Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,872
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 9

ALHAMDULILLAH! Aku mengucapkan syukur tatkala meletakkan beg terakhir di atas troli. Barang-barang lain telahpun kami kirimkan melalui servis kurier di Dublin. Entah bila nak sampai, aku pun tak tahu.

Kepala mula terasa berpusing kerana tidak cukup tidur. Sabar. Balik rumah nanti, mesti aku terus lena tak sedarkan diri.

“Gembira tak?” Rayyan yang menolak sebuah lagi troli bertanya.

“Hmm…”

“Hoi, gembiralah sikit! Ni kan tempat kelahiran kau…”

“Weh, kau lupa ke aku lahir di Ireland?” Aku memandangnya tajam.

“Eh, ye ke?” Rayyan menyoal kembali dengan tersipu-sipu.

Aku menggelengkan kepala sambil menolak troli. Mama pula hanya mendiamkan diri. Aku pasti dia juga terasa letih dengan penerbangan yang hampir berbelas jam ini.

Kami bertiga berjalan terus, menuju ke pintu balai ketibaan. Berat sungguh hati aku. Rasa nak terbang balik Ireland semula! Malaysia hanya mengingatkan aku tentang kenangan pahit.

Akhirnya kami keluar daripada pintu ketibaan. Rayyan membuka telefon bimbitnya dan mungkin bercadang menelefon Aunty Yani. Mama pula sudah berkejar ke tandas yang berada tidak jauh dari situ.

“Ju, jom kita tunggu kat sana. Aunty Yani kata lagi 20 minit dia sampai.” Rayyan memberikan arahan sambil menunjukkan ruang kosong yang berdekatan dengan tandas.

Nanti kalau kami pergi jauh-jauh, susah pula mama nak cari. Aku mengingatkan diri sendiri agar dapat membeli nombor telefon yang baru untuk digunakan di Malaysia.

Dalam pada berjalan itu, sempat lagi aku menguap. Ya ALLAH! Mengantuknya… Jauh lagi ke perjalanan pulang ni? Aku rasa kaki aku dah macam tak jejak lantai. Rasa terawang-awang.

“Ju!” Terdengar suara Rayyan menjerit.

“Ya ALLAH!”

Giliran aku pula terkejut kerana terlanggar seseorang yang berada di tengah jalan. Adoi, apalah nasib turun kapal terbang je dah ada kejadian buruk berlaku?

“Maafkan saya. Awak tak apa-apa?” Aku segera mendapatkan lelaki yang hampir terjatuh disondol oleh troli.

Rayyan juga menuju ke arah aku. Aku pasti wajah aku sudah pucat lesi sekarang. Sudahlah letih, ditambah pula dengan perangai buruk yang aku buat sekarang ni. Suka-suka aje berjalan tak tengok orang, kan?

“Tak apa… Saya okey. Cuma awak tu hati-hatilah sikit. Mata kena pandang depan, bukan bawah.”

Wah, tersentap aku mendengar bebelan ringkasnya! Tak apalah, aku yang salah. Telan sajalah, janji dia tak maki aku dengan kuat. Berkerut-kerut dahi lelaki yang aku langgar itu menahan kesakitan. Aku pasti beg berat kepunyaan mama yang macam ala-ala peti besi tu melanggar kepala lututnya!

Aku mengetap bibir. Rayyan di sebelah juga mengucapkan kata maaf. Wajah lelaki yang aku langgar itu nampak begitu tegang. Alahai, sorry!

Melalui kerlingan mata, aku perasan ada seorang lelaki datang menghampiri lelaki yang aku langgar ini. Aku menoleh dengan pantas dan kami bertentangan mata…

“Eh?” Serius aku terkejut!

“Eh? Awak?” soal lelaki itu dengan riak wajah terperanjat.

Hah?! Dia? Kenapa mesti dia lagi?! Oh TUHAN! Aku rasa seperti mahu rebah di sini. Kenapa banyak-banyak manusia yang lalu lalang di KLIA ni, mamat ni juga yang aku jumpa?!

“Eh, jom. Aunty Ina dah keluar dari tandas tu.” Suara Rayyan terngiang-ngiang di telinga.

Aku pula masih menentang pandangan lelaki itu. Lupa terus kisah kawannya yang aku langgar! Sebelum menolak semula troli, aku memandang lelaki itu sekali lagi dan memang ternyata, dia memberikan senyuman yang sama sepertimana aku terserempak dengannya sekali, setiap tahun!

*****************************

“KENAPA ni?” Faiq yang baru pulang dari tandas menegur Razif dan temannya yang sedang menggosok lututnya itu.

“Ada orang langgar dia dengan troli.” Razif berkata sambil menyembunyikan senyuman.

Faiq menggelengkan kepala. “Ada juga eh orang bawa troli macam bawa kereta lumba dalam airport ni?”

Razif ketawa kecil mendengar kata-kata Faiq. Dia berpaling ke arah temannya, yang masih mengerutkan wajahnya.

“Dahlah tu. Sikit je. Bukannya dia sengaja.”

“Nasib baik dia tu perempuan. Kalau tidak…” Temannya yang memang terkenal dengan sikap barannya itu tidak menamatkan ayatnya.

“Biasalah, perempuan memang kelam-kabut.” Faiq berkata sambil tersenyum simpul.

Razif tersengih sambil memulakan langkah untuk berjalan. Mereka berpisah selepas itu kerana Razif mahu menghantar temannya pulang ke rumah. Faiq sempat memesan Razif supaya menghubunginya nanti.

