Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,931
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 22

USAI solat Isyak, aku merebahkan diri di atas katil lalu mencapai telefon bimbit yang terdampar di situ semenjak aku pulang daripada makan malam bersama Faiq.

Tersenyum aku apabila mengingati tentang lelaki itu. Nampak saja macam sombong tapi sebenarnya dia amat peramah. Aku selesa berkawan dengan Faiq. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan soal persahabatan aku sekembalinya ke sini walaupun aku juga terjumpa dengan Shahmi.

Aku melihat ada beberapa miss call daripada Dura. Uh? Shahmi pun ada telefon? Hmm, buat apa ya? Oh, mungkin dia nak tanya aku pasal majlis tadi. Ah, tak apalah. Biar Faiq sendiri yang cerita nanti.

Aku menjeling jam dinding. Sudah hampir jam satu pagi. Ini semua gara-gara berbual dengan Faiq terlebih mesra. Banyak sungguh ideanya nak bercakap! Aku tersengih lagi lalu meletakkan tapak tangan di dada.

Tidak. Aku bukan ada hati pada Faiq. Aku boleh confirm soal itu kerana aku tidak pernah rasa apa-apa yang mendebarkan perasaan. Mungkin sebab itulah aku boleh berbual dengannya macam-macam cerita.

Aku bangun lalu menutup lampu bilik dan membuka lampu tidur yang berbentuk ladybird di dinding bilik. Ya, macam budak-budak tapi aku memang tak boleh tidur kalau tak ada lampu. Susah! Bukan penakut.

Mata aku masih lagi terbuka luas. Tiada tanda mahu tidur walaupun aku sudah selamat membaca doa tidur dan surah-surah yang aku amalkan selama ini termasuk Ayatul Qursi, Al-Mulk dan tiga ayat terakhir surah Al-Baqarah.

Aku mengambil minyak angin yang terletak di meja kecil sebelah katil lalu menyapu sedikit di sudut dahi. Sukar betul untuk tidur tanpa minyak angin, keluh aku. Puas aku cuba hilangkan tabiat ini tapi masih tak boleh.

Agaknya bau minyak angin itulah yang mendorong aku untuk tidur lebih nyenyak. Ei, pelik! Siapalah lelaki malang yang bakal jadi suami aku nanti. Mesti stress. Orang tidur pakai minyak wangi tapi bininya tidur pakai minyak angin!

Aku memberikan mesej kepada Dura yang aku pasti sudah tidur. Biarlah esok pagi saja dia baca sebelum aku sendiri lupa nak membalas. Seketika kemudian, telefon aku berbunyi. Berkerut dahi memikirkan siapa pula yang menghantar mesej dikala jam menunjukkan dua pagi ini.

Dura : Amboi, sakan sungguh keluar sampai tak dengar aku call!

Aik? Tak tidur lagi member aku seorang ini? Aku tersengih sebelum membalas mesejnya.

Aku : Yang kau ni belum tidur lagi kenapa?

Dura : Tunggu suami balik. Dia buat OT. Baru nak otw balik.

Aku : Solehah betul.

Dura : Weh, mestilah. Syurga itu di telapak kaki suami!

Aku mencebik bibir lalu tersenyum kecil. Dura, Dura… Bertuah betul suami kau dapat bini macam ni. Agaknya nanti aku macam manalah ya. Bakal suami yang terpaksa tunggu aku balik daripada kerja yang tidak tentu masa ini agaknya!

Dura : Kau keluar dengan siapa?

Aku : Kawan.

Dura : Kawan? Who? Setahu aku, aku je kawan kau kat Malaysia ni! Hahaha~ Haaaa siapa?! Aku tau mesti lelaki kan kannnnnnn

Hmm, nak cerita ke tak? Malas pula aku nak cerita sebab Faiq tu kawan biasa aje. Bukannya ada apa-apa. Rakan sekerja sebetulnya. Sedang aku leka memikirkan tentang jawapan yang perlu aku berikan padanya, telefon aku berbunyi lagi dengan nada berlainan, petanda ada emel baru tiba. Helmi?

Assalamua’laikum Zulaikha,

Sorrylah lambat reply. Kerja aku menimbun-nimbun! Inilah harga yang perlu aku bayar bila kerja dengan ayah sendiri. Sobs, sobs. Sedih, kan? Hari minggu pun masih bertapa di office. Congratulations akhirnya kau dapat kerja di Fashion Queen yang masyhur tu!

Weh, aku ada cerita hot. Hot sangat! Aku tak pasti sama ada aku perlu cerita atau tak, tapi aku rasa perlu. Cuma jangan terkejut! Eryna tanya aku pasal kau! Dia nampak kau kat KL hari tu. Yang aku pelik, dia macam tahu-tahu aje kita ni berhubung. Pelik. Dia pasang spy ke eh? Dia tanya aku masih ingat kau ke tak. Bila aku tanya kenapa, dia kata dia saja tanya.

Aku tak cakap apa-apa. Aku kata cerita dah lama. Aku pun tak pernah jumpa kau. Pandai tak aku cover? Hahaha~ Nampaknya kau kena waspada. Aku tengok dia macam berminat aje nak cari kau semula. Habislah~ Nanti jangan lupa cerita kalau dia jumpa kau okey! Manalah tahu jadi bestfriend semula. Muahaha!~

Untill then. Jangan marahlah. Aku gurau aje! :p

Aku, Helmi.

