Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
174,790
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 11

FAIQ mengetap bibir menahan geram setelah tiba di perkarangan banglo milik keluarga Sheila. Niat hatinya malam ini untuk menghabiskan mengait sepasang pakaian bayi yang ditempah oleh seorang kliennya dari London.

Mujurlah hanya tinggal boot dan beanie yang perlu dikait. Faiq sudah berjanji untuk menghantar pesanan klien tersebut hari Isnin nanti.

“Hi Faiq! Jemputlah masuk. Daddy dan mummy ada dekat atas. Sekejap lagi dia orang turun bawah,” ujar Sheila yang nampak anggun dengan baju kurung suteranya.

Faiq tersenyum lalu mengangguk sedikit ke arah Sheila. Ini semua salah daddynya yang telah berjanji dengan keluarga Sheila untuk makan malam bersama! Hatinya bungkam kerana terpaksa menghadirinya seorang diri.

Lelaki itu mengeluh kecil sambil masuk ke dalam banglo tersebut. Pada mulanya dia mahu batalkan saja makan malam itu dan tunggu sehingga ayahnya pulang dari Beijing. Namun, mesej Firdaus yang mengingatkannya tentang makan malam itu membuatkan dia buntu.

“Apa khabar Faiq?” Syed Ghazali, ayah Sheila yang baru turun dari tingkat atas tersenyum lebar melihat Faiq.

“Alhamdulillah uncle. Saya sihat. Daddy kirim salam.” Faiq berkata sambil tersenyum.

Hatinya berdebar tiba-tiba. Kenapa dia terbayang ada sesuatu yang besar bakal berlaku nanti? Jiwanya mula tidak tenang apabila direnung sedemikian rupa oleh Syed Ghazali.

“Wa’alaikumsalam. Daddy kamu ada hantar mesej pada uncle. Dia terpaksa ke Beijing, kan? Tak apalah, yang penting kamu datang,” ujarnya sambil mempersilakan Faiq untuk ke ruang makan.

Faiq mula rasa tidak senang duduk. Syed Ghazali mengambil tempat di hujung meja makan manakala Faiq di sebelah kirinya bersama Sheila dan isterinya pula di sebelah kanan meja.

Sambil makan, mereka berbual ringan. Sesekali Faiq menjeling jam dinding. Dia harus segera pulang ke hotel. Semasa dalam perjalanan tadi, Shahmi menelefonnya untuk memberitahu progres majlis perkahwinan yang akan diuruskan oleh mereka esok.

“Kamu dah ada girlfriend?” Soalan mummy Sheila membuatkan Faiq terkedu.

Dia meletakkan pisau dan garfu yang digunakannya tadi di atas pinggan dengan perlahan sambil terus mencari jawapan yang sesuai.

Nak kata ada ke tak? Kalau aku cakap tak ada, aku pasti ada agenda lain yang tersembunyi dalam fikiran Syed Ghazali. Kalau aku cakap ada pula, silap-silap sekejap lagi akan keluar soalan yang bertalu-talu daripada mulut Sheila. Adus!

“Emm, belum.” Faiq berkata tetapi sesaat kemudian dia menyesal dengan jawapan yang diberikannya.

Anak mata mummy Sheila seakan bersinar. Faiq mencapai gelas berisi air oren lalu diteguknya perlahan. Sempat dia mengerling ke arah Sheila yang tunduk tetapi bibirnya merekah dengan senyuman.

“Uncle ada bincang dengan daddy kamu sebelum ini, cuma uncle tak tahu sama ada dia sudah beritahu kamu atau tidak.” Syed Ghazali berkata.

Lelaki itu terdiam sebentar ketika pembantu rumahnya datang untuk menghidangkan juadah pencuci mulut. Faiq hanya memandang puding roti yang dihiasi dengan buah-buahan dan sos krim vanila itu.

Rasanya dia tahu apa yang bermain dalam fikiran Syed Ghazali. Sudah tentu ini bakal melibatkan kes perkahwinannya dengan Sheila. Bukan dia tidak tahu betapa Syed Ghazali mahukan dirinya sebagai menantu.

“Sheila ni satu-satunya anak uncle…”

Kan aku dah kata! Hati Faiq menggetus. Sebaris ayat itu saja sudah membuatkan Faiq terasa dirinya seakan sedang berlakon dalam sebuah drama yang melibatkan kes kahwin paksa.

