AKU membuka pintu kaca Dublin Studio Photography
dengan sedikit debaran di hati. Tiada orang di ruang lobi. Mungkin
masing-masing sedang sibuk ataupun ada sesi fotografi di luar.
“Ju!”
Suara
seseorang menerjah cuping telinga. Secepat kilat aku menoleh dan terus
tersengih apabila bertembung mata dengan Neil, jejaka Irish yang cuba
mengorat aku selama ini.
“Hi
Neil.”
“Ju,
cronaím thú…” Neil melafazkan kata rindu.
Ah,
sudah! Inilah yang aku malas sebenarnya nak datang. Kadang-kadang hati rasa tak
sanggup tolak lamarannya lantaran sikapnya yang tidak pernah putus asa dan
peribadinya juga baik.
Namun,
hati aku degil nak terima. Nak buat macam mana, kan? Aku hanya memberikan senyuman buat Neil
yang memanglah kacak ala-ala Nicky Byrne, bekas ahli kumpulan Westlife.
“Kenapa
awak datang sini?” tanya Neil dengan slang Inggeris yang pekat.
“Oh.
Sepupu saya ada fotografi hari ini tapi saya tak tahu dia di studio yang mana
satu.” Aku menjawab.
Neil
mengerutkan dahinya sebentar sebelum tersenyum kembali dan berkata, “Ray? Dia
ada di atas. Naiklah ya. Macam tak biasa aje kat sini.”
Kami
sama-sama ketawa sebelum Neil meminta diri untuk keluar bagi menghadiri
fotografi pra-perkahwinan di lokasi luar. Sejuk-sejuk pun, orang tak kisah bila
tiba bab ambil gambar. Janji hasilnya cantik biarpun bibir terpaksa dioles
banyak kali dengan balm agar tetap nampak pink.
Aku
beredar ke tingkat atas dengan segera. Dari jauh terdengar suara seorang lelaki
sedang memberikan arahan. Langsir yang menutupi tempat fotografi itu aku kuak
perlahan.
Tersengih
aku melihat Rayyan yang baru duduk di sebuah sofa panjang. Ada beberapa orang lagi yang sememangnya aku
kenal sedang berlegar di kawasan studio. Masing-masing sedang sibuk menjalankan
kerja mereka.
“Ray!”
Rayyan
memandang aku sekilas. Wah, lebar terus senyuman! Kalau tadi nampak tegang
semacam aje. Tambah pula bila wajahnya dirias ala-ala gothic. Seram!
“Aku
tahu kau mesti datang!” ujar Rayyan.
Aku
sempat menjelirkan lidah ke arahnya sebelum mampir dan duduk di sisi sambil
mengangkat tangan ke arah jurufoto yang selama ini juga menjadi teman baik aku
di studio.
“Banyak
lagi ke?” tanya aku.
“Baru
tiga.” Rayyan menjawab ringkas.
“Huh,
tak kuasanya aku nak tunggu sampai sepuluh!”
Rayyan
menjegilkan matanya ke arah aku. Manakala aku pula ketawa melihat reaksinya. Sesekali
mata aku tertancap ke arah peralatan kamera di hadapan. Ah, rindu pula nak
bekerja!
“Tiket
flight kau bila?” Rayyan bertanya seraya membuka tali leher yang
membelit lehernya.
“Tiga
minggu lagi. Kenapa?”
“Kau
bagi details. Aku patut balik minggu depan dengan dia orang semua tapi photoshoot
aku tunda pula dua minggu lagi sebab klien nak tukar konsep. Alang-alang, baik
aku balik dengan kau. Bosan weh 14 jam dalam kapal terbang tu kalau seorang
diri!” Rayyan membebel.
Aku
membetulkan duduk sambil menjawab, “nantilah aku mesej kau. Aku sendiri pun
lupa flight pukul berapa sebab mama yang buat semuanya.”
“Ei,
pemalasnya. Semua nak suruh mama buat. Nanti kau kahwin, macam manalah
agaknya.”
Amboi!
Dengan pantas, aku memukul lengannya. “Itu lain. Lagipun, aku macam dah tak ada
hati nak kahwinlah. Aku rasa macam baik aku jaga mama sampai tua.”
