Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,946
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 10

“CONFIRM! Mesti dia tu jodoh kau!” Rayyan berkata dengan girang sambil sesekali memandang cermin pandang belakang.

Aku yang berada di sebelah tempat duduk pemandu pula mendengus kasar dan segera menyilangkan tangan. Sejurus selepas menikmati makan malam di rumah Aunty Yani tadi, Rayyan menawarkan diri untuk menghantar aku dan mama pulang ke rumah kami.

Kata Rayyan, dia mahu terus mengambil Haikal di rumah sewa mereka sebelum berpatah balik ke rumah Aunty Yani. Semua persiapan untuk hantaran majlis pernikahan Rayyan diadakan di rumah Aunty Yani.

“Entahlah. Aku tak ada rasa berdebar apa pun. Biasa aje.” Aku berkata dan terus menguap besar.

Aku menoleh sedikit ke arah tempat duduk belakang dan tersenyum apabila melihat mama sudah melentokkan kepalanya. Kalau ikutkan, Aunty Yani menyuruh kami pulang ke rumah esok tetapi mama pula tidak mahu menyusahkan mereka.

“Memanglah. Kau baru kenal. Hah, lepas ni aku yakin, mesti kau akan selalu jumpa dia.”

“Hmm…”

“Eh, aku lupa nak bagitahu. Agensi tempat aku kerja tu nak cari photographer. Kau berminat tak?”

Soalan Rayyan membuatkan aku tersentak. Baru aje sampai Malaysia, dah kena fikir kerja ke? Adoi. Hati aku mula terasa sangat berat.

“Ambil gambar model aje ke?” tanya aku sambil terus merenung kepekatan malam di luar tingkap kereta.

Lebuhraya Persekutuan seperti biasa akan penuh dengan kenderaan. Sama saja seperti empat tahun lepas. Agak jauh juga rumah Aunty Yani di Setia Alam itu untuk menuju ke rumah aku yang terletak di Bangsar.

“Taklah. Fashion Queen sekarang tak terhad untuk fesyen semata-mata. Dia orang ada buat kolaborasi dengan syarikat pengurusan majlis. Jadi, photographer Fashion Queen akan turun padang sekali,” jelas Rayyan dengan panjang lebar.

Aku mengangguk beberapa kali. Bunyinya menarik. Lagipun, taklah terhad dengan sekadar mengambil gambar model di studio. Kadang-kala datang juga angin aku bila berdepan dengan sesetengah model yang banyak karenah.

Nak pula kalau berdepan dengan model yang payah nak berkomunikasi. Itu semua pengalaman yang aku dapat di Dublin. Menjadi salah seorang jurufoto utama di bahagian bayi dan kanak-kanak telah membuatkan aku banyak belajar untuk bersabar selama ini.

“Kau nak? Kalau nak, bagi resume kat aku.”

“Nantilah aku bagi. Aku belum kemaskini kerja yang paling baru.”

“Maksud kau, kerja yang paling baru tu termasuklah majlis pernikahan artis popular, Rayyan Ziqri, kan?”

Aku menjeling tajam ke arah Rayyan yang sudahpun mula ketawa kerana mengusik aku. Cis. Perasan. Nasib baik artis yang dimaksudkan itu dua pupu sendiri. Kalau tidak…

“Yalah. Bila eh?”

“Jumaat ni la weh!”

“Malam?”

“Ye.”

Aku memandang ke arah Rayyan sambil berkata, “kau nak aku ambil untuk pihak lelaki saja, kan?”

Rayyan mengangguk manakala aku pula membuat nota mental. Bimbang terlupa. Manalah tahu, disebabkan masih jet lag, nanti aku tertukar waktu tidur.

“Kami akan bertolak dari rumah Aunty Yani. Kita kumpul sana senang sikit. Kau pun taklah sesat jalan.”

“Kau tak bagitahu pun aku akan buat macam tu. Takkan kau tak nak ambil gambar dulu sebelum bersiap?” Aku bertanya.

“Ha, okey,” jawab Rayyan dengan ringkas.

Aku pula termenung. Bosan juga bila bertembung dengan kesesakan jalan raya ni. Haih. Agaknya berapa lama masa yang akan diambil untuk aku kembali mencintai tanah air ini semula?

“Apa yang kau fikir?” tanya Rayyan tiba-tiba.

“Aku risau…”

“Kau nak risau apa?”

“Macam-macam aku risau. Aku jadi takut balik sini semula,” ujar aku dengan perlahan.

Sememangnya kenangan lama terasa sangat perit. Aku rasa bukan sekadar kisah pahit aku dan Amsyar, malah kisah aku sewaktu zaman belajar pun sangat kurang manisnya.

Bukanlah aku menidakkan takdir yang telah ditentukan-NYA, tetapi entah mengapa bila jejak saja kaki di Malaysia, aku terus teringat cerita-cerita dulu.

Rayyan yang masih menumpukan perhatian terhadap kesesakan jalan raya itu, memandang sekilas ke arah aku. “Move on Ju. Hidup ni bukan selalunya di bawah. Semua itu hanyalah ujian yang bakal mematangkan hidup kau. Lagipun, tak baik mengeluh. Nampak macam kau tak bersyukur.”

Sebidas nasihat yang aku terima itu membuatkan aku kembali tersedar. Aku tahu, aku tak cukup kuat untuk menepis semua kenangan itu. Kalau orang lain tahu, mesti dia orang akan kata, sudah-sudahlah! Kau fikirkan orang lain buat apa? Bukannya orang lain tu boleh tolong kau pun! Betul tak?

“Aku bukan apa. Aku risau aku tak dapat sesuaikan diri kat sini. Aku mana ada kawan sangat pun. Kau pun tahu cerita aku yang dulu, kan? Aku dah cukup fobia bila berkawan!”