“Uncle tak paksa kamu…”

Faiq menggenggam jari-jemarinya di bawah meja. Sabar, sabar. Aku hanya akan mendengar, tetapi tidak akan sesekali menerima lamaran ini kalau ianya hanya untuk mengeratkan lagi persahabatan Uncle Syed dan daddy! Semua alasan itu sudah lapuk!

“Kalau Faiq setuju, uncle dan auntie mahu satukan Faiq dan Sheila.”

Lelaki itu memandang saja wajah Syed Ghazali yang sebaya ayahnya itu. Kemudian dia menoleh ke arah Sheila yang masih tunduk.

Faiq menarik nafas panjang sebelum membalas kata-katanya, “uncle dan aunty, saya hargai lamaran tersebut tapi…”

Dari ekor mata, dia perasan Sheila menoleh pantas ke arahnya. Faiq mengambil masa seketika melihat perubahan air mukanya sebelum menoleh ke arah Syed Ghazali.

“Saya mohon sedikit masa untuk menyelesaikan kerja saya sebelum apa-apa pun yang berlaku. Uncle pun tahukan, syarikat saya masih kecil dan belum kukuh. Kalau boleh, saya mahu stabilkan dahulu sebelum saya mengambil langkah untuk berumahtangga,” jelas Faiq dengan lebar dan penuh hati-hati.

Syed Ghazali menganggukkan kepalanya dan berkata, “uncle boleh tolong semua tu Faiq. Malah, Sheila juga boleh tolong kamu uruskan syarikat itu jika kamu mahukan.”

“Maafkan saya uncle, kalau boleh saya nak bahagiakan bakal isteri saya dengan kesempurnaan yang ada. Saya tak mahu dia rasa susah jika berkahwin dengan saya nanti.” Faiq berkata sambil tersenyum.

Sengaja dia tidak menyebut nama Sheila. Dia tidak mampu gadis itu menanam impian. Faiq belum tahu takdir yang bakal berlaku nanti. Andaikata dia bersetuju, dia bimbang sekiranya dia tidak mampu.

Namun, kalau Faiq kata tidak mahu, dia risau jikalau esok lusa juga tiba-tiba dia jatuh cinta dengan Sheila. Pada Faiq, dia langsung belum terlintas untuk mengikat janji dengan sesiapa.

Syed Ghazali tersenyum. “Baiklah. Uncle tunggu saat itu Faiq. Kamu pun tahu, kita semua dah kenal lama. Sheila pun dah berkawan dengan kamu daripada kecil lagi. Uncle tahu, perkahwinan ini akan berjalan dengan baik sekiranya kamu berdua bersatu.”

“InsyaALLAH uncle.” Faiq menjawab ringkas.

Hati kecilnya saja yang masih sibuk mengungkapkan kata-kata. Uncle, hanya ALLAH saja tahu apa yang terbaik untuk kita. Belum tentu jika kenal lama, perkahwinan itu adalah jalan yang sebaiknya dan belum tentu jika perancangan yang kita jangkakan itu akan berkekalan selamanya.

*****************************

SERIBU satu perasaan melanda hati aku apabila melihat Rayyan selamat melafazkan akad nikahnya tadi. Sambil melayan emosi, aku meneruskan kerja sebagai jurufoto rasmi.

Itupun jenuh menyelit di antara jurufoto-jurufoto lelaki yang ada! Aduhai, susah benar bila terpaksa jadi jurufoto kepada artis terkenal. Dahlah beberapa kali kepala aku terhantuk muncung camera lenses jurufoto lain!

Tahulah aku lebih pendek daripada semua jurufoto lelaki yang ada. Hisy! Bengang pula jadinya. Namun, terpaksalah aku sabarkan hati. Kenapalah Rayyan tak ambil saja jurufoto yang berlambak di Fashion Queen tempat dia bekerja tu?

“Kamu okey ke Ju?” Aunty Hanani bertanya setelah kami bertembung di sudut ruang tamu rumah milik keluarga isteri Rayyan.

Aku tersenyum memandang Aunty Hanani yang nampak begitu berseri-seri. Kata Rayyan, mummynya suka sangat dengan isterinya. Itu sebabnya tak sabar-sabar nak suruh Rayyan kahwin.

Untunglah. Tengok tu, timbul lagi rasa jealous. Aduhai Airin Zulaikha! Please stop! Aku memerhatikan seketika keadaan sekeliling yang masih riuh rendah dengan para tetamu sebelum menjawab pertanyaan Aunty Hanani.

“Okey. Aunty dah nak balik ke?” Aku menyoal.

“Sekejap lagi. Aunty nak pergi jumpa besan sekejap,” ujar Aunty Hanani dengan riang dan berlalu dari sisi aku.

