FAIQ menurunkan suhu penghawa dingin
kereta miliknya. Cuaca di luar sangat panas dengan langit yang membiru tanpa
kepulan awan. Dia memandang jam tangan sekali imbas.
Shahmi
baru saja menelefon dan memberitahunya tentang persiapan majlis menyambut hari
lahir Duta Itali di kediaman rasminya. Krew mereka semua sudah berada di sana
untuk memastikan kelancaran majlis.
Faiq
menunggu Zulaikha di tepi jalan berhadapan Fashion Queen Studio. Sepatutnya
gadis itu boleh saja terus ke kediaman Duta Itali itu tetapi memandangkan semua
kereta syarikat sedang digunakan, Zulaikha tiada pilihan lain selain meminta
pertolongan Faiq yang juga akan ke sana.
Dari
jauh dia melihat Zulaikha yang berjeans hitam dengan blaus longgar corak
polkadot biru putih itu berjalan menuju ke keretanya. Dahi gadis itu berkerut
menahan panas yang pastinya menembusi shawl biru muda yang dipakainya.
“Maaf
lambat.” Zulaikha terus bersuara tatkala dia membuka pintu kereta Vios milik
Faiq.
“Tak
apa. Kitapun bukannya lambat sangat,” jawab Faiq seraya mula menurunkan brek
tangan dan menekan minyak.
Suasana
sepi berlabuh di antara mereka berdua buat beberapa ketika. Dari ekor mata,
Faiq perasan jari-jemari Zulaikha digenggam kuat.
“Awak
sejuk ke?” tanya Faiq.
Zulaikha
menggeleng perlahan. “Saya okey saja.”
“Macam
mana kerja di Fashion Queen? Seronok tak?” soal Faiq lagi.
Dia
sendiri ketandusan idea untuk berbual. Namun, ada sesuatu di dalam diri
Zulaikha yang menarik perhatiannya. Gadis itu tidak banyak bercakap. Mungkin
pemalu. Ataupun sememangnya dia tidak gemar untuk berbual dengan lelaki.
“Okey.
Lain dengan tempat kerja dulu.” Zulaikha menyilangkan tangannya sambil
menjawab.
“Maksud
awak?”
“Emm,
dulu saya photographer untuk bahagian kanak-kanak dan saya jarang dapat assignment
untuk ambil gambar di mana-mana majlis. Sekarang ni baru berpeluang buat semua
tu.”
Faiq
mengangguk. Matanya masih tajam melihat keadaan jalan raya yang masih sesak
walaupun sudah melepasi jam sebelas pagi.
“Apa
bezanya?”
“Beza?”
Zulaikha menoleh ke arah Faiq dan mereka bertentangan mata.
Faiq
tiba-tiba rasa terkedu dengan kerlingan mata Zulaikha. Dia mempunyai sepasang
mata cokelat yang agak cerah dan tahi lalat di sudut kanan dagu gadis itu
menarik perhatinya.
“Mak…
Maksud saya apa beza handle model budak kecil dan budak besar?”
Zulaikha
terus tergelak. “Budak kecil susah nak handle. Budak besar pula
senang nak handle tapi ada
sesetengah karenah tu pelik-pelik.”
“Biasalah
tu manusia. Hati lain-lain, warna rambut saja sama.”
“Eh,
salah.” Giliran Faiq memandang sekilas ke arah Zulaikha.
“Zaman
sekarang ni rambut dah tak sama warna. Hati pula tetap berada di kedudukan yang
sama dalam badan,” usik Zulaikha.
Faiq
terkedu lagi dengan usikan Zulaikha. Baru saja dia menyangka gadis itu pemalu
tetapi dia salah. Lelaki itu kemudiannya tersenyum kecil.
“Oh
ya. Saya lupa nak tanya. Any special request untuk fotografi petang ni?”
Zulaikha bertanya.
“Special
request?” Faiq mengerutkan dahi. Keretanya sudah memasuki Jalan Tun Razak.
Dari situ dia akan meneruskan perjalanan ke Jalan Ampang.
“Ya.
Special request. Selalunya klien akan berikan guideline. Nak
tumpukan shot photography di bahagian mana ataupun siapa.”
“Hmm.
Sebelum ni jarang jurufoto tanya macam tu kat saya. Selalunya dia orang ambil
saja gambar dan nanti kita bincang untuk pilih yang mana satu untuk dimasukkan
di dalam album gambar. Awak orang pertama yang soal macam tu.” Faiq berkata
dengan panjang lebar.
“Oh.
Memang macam tu pun selalu tapi memandangkan saya seorang saja jurugambar hari
ni, kenalah saya tanya kot-kot ada benda yang menarik untuk diberikan tumpuan.”
Faiq
tersenyum kecil. Dia suka dengan cara kerja Zulaikha yang nampak fokus dengan
apa yang dia mahukan. Namun, bila teringat kata-kata Zulaikha yang tidak
sengaja mengutuk majlis yang dikendalikannya tempoh hari, senyumannya mati.
****************************************************************
MAJLIS hari lahir yang dikendalikan
oleh syarikat Faiq berlangsung dengan meriah. Aku menarik nafas lega apabila
majlis sudah hampir ke penghujungnya. Kelam-kabut juga dibuatnya apabila aku
seorang saja terpaksa turun padang hari ini.
“Penat?”
Suara lelaki yang aku sudah pasti milik siapa itu berkumandang dari arah
belakang.
