Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,877
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 17

ERYNA mengeluh berat. Di tangannya sudah ada dua projek yang bakal dilangsungkan pada bulan April depan. Sekarang dia baru saja menerima sebuah lagi projek untuk mengadakan festival vendor online pada bulan Julai nanti.

Bukan dia tidak suka, malah dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya syarikat mereka masih diberikan kepercayaan mengendalikan pelbagai majlis-majlis kecil mahupun besar.

Cuma, Eryna rasa tidak betah lagi untuk bekerja di samping Shahmi. Sejak putusnya pertunangan antara dia dan lelaki itu beberapa minggu lepas, Eryna jadi tidak keruan padahal dia mengerti semuanya berpunca daripadanya.

Dia menunggu Shahmi untuk memujuknya kembali tetapi Eryna mula gusar apabila lelaki itu hanya buat tidak tahu. Hanya sesekali menegurnya di pejabat. Itupun kerana hal kerja.

Tipulah sekiranya perasaan cintanya terhadap Shahmi hilang begitu saja setelah sekian lama mereka bersama. Hampir sebelas tahun semenjak mereka di bangku sekolah lagi.

Eryna menyusun kembali kertas-kertas yang berselerakan di atas meja makan di Bistro Ria itu ke dalam fail yang dibawa. Mujurlah klien yang ditemuinya sebentar tadi tidak banyak karenah dan terus saja bersetuju dengan proposal yang dibentangkannya.

Dia memanggil pelayan bistro untuk menyelesaikan bil. Dari jauh, Eryna nampak kereta Kia Forte warna putih milik Shahmi diparkir berhampiran bangunan syarikat.

Anak matanya dikecilkan sedikit apabila ternampak seorang perempuan keluar dari arah tempat sebelah pemandu. Tubuhnya tiba-tiba terasa getar dan darahnya mula mendidih.

Belum sampai sebulan putus, Shahmi sudah ada orang lain? Hatinya membentak. Eryna mengetap bibir apabila melihat mereka berdua masih berbual di tepi kereta dan nampak sungguh mesra. Dengan cepat, Eryna membayar bilnya dan berura-ura untuk menghampiri mereka berdua.

Namun, langkahnya tiba-tiba terhenti di sebalik tiang bangunan, tidak jauh daripada mereka berdua. Dahinya berkerut. Eryna terus menutup mulutnya daripada mengeluarkan suara apabila wajah perempuan yang berada di sisi Shahmi itu jelas kelihatan. Airin Zulaikha!

Eryna mengetap bibirnya menahan geram. Sejak bila Shahmi mula menjalinkan hubungan kembali dengan Zulaikha? Sejak bila pula Zulaikha kembali ke Malaysia? Kalau tak salah, dia pernah dengar dahulu Zulaikha membawa diri ke Ireland setelah hubungannya bersama Amsyar putus.

Sedang dia berkira-kira untuk ke arah mereka ataupun tidak, Zulaikha berlalu pergi. Tanpa berlengah, Eryna segera masuk ke dalam bangunan dan menuju ke lif. Dia berdoa agar tidak bertembung dengan Shahmi sebentar lagi.

Gadis itu mula terasa wajahnya membahang dengan kehangatan hati. Airin Zulaikha. Berkali-kali Eryna menyebut namanya di dalam hati sehingga menimbulkan kejengkelan.

Eryna bertambah gelisah. Lif masih belum terbuka. Tidak lama kemudian, dia terdengar derap sepatu seseorang. Dia berdebar kerana terbau wangian yang amat dikenalinya.

Shahmi yang baru tiba di situ memerhatikan Eryna yang berdiri kaku. Mereka berdua seperti orang asing kini. Senyuman yang melebar diukir setiap masa dengan Zulaikha tadi terus menghilang. Bayangan silam mereka bertiga menjengah fikirannya.

Lif terbuka. Shahmi dan Eryna masuk ke dalam tanpa sepatah kata. Masa berlalu seolah-olah sudah berjam lamanya walaupun lif hanya mengambil masa beberapa saat ke tingkat tiga. Shahmi segera keluar apabila lif sudah sampai di tingkat yang dituju.

“You pergi mana tadi?” Suara Eryna kedengaran tiba-tiba tatkala Shahmi baru saja mahu meletakkan kad di pintu masuk.

Lelaki itu berpaling ke arah bekas tunangnya. “Kediaman Duta Itali. Kenapa?”

Wajah Eryna nampak lain macam, begitulah telahan Shahmi. Gadis itu mendiamkan diri walaupun sudah mendapat jawapannya.

“Dengan siapa you pergi?” soal Eryna lagi.

Shahmi tersenyum sinis sambil mengeluh kecil. “I pergi seorang. I balik seorang. Kenapa you nak tahu?”

Perasaan Eryna mendidih. Balik seorang? Fikiran gadis itu semakin kusut. Kenapa Shahmi tidak mengaku saja dia pulang bersama bekas kekasihnya dahulu, Airin Zulaikha?!

Mata mereka berdua bertentangan agak lama sehinggalah Shahmi mengambil keputusan untuk masuk terus ke dalam pejabat tanpa menunggu Eryna menjawab. Dia sudah nekad untuk melupakan gadis itu tetapi dia bingung mengapa Eryna masih cuba untuk mengawal tindak tanduknya.

****************************************************************

Julai 2002 : Tingkatan 5 Sains 1

ZULAIKHA merenung dari jauh perbuatan Eryna yang merapati Shahmi di kantin sekolah. Dia baru saja keluar dari Bilik Guru bersama Dura.