Aku tersengih melihat perwatakan ibu saudara aku yang baru menimang menantu itu. Dari jauh, aku melihat wajah isteri Rayyan. Dia nampak begitu comel walaupun ternyata lebih rendah daripada Rayyan. Yalah, suaminya pun tinggi menggalah.

Tanpa disangka, anak mata aku bertentang dengan Rayyan. Amboi, tak lekang senyuman di bibirnya! Menyampah! Aku menjelirkan lidah sambil menggelengkan kepala kerana tidak sangka, jodohnya sampai dulu daripada aku.

Rayyan meraup perlahan tangan isterinya yang setia berada di sisi lalu menuju ke arah aku. Sekali lagi cemburu aku meletup. Aku mengutuk diri sendiri semula kerana terlalu terbawa-bawa dengan perasaan ini.

“Ju! Terima kasih banyak tau. Aku nak gambar-gambar tu cepat,” ujar Rayyan sambil terus tersenyum.

Aku menjegilkan mata ke arahnya sebelum berkata, “oits! Bagilah aku sekurang-kurangnya sebulan dua sebelum kau dapat gambar yang cantik. Aku kenalah edit dulu.”

“Tak payah. Kau bagi aku yang raw dulu. Nanti aku datang rumah bawa pen drive.”

“Ya ALLAH… Tak sabar-sabarnya budak ni!” Aku berkata sambil berpura-pura mahu menumbuknya.

Rayyan ketawa besar sebelum menoleh ke arah isterinya di sebelah. Dia berkata, “Auni, ini Zulaikha. Kami panggil Ju saja. Dia dua pupu sebelah daddy. Ju, kenalkan… My beloved wife, Auni Hafya.”

Aku menyalami tangannya yang berinai sambil tersenyum. Lain pula aku tengok wajahnya dahulu di dalam rancangan Cinta Lokasi dengan wajahnya di hadapan aku sekarang.

“Panggil saja Kak Ju. Tahniah Auni. Jagalah Ray baik-baik. Dia ni nakal. Apa-apa, bagitahu akak. Boleh akak belasah dia untuk Auni.” Aku berkata dengan selamba.

“Oh tolonglah Ju! Kau jangan nak ber‘akak’ sangatlah!” usik Rayyan.

“Diamlah!”

Auni tergelak memerhatikan kami. “InsyaALLAH Kak Ju. Terima kasih ya akak sebab datang ke majlis kami.”

No problem…” Aku menjawab sambil melihat jam di tangan.

“Kau dah nak balik ke?” Rayyan bertanya.

Aku mengangguk perlahan. “Dah nak tengah malam pun. Aku masih jet lag lagilah.”

“Oh, akak datang dari mana?” Auni bertanya.

“Akak baru sampai dari Ireland beberapa hari lepas.” Aku menjawab sambil tersenyum melihat kecomelan wajahnya yang dirias cantik.

“Ei, syoknya! Teringin nak pergi sana.” Auni memberitahu aku.

“Hah, dah jadi sebahagian keluarga Shane ni, bolehlah Auni ke sana,” ujar aku lagi.

“InsyaALLAH akak. Nanti bila-bila, akak datanglah sini ya. Boleh kita sembang-sembang lagi.” Auni berkata.

“Amboi, belum apa-apa lagi dah merancang.” Usikan Ray menyebabkan Auni tersenyum malu.

Aku yang berada di hadapan mereka berdua ini pula hanya mampu memandang kemesraan pengantin baru ini. Walaupun tak nampak dengan mata kasar, tetapi aura kasih sayang yang bertaup di antara keduanya saja boleh membuatkan perasaan aku jadi tak tentu hala.

“Ju, jom balik.”

Fuh! Mujurlah mama tiba di sisi aku di waktu yang tepat! Aku dan mama segera menyalami Auni selepas itu sebelum memohon diri untuk pulang ke rumah.

Auni sekali lagi mengingatkan aku untuk datang ke rumahnya nanti. Pada dasarnya, gadis yang dipilih oleh Rayyan itu ternyata mempunyai kecantikannya tersendiri. Aku tersenyum melihat kebahagiaan mereka yang baru saja bermula.

Namun, selepas itu timbul pula rasa sayu di hujung hati. Inilah padahnya kalau tak reti kawal perasaan. Sampai bila Zulaikha? Sampai bila? Aku beristighfar panjang sebelum akhirnya memandu kereta Swift milik Haikal yang aku pinjam untuk malam ini.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.