Rayyan mengangguk. “Aku tahu. Jangan risau Ju. Kau ada kami. Setakat kawan-kawan yang tak pernah nak hargai kau dulu tu, lupakanlah. Tak ada faedahnya. Belajar jadi kuat.”

“Insya-ALLAH.”

Aku menarik nafas panjang dan terus bersuara sendiri di dalam hati agar aku dapat kembali mencari kekuatan di sini. Moga-moga segala kenangan pahit itu bakal berlalu pergi.

*****************************

SETELAH hampir seharian bertungkus lumus mengemas rumah dua tingkat ini bersama mama, akhirnya aku berpuas hati. Mujurlah Pak Cik Wan dan Mak Cik Mah datang setiap bulan untuk mengemas.

Kalau mereka tiada, aku rasa mahu habuk tu terkumpul sampai semeter dalamnya. Jiran sebelah pun aku tak tahu sama ada jiran yang masih sama ataupun sudah bertukar orang.

“Ju, jom minum dulu. Mak Cik Mah dah buatkan lempeng kelapa dengan sambal ikan bilis yang Ju minta sekian lama tu!” ajak mama.

Aku tersenyum lebar. Kempunan dah empat tahun tak jumpa lempeng kelapa! Bila nampak pancakes, asyik teringat lempeng yang Mak Cik Mah selalu buat dulu masa dia jaga aku kat sini.

Aku menjeling jam di dinding yang hampir menunjukkan jam 4.30 petang. Tak lama lagi mungkin akan kedengaran azan solat Asar dari masjid yang terletak tidak jauh dari rumah ini.

Terkejut juga bila melihat ada sebuah masjid baru di kawasan padang yang luas selama ini dibiarkan. Syukur alhamdulillah. Moga-moga lepas ni boleh peruntukkan waktu untuk ke sana.

“Emm… Sedapnya! Dah lama Ju mengidam ni tau!” kata aku sambil terus mengambil piring kecil lalu duduk di meja makan yang boleh memuatkan seramai enam orang.

“Ei budak ni… Dia dah basuh tangan ke belum ni?” Mama yang baru muncul dari dapur bertanya.

Aku ketawa besar setelah menyedari bahawa aku belum mencuci tangan setelah selesai menyapu di laman rumah! Alang-alang, baik aku tukar aje baju yang hampir melecun dengan peluh ni.

Setelah selesai menukar pakaian di bilik, aku kembali ke tingkat bawah. Suara Pak Cik Wan menggamit gegendang telinga. Lelaki yang berusia hampir 60 tahun itu tersengih melihat aku.

“Saya lupa nak bagi kad ni pada Puan Zarina,” kata Pak Cik Wan sambil menghulurkan sekeping sampul surat.

“Eh, kad siapa?”

Aku memandang Mak Cik Mah yang berkata, “Wawa dah nak kahwin minggu hadapan. Jemputlah datang ya.”

“Wawa dah nak kahwin?”

Mata aku terbuntang luas. Wawa tu bukan baru habis sekolah ke? Eh, itu empat tahun lepas! Terkejut aku dibuatnya apabila aku baru sedar, gadis yang merupakan satu-satunya anak mereka itu sudah berusia 22 tahun.

“Jodohnya dah sampai. Lagipun pihak lelaki tak mahu tunggu lama. Kami sendiri izinkan. Itupun kami suruh buat lepas dia habis belajar,” ujar Mak Cik Mah sambil menuangkan air teh ke dalam cawan.

Terasa kelat pula tekak aku mendengarnya. Wawa yang memang aku anggap macam adik tu dah nak kahwin? Macam tak percaya pun ada.

“Bakal suaminya umur berapa mak cik?” Aku bertanya sebelum disiku oleh mama.

Alamak, salah tanya ke? Aku melarikan anak mata daripada menentang pandangan tajam mama. Mak Cik Mah hanya tersenyum.

“25 tahun.”

“Mudanya!” Aku terjerit.

“Ya ALLAH. Kenapa Ju terkejut sangat ni?” Akhirnya mama bersuara.

Aku mendiamkan diri sambil membuka kad dan meneliti isi kandungan sementara mama pula terus berbual dengan mereka berdua.

Terbeliak mata aku apabila ternampak nama Hotel Polaris. Pergh! Five star hotelyou! Patutlah. Dia kahwin dengan anak kenamaan. Bakal ayah dan ibu mertua berpangkat Dato’ dan Datin. Fikiran aku mula melayang entah ke mana.

Untungnya! Untungnya dia! Mesti masuk rumah baru dengan cuci kaki aje ni. Untunglah. Tanpa sedar, aku mencebik di dalam hati sebelum sedar akan hakikat takdir Yang Maha Esa.

“Kalau mak cik nak minta tolong Ju boleh?” Soalan Mak Cik Mah membuatkan aku kembali ke alam yang nyata.

“Apa dia mak cik?” Aku bertanya sambil menarik nafas panjang, cuba memadam api cemburu yang tiba-tiba menjelma di dalam hati.

“Ambilkan gambar perkahwinan Wawa boleh?”

Aku terdiam mendengar soalan Mak Cik Mah. Kenapa dia tanya aku? Takkanlah keluarga besan mereka tak ada jurufoto rasmi? Pelik kalau macam tu.

“Bakal suami Wawa memang ada jurufoto sendiri tapi belah kami tak ada. Jadi, pak cik naklah juga simpan untuk buat kenangan keluarga.”

Serta-merta aku menjadi sedikit sayu apabila terdengar kata-kata Pak Cik Wan. Nampak seperti ada jurang perbezaan di antara kedua-dua belah keluarga tapi… ah! Siapalah aku untuk mengadili semua ini?

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.