“Tergedik-gedik! Macam ulat bulu! Ei…” Dura bersuara sambil menunjukkan riak wajah yang menyampah.

Zulaikha menjeling tajam ke arah Eryna yang sengaja mahu mendekati Shahmi. Bukan dia tidak tahu bahawa gadis yang pernah menjadi sahabat baiknya itu menaruh hati terhadap Shahmi sejak di tingkatan tiga lagi.

Itupun dia dapat tahu daripada Dura yang selama ini menyembunyikan cerita sebenar. Eryna merupakan sahabat baiknya sejak tingkatan satu lagi kerana mereka tinggal berdekatan dan sering ke sekolah bersama-sama.

Terlalu banyak cerita tentang Eryna yang didengari Zulaikha daripada sahabat-sahabat lain. Semuanya tentang sikap Eryna yang suka menceritakan keburukannya. Namun, Zulaikha tidak mempercayainya lantaran sikap Eryna yang sangat baik terhadap dirinya.

“Kau dah nak balik ke atau kau nak pergi library?” soal Dura semasa mereka berdua berjalan di koridor kelas.

“Baliklah. Aku tak ada mood.” Zulaikha membalas dengan penuh kebosanan.

Macam mana nak ada mood belajar kalau teman lelakinya di kantin sedang ligat menggatal dengan Eryna? SPM pula kian menghampiri. Zulaikha tidak ada kuasa untuk melayan perasaannya yang berkecamuk kini.

Dura pula mendiamkan diri. Dia tahu mengapa Zulaikha begitu. Dia tahu tentang cerita Eryna dan Shahmi serta dia juga telah dapat tahu bahawa Shahmi kini menduakan Zulaikha. Cuma dia tidak sampai hati untuk memberitahunya kepada Zulaikha kerana bimbang prestasi pelajarannya akan merosot.

Dura menggelengkan kepalanya dalam diam. Itulah, orang suruh bercinta lepas sekolah. Bila jadi macam ni, risau SPM ke mana, masa depan ke mana, asyik melayan perasaan saja.

Apapun, itu semua sebenarnya bergantung kepada hati seseorang. Kalau dia boleh berjaya bersama orang yang dicintainya, maka itu adalah lebih baik.

“Ika!” Shahmi memanggil dari jauh.

Dura ingin terus melangkah pergi kerana tidak mahu masuk campur hal mereka berdua tetapi Zulaikha pula menarik lengannya.

“Nak apa?” Zulaikha menyoal dengan suara yang keras.

“Kenapa awak tak tunggu saya? Jom, kita balik sama-sama,” ujar Shahmi sambil tersenyum manis.

Zulaikha memandang sekilas ke arah belakang Shahmi dan dia nampak wajah mencuka milik Eryna. Kemudian, dia memandang semula ke arah Shahmi.

“Awak baliklah dengan Eryna! Kenapa awak sibuk-sibuk nak balik dengan saya pula?!”

Dura perasan suara Zulaikha tiba-tiba saja kedengaran nyaring. Dia cuba menarik tangan Zulaikha untuk beredar dari situ. Sementelaah lagi, dia ternampak Eryna mula menghampiri mereka.

“Eh, kenapa dengan awak?” Shahmi cuba memujuknya.

Dura di sebelah Eryna mengetap bibir. Nak saja dia menumbuk Shahmi yang masih berpura-pura itu. Kalau tidak kerana Zulaikha, sudah pasti Shahmi bakal dimakinya.

Zulaikha mengeluh perlahan apabila Eryna muncul di sebelah Shahmi. Gadis itu mengambil peluang untuk bertanya, “you… You kata tadi nak balik dengan I. Jomlah. Kita nak singgah makan dulu, kan?”

Shahmi mengerling Eryna di sisi. Rintik peluh mula kelihatan di dahinya. Baru sekejap tadi dia menyuruh Eryna bersabar sehingga tamatnya SPM tetapi kini apa yang mahu Eryna lakukan? Merosakkan perhubungan mereka berdua dan sekaligus menghancurkan perasaan Zulaikha?

“Hah, ada pun teman awak. Baliklah dengan dia! Yang sibuk sangat nak balik dengan saya ni, apa pasal?” Zulaikha berkata dengan geram.

Shahmi serba salah. Dia memandang ke arah Dura tetapi anak mata gadis itu kelihatan sangat garang sehingga menyebabkan Shahmi kembali menoleh ke arah Zulaikha.

“Ika sayang, jangan macam ni. Eryna, will you…?” Shahmi berkata dengan perlahan kepada Eryna yang berdiri di sisinya.

Seolah-olah mendapat isyarat, Eryna mengetap bibir lalu menghentak beg sandangnya ke lantai. Tanpa sepatah kata, dia terus melangkah ke arah pintu pagar sekolah dengan laju.

Zulaikha mengeluh berat. Dia memandang ke arah Dura dan Shahmi silih berganti sebelum mengambil keputusan untuk pulang. Dura membiarkan Zulaikha berjalan seorang diri sambil diikuti oleh Shahmi.

Gadis itu menyilangkan tangan. Dura sendiri buntu sama ada perlu memberitahu perkara sebenar kepada Zulaikha ataupun membiarkan saja. Dia tersepit kerana mereka semua bakal berhadapan dengan SPM. Dura tidak mahu mereka gagal walaupun pada hakikatnya, perang perasaan mereka sudahpun bermula!

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.