Faiq memandang ke arah jam tangannya kembali sambil mencongak waktu. Dia pasti jalanraya akan mula sesak jikalau dia tidak pulang sekarang ini. Faiq berjalan dengan laju untuk menuju ke tempat parkirnya di tingkat satu.

“Ouch!”

Langkah Faiq terhenti apabila kakinya tersadung sebuah troli yang tiba-tiba saja muncul laju daripada sebalik dinding. Faiq mengetap bibirnya kerana menahan sakit di bahagian betis.

“Astaghfirullahala’zim! Maafkan saya!”

Suara kuat seorang perempuan memecah gegendang telinga. Entah kenapa, spontan dia terfikir, apakah perempuan ini adalah perempuan yang sama melanggar kawan Razif sebentar tadi?

“Hmm. Tak apalah. Jangan bawa laju-laju sangat ya kak. Sini banyak kanak-kanak yang berlari. Nasib baik kena kat saya.” Faiq menutur perlahan sambil memandang saja wajah perempuan yang cemas itu.

“Eh. Abang Faiq?”

Faiq menoleh ke arah empunya suara. “Eh. Ya ALLAH, Ray!”

Rayyan menghulurkan tangannya untuk bersalam sambil berkata, “tak sangka jumpa abang kat sini.”

“Abang pun tak sangka. Ray buat apa kat sini? Bukan ke dia orang kata Ray pergi Ireland?”

Rayyan mengangguk perlahan. “Ray dah habis kerja kat sana. Lagipun, Ray balik sebab nak kahwin.”

Faiq terkejut lagi. Dia sememangnya mengenali Rayyan sejak bekerjasama dengan Fashion Queen Studio. Bukan setakat itu saja, Rayyan juga melantik syarikatnya untuk menguruskan beberapa majlisnya bersama peminat.

“Aik? Tiba-tiba aja.”

“Panjang ceritanya bang. Nanti kita lepak, Ray cerita daripada A sampai Z, okey?”

Faiq tergelak kecil dan baru dia perasan, gadis yang melanggarnya tadi kelihatan terpinga-pinga di ruang antara dia dan Rayyan.

“Eh, lupa nak kenalkan. Ni dua pupu Ray, Zulaikha. Ju, ni Faiq, kawan yang dah macam abang aku sendiri.” Rayyan berkata setelah melihat mereka berdua hanya berpandangan tanpa bicara.

Faiq memberikan senyuman kepada Zulaikha dan gadis itu hanya tersenyum malu. Fikir Faiq, mungkin dia masih segan dengan apa yang telah berlaku tadi.

“Eh, maafkan saya ya sebab terlanggar awak tadi.” Zulaikha memohon maaf sekali lagi.

“Oh, tak apa. Cuma itulah, saya tak tahu kenapa ramai orang dilanggar troli hari ini. Tadi kawan saya pun kena langgar troli kat tingkat atas.” Faiq berkata dengan selamba.

Wajah Zulaikha yang merah padam itu memberikan gambaran bahawa kemungkinan besar dialah yang melanggar kawan Razif sebentar tadi.

“Maaflah bang. Dia mamai agaknya. Kami baru aje sampai dari Dublin. Jet lag.” Rayyan berkata sambil ketawa.

Zulaikha yang memakal shawl warna biru muda dan dipadankan dengan baju labuh paras lutut serta jeans itu memalingkan wajahnya lalu terus menolak troli dengan perlahan untuk menuju ke tempat duduk yang kosong.

“Abang, dah alang-alang jumpa abang ni, kan… Ray nak minta quotation untuk majlis kahwin Ray boleh tak? InsyaALLAH nak langsungkan bulan Mei nanti. Sempat ke? Empat bulan aje lagi, kan?” soal Rayyan.

Faiq mengangguk. “Ray ada budget tak? Abang nak tahu details untuk majlis itu nanti. Maksud abang, Ray nak buat secara terbuka atau tertutup? Maklumlah, artis popular kena fikir banyak sikit daripada orang biasa.”

Rayyan tergelak apabila mendengar usikan Faiq. “Hisy. Ray tak terfikir pun tapi betul juga, kan? Abang rasa mana yang okey?”

“Bergantung kepada Ray. Cuma kalau buat secara terbuka agak sukar sebab kita tak dapat nak agak jumlah tetamu yang akan hadir,” kata Faiq.

“Ray ingat nak buat biasa saja.”

“Abang rasa, silap-silap stesen televisyen nak buat siaran langsung majlis Ray tu nanti,” usik Faiq lagi.

“Tak mungkinlah.” Ray masih tersengih kerana disakat.

“Abang masukkan semualah dalam quotation kecuali jurufoto. Ray dah ada Ju untuk ambil gambar,” sambung Rayyan seraya menunjukkan ke arah Zulaikha yang leka berbual dengan ibunya.

Faiq menoleh ke arah Zulaikha lalu bertanya ke arah Rayyan kembali. “Dia kerja photographer ke? Kat mana?”

“Ha’ah. Belum minta mana-mana lagi.”

“Cuba Ray telefon Mr. George. Semalam abang ada function dengan Fashion Queen. Dia baru cerita 2 orang junior photographer dah berhenti. Tak tahan agaknya kerja di bawah Mr. George.” Faiq berkata sambil tersenyum.

“Oh, ye ke? Mungkinlah. Mr. George tu kan perfectionist? Nanti Ray cuba telefon dia.” Rayyan membalas.

“Okeylah Ray. Abang balik dulu. Nanti kita roger ya.”

Rayyan mengangguk kecil. “Okey bang. Aunty Ray pun dah sampai nak ambil kami. Jumpa lagi nanti.”

“InsyaALLAH…”

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.