikahwini ayahnya selama dua tahun itu langsung tidak dapat memadamkan kasih sayang buat ibunya sendiri walaupun sehingga kini dia tidak mengetahui siapa ibunya yang sebenar.

“Kenapa daddy nak rahsiakan perihal ini lagi daddy? Faiq dah berumur tiga puluh dua tahun. Faiq berhak tahu apa yang berlaku pada mummy!”

Firdaus terdiam sebelum menyuapkan puding karamel ke mulutnya. “Daddy tak nak ingat perkara lama.”

“Daddy… Kalau daddy tak nak, biar Faiq yang cari.”

“Jangan!”

“Kenapa daddy? Apa yang daddy cuba sembunyikan?”

Faiq memandang saja ayahnya yang berbangsa Korea yang fasih berbahasa Melayu itu. Hatinya memberontak untuk mengenali ibunya yang berbangsa Melayu-Filipina selama ini.

“Daddy tak mahu Faiq fikir pasal dia lagi. Faiq patut fikir pasal masa depan Faiq sekarang ni,” jawab Firdaus dengan ringkas tetapi mendalam.

Faiq mendengus sambil meletakkan pisau dan garfu di atas pinggan yang sudah kosong. Ada juga dia bertanya hal yang sama dahulu tetapi daddynya tetap berkeras untuk diam.

“Kalau daddy dah tak boleh terima mummy, biarlah Faiq sendiri yang cari. Dia tu mummy Faiq! Nenek mesti tahu hal ni, kan daddy?”

Firdaus tergamam apabila Faiq berkata tentang neneknya yang berada di Korea Selatan. Bukan setakat neneknya, tetapi seluruh ahli keluarganya juga tahu cerita sebenar.

Tidak. Dia tidak akan sesekali membuka cerita. Yang lepas, biarlah berlalu. Firdaus kini bahagia dengan Faiq walaupun perhubungan mereka tidaklah serapat mana.

“Faiq jangan cuba cari dia semula.” Firdaus berkata sepatah demi sepatah dengan maksud yang mendalam dan hati Faiq pula terus menggelegak.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.