SUASANA Restoran Atria, Hotel
Polaris kelihatan tenang, tidak sesibuk hujung minggu di mana ramai pelancong
dan tetamu hotel turun untuk menikmati hidangan makan malam.
Zarina
meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan kosong yang tadinya dipenuhi dengan Pasta
Conchiglie bersama ayam dan sayuran grillserta krim keju.
Firdaus
yang juga telah habis menikmati hidangan Vegetable Risotto With
Roasted Tomato itu meneguk air kopi pekat sebelum memandang semula ke arah
Zarina.
“Terima
kasih,” ujar lelaki itu.
“Untuk
apa?” Zarina menyoal sambil tergelak.
Firdaus
tersenyum. “Sempena meraikan persahabatan kita semula.”
“Hisy,
abang ni merepeklah.” Zarina berkata.
“Kenapa
tak bawa Ika sekali?” soal Firdaus.
“Sibuk.
Orang muda,
biasalah…”
“Ada date?”
Zarina
menggeleng kepala. “Taklah. Kerja katanya. Yang itu pun sama, kerja aje. Tak
nak mencari. Ina pun dah naik pening.”
“Nasib
kita serupalah. Ada
anak, tapi masing-masing sibuk,” ujarnya.
“Abang sunyi eh? Kenapa
tak cari sendiri?” usik Zarina.
“Tak
ada orang nak orang busy macam abang ni…” keluh
Firdaus sambil mengulum senyum.
“Abang tu jual mahal.”
“Hisy,
tak adalah.”
Firdaus
tergelak. Dia terasa beban kerjanya selama ini hilang begitu saja apabila
berjumpa kembali dengan bekas isterinya ini. Zarina masih menawan, fikirnya.
Kadang-kadang
terdetik juga di hati untuk mengembalikan saat-saat dulu tetapi dia tidak pasti
apakah Zarina masih mempunyai perasaan sebegitu.
“Ina
macam mana? Kenapa masih solo?” soal Firdaus dengan hati-hati.
“Ina
dah cukup bahagia biarpun hanya dengan Zulaikha. Lagipun, mungkin tak lama lagi
Ina nak hijrah ke Singapura pula. Kami dah setuju nak buka penerbitan buku
Melayu di sana,”
ujar Zarina seraya menyuap puding kastard.
Firdaus
mengangguk untuk menutup sedikit rasa kehampaan. “Pindah dengan Ika sekali?”
“Mungkin.
Dia pun tak tahu lagi.”
“Abang nak tanya, kalau
kita diberikan satu lagi peluang seperti dulu… Apa pendapat Ina?” Firdaus
memberanikan diri untuk tanya.
Sesekali
dia mengangkat tangannya kepada beberapa orang
pekerja yang mengenalinya di situ.
Zarina
mendiamkan diri seketika. Sebetulnya dia juga rasa keliru. Pelik jika mahu
kembali berhubungan. Umurnya yang sudah lebih daripada separuh abad itu seperti
tidak betah lagi untuk mencintai sesiapa.
“Entahlah.
Ina tak tahu nak cakap apa sebab segalanya macam berlaku dengan cepat. Ina
takut kalau menghampakan abang. Tipulah kalau kata hati Ina tak tercuit.
Bolehkan kita biarkan masa menentukan segalanya?” Zarina memandang wajah
Firdaus dengan hati yang lapang.
Bukan
dia tidak suka dan bukan juga dia tidak gembira tetapi ada banyak benda bermain
di dalam fikirannya sekarang. Tentang kerjaya yang bakal diterajui di
Singapura, tentang Zulaikha dan juga tentang masa depannya sendiri.
Firdaus
mengangguk. “Abang
harap kita masih ada peluang. Dulu abang kejar kerjaya, kini abang fikir untuk
masa depan. Kalau boleh, abang nak bersama Ina.”
