SEBAIK saja aku keluar dari bilik Mr George, ketua
fotografi Fashion Queen Studio, aku disambut dengan senyuman Rayyan. Nasib baik
dia muncul lepas aku habis temuduga. Kalau tidak, mesti habis kena sakat!
“Macam
mana? Okey? Garang tak Mr George tu?” Rayyan bertanya bertalu-talu ketika aku
tiba di hadapannya.
Aku
hanya tergelak. “Okey je.”
“Jom,
aku belanja kau makan,” ajak Rayyan yang nampak begitu kemas dengan baju denim
dan seluar jeans hitamnya.
“Kau
seorang aje ke? Tak bawa Auni?” Aku menyoal.
Kami
terus melangkah keluar dari bangunan Fashion Queen. Matahari bersinar terik di
luar tetapi tidaklah terlalu rasa bahangnya.
“Tak.
Auni ada kerja sikit, dia kirim salam pada kau.” Rayyan berkata.
“Wa’alaikumsalam…”
“Bila
dia orang bagitahu keputusan?” soal Rayyan kembali.
“Oh.
Dah terima pun.” Aku menjawab sambil terus ketawa.
Alhamdulillah.
Terasa lapang terus hati apabila diterima masuk kerja. Kata Mr George, dia kagum
melihat portfolio yang aku bawa. Lagipun, aku dah ada banyak pengalaman
fotografi di luar negara.
“Hah?
Ye ke? Cepatnya! Tahniah Ju! Okeylah, kira aku belanja ni untuk raikan kaulah ya?”
“Alah,
tak mahulah kat bistro. Bawalah aku kat Menara KL ke, Pavilion ke…”
Rayyan
mencebik, “demand!”
Aku
tergelak lagi sambil kami berdua terus masuk ke dalam sebuah restoran yang
terletak di bangunan sebelah Fashion Queen. Ini mesti bakal menjadi tempat
lepak aku selepas ini.
Sambil
melihat menu yang menghidangkan pelbagai jenis masakan tempatan dan
antarabangsa, aku terus mengukir senyuman.
Kata
Rayyan, memang Fashion Queen tengah kekurangan pekerja di bahagian fotografi.
Aku sendiri sebenarnya tak kisah nak kerja kat mana-mana.
Pertama
kali masuk Fashion Queen pagi tadi pun aku dah rasa selesa. Apatah lagi bila
melihat ruang kerjanya yang nampak begitu tersusun. Secara tak langsung, terus
datang rasa gembira. Syukur alhamdulillah dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH
SWT.
Telefon
aku berdering tatkala aku selesai memesan Honey Aloe Vera Ice dan Dry Wantan
Mee. Aku menjeling ke arah telefon dan tertera nama Faiq di situ.
“Assalamua’laikum.”
“Wa’alaikumsalam.”
“Zulaikha,
berkenaan dengan tawaran jurufoto majlis hari lahir duta Itali tempoh hari yang
saya cakap tu, macam mana ya?” soal Faiq di hujung talian.
Aku
menepuk dahi apabila mendengar soalannya. Hisy, macam mana aku boleh lupa pasal
tu? Hmm, kalau majlis tu tak ditunda, mesti aku boleh ambil. Masalahnya
sekarang, aku pun dah dapat kerja.
“Saya
minta maaflah, sebab saya baru saja dapat tawaran kerja. Jadi, rasanya saya tak
dapat nak ambil job tu,” terang aku dengan perlahan.
Ada
timbul perasaan bersalah tetapi itulah, bukan salah aku pun. Kata Faiq, mereka
terpaksa tunda majlis hari lahir itu sebab duta Itali terpaksa terbang ke
negaranya semula pada hari tersebut kerana tuntutan kerja.
“Oh
ye ke? Congratulations! Tak apalah, tak ada rezeki. Awak dapat kerja di
mana?”
Aku
mendengar soalan Faiq sambil memandang Rayyan yang terus tersengih seorang diri
menghadap telefonnya itu. Itu mesti tak lain tak bukan, tengah main mesej
dengan isteri kesayangannya.
“Fashion
Queen Studio.”
“Oh.”
Aku
terfikir sejenak. Faiq ni tahu ke pasal Fashion Queen Studio? Hmm, siapalah
yang tidak tahu mengenai studio glamourni, kan? Terdetik juga rasa
bangga di hati kerana diterima masuk ke dalam sebuah syarikat yang besar.
“Maaf ya…”
“Eh,
tak apa. No need to say sorry.” Lelaki itu berkata.
Aku
pula hanya tersenyum dan tidak lama selepas itu kami memutuskan talian.
Beberapa hari lepas, memang Faiq ada menghubungi aku.
Kata
Faiq, dia memerlukan seorang jurufoto untuk majlis hari lahir. Aku pula ketika
itu memang tengah free, tapi tak ada rezeki pula sebab ianya telah
ditunda.
“Ah,
weh kau kenal Faiq, kan?” Aku terus bertanya pada Rayyan setelah dia meletakkan
telefon bimbitnya kembali di atas meja.
“Faiq
mana?”
“Yang
kita jumpa di KLIA.”
Berkerut
dahi dua pupu aku itu sebelum akhirnya dia mengangguk. “Hah, kenapa dengan
dia?”
“Aku
jumpa dia hari tu kat wedding kawan mama.”
“Oh.
Dia tu kan memang wedding planner. Agaknya dia yang uruskan majlis tu,”
ujar Rayyan sambil menarik gelas tinggi berisi jus tembikai yang dipesan.
