Jauh dia mengelamun. Apa yang harus dia lakukan? Penat dia
menunggu Zaiton pulang dari kerja. Sejam bagaikan setahun rasanya. Sudah
seperti orang gagal bercinta pula. Sedih sahaja memanjang. Dia memang sedang gagal bercinta! Dia
cintakan kerjanya sebagai seorang setiausaha.
Dia rindukan kerja-kerjanya.
Kenapa mereka kejam sangat! Langsung tidak menimbang mutu kerjanya
selama ini.
Duit simpanannya masih ada. Tidak pernah terusik pun. Dia seorang yang
berjimat cermat. Jarang membeli barangan yang berjenama atau berhabis tanpa
sebab. Dia kurang bergaya, hanya
menjaga mutu kerjanya. Mungkin sebab
itulah syarikat tempatnya bekerja sebelum ini tidak menyambung kontraknya. Roseyatimah memandang wajahnya dicermin yang
terdapat di ruang tamu apartment rumah sewanya itu.
“Kulit aku memanglah hitam, tapi
taklah sehitam buntut kuali. Masih ada
kelihatan cerahnya walaupun hanya sepuluh peratus, hidung aku mancung apa? Pipi aku tentulah gebu, walaupun tak jelas
dipandangan. Kenalah belek dekat-dekat!
Tengok, kening aku, punyalah lebat! Ala…
memanglah aku rendah, dipanggil kecil moleklah. Pasti aku secomel macam Nora Danish kalau aku putih! Waktu
itu aku takut CEO Empayar Milinium pun
terpikat!” katanya kepada diri
sendiri. Dia berpusing kiri dan kanan.
“Kalau aku tak puji diri aku
sendiri, siapalah yang sudi. Hey… aku
dijadikan oleh ALLAH SWT, tentulah cantik dan sempurna. Hanya mereka yang buta warna sahaja tidak
tahu nilai orang berkulit gelap ini.
Tengok sahajalah Mat Afrika yang datang ke negara ini. Bukan main digilai oleh anak dara Malaysia.
Kalau dibandingkan mereka dengan aku, rasanya kau jauh lebih cantik,” pujinya
sendiri.
Bunyi pintu dibuka membuatkan dia
kembali ke alam nyawa. Matanya memandang
ke arah pintu. Sudah pasti Zaiton yang pulang dari kerja. Dia sudah melakarkan senyuman paling manis buat
sahabatnya itu. Harap-harap ada cerita
manis yang boleh dikongsikan bersama.
“Ton! Tak sabar aku tunggu kau
balik! Ada apa-apa cerita yang menarik,
yang ingin kau kongsikan bersama aku?” tanya Roseyatimah dengan muka paling
manis. Terlebih manis daripada madu dari
Tualang.
“Kau ni Rose, langsung tak ada rasa
simpati dengan akukan? Aku ni baru
sahaja balik. Penat tau memandu dari Shah Alam ke mari… kot nak sambut aku
dengan air sejuk ke? Sirap ke? Ini
tidak, sambut dengan air liur kau tu saja!”
Zaiton melabuhkan tubuhnya yang letih di sofa. Dia meluruskan kaki, melepaskan kelelahan,
kepenatan seharian bekerja.
“Erk… air liur ya? Tak sempat nak
kumpul!” kata Roseyatimah dengan muka selamba.
Dia duduk di sebelah Zaiton. Lengan Zaiton diurut perlahan, dia
menyengih.
Zaiton menggeleng.
“Pergilah ambilkan air untuk aku!
Kalau tak ada yang sejuk dan manis. Air paip pun okey juga,” sindir Zaiton.
“Air paip pun boleh ke?” soal
Roseyatimah kembali.
“Kau ada rasa-rasa nak makan orang
tak?”
“Erk… tak pernah lagilah cuba. Tapi… aku bukan kanibal! Daging ayam dan
lembu aku makanlah!” tempelak Roseyatimah dengan muka serius.
“Apalah dapat sahabat bengap macam
kau ni Rose! Tolonglah ambilkan aku air kosong dalam peti sejuk tu. Haus tau!”
jerkah Zaiton, dia menepuk dahinya
sendiri.
