FAIQ melipat sejadah lalu digantungkan di tempat
penyangkut. Lelaki itu menjeling ke arah jam dinding. Sudah hampir 6.30 pagi.
Dia menuju ke arah almari pakaian dan berura-ura untuk mengambil baju senaman
yang biasa dipakai.
Anak
mata Faiq menangkap kerlipan lampu daripada telefon Samsung S3 miliknya.
Dahinya berkerut perlahan. Siapa pula yang menghantar mesej pagi-pagi buta di
hujung minggu ini? Telefon Iphone di sebelah Samsung itu dijeling pula.
Selalunya
kalau telefon jenama Samsung yang bernyala, bermaksud ada pesanan baru akan
masuk. Faiq segera mengambil telefonnya yang terdampar.
Airin : Hi dear. I nak order pencil box yang nombor
kodnya 03 tu boleh? Ada
lagi tak? It’s so cute!
Lelaki
itu melebarkan senyuman. Pelanggan setianya! Dia tahu gadis yang bernama Airin
itu tinggal di Ireland
berdasarkan alamat penghantaran.
Faiq : Ya, masih ada. Okey dear. You nak I hantar
bila?
Airin : As usual, after I bank-in. Alamat pun sama.
Boleh?
Faiq : Of course boleh! Alright dear, thanks a lot.
Nanti bila you dah bank-in, bagitahu okey?
Airin : Thanks so much!
Faiq
menarik nafas panjang. Susah juga nak berlagak
jadi macam orang perempuan ni rupanya! Lelaki itu duduk di birai katil sambil
mengetap bibirnya. Pada mulanya dia berasa canggung untuk memulakan perniagaan
yang merupakan hobinya itu. Maklumlah, nanti terkejut pula pelanggannya apabila
mengetahui tuan punya instagram bubblyknititu berjantina lelaki!
Puas
dia melakukan sedikit researchdi laman-laman instagram lain untuk
melihat cara mereka membalas sesama sendiri. Dari situ, dia belajar mengenai
sikap seorang ‘perempuan’ ketika melakukan urusan niaga.
Airin
adalah salah seorang daripada ribuan followers instagramnya yang sering
membuat pesanan. Walaupun gadis itu tidak pernah memuat naik gambarnya di dalam
profil instagram mahupun WhatsApp, Faiq pasti Airin adalah seorang gadis.
Tidak
lama kemudian, dia bangun lalu membuka sebuah almari yang menempatkan barangan
hobinya di masa lapang. Almari tersebut penuh dengan benang kait dan
produk-produk yang dimuat naik ke laman instagramnya. Walaupun hanya setahun
beroperasi, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Namun,
tiada sesiapa pun tahu rahsianya melainkan dia dan ayahnya saja. Itupun
mujurlah ayahnya buat tidak tahu bila dia ternampak Faiq leka dengan benang-benang
kait di tangannya. Kadang-kala, ayahnya juga menjadikan produk mengaitnya
sebagai hadiah untuk anak-anak sahabatnya.
Itu
hanyalah hobi Faiq. Hobi yang mendatangkan keuntungan yang tidak disangka. Faiq
sendiri tidak faham mengapa dia suka mengait walaupun jiwanya kental seperti
lelaki lain.
Pada
mulanya dia sendiri berasa risau tetapi akhirnya dia membiarkan kerana melalui
mengaitlah, hatinya menjadi lapang. Namun, Faiq mulai bimbang apa akan terjadi
sekiranya dia sudah berkahwin nanti.
Apakah
bakal isterinya akan menyokongnya? Ataupun dia bakal ditertawakan? Faiq tidak
ingin memikirkannya! Mungkin sebab itulah kenapa hatinya masih belum terbuka
untuk mana-mana gadis sekalipun.
“Daddy
nak pergi gym juga ke?” soal Faiq setelah nampak ayahnya, Firdaus Lee membuka
pintu bilik dan melangkah ke ruang tamu.
Firdaus
mengangguk perlahan. “Jomlah, kita pergi sama. Lepas tu kita breakfast
di Atria.”
Faiq
mengangguk perlahan. Baginya, kehidupan mereka dua-beranak sudah ternyata lebih
daripada cukup. Dia bersyukur walaupun membesar tanpa kasih seorang ibu.
“Malam
nanti jadi ke kamu pergi Hotel Dynasty?” Firdaus bertanya setelah menekan
butang lif untuk ke tingkat lima.
“Jadi.”
“Kenapa
tak ambil Dewan Musytari kat bawah ni?” soal ayahnya lagi.
Nada
suara Firdaus sama saja sepertimana dia melayan pelanggan-pelanggan hotel yang
lain. Tugasnya sebagai Pengurus Besar Hotel Polaris ini menyebabkan dia sudah
biasa kelihatan tegas.
“Klien
tak ada budget,” jawab Faiq dengan ringkas sambil memandang
nombor-nombor lif yang sedang bertukar di setiap tingkat.
“Nama
pun five star hotel Faiq, selalunya memang orang-orang kenamaan saja
yang mampu buat di sini.” Firdaus berkata dengan suara yang mendatar.
Faiq
memandang ke arah ayahnya dari sisi. Dia sendiri kadang-kala tidak dapat
menangkap jelas ayat-ayat ayahnya sama ada berbaur sindiran ataupun tidak
bermaksud apa-apa.
“Bulan
depan ada wedding di Dewan Zuhal ayah. Klien Faiq.” Lelaki itu
memberitahu.