Huh?
Wedding planner? Serta-merta aku terbayang perbualan antara aku dan dia
semasa di dalam dewan. Alamak! Dahlah sesedap rasa aku mengutuk majlis tu dulu!
Ya ALLAH! Apa kau dah buat Zulaikha?!
Aku
terus mengutuk diri sendiri sambil meletakkan kepala di atas meja. Malunya!
Kalau betul Faiq yang buat dekorasi majlis hari tu, memang sampai bila-bila aku
tak nak jumpa dia!
“Weh,
kau ni kenapa?” Rayyan menyoal.
Aku
memandang wajahnya dan berkata dengan penuh kesal, “kau tahu tak… Aku pergi
kutuk dekorasi majlis tu depan-depan dia.”
Rayyan
ketawa besar dan menyebabkan beberapa orang yang berada berdekatan kami
memandang. Argh! Terasa nak lari dari sini! Kenapalah mulut ni lantang sangat
bersuara?
“Habis
tu, apa yang dia cakap kat kau?” Rayyan menyoal lagi sambil tersengih.
Wajah
aku jangan ceritalah. Silap-silap dah macam udang kena bakar. Malu bercampur
dengan terkejut! Tapi… Kalau tak salah aku, Shahmi kata dia yang uruskan majlis
kenduri tu. Maksudnya, adakah Shahmi dan Faiq bekerja sekali?
“Dia
tak cakap apa-apa pun. Dia yang tanya pendapat aku. Hah, aku bagitahu aje lah
apa yang aku rasa.” Aku menjawab sambil mencebik.
Ah,
biarlah. Bukannya aku perlu jumpa dia pun lagi. Nasiblah. Dah lepas pun. Malu
tu memanglah ya, tapi memandangkan aku pun bukan kenal dia sangat, jadi tak
payahlah nak gabra semacam, kan?
Rayyan
pula menggelengkan kepalanya berulang-kali sambil mengambil telefon bimbitnya
yang masih terdampar.
Nasib baiklah aku tak tengok kad nama
masa dia bagi tempoh hari. Kalau masa tu aku tersedar, memang lagilah aku malu!
******************************
FAIQ menatap wajah Shahmi yang kemurungan di
hadapan matanya. Lelaki itu menarik nafas panjang setelah mengetahui
pertunangan sahabatnya itu bersama Eryna akhirnya putus di tengah jalan.
Eryna
pula tidak datang kerja hari ini. Pagi tadi dia telah menelefon Faiq untuk
mengambil cuti kecemasan selama tiga hari. Katanya ada hal keluarga yang perlu
diuruskan. Namun, Faiq tidak terkejut jikalau Shahmi yang merupakan punca
sebenarnya.
“Jadi?”
soal Faiq.
“Macam
tulah. Nak buat macam mana. Sedih memanglah tapi ini lebih baik daripada
bercerai,” ujar Shahmi dengan selamba.
Faiq
menarik nafas. Dia bukannya risau perhubungan antara mereka berdua. Dia tidak
peduli sekiranya mereka bercinta atau berpisah sekalipun, janji jangan sesekali
mengenepikan kerja masing-masing.
Baginya,
Shahmi dan Eryna ibarat seperti orang kuat di kiri dan kanannya. Masing-masing
mempunyai kepakaran yang tersendiri. Faiq tidak mahu kehilangan mereka berdua
tetapi dalam masa yang sama, dia juga bersedia sekiranya salah seorang daripada
mereka mahu mengundurkan diri.
“Bertabahlah.”
“Aku
tahu. Dah nak masuk berbelas tahun bercinta pun masih tak boleh faham, nak buat
macam mana? Live must go on.”
“Emm…”
Faiq tidak memberikan sebarang komen kerana bunyi mesej masuk di telefonnya
mengganggu perbualan mereka seketika.
Rayyan : Ray ada di bistro bawah ni. Abang ada kat
office tak? Jomlah turun lepak.
Faiq
tersenyum kecil. Dia mengerling ke arah jam tangan. Jarum jam sudah hampir
menginjak ke angka sebelas pagi. Faiq lantas terus bangun lalu memandang ke
arah Shahmi.
“Kau
kenal Ray, kan? Model Fashion Queen tu. Dia ada kat bawah. Nak ikut aku tak
pergi minum?” soal Faiq.
Shahmi
menggelengkan kepalanya. “Tak apalah. Aku nak siapkan sikit lagi sebut harga
untuk majlis kahwin kawan keluarga aku.”
“Bulan
berapa majlisnya?”
“Mei.”
“Nanti
jangan lupa periksa kalendar, tengok tarikh dulu. Risau nanti bertembung banyak
majlis, tak pasal-pasal kita kena kerat badan,” usik Faiq seraya membuka pintu
bilik.
“Baik
bos!”
Faiq
segera keluar dari pejabatnya untuk ke tingkat bawah. Bagus juga Rayyan datang
sini kerana dia ingin bertanyakan beberapa hal tentang majlis perkahwinan
Rayyan yang akan berlangsung nanti.
Lelaki
itu masuk ke dalam Bistro Ria yang lengang. Dia tersenyum setelah nampak Rayyan
melambainya. Di hadapan lelaki itu ada seorang gadis.
“Oh,
awak rupanya.”
Faiq
menegur Zulaikha yang nampak terkejut. Dia segera duduk di sebelah Rayyan
tetapi matanya tidak lepas daripada memandang Zulaikha yang melarikan pandangan
daripadanya.