“Erk… ooo… nak air minum Cubalah cakap nak air minum!” Roseyatimah ketawa sendiri. Susah sangatkah nak minta air untuk diminum. Ini panjang laluanya sehingga dia sendiri
tidak faham. Roseyatimah kembali ke
ruang tamu dengan sebotol air kosong dan mug. Dia meletakkannya di atas meja
kopi. Dia duduk semula di sebelah Zaiton.
Tidak sabar hendak mengetahui perkembangan terkini masalah yang sedang
dihadapi. Semoga ada jalan keluar yang terbaik buat dirinya.
Zaiton terus menyambar botol
tersebut dan terus menuang ke dalam mug. Diteguk dengan rakusnya. Terasa sejuk
di tekak sehingga ke perut.
Alhamdulillah, ucapnya dalam hati. Erk… jangan ingat dia tidak baca
Bismillah ya, awal-awal lagi dia sudah membaca dan menyebut nama rahmat itu.
“Okey, dah minum? Sudah hilang dahaga? Kembali kepada cerita kita sejak seminggu
yang lalu, bagaimana? Sudah ada jawapan pada setiap persoalan?” kata
Roseyatimah bagaikan seorang pembaca
iklan.
“Bagus! Terbaik cara kau bertanyakan soalan. Aku pun teruja nak beri jawapan,” jawab Zaiton.
Rasa hendak ketuk sahaja sahabatnya itu.
Hari-hari tanya soalan yang sama. Bukan dia tidak simpati, tetapi
kenalah belajar bersabar. Dia mendengus
kasar.
“Kau tak nak bantu aku ke Ton? Kau
tak kasihan dengan aku ke? Tengoklah
keadaan aku dah macam mati kucing?
Hari-hari menangis. Kau tahulah
muka aku yang tidak cantik ni, kalau sembab akibat menangis, agak-agak kau jadi
macam mana?”
“Mati kucing? Kalau setakat mati
kucing, tak adanya aku nak simpati. Lainlah mati laki!” Zaiton membulatkan
matanya memandang wajah muram Roseyatimah yang tidak serik-serik memujuknya
agar sanggup memujuk sesiapa sahaja di syarikat itu untuk menerima dia kembali
bekerja.
“Mati laki? Kahwin pun belum… macam mana nak mati
laki!?” Roseyatimah memukul lengan Zaiton.
Zaiton ketawa, Roseyatiman turut
ketawa. Akhirnya pecah gelak
mereka.
“Gelak-gelak juga, macam mana? Ada apa-apa perkembangan? Asyik badan aku saja yang kembang sejak duduk
rumah ni, kau langsung tak bawa khabar berita dari seberang. Hah! Jangan nak
memandai-mandai. Bukan Indonesia atau Thailand ya… tetapi Syarikat Milinium,”
tutur Roseyatimah.
“Yalah… yalah. Aku dah buat temu
janji dengan CEO Syarikat Milinium… Insya-ALLAH minggu hadapan boleh aku bawa kes kau
kepadanya.” Jelas Zaiton apa yang telah
dia lakukan. Semoga Roseyatimah mampu bersabar.
“Terima kasihlah Ton. Kalaulah sahabat aku dunia dan akhirat. Malam
ni aku belanja kau makan!” Roseyatimah
tersenyum riang.
“Baguslah, baik juga hati kau ya
Rose. Sudi kau belanja makan malam aku!” Zaiton tersenyum gembira.
“Er… aku belanja dan tolong
pesankan. Tapi kaulah bayar!” kata
Roseyatimah serius. Dia berlalu menuju ke biliknya. Sebelum masuk bilik dia
menoleh seketika
“Apalah punya kawan!” Zaiton
mencebik. Kedekut! Rungutnya.
“Banyak kau punya kedekut. Aku dalam sesi ikat perut sebab dah tak ada
kerja, ada boleh faham!” Roseyatimah
menjegilkan mata dan menghirutkan mulutnya. Daun pintu bilik di buka dan dia
terus melangkah masuk.
“Ingat lawa buat muka macam
tu!” Zaiton buat muka poyo. Dia mengeluh.
Nampaknya kenalah keluarkan duit sendiri, apalah nasib.