“Ya
ALLAH, mana boleh cakap macam tu! Nanti bila Aunty Ina tiba-tiba dapat jodoh,
kau nak buat apa? Menganga? Atau duduk dalam selimut, nangis seorang diri
sambil fikir kenapalah aku tak kahwin?” Rayyan mengusik sambil membuat muka,
mengejek aku sebetulnya.
Cis!
Dia ni memang pantang diberi peluang, asyik nak menyakat aku aje! Mujurlah tak
lama lagi dia nak kahwin. Senang sikit hati aku, bebas daripada usikan dan
omelannya.
“Diamlah.
Bukan apa, aku macam malas dah nak mula bercinta. Ei, tak tahulah nak bercinta
macam mana.” Aku menjawab sambil bersandar di sofa.
“Cinta
itu akan datang sendiri. Bukannya susah. Bila orang sayang, kau sayanglah
balik,” ujar Rayyan.
Dia
sudahpun bangun dari tempat duduk setelah stylist memanggilnya untuk
menyalin pakaian seterusnya. Manakala aku pula terus emosional sendiri di atas
sofa.
*****************************
“CUBA
kau fikir, kenapa kau ditakdirkan berjumpa dengan lelaki biskut tu setiap
tahun. Dahlah jumpa pun setahun sekali. Kau tak rasa pelik ke?” Rayyan
memulakan penyiasatan.
Aku
tidak menjawab tetapi hanya merenung pendinding api yang berada di hadapan
mata. Kalau panahan mata aku ada kuasa, dah sah-sah boleh terus tembus ke dinding
rumah sebelah.
Perut
aku mula terasa sebu setelah dengan enaknya menikmati makan malam yang
disediakan oleh mama sebentar tadi. Grill salmon yang besar dengan
cendawan serta tomato yang dipanggang. Tak lupa, roti tradisional Irish yang
mesti ada di atas meja, soda bread.
Istimewanya
soda bread ni sebab ia menggunakan buttermilk ataupun yogurt.
Jadi rasanya memang lain sedikit daripada roti biasa.
“Aku
rasa dia tu mesti senior atau junior sekolah aku. Kalau tak, kenapa dia senyum
macam dah kenal lama?” Aku menyoal Rayyan kembali.
“Ke
dia…” Rayyan mengangkat keningnya ke arah aku.
“Apa?”
“Saudara
dengan Amsyar?”
Aku
membeliakkan mata. “Hisy, tak mungkin!”
Aku
menggelengkan kepala dengan perlahan. Soal ini timbul setelah aku memberitahu
Rayyan yang aku kerap kali bermimpi tentang lelaki yang aku jumpa setahun
sekali itu. Walaupun jarang jumpa, entah kenapa wajahnya jelas di ingatan.
“Kau
tak cuba
hubungi Amsyar lagi?” Rayyan menyoal perlahan.
Aku
menggelengkan kepala sekali lagi dan menjawab, “tipulah kalau aku kata tak
pernah. Hmm... Pernah, tapi aku rasa dia tukar nombor telefon lepas kami
berpisah tu.”
“Kenapa?
Kau tak pernah cuba
tanya kawan-kawan universiti dulu?” Dua pupu aku itu bertanya lagi.
“Dia
orang semua tak tahu. Lagipun, Amsyar terus menjauhkan diri macam tu saja
daripada dia orang juga. Aku peliklah.”
Rayyan
termenung seketika. “Mak ayah dia? Takkan kau tak kenal?”
Aku
tersenyum sinis sebentar bila terdengar soalan itu. Aku memandang tajam ke arah
Rayyan sambil menyoal, “kau percaya tak sepanjang enam tahun aku bercinta
dengan dia, sekalipun dia tak pernah bawa aku jumpa mak dan ayah dia?”
“Serius?”
Aku
menggangguk perlahan. Adoi, terasa sayu pula bila mengingatkan Amsyar.
Sesungguhnya lelaki itu memang seorang yang agak pelik. Biarpun dia sangat
menyayangi aku, tetapi aku perasan, kehidupannya macam diselubungi misteri.
“Kalau
dia serius dengan kau, mesti dia bawa kau jumpa keluarga dia, betul tak?” tanya
Rayyan.
“Aku
faham. Itu sebabnya aku pelik. Bila dia buat keputusan untuk berpisah, dia
hilang terus macam tu aje. Tak ada dah perkhabaran. Kalau kau nak tahu, aku
pernah pergi rumah sewa dia tapi dia orang kata, dia dah pindah sehari sebelum
dia putuskan hubungan.” Aku berkata dengan panjang lebar.