Zarina
tunduk menahan perasaan. Hatinya terasa berbunga tetapi dia bimbang untuk
menghulurkan kata cinta. Dia juga bimbang sekiranya dia tidak mampu untuk
menjadi isteri yang baik di waktu usia sebegini. Namun,
dia berserah kepada ALLAH
S.W.T.
*****************************************************
WAJAH Faiq berubah apabila ternampak
Sheila yang menantinya di hadapan Bistro
Ria yang masih dibuka. Sudah
hampir larut malam tetapi gadis itu tetap setia menunggu.
Lelaki
itu mengeluh sambil mengunci kereta. Dia bercadang mahu singgah pejabat untuk
mengambil dokumen klien yang akan ditemuinya esok pagi di Hotel Polaris.
Sesungguhnya dia terlupa dengan mesyuaratnya itu.
Salah
dia juga apabila memberitahu Sheila bahawa dia dalam perjalanan menuju ke
pejabat. Sekelip mata saja gadis itu muncul di situ.
“Kenapa
datang sini?” soal Faiq sambil menuju ke arah lif.
“Susah sangat nak jumpa
waktu siang,” tutur Sheila yang santai dengan skirt panjang warna merah dan
dipadankan dengan blaus bercorak hitam merah paras pinggang.
“Lain
kali cakap dalam telefon aje. I busy. Tak ada masa,” getus Faiq dengan
nada agak keras.
“Daddy
dah tanya semula pasal kita.” Sheila memberitahu.
Faiq
mendiamkan diri. “Tanya?”
Sheila
mengangguk. “Kalau boleh, tahun ini juga dia nak langsungkan.”
Faiq
mengeluh berat. Kenapa sukar sekali menjauhkan diri daripada Sheila dan Syed
Ghazali? Lelaki itu rasa tidak keruan. Kepalanya tengah serabut dengan masalah
pejabat dan kini, Sheila menghambatnya hanya semata-mata soal itu?
“I
dah jelaskan dulu, kan?
I tak mahu kahwin dalam masa yang terdekat!” Faiq bersuara semula.
Hatinya
benar-benar tidak tenang. Nak saja dia hamburkan kata bahawa dia tidak ingin
menikahi gadis itu tetapi dia tahu apa yang bakal dia dapat. Mungkin bebelan
terus menerus oleh ayahnya di rumah nanti.
“I
tahu, tapi sekurang-kurangnya bolehkan kita bertunang?”
Faiq
tidak menjawab apabila lif akhirnya berhenti. Gadis itu menuruti langkah Faiq
ke pejabatnya. Sheila melihat saja Faiq membuka pintu kaca pejabat. Lelaki itu
masuk dan kemudian berpaling ke arahnya.
“You
berdiri kat sini. Tunggu I keluar. Jangan masuk.”
“Sanggup
you biarkan I kat luar?” tanya Sheila dengan wajah kurang percaya.
Faiq
mengangkat keningnya. “I tak mahu orang
buat sebarang spekulasi. Lagi parah kalau tiba-tiba aje ada pencegah maksiat
datang. Tak pasal-pasal I kena kahwin dengan you.”
Serentak
dengan itu, Faiq menutup pintu dan menguncinya dari dalam. Sheila melopong
kerana terkejut. Tak sangka Faiq sanggup berkata sebegitu! Nampak
sangat lelaki itu tidak mahu berkahwin dengannya.
Dengan
cepat, Sheila menekan butang lif. Dia terasa sebak tiba-tiba. Sejak kecil
dahulu, Faiq jarang meninggikan suara terhadapnya tetapi kenapa malam ini? Dia
perasan raut wajah Faiq sangat tegang. Mungkinkah dia ada hal pejabat yang
perlu diuruskan?
Sheila
menahan tangisannya sehingga ke kereta. Dia juga tertekan dengan keadaan itu.
Sheila faham perasaan Faiq terhadap dirinya tetapi apalah yang perlu
dilakukannya jikalau ayahnya terlalu berhajat untuk melihat dirinya menjadi
isteri Faiq?
