Hujung
minggu keempat Haikal sengaja pulang ke kampung. Dia tidak memberitahu Ain pun
yang dia pulang ke kampung. Sengaja dia
menjauhkan diri daripada Ain. Dia ingin Ain muhasabah diri. Dia mahu Ain tahu segala perbuatan yang
dilakukan oleh tunangannya itu terhadap Rose adalah salah. Dalam hati, dia
sudah berjanji akan menyambung semula persahabatannya dan Rose yang telah
terputus. Peduli dengan amaran Ain. Dia tidak mahu jadi lelaki yang tidak
bermaruah, mengikut rentak seorang perempuan.
Apa pula kata keluarganya nanti.
Jangan jadi lembu di cucuk hidung.
Hina dina jadinya.
“Kenapa kau balik sorang? Kenapa tak
ajak Ain balik kampung sekali? Semalam
Mak Limah ada tanya, mungkin sebab ternampak kereta kau di laman rumah
agaknya,” tegur Hajah Mona. Matanya
tidak lepas daripada memandang wajah muram Haikal.
“Malaslah mak, biar dia dengan
halnya,” luah Haikal.
Bertambah berkerut dahi Hajah Mona.
“Lain macam saja bunyinya, kau bergaduh dengan Ain ke? Darah orang bertunang ni
manis, kalau ada masalah, kenalah bawa berbincang, jangan ikut nafsu, nanti
menyesal,” nasihat Hajah Mona. Apalah
nak jadi dengan budak-budak muda hari ini, buat apa sahaja suka ikut
perasaan.
“Sakit hati dengan sikap dia mak,
kenapalah dia benci sangat dengan si Rose tu?
Haikal pun tak faham? Perkara
yang berlaku waktu di sekolah dulu tu, dibawa sampai sekarang! Mana saya tak
marah! Langsung tak nak berubah. Puas saya pujuk, masih macam tu juga,” cerita Haikal. Dia tidak permah
menyembunyikan apa sahaja perkara tentang kehidupannya daripada pengetahuan
emak dan ayahnya.
“Laa… mereka masih bergaduh lagi
ke?” Hajah Mona tersenyum. Nampak sangat tidak matang bakal menantunya
itu. Rose pula anak kawan baiknya,
Hanum. Walaupun gadis itu hitam, tapi
hatinya baik. Cuma mulutnya sahaja agak
laser dan suka cakap lepas.
“Ya… mak. Pening kepala saya ni. Takkanlah saya nak
biarkan Ain membuli Rose lagi. Saya dah
ambil keputusan, kalau Ain tidak mahu berubah, saya sanggup putuskan
pertunangan kami,” jelas Haikal
tegas. Dia sudah penat dan malas nak
menasihati Ain. Tunangnya itu sudah melampau.
“Hish, janganlah sampai macam
tu? Malu keluarga Ain nanti.” Hajah Mona
kurang setuju dengan tindakan Haikal. Rasa terburu-buru pula. Apa pula kata orang kampung. Nanti dia juga
yang malu. Apa pula kata suaminya nanti.
Budak-budak ini, sengaja nak cari nahas.
“Haikal macam mana? Tak tahu malu? Dapat bakal isteri kaki pendendam, kuat
cemburu, busuk hati, pendengki! Ain tak layak jadi ibu pada anak-anak Haikal
nanti, mak. Haikal tak mahu anak-anak
Haikal mewarisi hati dan sikap seperti Ain,”
terang Haikal akan tindakannya itu.
Dia inginkan isterinya yang cantik, tetapi biarlah juga cantik budi
pekertinya. Ain punya kecantikan tetapi tidak punya budi pekerti yang tinggi.
“Nanti dah kahwin Haikal didiklah
dia. Mungkin waktu dia kecil, dia sudah
terdidik dengan hal seperti itu?” Hajah
Mona mengusap belakang anak lelakinya.
Dia kenal sangat dengan Mak Limah. Malah orang kampung pun tahu sikap
dan perangai bakal besannnya itu. Bila
Haikal ingin meminang Ain, dia berat hati sebenarnya. Kalau anak lelakinya
sudah suka dan mereka saling mencintai, apakan dayanya nak menolak keinginan
anaknya itu. Sebagai orang tua, dia
hanya mampu mendoakan sahaja kebahagian mereka.
“Kalau boleh didik? Kalau sama saja
dengan Mak Limah? Macam mana?” ujar Haikal dengan wajah cemberutnya.
“Kenalah bersabar, itulah ujian
namanya. Uji ketahanan fizikal dan mental anak mak ni,” usik Hajah Mona.
“Entahlah mak… susah nak cakap!”
Haikal mengeluh kesal.
“Apa pun Haikal nak lakukan, jangan
sakiti perasaan orang lain. Tak
baik. Takut-takut nanti perasaan dan
hati kita pula disakiti. Tarik rambut
dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Haikal kena bijak menangani masalah ni. Mak yakin Ain boleh jadi isteri yang baik
kalau kena cara didiknya,” nasihat Hajah Mona.
“Nantilah mak, Haikal
fikir-fikirkan.” Haikal memandang keluar
rumah. Hatinya berasa sedikit tenang
setelah meluahkan apa sahaja yang ada di lubuk hatinya. Tentang Ain akan cuba diatasi dengan
segera. Tentang Rose, dia masih lagi
menunggu jawapan daripada gadis itu.
Harap-harap Rose masih sudi berkawan dan bersahabat dengannya sama
seperti dahulu. Kata-kata orang diletak ke tepi. Dia sudah tidak peduli lagi. Orang boleh sahaja bercakap, sebab ada mulut. Haikal mengeluh keras.