“Tak
apalah. ALLAH akan gantikan dengan yang lebih baik.” Rayyan berkata.
“InsyaALLAH.
Dahlah, lupakan soal aku tu.” Aku menjawab ringkas sambil mengambil secawan teh
di atas meja.
Mama
tidak kelihatan di mana-mana. Mungkin terus naik ke bilik selepas makan malam
tadi. Ataupun sedang menyiapkan manuskrip novelnya yang terbaru.
Sementara
nak pulang ke Malaysia
ni, aku pasti mama mahu menyiapkan tulisan novel Inggerisnya. Nanti bila dah
balik sana,
mesti mama akan jadi lebih sibuk dengan syarikat yang akan dibukanya.
“Okeylah.
Aku nak balik.”
“Memang
patut kau balik pun,” usik aku.
Setelah
menghantarnya di muka pintu, aku terus naik ke tingkat atas untuk membersihkan
diri dan menunaikan solat Isyak. Aku membiarkan lampu ruang tamu terpasang
sebab Miss Jane Abdullah, teman serumah kami masih belum pulang dari tempat
kerja.
Aku
masih teringat kisah empat tahun lepas. Aunty Hanani menawarkan rumahnya
sebagai tempat tinggal ketika kami bercadang untuk mencari rumah sewa. Namun,
mama menolaknya dengan baik. Akhirnya kami berjumpa dengan Miss Jane di Dublin
Mosque yang kebetulan sedang mencari teman serumah.
Alhamdulillah.
ALLAH Maha Penyayang. Biarpun hidup aku tidak dilengkapi dengan kasih sayang
seorang ayah, aku masih ada mama. Bila terkenangkan papa, aku cepat-cepat
sedekahkan Al-Fatihah buatnya.
Pilu
rasanya sebab aku tak ingat langsung apa-apa kenangan aku dan papa. Kasihan
mama kerana harus menghadapinya seorang diri ketika aku masih kecil lagi.
Aku
segera membaringkan diri di katil dan mencapai telefon bimbit. Tersengih aku
melihat entri baru daripada instagram bubblyknit. Geram pula aku tengok
produk mengait yang terbaru daripadanya.
Kagum
betul tengok semua produknya. Ada
macam-macam jenis termasuklah plush toy, scarf, barang-barang
dekorasi untuk rumah dan juga sweater untuk kanak-kanak serta orang
dewasa.
Banyak
betul masa dia ni, getus aku dengan perlahan. Mungkin dia adalah seorang
surirumah yang mempunyai hobi mengait. Alang-alang tak buat apa-apa, baiklah
jual online,kan?
Dapat juga untungnya. Itulah yang dinamakan hobi yang mendatangkan duit.
Aku pernah memesan beberapa kali
daripada bubblyknit ni. Mujurlah dia boleh hantar produk ini sampai ke Ireland.
Itupun sebab Dura yang follow instagram dia dulu. Aku pula terus jatuh
hati dengan produk yang ditawarkan. Comel sangat!
Dalam
hati ada juga rasa gatal nak belajar mengait. Manalah tahu, boleh dijadikan
kerja sampingan. Aku pasti tuan punya bubblyknit ini adalah seorang yang
sangat teliti dan sentimental. Tengok produk pun tahu.
Mata
aku menangkap gambar terbaru sebuah bekas pensel yang dikait dengan warna
turqoise dan putih. Comel gila! Tak boleh jadi ni! Order! Order! Memang
kopak aku macam ni. Bukan tak boleh tunggu balik Malaysia
nanti, kan?
Ah, biarlah! Nanti orang lain orderdulu, aku yang gigit jari! Dahlah limited
edition!
Aku menjeling ke arah jam dinding. Dah
pukul sebelas malam rupanya. Kalau di Malaysia sekarang kiranya dah pukul
enam pagi. Hah, okeylah tu.
Tanpa perlu menunggu dengan lebih lama,
aku membuka aplikasi WhatsApp. Senangnya zaman sekarang ni, kan? Walaupun orang tu duduk beribu-ribu
batu, bila WhatsApp, rasa macam duduk sebelah rumah aje!