Kata Syed Ghazali, dia
tidak akan terima orang
lain selain daripada Faiq. Sheila menarik nafas dengan berat lalu terus beredar
dari situ dengan keretanya. Mungkin hari lain saja dia akan menghubungi kembali
Faiq, sekurang-kurangnya sehingga lelaki itu kembali bertenang.
Faiq pula telah menjumpai
dokumen yang diperlukan di dalam laci Eryna. Itupun setelah dia menelefon gadis
yang sudah hampir terlelap di rumahnya.
Lelaki itu memastikan
semua elektrik telah ditutup sebelum dia keluar dari pejabat. Namun, dia
terkejut kerana bayangan Sheila tidak kelihatan. Faiq mengangkat bahunya
sendiri sebelum mengunci pintu.
Sampai saja di tingkat
bawah, Faiq menjeling ke arah tempat letak kereta. Sah, Sheila telahpun pergi
dari situ. Faiq mengeluh kecil. Mungkin kata-katanya tadi telahpun membuat
gadis yang seperti adiknya itu terluka.
Faiq mengetap bibir
sebelum meraup wajah. Dia mengambil telefon Iphone yang berada di dalam kocek
dan menghantar mesej kepada Sheila.
Faiq : I’m sorry. Lets discuss it
together next week okey?
Lelaki
itu mengeluh untuk sekelian kalinya. Bila dah hantar mesej, dia mula rasa
bersalah. Kalau tidak kerana hubungan baik ayahnya dan Syed Ghazali, rasanya
tidak ada kuasa dia mahu melayan Sheila. Semuanya dia buat kerana ayahnya.
Sepanjang
perjalanan pulang ke Hotel Polaris, Faiq memikirkan kemungkinan yang ada.
Apakah yang perlu dia lakukan untuk memastikan Sheila tidak mengganggunya lagi?
Apakah
perkahwinan merupakan keputusan yang tepat? Tapi, aku tak cintakannya! Minda
Faiq berlegar dengan pelbagai pendapat sehingga tidak sedar dia sudah tiba di
hotel.
Faiq
menuju ke Restoran Atria untuk memesan makanan bagi dihantar ke biliknya nanti.
Perutnya
berlagu sejak petang tadi kerana sepanjang hari terlalu fokus dengan mesyuarat.
“Aaron Faiq!”
Lelaki
itu menoleh ke arah suara yang memanggilnya. Daddy? Daddy buat apa kat sini?
Faiq mengangkat tangan kepada ayahnya sebelum dia membuat pesanan kepada
pelayan di kaunter.
Sejurus
selepas itu, Faiq menuju ke arah meja di tepi tingkap besar yang boleh
memuatkan seramai empat orang
itu. Dahinya berkerut apabila melihat seorang wanita di hadapan ayahnya.
“Faiq
dari mana?”
“Pejabat,”
ujar Faiq secara ringkas sambil memberikan senyuman buat wanita itu.
Dia
perasan air muka ayahnya nampak
lain. Seperti ada seri yang terpancar. Faiq mula resah memikirkan tentang
identiti wanita itu.
“Ini
Zarina. Kawan daddy. Dulu Faiq panggil dia Mummy Ina. Still remember?”
Soalan
Firdaus membuatkan Faiq terkejut besar. Inilah dia wanita yang dicari-cari oleh
daddy selama ini! Lelaki itu menelan air liurnya. Kenapa daddy tak cari
mummynya yang sebenar? Kenapa daddy cari dia?!
“Dah
besar panjang rupanya anak abang,” usik Zarina.
Faiq tersenyum kelat. Dia
benar-benar tidak selesa dengan keadaan ini. Dengan cepat Faiq memohon diri
untuk pulang ke bilik dengan alasan mahu berehat. Firdaus hanya mengangguk
tanpa kata. Faiq berlalu dengan hati yang walang kerana teringatkan ibu kandung yang masih tidak
dikenalinya.