TERLALU sejuk! Itulah yang timbul dalam kepala
sebaik saja aku membuka pintu kereta milik Mrs Ciara yang baik hati untuk
menghantar aku ke Stephen’s Green Shopping Complex ini.
Mujur
juga dia mahu jumpa kawannya di Science Gallery Dublin yang terletak tidak jauh
dari sini. Alang-alang, dia suruh aku tumpang keretanya sekali. Nak suruh aku
berjalan kaki dalam cuaca sejuk? Fuh! Agaknya aku sempat jadi ais kristal di
tengah jalan sebelum sampai!
“Slán
go fóill. Go raibh maith agat!” Aku memandangnya sambil mengucapkan selamat
tinggal dan terima kasih.
“Bí
curamach!” Mrs Ciara membalas dan berpesan agar aku berhati-hati ketika
keluar daripada kereta.
Aku
mengangguk pantas dan terus berjalan ke arah pintu masuk kompleks membeli-belah
yang masyhur di bandar Dublin
ini sebelum angin sejuk mencucuk sehingga ke tulang
hitam.
Aku
memang suka datang sini. Mungkin kerana ia terletak dekat dengan rumah. Dekorasi
dalamannya juga klasik. Bumbungnya transparent dan yang paling menarik
deria mata aku adalah jam yang tergantung di bumbung. Besar gedabak okey! Tak
perlu susah-susah nak membelek jam di tangan ataupun telefon bimbit untuk
melihat masa.
Ah,
lega! Aku menarik nafas panjang setelah membuka kot tebal berwarna krim lalu
menyangkutnya dilengan. Hawa sederhana di dalam bangunan ini serta-merta
meninggikan semula suhu badan.
Entah
kenapa, musim sejuk tahun ini terasa begitu dingin. Nampak sangat tubuh badan separuh
Irish, suku Arab dan suku Melayu ni tak mampu nak menanggung cuaca sejuk
walaupun dah hampir empat tahun duduk di Dublin, Ireland.
Aku
menghalakan kaki ke pasaraya Boots untuk membeli sedikit keperluan rumah.
Ikutkan hati, lepas singgah Dublin Studio Photography tadi, aku nak balik ke
rumah tapi memikirkan di rumah pun tiada sesiapa, ada baiknya aku pergi
berjalan-jalan, kan?
Maklumlah,
tengah tak ada kerja ni bolehlah merayap. Cuba kalau ada kerja, nak jeling
kedai serbaneka pun tak sempat! Namun, bila memikirkan tidak lama lagi aku
bakal menjejakkan kaki semula ke Malaysia, aku jadi lemah.
Hmm.
Susah hati rasanya bila mengenangkan tanah air sendiri. Nama saja Airin
Zulaikha Shane dan biarpun kat dahi ni pun dah ada cop warganegara Malaysia, aku rasa masih canggung duduk di sana berbanding di sini.
Aku
menyusuri koridor pusat membeli-belah ini dengan perlahan sambil tersenyum
kelat bila teringat lagi sebulan aku akan pulang semula ke Malaysia. Walaupun sahabat baik
aku, Dura melompat-lompat kerana terlalu rindukan aku, tapi entah kenapa aku
belum bersedia.
Amsyar.
Apa khabar agaknya dia? Lepas dia memutuskan perhubungan kami empat tahun
lepas, dia terus senyap. Mustahil dia tak rindukan aku, kan? Aku pula sengaja menahan diri daripada
terus menghubunginya. Yalah, orang dah tak nak. Buat apa kita nak terus menagih
simpati, betul tak?
“Ju!
Juju!”
Spontan,
aku berhenti padahal pasaraya Boots terletak beberapa langkah saja lagi. Aku
menoleh ke sebelah kanan. Hmm, tak ada sesiapa pun melainkan seorang dua
manusia berkulit putih.
“Airin
Zulaikha Shane!”
Langkah
aku mati sekali lagi. Siapa pula yang bertuah panggil nama aku tu?! Bunyi
langsung tiada slang Irish. Aku memandang kiri dan kanan. Betul! Tiada sesiapa
yang aku kenali.
Ilusi
aje kot. Ah, biarlah. Baru saja aku nak melangkah semula, tiba-tiba terasa shawl
yang aku pakai ditarik lembut. Pantas, aku berpusing ke arah belakang.
“Rayyan!”
Anak
muda yang tingginya sejengkal daripada aku itu ketawa. “Isk! Penat aku panggil
tapi kau jual mahal!”
Aku
memukulnya perlahan sebelum tergelak. “Cubalah kau bagi salam dulu! Ini tak,
main jerit je. Aku ingat jejaka Irish manalah nak tackle tadi.”
Rayyan
Ziqri ketawa besar. Aku menggeleng kepala memerhatikan dua pupu aku seorang
ini. Dia muda tiga tahun daripada aku tetapi kami lebih selesa membahasakan
diri dengan panggilan ‘aku’ dan ‘kau’.
“Kau
buat apa kat sini?”
“Aku
kahwin dulu!” Aku terus memekik setelah menyedari kami bertanya soalan yang
sama dengan serentak.
Orang-orang
tua kata kalau dua orang yang sedang berbual tercakap ayat yang sama, salah
seorangnya akan kahwin dulu. Kalau ikutkan, mana boleh percaya semua benda itu
kerana soal jodoh dan ketentuan takdir, semuanya milik ALLAH.
Namun,
adakalanya aku gemar mengusik Rayyan yang sudah dianggap seperti adik.
Kehidupan aku yang hanya mempunyai seorang ibu membuatkan aku teringin untuk ada
adik-beradik sendiri.