Berderau tubuh aku bila membaca emel Helmi. Eryna nampak aku?! Biar betul! Masa bila? Aku menelan air liur. Entah-entah dia nampak orang yang sama macam aku kot? Aku berdoa di dalam hati semoga aku tidak bertembung dengannya.

Tak mahu! Aku tak suka bila kenangan silam datang bertandang. Aku mengeluh berat sebelum mematikan telefon bimbit lalu terus cuba melelapkan mata dengan membaca zikrullah.

********************************************************

FAIQ meraup wajahnya perlahan. Dia memandang mejanya yang semak dengan segala kertas kerja dan dokumen berkaitan pelbagai aktiviti yang akan dijalankan beberapa bulan kebelakangan ini.

Itu belum masuk kabinet fail berwarna putih yang terletak di belakangnya lagi. Walaupun pekerja bahagian pentadbirannya menawarkan diri untuk menolong Faiq mengemaskannya, lelaki itu menolak. Lagi susah nanti dia mahu cari segala dokumen kerana hanya dia saja yang tahu di mana dia menyimpannya.

Faiq memandang dinding kaca di hadapannya yang berlapikkan warna ungu muda. Penuh dengan jadual bulanan mereka dan terletak juga jadual harian yang perlu diselesaikan. Lelaki itu mengeluh kecil.

Baru sebentar tadi dia mendapat mesej daripada Sheila yang akan tiba di sini dalam masa 5 minit lagi. Masalah betul perempuan seorang ini, getus hatinya. Suka sangat buat kejutan yang tak pasal-pasal menyusahkan perasaan aku. Faiq bungkam. Dia tidak tahu bagaimana sepatutnya dia menyelesaikan masalah kecil tetapi besar padanya ini.

Interkom telefon berbunyi. Faiq mengangkatnya setelah beberapa kali berdering. Suara pekerjanya memberitahu Sheila sudah ada di ruang menunggu. Faiq menarik nafas panjang sebelum membenarkan Sheila masuk ke dalam pejabatnya.

“Assalamua’laikum sayang!” Suara lemak merdu Sheila nyaring kedengaran di cuping telinganya.

Faiq sempat menjawab di dalam hati sebelum dia berkata, “duduklah. Kenapa you datang sini tak cakap awal-awal?”

Mulut gadis itu mula muncung. “hmm, I nak kena buat appointment juga ke dengan bakal tunang I sendiri?”

Faiq menelan air liurnya. Bakal tunang? Lelaki itu semakin resah. Siapa pula memandai buat cerita yang aku akan bertunang dengan Sheila? Kalau aku tanya nanti, dia report pula pada Syed Ghazali. Adoi, masalah!

“Kenapa you datang?” Faiq akhirnya menyoal tanpa menjawab soalan Sheila.

Gadis itu tersenyum sambil terus duduk di hadapannya. Faiq memerhatikan gelagat gadis yang berblaus merah jambu dan dipadankan dengan skirt bercorak kembang payung sehingga ke paras buku lalinya mengeluarkan katalog dari dalam beg tangan. Rambut ikalnya yang diwarnakan perang itu dilepaskan begitu saja.

“I bawa katalog barang kemas. Nak tunggu kita pergi kedai, susah sangat. You busy, I pun busy. Apa kata kita pilih saja dan you serahkan semuanya pada I. Nanti I belikan.”

Faiq melopong. Apa ni? Aku tak bagitahu jawapan apa-apa pun? Apakah ini semua agenda daddy dan Syed Ghazali? Faiq mula rasa tidak keruan. Lelaki itu berfikir dengan pantas sementara Sheila masih memandangnya dengan perasaan berbunga-bunga.

“Sheila… You tak rasa ke benda ni cepat sangat? I dah bagitahu malam tu kan…” Faiq berkata perlahan. Dia bimbang sekiranya hati gadis yang dianggapnya seperti adik perempuan sekian lama itu akan terusik.

Sheila mengangguk pantas. “I tahu tapi I rasa kita patut bertunang dulu. Sekurang-kurangnya I tak risau.”

“Nak risau apa?”

“You suka orang lain.”

Faiq terus tergelak dengan pendapatnya yang seperti budak-budak itu. “Sheila, kita dah kenal lama. You kena percaya jodoh itu semua kerja ALLAH. DIA telah tetapkan segala yang berlaku di dunia ini. Harta, wang ringgit, pekerjaan kita… Semua perancangan itu daripada-NYA.”

Sheila mendiamkan diri apabila Faiq mula membuka tazkirah. Dia tahu semua itu. Dia pernah belajar dan dia tahu hakikat tentang hidup, ajal mahupun jodoh seseorang itu telahpun termaktub semenjak dahulu lagi.

Namun, dia terlalu sayangkan Faiq. Dia takut impiannya untuk hidup dengan Faiq selamanya akan lenyap sebegitu saja. Dia juga sedar Faiq melayannya seperti seorang adik tetapi dia mahu terus berusaha. Manalah tahu sekiranya usahanya itu membuahkan hasil.

“Sheila, you faham maksud I kan?”

Agak lama selepas itu baru Sheila mengangguk dan mengeluh perlahan. “Maafkan I Faiq sekiranya I nampak mendesak.”

Faiq memandang saja Sheila menyimpan semula katalog barang kemas yang dikeluarkannya tadi. Hatinya tersentuh sedikit dengan perlakuan gadis itu tetapi Faiq berdoa agar ALLAH memberikan kekuatan kepada mereka berdua, tidak kiralah walau sesiapapun jodoh mereka nanti.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.