Firdaus
mengangguk. Dewan Zuhal merupakan dewan terbesar di Hotel Polaris itu dan
terletak di tingkat tiga. Ianya juga mempunyai dekorasi dalaman yang paling
menarik di antara tiga dewan yang ada. Namanya juga di ambil daripada nama
planet yang tercantik di sistem suria.
Tidak
lama kemudian, lif terbuka dan mereka berdua melangkah keluar. Tidak ramai
orang di gym yang dibuat khas untuk pengunjung hotel dan juga pekerja-pekerja
hotel. Mungkin sebab masih terlalu awal.
Faiq
dan Firdaus menghala ke arah yang berbeza. Faiq lebih gemar berada di atas treadmill
tatkala ini manakala ayahnya menuju ke arah spinning bike.
Sambil
memulakan senaman ringan di atas treadmill, Faiq berfikir sendirian.
Sejak pulang ke Malaysia lima tahun yang lepas, dia
dan ayahnya tinggal di Family Suite di tingkat 25, Hotel Polaris.
Kebanyakan
pengurus pelbagai bahagian juga tinggal di tingkat yang sama. Cuma, ayahnya
diberikan suite yang lebih besar berdasarkan jawatan yang dipegang.
Ketika ini dia bersyukur kerana tidak
perlu berhempas pulas untuk mencari rumah sewa lain. Lelaki itu akhirnya
memulakan langkah dengan lebih laju dan menetapkan 30 minit untuk jogging.
*******************************
SOALAN Firdaus membuatkan Faiq terdiam. Dia
memandang breakfast plate miliknya yang berisi telur scramble, pancakes
saiz kecil bersama madu, dua keping daging ayam salai dan juga salad.
Semangkuk
buah-buahan yang terdiri daripada tembikai susu, epal merah dan strawberi turut
dihidangkan sekali. Sejurus selepas bersenam, mereka berdua menuju ke Restoran
Atria di tingkat dua yang menghidangkan pelbagai jenis menu antarabangsa.
“Daddy
nak cari dia di mana?” Faiq bertanya.
“Daddy
tengah fikir lagi. Daddy tak tahu kenapa daddy selalu teringatkan dia,” kata
Firdaus sambil mengeluh.
Sudah
hampir sebulan dia terkenangkan bekas isteri yang pernah dikahwininya biarpun
hanya dalam masa dua tahun. Ketika itu Faiq berumur lapan tahun dan Firdaus
sendiri tidak pasti sama ada anak terunanya masih mengingati wanita itu ataupun
tidak.
“Kenapa
daddy nak cari dia tapi daddy tak nak cari mummy?” Faiq bertanya kembali dengan
nada bungkam.
Jiwanya
terasa sakit dengan sikap ayahnya. Fikiran Faiq kian berkecamuk. Apakah daddy
masih mempunyai perasaan terhadap wanita yang pernah dikahwininya itu? Kalau
ya, bagaimana pula dengan bekas isterinya dahulu merangkap ibu kandung aku sendiri?
Faiq
menyuapkan makanan dengan rasa kelat di anak tekak. Walaupun rasa mual mendengar
cadangan ayahnya untuk mencari balik wanita itu, Faiq tetap cuba menghabiskan makanannya.
“Kan daddy dah cakap…
Lupakan mummy Faiq. Dia yang tinggalkan kita! Dia yang tinggalkan Faiq!” kata
Firdaus dengan tegas sambil terus bangun lalu menuju ke arah kaunter manisan.
Faiq
mengeluh berat. Baginya, mummy tetap ibunya yang sebenar. Tiada galang
gantinya. Bahkan, wanita yang pernah dikahwini ayahnya selama dua tahun itu
langsung tidak dapat memadamkan kasih sayang buat ibunya sendiri walaupun
sehingga kini dia tidak mengetahui siapa ibunya yang sebenar.
“Kenapa
daddy nak rahsiakan perihal ini lagi daddy? Faiq dah berumur tiga puluh dua
tahun. Faiq berhak tahu apa yang berlaku pada mummy!”
Firdaus
terdiam sebelum menyuapkan puding karamel ke mulutnya. “Daddy tak nak ingat
perkara lama.”
“Daddy…
Kalau daddy tak nak, biar Faiq yang cari.”
“Jangan!”
“Kenapa
daddy? Apa yang daddy cuba
sembunyikan?”
Faiq
memandang saja ayahnya yang berbangsa Korea yang fasih berbahasa Melayu itu.
Hatinya memberontak untuk mengenali ibunya yang berbangsa Melayu-Filipina
selama ini.
“Daddy
tak mahu Faiq fikir pasal dia lagi. Faiq patut fikir pasal masa depan Faiq
sekarang ni,” jawab Firdaus dengan ringkas tetapi mendalam.
Faiq
mendengus sambil meletakkan pisau dan garfu di atas pinggan yang sudah kosong. Ada juga dia bertanya hal
yang sama dahulu tetapi daddynya tetap berkeras untuk diam.
“Kalau
daddy dah tak boleh terima mummy, biarlah Faiq sendiri yang cari. Dia tu mummy
Faiq! Nenek mesti tahu hal ni, kan
daddy?”
Firdaus
tergamam apabila Faiq berkata tentang neneknya yang berada di Korea Selatan.
Bukan setakat neneknya, tetapi seluruh ahli keluarganya juga tahu cerita
sebenar.
Tidak.
Dia tidak akan sesekali membuka cerita. Yang lepas, biarlah berlalu. Firdaus
kini bahagia dengan Faiq walaupun perhubungan mereka tidaklah serapat mana.
“Faiq
jangan cuba
cari dia semula.” Firdaus berkata sepatah demi sepatah dengan maksud yang
mendalam dan hati Faiq pula terus menggelegak.