“No,
no, no…” Rayyan menggelengkan kepalanya sambil menunjukkan jari telunjuknya
di hadapan mata aku.
Aku
hanya membuat muka dan kemudian menoleh ke sebelah kanan setelah nampak
seseorang sedang menghala ke arah kami melalui ekor mata.
“Eh,
Haikal? Bila kau sampai?”
“Hai
Ju! Baru semalam,” jawab Haikal, abang kepada Rayyan walaupun mereka lahir pada
tahun yang sama.
Aku
mengangguk perlahan. Kami masih lagi berdiri di koridor. Sebenarnya, aku
sendiri pun lupa untuk ke pasaraya. Ini semua gara-gara mereka berdua yang
tiba-tiba saja muncul.
“Kau
tengah cuti ke atau curi tulang ni?” Haikal bertanya selamba.
Aku
menyilangkan tangan sambil menjawab ringkas, “aku dah berhenti.”
“Aik?
Tak tahu pun?” Rayyan berkata.
“Perlu
ke aku bagitahu semua?” Aku mengusiknya.
“Zulaikha!”
Aku
menoleh ke arah suara seorang wanita. “Eh, aunty! Aik, uncle pun ada?”
Ibu
Rayyan dan Haikal muncul bersama suaminya yang merupakan sepupu mama. Aku
menyalami dan memeluk ibu saudara sepupu aku yang dipanggil Aunty Hanani itu.
“Ju
buat apa kat sini?” Aunty Hanani bertanya.
“Nak
pergi beli barang sikit. Aunty dari mana?”
“Kami
baru lepas lepak. Ni nak balik dah. Eh, malam nanti pesan dengan mama, datang
rumah ya. Aunty nak buat makan-makan sikit. Ada surprise news!” Aunty Hanani
berkata dengan girang.
Aku
mengerutkan dahi. “Surprise? Aik, lain macam saja bunyinya?”
Uncle
Hawwari ketawa lalu berkata, “someone’s getting married!”
“What?!”
Aku membuntangkan mata sambil terus memandang Rayyan dan Haikal silih berganti.
“Surprise!”
Haikal mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas sambil membuat mimik muka
yang lucu.
“Oits!
Mana boleh langkah bendul!” Aku mengusik.
Aku
memandang AuntyHanani kembali. “Aunty, siapa yang nak kahwin?”
“Eh,
jangan bocorkan rahsia dulu mummy. Suruh dia datang malam ni,” kata Rayyan.
Aku
menjeling ke arahnya dengan tajam. “Yalah, aku datang malam nanti. Okeylah aunty.
Ju nak pergi beli barang. Lepas tu baru Ju nak balik.”
“Mummy
baliklah dulu dengan daddy. Ray nak berjalan lagi kat sini dengan Haikal. Ju, kau
bawa kereta ke tak? Kalau tak, kami hantar kau balik sekali.” Rayyan berkata.
“Alhamdulillah!”
Tersengih-sengih aku memandang Rayyan. Musim sejuk macam ni memang aku rasa lebih
bersyukur kalau ada orang boleh hantar sampai depan pintu rumah!
Setelah
Aunty Hanani dan Uncle Hawwari beredar, kami bertiga melangkah ke dalam
pasaraya Boots. Haikal berjalan laju ke hadapan, entah apa yang dikejarnya.
“Kau
nak balik Malaysia
semula dah?” Soalan Rayyan membuatkan aku terdiam.
“Mana
kau tahu?”
“Aku
agak je. Kalau tidak, kenapa kau berhenti jadi photographer kat Dublin
Studio Photography tu, kan?”
Rayyan menyoal lagi.
“Hmm.
Mama kata kawan dia ajak buka syarikat di sana.
Ikutkan hati, aku nak tinggal kat sini. Tapi kasihan pula nanti mama tinggal
seorang diri. Sebagai anak tunggalnya, aku menurut saja Ray…” Aku menarik nafas
panjang sambil terus membelek beberapa jenama sabun mandi di rak-rak yang
tersusun rapi.
Kami
berdua terdiam seketika. Rayyan turut melihat beberapa barangan keperluan bilik
mandi sebelum menyambung perbualan.
“Kau
masih merajuk?”
Aku
tergelak kecil. “Hisy. Tak kuasa! Dah empat tahun pun Ray. Cukup lama buat aku
lupakan semuanya.”
“Ju,
kau tak payah tipu aku. Perempuan ni kalau dibiarkan dengan perasaannya,
sepuluh tahun pun belum tentu dia mampu lupakan cintanya, betul tak?” Rayyan
serkap jarang.
“Hmm…”
“Tengok
tu. Kan aku
dah cakap?”
Aku
mengeluh lagi. “Yalah, kau menang. Yang kau tu bila nak habis merajuk?”
“Kenapa
pula dengan aku?” Rayyan menyoal tanpa menjawab soalan yang aku berikan.
“Jangan
buat Auni Hafya tertunggu-tunggu. Nanti dia jumpa orang lain, mengangalah kau
jawabnya!” Aku berkata dan terus berjalan menuju ke rak yang menjual
ubat-ubatan.
Pasaraya
Boots lebih tertumpu kepada jualan untuk produk-produk kecantikan dan
kesihatan. Biasanya aku lebih gemar datang ke sini berbanding membeli di kedai
runcit biasa.
Rayyan
mengikuti aku dari arah belakang sambil terus berbual, “aku faham. Itu sebabnya
aku nak buat tindakan drastik.”
“Maksud
kau?” Aku terus memberhentikan langkah lalu memandangnya.
“Itu
kau kena tunggu malam nilah.” Rayyan mengenyitkan sebelah matanya lalu terus
tergelak memerhatikan aku yang sudah menarik muka empat belas.