Aku
mengerling ketika lelaki itu melangkah ke sisi. Shahmi tersenyum sambil
menyuakan segelas air oren sejuk. Antara ragu dan mahu, mana satu patut aku
dulukan?
“Ambillah.
I memang ambil untuk you.” Jawapannya membuatkan aku tanpa berlengah mengambil
gelas tersebut. Lantaklah. Janji hilang dahaga.
“Terima
kasih.” Aku menjawab ringkas.
Kalau
ikutkan hati batu ni, nak saja aku buat tak tahu dengannya. Namun, mengenangkan
Shahmi juga adalah salah seorang pekerja Faiq, aku tahankan perasaan ini.
“You
balik dengan siapa nanti?” soal Shahmi.
Aku
memandangnya yang lengkap dengan kot kelabu dan berjeans hitam. Tangan
sebelahnya dimasukkan ke dalam poket, menampilkan ciri-ciri karisma yang
tersendiri. Lebih tepat, bukan seperti berbelas tahun lepas semasa kami masih
di alam persekolahan.
“Kenapa
you tanya?” Aku menyoal kembali tanpa menjawab.
Mata
aku menerawang ke arah seorang gadis yang nampak cantik di sisi Faiq tidak jauh
dari situ. Kalau tak salah aku, dari tadi aku nampak dia dengan Faiq. Siapa
agaknya dia?
“Kalau
tak ada orang hantar, I boleh hantarkan you balik.” Shahmi menjawab sambil
meletakkan gelasnya yang sudah kosong di atas meja tinggi berhampiran.
Majlis
yang berkonsepkan Autumn in My Heart itu nampak begitu klasik dengan
warna-warna tanah yang digunakan. Cahaya lampu daripada beberapa biji lampu chandelier
mewah yang tergantung itu menyenangkan kerja aku mengambil gambar.
Puas
hati bila melihat gambar-gambar yang diambil melalui kamera Nikon D600 milik
syarikat. Shahmi yang masih setia berada di sisi, tidak aku hiraukan. Anggaplah
seperti mannequin yang sememangnya tidak bernyawa.
“Ika…”
Sepantas
kilat aku memandangnya. Tersentuh juga hati apabila nada Shahmi memanggil aku
sama ketika kami menyulam cinta monyet di sekolah dahulu.
“You…”
“Juju!”
Belum
sempat Shahmi menyambung kata, ada seseorang telah memotongnya. Terbeliak mata
aku apabila mendengar nama timangan aku disebut oleh Faiq. Lelaki itu
menghampiri aku sambil tersenyum lebar. Cis. Sejak bila pula dia berani panggil
aku dengan nama keluarga ni?
“Juju?”
Shahmi bersuara sambil mengangkat keningnya ke arah aku.
Aku
buat tak tahu dengan pertanyaannya dan menoleh ke arah Faiq serta gadis yang
seperti bayang-bayangnya itu.
“Ya?”
“Nanti
awak balik office dengan Shahmi boleh? Saya ada mesyuarat sekejap lagi
di sini. Takut nanti lambat balik, kasihan pula awak nak tunggu,” ujar Faiq.
Alahai,
balik dengan Shahmi? Aku lagi rela tahan teksi dekat depan jalan ni daripada
kena pulang dengan dia! Tapi mengenangkan betapa bahayanya aku dan kamera yang
bernilai ribuan ringgit ni, aku terpaksa mengalah. Kalau hilang kamera
syarikat, siapa nak ganti?
“Oh,
ini Sheila. Ketua administration di sini. Sheila, ini Zulaikha. Our
official photographer. You can contact her for any personal events also.
Tak perlu throughkami pun tak apa.”
Ewah!
Pandai-pandai aje offer kerja aku pada cik adik manis ni. Bukan dia pun
yang buat jadual kerja aku. Siapa dia ni ya? Entah-entah awek dia sendiri?
Sheila menghulurkan tangannya untuk bersalam.
“You
ada kad?” soal gadis itu.
Aku
menggelengkan kepala. “Not yet. I baru masuk kerja. You boleh terus
hubungi Faiq kalau ada apa-apa. He’s my PA.”
Aku
hanya bergurau okey. It’s a joke! Tapi kenapa semua orang terdiam dan
tak gelak? Aku segera berdehem apabila tiba-tiba melihat anak mata Sheila
mencerlung.
“No
worriesSheila. You can contact me also since I’m her secretary too!”
usik Shahmi, sekaligus menyelamatkan keadaan yang kekok ini.
“Thank
you by the way Ju. Nanti esok kita bincang okey.” Faiq memberikan senyuman
sebelum berlalu dari situ.
Seperti
biasa, Sheila mengekorinya dan aku perasan, gadis itu menjeling ke arah aku.
Aik? Belum apa-apa tapi aku dah kena? Bukannya aku cakap dia boyfriend
aku pun. PA aje. Personal assistant, ada faham?
“Yang
you tercongok lagi kat situ kenapa? You tak nak balik ke?” Soalan Shahmi
membuatkan aku kembali ke alam yang nyata.
“Huh?
Habis dah ke?”
Shahmi
mengangguk. “Jomlah. Kalau lambat nanti, lambatlah kita sampai office.”
Aku
sempat melihat beberapa orang pekerja katering mula mengemaskan meja buffet.
Dengan cepat, aku mengambil beg kamera lalu menyangkutkannya di bahu dan
mengekori Shahmi yang sudahpun berjalan keluar dari kediaman kedutaan Itali
ini.