Petang itu laman rumahnya
riuh-rendah dengan suara bakal emak mertuanya bertanyakan Ain. Kenapalah Mak Limah membebel banyak sangat,
detik hati kecil Haikal. Dia menjawab
pertanyaan dan persoalan yang dilontarkan oleh bakal mertuanya itu dengan
teliti. Takut salah cakap, nanti satu kampung tahu cerita. Erk… tak baik buruk
sangka, kan? Itu bakal emak mertuanya,
macam emak sendiri juga.
“Kenapa kau tak ajak Ain balik,
Haikal? Kau bergaduh dengan anak Mak Limah ke?” tanya Mak Limah dengan wajah
mengharapkan jawapan jujur daripada bakal menantunya itu.
“Ada kerja sikit kat bandar tu Mak Limah,
itu sebab tak ajak Ain,” jawab Haikal tidak jujur. Kalau dia cakap, dia
bergaduh dengan Ain pasti timbul masalah pula.
Biarlah hanya dia dan keluarganya sahaja yang tahu cerita sebenar.
Hajah Mona menjeling sahaja ke arah
Haikal yang duduk di pangkin depan rumah.
Waktu-waktu petang bersantai di situ amat menenangkan, sambil melihat
anak-anak jiran sekampung bermain dan
berkejaran.
“Ya ke? Ain puas telefon kamu, tapi tak angkat? Dia suruh pesan kat kamu, tolong telefon dia
balik,” pesan Mak Limah.
“Yalah, nanti saya telefon.” Haikal
mengeluh. Mesti sudah mengadu dengan
emaknya. Mulut orang perempuan, bukan
boleh simpan apa-apa. Habis semua
perkara nak diceritakan kepada ahli keluarga, suku-sakat, kalau boleh sekampung
tahu, lagi bagus. Haikal membebel dalam hati. Sudah macam perempuan
pula dirinya, asyik membebel sendiri.
“Tentang majlis perkahwinan kita
nanti macam mana? Mak Limah nak buat kat
dewan, mudah kerja. Tak bersepah
rumah. Malas nak kemas,” cadang Mak Limah. Alang-alang sudah berjumpa bakal menantu,
baiklah bincang apa yang perlu.
“Saya buat di rumah ni saja Kak Limah.” Hajah Mona tersenyum. Bakal besannya ada duit, bolehlah nak buat di
mana sahaja. Maklumlah mewarisi harta peninggalan arwah orang tuanya. Tidak habis makan tujuh keturunan.
“Tak kisahlah. Yang penting majlis tu sama hebat dengan
majlis perkahwinan artis-artis kat Malaysia ni,” cerita Mak Limah lagi. Sudah
terbayang di ruangan matanya majlis yang gah dan pasti menjadi majlis of the
year di kampung itu.
“Jangan membazir sangat Kak Limah,
buat biasa-biasa saja sudahlah. Artis tu
ada orang sponsor, kita pula, sendiri
keluar duit,” nasihat Hajah Mona. Bakal besannya ini memang suka
menunjuk-nunjukkan kekayaannya. Orang kampung memang tahu sangat perangai Mak Limah yang suka menayang apa sahaja
barang yang baharu di beli, lebih-lebih lagi jika orang kampung ada yang tidak
mampu. Pening, pening dapat bakal besan
seperti ini.
“Anak aku sorang saja
Mona,biarlah. Bukan ada anak lain yang
aku kena buat kenduri lagi. Kau pun sama.
Sekali saja buat kenduri. Buatlah besar-besaran.”
“Selepas kahwin banyak lagi nak
pakai duit Mak Limah. Takkan nak habiskan?
Lainlah Mak Limah, dapat duit depan belakang.” Haikal mencebik. Senang sahaja suruh orang buat kenduri
besar-besaran, ingat ada bank sendiri ke?
Ingat main cop sahaja duit yang ada.
Kalau layan bakal mak mertuanya.
Satu hari satu malam tidak habis.
Haikal mengeluh.
“Ala, takkanlah kau tak ada
duit simpanan Haikal? Kahwin sekali
sahaja tau seumur hidup,” kata Mak Limah.
“Eh… silap tu Mak Limah. Orang
lelaki kahwin empat kali, mana pula sekali?
Kahwin sekali tu hanya perempuan,” gurau Haikal, sempat dia menyengih ke
arah emaknya yang sudah menjegilkan mata.
“Hah? Kau nak kahwin sampai empat ke? Kau jangan main gila Haikal! Keturunan Mak Limah tak ada lagi yang hidup
berkongsi suami. Kau jangan nak madukan
anak Mak Limah ya. Siaplah Mak Limah kerjakan kau!” Mak Limah menyinsing lengan baju
kurungnya. Dia sudah bersiap sedia untuk
menyerang Haikal. Kalau itulah yang
dilakukan Haikal, dia tidak akan berdiam diri. Pantang anaknya di madukan.
“Haikal gurau saja kak, jangan ambil
serius,” tegur Hajah Mona. Geram pula hatinya melihat
sikap Haikal yang mengusik bakal
besannya. Memanglah dia dan suaminya ada duit simpanan
untuk majlis perkahwinan itu anti.
Tetapi tidaklah buat bermewah sangat.
Seadanyalah.
“Gurau benda macam tu, aku tak
suka! kau jangan ingat kau lelaki, kau
boleh kahwin banyak Haikal! Mak Limah
takkan biarkan kau sakitkan hati Ain.
Dia saja anak Mak Limah, tau!” pesanan tegas daripada Mak Limah.
Haikal telan air liur sendiri. Wajah
serius bakal mak mertuanya dipandang seketika.
Biar betul, orang tua itu akan
lakukan apa yang dia cakapkah? Alahai… habislah dia. Kalau dia buli Ain, pasti Mak Limah akan
masuk campur. Pening, pening, bertambah
pening. Ada mak mertua lebih brutal
daripada bakal isteri.